Rabu, 10 Oktober 2012

Jualan Kereta Jepun Merudum Di China

Beberapa penduduk menterbalikkan sebuah kereta buatan Jepun di Suzhou, China

TOKYO - Jualan kenderaan Toyota dan Honda merudum di China pada bulan lalu selepas sentimen anti-Jepun berlaku ekoran pertikaian wilayah yang mengancam hubungan kedua-dua buah negara.

China merupakan pasaran kenderaan terbesar Jepun.

Syarikat Toyota Motor Corporation menyatakan semalam bahawa jualan kenderaan baharu di China jatuh 48.9 peratus pada September lalu berbanding setahun lalu kepada hanya 44,100 buah kenderaan.

Firma Honda Motor pula memberitahu bahawa jualan kenderaannya untuk September merosot 40.5 peratus kepada 33,931 buah kenderaan.

Jualan kenderaan buatan Nissan Motor di China pula merudum 35.3 peratus pada bulan lalu kepada 76,100 buah kenderaan.

Perkembangan tersebut berlaku selepas Jepun pada bulan lalu mewartakan beberapa pulau kecil di Laut China Timur sebagai sebahagian wilayahnya.

Gugusan pulau itu yang dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China telah dikuasai Tokyo tetapi turut dituntut oleh Beijing.

Langkah tersebut mencetuskan bantahan ganas di China dengan rakyat negara itu digesa memboikot barangan buatan Jepun.

Beberapa kedai pengedar kereta Toyota dan Honda dibakar di sebuah bandar di China manakala orang ramai yang melaungkan slogan anti-Jepun berhimpun dan memecahkan beberapa buah kereta Jepun.

Walaupun protes tersebut semakin reda sejak beberapa minggu lalu, hanya pemandu yang berani sahaja sanggup memandu kereta buatan Jepun di beberapa buah bandar di China. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan