Penguat kuasa Jaim melakukan pemeriksaan dalam serbuan
BANDARAYA MELAKA – Segelintir umat Islam di negeri ini bukan sahaja tidak menunaikan kewajipan berpuasa, malah turut mempertikaikan tindakan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) melakukan serbuan di beberapa lokasi, semalam.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, dalam serbuan yang dilakukan, sebanyak 10 saman dikeluarkan membabitkan individu berusia antara 40 hingga 50 tahun.
Menurutnya, pihaknya kesal dengan perilaku individu terbabit yang secara sengaja berada di lokasi berkenaan sehingga menimbulkan syak wasangka masyarakat lain.
“Kita kesal dengan keadaan ini kerana walaupun kita tidak nampak perbuatan sebenar mereka namun tindakan kebanyakan mereka ini boleh menimbulkan syak dan dianggap seolah-olah mempersendakan agama.
“Tindakan mereka juga boleh menjejaskan imej Islam di mata bukan Islam kerana pastinya akan memandang remeh terhadap perintah berpuasa di bulan Ramadan,” katanya.
Rahimin berkata, antara kawasan yang terbabit dalam serbuan itu adalah Bukit Rambai, Pantai Puteri, Tangga Batu, Cheng, Ujung Pasir dan sekitar pusat bandar.
Menurutnya, kebanyakan mereka yang diambil tindakan berada di premis makanan milik bukan Islam.
“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 49 (1) dan (2), Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana makan atau minum atau membeli makanan atau minuman atau merokok pada waktu siang di bulan Ramadan.
“Sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali dan untuk kesalahan kedua berikutnya denda RM2,000 atau penjara 24 bulan,” katanya.
Rahimin berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan operasi hampir setiap hari bagi memastikan golongan yang tidak menghormati kesucian Ramadan dibanteras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan