Jumaat, 12 Oktober 2012

Bebas Tuduhan Bunuh Harimau

Yok Rayau, Hassan, Yok Mat dan Yok Kalong gembira selepas dibebaskan

TAPAH – Penantian empat lelaki Orang Asli suku Semai yang berhadapan tuduhan membunuh seekor harimau belang di Hutan Rezab Tapah dekat sini sejak dua tahun lalu berakhir semalam apabila Mahkamah Majistret di sini membebaskan mereka.

Majistret Fairuz Adiba Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Berikutan itu, tertuduh, Yok Rayau Yok Senian, 50, Yok Kalong Bah Papee, 51, Yok Mat Bah Chong, 48, dan Hassan Bah Long, 33, dilepas tanpa perlu membela diri.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat lelaki yang bekerja mencari hasil hutan itu didakwa menembak mati seekor harimau belang tempatan menggunakan selaras senapang patah.

Harimau daripada spesies Panthera Tigris itu dilindungi dan disenaraikan di dalam Jadual Satu, Butiran 35, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan