Ahad, 22 Julai 2012

Dua Sahabat Disimbah Asid

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR : Dua wanita yang juga rakan baik berusia lewat 30-an cedera di seluruh badan selepas disimbah asid dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di Jalan Dewan Bahasa, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa dilaporkan berjalan ke tempat letak kereta di kawasan itu bagi mengambil kenderaan mereka untuk pulang ke rumah.

Menurut sumber, ketika mangsa dan rakannya sudah menghampiri kenderaan, dua lelaki menaiki motosikal lengkap memakai topi keledar dilihat dipandu laju menuju ke arah mereka.

“Sebaik menghampiri mangsa, pembonceng motosikal itu mengeluarkan satu botol mengandungi cecair dipercayai asid lalu menyimbah ke arah mereka.

“Seorang daripada mereka terkena di belakang badan, tangan dan kaki manakala rakannya pula terkena di dada dan kaki,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, sebelum diberikan rawatan susulan.

Katanya, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi, di sini, oleh mangsa menuntut siasatan lanjut dilakukan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, pihaknya percaya kejadian itu dipercayai bermotifkan cemburu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan