Rabu, 1 Ogos 2012

Jual Makanan Kaki Ponteng Puasa Di Rumah

Hormatillah Bulan Ramadan

KANGAR: Pemantauan dilakukan Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) mendapati segelintir peniaga makanan beroperasi seawal jam 11 pagi dan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menjual makanan di rumah terletak tidak jauh dari lokasi gerai milik mereka.

Ketua Pegawai Operasi Jaips, Mohd Al-Hafiz Abd Aziz berkata, pihaknya merampas nasi serta minuman yang sudah siap dibungkus dipercayai untuk dijual kepada kaki ponteng puasa di Repoh dan Jalan Sungai Padang, dekat sini, semalam.

“Operasi bersepadu yang mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) serta Jabatan Kesihatan Negeri dimulakan jam 10.30 pagi bagi mengesan peniaga yang menjual makanan kepada orang Islam sekitar bandar ini.

“Sebelum melakukan serbuan, kami melihat gelagat peniaga gerai itu serta orang awam yang datang membungkus makanan. Taktik memanggil sesiapa saja yang berada berhampiran dikesan sebagai cara mereka untuk mengaut keuntungan pada bulan Ramadan ini,” katanya.

Mohd Al-Hafiz berkata, selain menjual nasi bungkus secara bersembunyi, terdapat juga kaki ponteng puasa membungkus makanan di premis bukan Islam namun disediakan khas untuk mereka yang tidak berpuasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan