Rabu, 18 Julai 2012

Sahabat Oh Sahabat


Kata orang 'mencari seorang sahabat yang baik lebih sukar daripada mencari 1000 orang musuh'. Sememangnya kenyataan ini benar kerana seorang sahabat yang baik akan sentiasa melindungi dan menjaga keharmonian sahabatnya dalam apa jua perkara, malah ada yang sanggup bergadai nyawa untuk sahabat. 

Bagaimanakah anda ingin memilih sahabat baik daripada kesemua sahabat yang anda ada? Ayuh ketahui ciri-ciri memilih dan membina jalinan persahabatan yang murni! 

KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting dalam sesebuah persahabatan. Ikatan persahabatan akan mudah rapuh sekiranya tidak wujud kecintaan di antara dua orang insan.

KASIH SAYANG lebih kurang sama maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat, kita perlulah mencurahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Ada ketikanya kasih sayang anda itu tidak perlu dipamerkan secara terang-terangan. Cukup sekiranya anda menunjukkan kasih sayang itu dengan mendoakan perkara-perkara yang baik untuk sahabat anda. 

KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan itu mendapat keberkatan dan rahmat daripada Ilahi. Sekiranya anda tidak ikhlas ketika bersahabat, ia boleh mengundang permusuhan di antara sahabat. Sebaiknya anda memilih sahabat berdasarkan budi pekertinya, rasa tanggungjawab, keprihatinan dan bukannya semata-mata kerana paras rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya. 

KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan lagi ikatan persahabatan walaupun anda jarang bertemu. Apabila anda setia terhadap sahabat, kesannya sahabat anda juga akan sentiasa mengingati apa jua pengorbanan yang telah anda curahkan kepadanya. Ini kerana anda sentiasa berada di sisinya tidak kira susah mahupun senang. 

KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam sesebuah persahabatan, anda hendaklah berani mengatakan sesuatu perkara kepada sahabat anda itu, apatah lagi tentang perkara-perkara yang boleh menyakiti hatinya. Anda hendaklah berani mengaku dan berterus-terang kepadanya atas kesilapan yang telah anda lakukan. Anda juga haruslah berani menasihati dan saling menegur sahabat anda itu. 

KEJUJURAN perlu dalam sesebuah persahabatan. Anda jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat anda itu. Dengan berkata benar dan jujur, ini akan mengukuhkan lagi tali persahabatan antara anda berdua. Anda hanya boleh berahsia pada perkara-perkara yang anda rasa perlu dirahsiakan daripadanya sahaja. 

KEMAAFAN merupakan perkara yang perlu ada dalam etika bersahabat. Sekiranya sahabat anda melakukan kesilapan, anda hendaklah bersedia untuk memaafkannya, tidak kiralah sama ada kesalahannya itu besar ataupun kecil terhadap anda. Sahabat yang baik ialah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya, begitulah sebaliknya. 

KESEDIHAN yang dihadapi oleh sahabat anda haruslah dikongsi bersama. Apabila anda mengetahui sahabat anda itu berada dalam keadaan yang berdukacita, anda sebagai sahabat hendaklah sentiasa berada di sisinya. Kehadiran anda itu sekurang-kurangnya dapat meringankan kesedihan yang ditanggungnya dan dalam masa yang sama ia boleh meringankan bebanan yang dipikulnya itu. 

KEGEMBIRAAN yang hadir dalam diri sahabat anda itu, memberi makna yang anda juga rasa gembira. Pasti anda rasa senang apabila melihat sahabat anda bergelak ketawa dan sentiasa mengukir senyuman yang indah pada raut wajah mereka. 

KESERASIAN merujuk pada kesamaan mahupun ‘sekepala’ dalam apa jua yang anda dan sahabat lakukan bersama. Dengan wujudnya keserasian ini, aktiviti yang anda lakukan bersama akan menjadi lebih mudah dan lancar. Malah keserasian ini akan mewujudkan persefahaman antara anda dan sahabat.

Dalam persahabatan, jangan pernah ada pengkhianatan...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan