Rabu, 5 September 2012

Sumbang Mahram: Hukuman Terhadap Bapa Dikurangkan


PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengurangkan tempoh hukuman penjara dan sebat terhadap seorang pemungut buah sawit, kepada penjara 15 tahun selain memerintahkan supaya dia dikenakan 12 sebatan kerana melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya yang masih di bawah umur lima tahun lepas.

Panel tiga anggota diketuai Datuk Hishamudin Mohd. Yunus menolak rayuan untuk mengetepikan sabitan terhadap lelaki berumur 47 tahun itu tetapi membenarkan rayuannya untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara.

Hakim Hishamudin, yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Lim Yee Lan menegaskan bahawa hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan terhadap lelaki itu yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Melaka adalah jelas berlebihan.

Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen itu pada 6 November 2009 atas dua kesalahan melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya yang berumur 12 tahun empat bulan di sebuah rumah di Kesang Tua, Jasin, Melaka pada 10 malam, 21 Ogos, 2007 dan 9.30 malam 26 Ogos, 2007.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan