Rabu, 10 Oktober 2012

Kereta Pemain Bola Rempuh Kedai

Jonathan Legear 


BRUSSELS - Pemain bola sepak Belgium, Jonathan Legear akan dihadapkan ke mahkamah dan dilarang daripada memandu untuk sekurang-kurangnya dua minggu selepas kereta Porsche yang dipandunya merempuh kedai di sebuah stesen minyak. Seorang pelanggan lelaki cedera dalam insiden tersebut.

Kamera keselamatan yang merakamkan kejadian tersebut pada Ahad lalu menunjukkan kereta itu merempuh kedai di bandar Tongeren, utara Belgium.

Selepas rempuhan, kereta itu berhenti di hadapan mesin daftar tunai kedai berkenaan.

Jurucakap mahkamah, Michel Zegers menyatakan kelmarin bahawa pemain tengah untuk kelab Rusia, Terek Grozny itu akan didakwa kerana melakukan serangan secara tidak sengaja dan memandu dalam keadaan mabuk.

Legear berkata, dia memohon maaf berhubung insiden tersebut.

"Saya akan menerima segala hukuman ekoran insiden itu," katanya dalam satu kenyataan.

Dia menafikan berada dalam keadaan mabuk semasa kejadian.

Pemilik kedai terbabit menyatakan dia kerugian sekitar 250,000 euro (RM993,114) ekoran kejadian tersebut. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan