Selasa, 9 Oktober 2012

Lelaki Curi Wang Daripada Mesin Urut Kaki Dipenjara


MIRI: Empat lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret pagi semalam kerana kesalahan mencuri wang tunai daripada mesin urut kaki.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbangkan beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukan mereka serta mengambil kira kepentingan awam.

Mohd Noregha Kalong dari Taman Tunku, Mohammad Zaki Zainal Abidin, Muhammad Kamalul Ariffin dan Mohammad Hamiza Raili, ketiga-tiganya dari Kampung Luak di sini telah didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kesemua tertuduh didapati telah mencuri wang tunai RM134 dari mesin kerusi urut milik Syarikat Gintel Rest N Go yang diletakkan di bawah jagaan Lau Hui Chien.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama antara jam 3.20 petang hingga 4.40 petang, 26 September lalu di Tingkat 3 Merdeka Mall, Morsjaya di sini.

Ketika rayuan, kesemua tertuduh memohon dikenakan hukuman yang ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertama mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan