Jumaat, 3 Ogos 2012

Lelaki Lapor Polis Selepas Digertak Dengan Samurai

SIBU: Seorang lelaki Iban membuat laporan polis kerana nyawanya terancam selepas empat lelaki berketurunan Cina yang tidak dikenali cuba menggertaknya dengan sebilah pedang samurai di rumah sewanya awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku lebih kurang jam 9.30 pagi di rumah berkenaan di Jalan Lai Chee selepas suspek-suspek tidak berpuas hati dan bertindak memaksa penyewa utama rumah sewa tersebut keluar dari biliknya namun gagal sejak awal pagi itu.

Mangsa yang bekerja sebagai pemotong rumput dan berusia 26 tahun, sebelum itu cuba memungut bayaran sewa bilik daripada seorang wanita Melayu yang sudah tertunggak sejak dua bulan lalu.

Menurut pengadu, penyewa wanita terbabit bukan sahaja lambat membayar bil elektrik dan airnya tetapi tidak menghormati ketenteraman penghuni lain kerana selalu membuat bising dan melakukan perkara yang tidak baik bersama rakan-rakan lelakinya sehingga waktu subuh.

Katanya wanita tersebut yang telah menyewa di situ sejak lima bulan lalu pernah berkahwin beberapa kali dan mempunyai 10 anak.

Disebabkan rasa belas kesian melihat keadaan rumah tangganya yang porak-peranda, pengadu telah membenarkan wanita tersebut menyewa sebuah bilik di situ dengan bayaran RM50 sebulan.

Katanya wanita itu tidak mengenangi budi kerana sering membawa rakan-rakan lelakinya membuat bising di rumah sewa mereka semasa penghuni lain sedang tidur.

“Saya sering mengantuk pada waktu siang disebabkan tidak dapat tidur dengan selesa pada waktu malam kerana masalah itu,” ujarnya.

Ibu pengadu yang juga tinggal bersebelahan di situ juga pernah melihat beberapa lelaki bersama wanita tersebut pada waktu larut malam.

“Saya tahu apa yang mereka buat di dalam bilik sewa wanita itu. Mereka memegang jarum suntikan dan mencucuk lengan mereka,” kata ibu pengadu yang pernah mengintip rakan-rakan lelaki wanita tersebut melalui celah-celah dinding sebelum ini.

Menurut ibu pengadu, semua penghuni di situ sudah serik dengan tingkah laku wanita dan rakan-rakannya yang suka membuat bising pada waktu mereka tidur.

Ahad lalu, pengadu telah memaklumkan kepada wanita tersebut supaya membayar sewa biliknya namun gagal juga dan mengarahkannya agar keluar dari bilik sewanya secepat mungkin.

Dia percaya wanita tersebut telah mengadukan perkara itu kepada rakan-rakan lelakinya yang menyebabkan mereka tidak berpuas hati serta bertindak garang terhadapnya.

Sekitar jam 4.00 pagi semalam, pintu bilik pengadu telah diketuk dengan kasar oleh rakan-rakan wanita tersebut seolah-olah ingin menakutkannya.

Ibu pengadu yang sudah jemu dengan perangai rakan-rakan lelaki wanita tersebut bertindak menghubungi polis untuk datang ke rumah sewa mereka pagi semalam.

Apabila pasukan polis tiba di situ, sekitar jam 9.45 pagi, dua daripada rakan lelaki wanita tersebut cuba melarikan diri dengan sebuah kereta namun berjaya dikejar dan diberkas polis.

Difahamkan seorang lagi daripada rakan lelaki yang masih berada di dalam bilik sewa dilihat oleh beberapa saksi di situ membuang sebilah pedang samurai ke rumput sebaik sahaja melihat polis berada di depan rumah.

Bagaimanapun, suspek tersebut dipercayai berjaya menyelinap keluar dari situ kemudian. Kes tersebut kini sedang dalam siasatan polis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan