Selasa, 9 Oktober 2012

Wanita Hampir Maut Jatuh Bangunan


KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 56 tahun hampir maut selepas jatuh daripada tingkap di tingkat tiga bangunan sebuah hotel di Kampung Air di sini, malam Jumaat lepas.

PASUKAN Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memeriksa keadaan mangsa sebelum dibawa ke hospital.

Difahamkan, tubuh mangsa terhempas di atas sebuah van milik Klinik Cure & Care Malaysia dan kemudiannya dilanggar sebuah Proton Alza sebelum jatuh ke jalan.

Menurut kakitangan hotel berkenaan, Emelda, 30, wanita terbabit mendaftar untuk menginap di hotel itu petang Khamis lepas.

Mangsa mendaftar atas alamat berlokasi di Likas dan merancang untuk menginap selama dua hari.

“Dia telah membuat dua kali pembayaran masing-masing RM50 untuk sehari pada Khamis dan jam 4.48 petang Jumaat lepas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam Jumaat lepas.

Beliau yang bertugas bersama rakan sekerjanya di bahagian kaunter sambut tamu tidak menyaksikan wanita itu jatuh. Namun, mereka terdengar bunyi objek terjatuh.

Sementara itu, pemandu kereta Proton Alza, Go 19, menjelaskan beliau dalam perjalanan menghantar dua orang pekerjanya pulang.

Beliau turut terkejut apabila wanita itu tiba-tiba melanggar keretanya dan mengakibatkan tingkap belakang keretanya pecah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan