Tong Keong menunjukkan keretanya yang disimbah cat merah
GEORGE TOWN - Kereta milik Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Tong Keong menjadi mangsa khianat apabila disimbah cat merah manakala cermin belakang kenderaan itu turut dipecahkan petang semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.10 petang di tempat letak kereta pejabat Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Penang Free (OFA) di Jalan Sultan Ahmad Shah dekat sini.
Tong Keong ketika ditemui memberitahu, beliau tiba di OFA pada pukul 2.50 petang untuk bertemu dua rakannya bagi membincangkan beberapa program politik di negeri ini yang bakal dijalankan tidak lama lagi.
Katanya, kejadian berlaku semasa hujan lebat dan hanya disedari oleh seorang pelayan di situ.
"Pelayan itu memberitahu saya bahawa kereta jenis Nissan Sylphy milik saya disimbah cat merah dan dia ternampak dua lelaki memakai baju hujan menaiki motosikal meninggalkan tempat itu secara tergesa-gesa.
"Saya bersama rakan kemudian bergegas keluar memeriksa kerosakan pada kereta. Walaupun tidak menuduh sesiapa tetapi saya percaya tindakan itu ada kaitan dengan politik," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan