Selasa, 31 Julai 2012

Anjing Mati Kena Mercun Bola

NIBONG TEBAL - Angkara pertikaian hutang RM6,000 antara dua rakan, seekor anak anjing menjadi korban letupan mercun bola yang dibalingkan ke sebuah rumah di Taman Tang Ling, Simpang Ampat dekat sini baru-baru ini.

Kejadian pada pukul 3.30 petang Jumaat lalu bukan saja menakutkan penghuni rumah yang gagal membayar hutang malah turut menggemparkan penduduk lain di seluruh taman itu yang mulanya menyangka letupan tersebut berpunca daripada ledakan bom.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata, polis mulanya menerima maklumat terdapat kejadian letupan bom di halaman sebuah rumah di Taman Tang Ling

"Sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebelum siasatan mendapati bunyi letupan kuat yang disangka bom sebenarnya letupan segumpal mercun bola.

"Akibat letupan kuat tersebut, seekor anak anjing milik penghuni rumah terbabit mati dipercayai terkena percikan api daripada mercun tersebut," kata beliau.


Coretan - Kasihan anjing yang tak berdosa menjadi mangsa. Dia pun nak juga hidup...kejam ler...


Mati Dipercayai Dibelasah Anak

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad

KUCHING - Seorang lelaki warga emas yang bertarung nyawa selepas dipercayai dipukul anak lelaki sendiri akhirnya meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak semalam selepas menerima rawatan hampir dua minggu.

Jeni Kaderi, 77, dipercayai bergaduh dengan anaknya yang berusia 41 tahun pada 17 Julai lalu di rumah mereka di Kampung Sinar Bumi Lama di sini sehingga cedera di rusuk, lebam di mata kiri, telinga kanan dan pendarahan di paru-paru kanan.

Bagaimanapun, suspek yang juga dikenali sebagai 'Ribut' pandai memperdayakan jiran-jiran mereka bahawa bapanya cedera selepas terjatuh tangga.

Namun, rahsia itu terbongkar selepas adik perempuannya datang ke rumah tersebut dan menemui bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum meminta anak saudaranya membawa mangsa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa meninggal dunia pada pukul 1 pagi dan doktor mengesahkan sembilan tulang rusuk kanan mangsa patah.

Serentak dengan itu, polis menahan reman suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Coretan - Teruk la si anak yang sanggup memukul ayahnya sendiri tanpa belas kasihan...


Ditangkap Jual Nasi Bungkus

Penguatkuasa MBAS memeriksa  gerai menjual makanan kepada orang Islam tidak berpuasa 

ALOR SETAR – Jual nasi bungkus kepada orang tidak berpuasa pada harga pakej menggunakan kereta di lokasi tersembunyi di tepi tapak pembuangan sampah haram.

Itu yang dilakukan seorang lelaki berusia 55 tahun dipercayai untuk mendapatkan wang lebih pada bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun, rahsia lelaki itu terbongkar apabila Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyerbu kereta jenis Proton Saga miliknya yang diletakkan di belakang deretan bangunan berhampiran Terminal Bas Shahab Perdana di sini semalam.

Dalam serbuan Operasi Ramadan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, lelaki terbabit sedang menunggu pelanggan dan hasil pemeriksaan di dalam kereta menemui masing-masing 50 bungkus nasi berlauk dan minuman.

Kesemua makanan dan minuman tersebut disembunyikan di dalam beberapa bungkusan plastik berwarna hitam yang diletakkan di tempat duduk belakang dan but kereta.

Difahamkan, nasi bungkus dijual antara RM5 hingga RM7 mengikut jenis lauk kepada pekerja di kawasan sekitar yang kebanyakannya pekerja bengkel.

Dalam operasi berasingan yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan Jabatan Kesihatan negeri itu, MBAS menyerbu sebuah gerai ditutupi kain kanvas di tepi Jalan Gangsa di sini.


Penoreh Sayu Beraya Tanpa Kaki

ZULFITRI (kanan) dan Saad (dua dari kanan) berbual dengan Suaid

JITRA - Sayu hati seorang penoreh getah di Kampung Kota Mengkuang, Wang Tepus di sini yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa sebelah kaki apabila terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis yang ditanggungnya selama 15 tahun.

Suaid Mat Kasa, 54, hilang kaki kanan dari paras betis akibat jangkitan kuman dan terpaksa menjalani pembedahan pada 28 Jun lalu.

Menurutnya, dia menitiskan air mata apabila dimaklumkan oleh doktor Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bahawa jangkitan kuman itu semakin merebak dan bagi mengelak ia bertambah serius kaki itu perlu dipotong.

"Saya berasa sedih, namun terpaksa menerima takdir Tuhan. Pada mulanya amat terasa kehilangan kaki kerana sebelum ini mampu bergerak dengan bebas tetapi kali ini pergerakan terbatas. Tidak banyak kerja yang boleh saya lakukan termasuk menyara keluarga dengan menoreh getah," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.


Syaleza Mati Akibat Leher Dijerut

SAAT BAHAGIA - Norazman dan Syaleza ketika berkahwin tiga tahun lalu

SHAH ALAM – Polis semalam mengesahkan keputusan bedah siasat mendapati Eksekutif Pentadbiran Berita stesen televisyen TV9, Syaleza Jaffar menemui ajal dengan cara lehernya dijerut hingga mengakibatkan mangsa kekurangan oksigen sebelum mati lemas. 

Sehubungan itu, polis telah menahan suami wanita itu, Norazman Bashah, 31, selepas selesai upacara pengebumian jenazah Syaleza, 31, di kampungnya di Felda Redong 1, Labis, Segamat, Johor pada pukul 10.15 malam kelmarin bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan sebagai bunuh itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, lelaki berusia 31 tahun tersebut kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dekat sini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

“Laporan siasatan menunjukkan mangsa mati akibat dijerut dan bukannya menggantung diri, namun kita masih menjalankan siasatan terhadap perkara itu. Selain suaminya, kita juga telah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

 

Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Curi Atap


MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret petang semalam terhadap tuduhan mencuri 23 keping atap jenis spendix kepunyaan seorang lelaki lain.

Harfeezan Yunus, 32, dari Jalan Biri 3, Pujut 1B di sini telah didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah mencuri sebanyak 23 keping atap berharga lebih kurang RM3,000 milik Lim Fui Hor. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8 pagi, 25 Julai lalu di Lot 5 Lorong Piasau 2 di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 28 Ogos depan untuk perbicaraan lanjut.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan ikat jamin tunai RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.


Pasar Malam Miri Dibuka Malam Ambang Merdeka


Gambar Hiasan

MIRI: Pasar Malam Miri yang dicadang untuk dibuka 2 Ogos pada awalnya, akan dibuka menjelang sambutan Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos kelak.

Pembukaan pasar malam itu juga, bagi meraikan Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri(MBM) Lawrence Lai.

Beliau mengesahkan pihaknya menerima lebih 100 permohonan untuk berniaga di pasar malam berkenaan bagaimanapun terpaksa dihadkan kepada 100 peniaga sahaja kerana ruang yang terhad.

“Pada awalnya kami hanya menawarkan 66 lot untuk berniaga namun sambutan amat menggalakkan dan lebih 100 permohonan telah dihantar.

“Justeru bagi menghargai sokongan ini, maka kami terpaksa membuka satu lagi lorong iaitu bersebelahan dengan Plaza Yu Lan bagi membolehkan ia menampung sehingga 100 orang peniaga,” jelas beliau.

Kawasan Pasar Malam Miri yang dirancang ialah di sepanjang Jalan Brooke yang terletak di antara Pasar Central dan Pasar Perpaduan(Unity Market).

Lawrence memberitahu, sehingga tarikh tutupnya pada minggu lepas, sebanyak 62 permohonan telah dihantar menerusi Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI), 40 permohonan lagi menerusi Persatuan Bumiputera Miri Sarawak (PBMS).

Manakala permohonan secara individu yang dihantar terus kepada pihak MBM ialah sebanyak 32 permohonan iaitu 14 daripada peniaga Cina, 11 peniaga Melayu dan tujuh peniaga Iban.

Beliau yang berharap kewujudan pasar malam itu kelak akan menghidupkan kembali suasana malam di pusat bandar selain menjadi salah satu tarikan pelancong, memberitahu Pasar Malam Miri akan beroperasi setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, bermula dari jam 5 petang hingga 11 malam.

Pelbagai barangan, kraf tangan dan makanan akan dijual di pasar malam itu kelak, bagaimanapun binatang hidup ataupun daging dan ikan segar adalah dilarang.

Selain bakal menjadi salah satu tarikan pelancong yang datang ke Miri, pasar malam tersebut kelak bakal menyediakan peluang ekonomi untuk penduduk atau peniaga tempatan.


Bekerjasama Tangkap Individu Jual Mercun


MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bekerjasama bagi menangkap individu yang menjual mercun secara terbuka pada musim perayaan.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata, kedua-dua agensi itu perlu agresif dalam menangkap individu yang memiliki, menyimpan, menjual, membawa atau bermain mercun.

“Baru-baru ini, beberapa kanak-kanak telah cedera parah selepas bermain mercun dan kejadian sebegini berlaku hampir setiap tahun terutama melibatkan orang Melayu,” katanya.

Beliau memberitahu, bermain mercun bukan budaya orang Melayu beragama Islam sebaliknya ia merupakan budaya dan tradisi masyarakat Cina semasa menyambut Tahun Baharu Cina.

“Tidak perlulah orang Melayu bermain mercun kerana ia bukan budaya kita kerana setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, hanya orang Melayu sahaja yang menjadi mangsa letupan mercun,” ujarnya.

Beliau memberitahu, agensi kerajaan perlu mengenakan tindakan lebih tegas termasuk menggunakan akta yang sedia ada bagi memantau penjualan mercun secara terbuka kepada orang ramai.

Dalam masa sama katanya, agensi kerajaan juga perlu memantau semua jalan tikus di kawasan sempadan khasnya bagi kes-kes penyeludupan mercun dari negara jiran.

“Mercun tidak akan sampai ke Sarawak sekiranya tiada permintaan dan pihak kerajaan perlu mengawasi kawasan sempadan supaya tiada kes penyeludupan mercun secara berleluasa,” katanya.

Menurutnya, pengawasan bukan sahaja perlu dilakukan di sempadan tetapi juga di kawasan perumahan dan kampung-kampung khasnya di kawasan kediaman orang Melayu.

“Ia adalah kawasan panas kerana setiap kali musim perayaan, individu yang memiliki bekalan mercun ini akan menjual bahan letupan itu apabila mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat,” katanya.

Dalam kejadian di Alor Setar, Kedah kelmarin, dua termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun cedera akibat terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup di Kampung Kuala Kangkong.

Meskipun ia hanya berlaku di Semenanjung Malaysia, tidak mustahil Sarawak akan mencatat kes sama sekiranya pemantauan dan pengawasan penjualan mercun tidak dilakukan secara agresif.


Mercun: Berjaga-jaga Sebelum Kena


LIMBANG: Berjaga-jaga sebelum terkena. Itulah nasihat Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai kepada orang ramai berhubung permainan dan penjualan mercun sempena sambutan Aidilfitri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tegas beliau ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak bermain mercun kerana ia boleh mendatangkan bahaya dan kecederaan.

“Permainan mercun sempena musim perayaan termasuk Aidilfitri adalah tidak dibenarkan kerana boleh membahayakan nyawa orang ramai.

“Ibu bapa perlu mengambil iktibar daripada kejadian yang dilaporkan di media massa, sebelum terlambat,” katanya.

Mohd Bukhori berkata, Hari Raya sepatutnya disambut dalam keadaan bersuka ria dan bukannya berduka selepas mengalami kecederaan teruk akibat bermain mercun.

Menyentuh mengenai budaya bermain meriam buluh yang popular semasa musim perayaan tegasnya, ia boleh mengakibatkan letupan dan percikan yang boleh mencederakan tubuh dan muka si pemainnya.

“Oleh kerana buluh yang digunakan tumbuh secara semula jadi, ia tidak mempunyai kekuatan yang sekata. Dengan itu tidak terdapat jaminan buluh yang diguna-kan mampu bertahan dengan letupan yang terhasil, maka ia mampu pecah ketika meletup,” ujarnya.

Mohd Bukhori memberitahu lagi, letupan itu amat berbahaya kerana buluh akan berderai dan terpercik seperti lidi dan selumbar.

“Itu tak termasuk bahan api yang mungkin akan terpercik dan menyebabkan kelecuran dan kecacatan kekal pada muka dan anggota badan akibat letupan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa polis akan megambil tindakan termasuk merampas dan mendakwa mereka yang menjual mercun sama ada secara tertutup atau terbuka di daerah ini.

“Operasi akan dijalankan secara berterusan bagi memantau sebarang aktiviti penjualan mercun, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri,” katanya, sambil menambah pemilikan mercun dan bunga api adalah menyalahi undang-undang mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya agar memaklumkan ketiadaan mereka kepada jiran berdekatan.

“Rumah perlu dikunci dan maklumkan kepada jiran ataupun menghubungi balai polis bagi memudahkan anggota kami melakukan rondaan,” katanya.


Mangsa Terakhir Kapal MISC Yang Terbakar Dijumpai


LABUAN: Mangsa kelima insiden kebakaran kapal tangki Bunga Alpinia milik Malaysian International Shipping Corporation (MISC) Khamis lepas ditemui semalam dalam perut kapal yang hangus akibat kebakaran itu.

Mayat Mohammad Nazrin Khamsani, 20, dari Kuala Lumpur ditemui terperangkap dalam perut kapal itu yang digenangi air pada kira-kira jam 1.45 tengah hari ini, demikian menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Labuan melancarkan gerakan mencari mangsa terakhir sejak semalam setelah kapal itu didapati selamat untuk dimasuki berikutan proses penyejukan kapal selesai, yang membawa kepada penemuan mayat itu.

Anggota bomba dan penyelamat yang terlibat dalam misi itu menggunakan tali untuk menaikkan mayat Mohammad Nazrin, yang merupakan krew kapal tangki Bunga Alpinia.

Kapal tangki Bunga Alpinia terbakar dan meletup di jeti terminal Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd berdekatan dengan Pulau Enoe, zon industri Rancha-Rancha, pada kira-kira jam 2.32 pagi Khamis lalu.

Empat lagi mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah Syahril Azmi Baharudin, 28, dan Mohd Hanafi Khalil, 24, kedua-duanya dari Melaka, Zahari Hassim, 46, dari Negeri Sembilan dan Colanggoy Errol Calaluan, 22, krew warga Filipina.

Anggota keluarga, rakan mangsa, pihak forensik, petugas rumah mayat Hospital Labuan difahamkan mengalami sedikit kesukaran untuk melakukan proses pengecaman berikutan keadaan mayat yang melecur dan mengembang.

Bercakap kepada Bernama semalam, Ketua Polis Labuan Penguasa Saiman Kasran menyifatkan penemuan lima mangsa insiden itu atas hasil usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk polis, marin, bomba dan penyelamat, Jabatan Laut dan Semenanjung, agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia dan juga penduduk kampung.

“Kita berharap misi operasi menyelamat telah berakhir dengan penemuan mangsa kelima hari ini (semalam),” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin berkata penglibatan pasukan bomba dan penyelamat dalam operasi pencarian dan menyelamat itu memberi kesan kepada kredibiliti kebombaan dalam operasi lautan yang turut melibatkan bahan kimia.

“Ianya berbaloi, meskipun anggota terpaksa berkampung sejak hari kejadian, kami akhirnya dengan kerjasama pelbagai pihak berjaya menjumpai mayat terakhir di dalam kapal berkenaan,” katanya.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal dalam pada itu turut melahirkan simpati dengan kejadian yang menimpa mangsa dan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga mangsa.

MISC dalam satu kenyataan semalam berkata pihak berkuasa dan pakar industri yang dilantik MISC sedang berusaha membersihkan sedikit tumpahan minyak dari Bunga Alpinia bagi memastikan alam sekitar dilindungi dan persekitaran penduduk di kawasan itu terpelihara.

Mengenai spekulasi panahan petir menjadi punca kebakaran kapal berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Bhd Dr Abd Hapiz Abdullah berkata siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.

Ini kerana ia berhubung kait dengan kredibiliti aspek keselamatan yang diambil di jeti terminal Petronas Methanol Labuan, katanya - Bernama


14 Orang Islam Tidak Hormati Bulan Ramadan Ditahan


KUCHING: Seramai 14 orang Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan ditahan kerana didapati makan di tempat awam sepanjang tempoh 1 hingga 10 Ramadan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman berkata, dua bahagian mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu Kuching dan Samarahan masing-masing empat orang. Manakala selebihnya di Miri melibatkan tiga orang, Betong dua orang dan Mukah seorang.

Beliau menjelaskan, ke-semua mereka yang tidak berpuasa itu ditangkap atas kesalahan makan, minum dan merokok di tempat awam.

“Setakat hari ini (semalam), seramai 14 orang Islam sudah ditangkap, jadi saya berharap mereka ini dan masyarakat Islam yang lain menghormati bulan yang mulia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Jelasnya lagi, kesemua yang ditangkap akan didakwa di Mahkamah Syariah yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Daud menegaskan bahawa pihaknya mengambil berat terhadap individu Islam yang melakukan kesalahan tanpa mengira status warganegara atau bukan warganegara.

“Justeru, beliau menasihati semua umat Islam di negeri ini agar menghormati bulan Ramadan dengan tidak makan di khalayak ramai,” ujarnya.


Tindakan Diambil Jika Produk Smoke Candy Berbahaya


SIBU: Tindakan terhadap peniaga Smoke Candy hanya akan diambil setelah produk terbabit disahkan berbahaya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Ketika dihubungi semalam, Wan Ahmad Uzir memberitahu, apabila gula-gula rokok telah disahkan isi kandungannya dan berbahaya kepada umum oleh KKM, pihaknya akan mengambil tindakan serta-merta.

“Sekiranya makanan terbabit mengandungi bahan terlarang atau dibuat dengan bahan berbahaya, kemudiannya diakui oleh KKM sebagai barang berbahaya barulah kami dapat mengambil tindakan,” ujar Wan Ahmad Uzir ketika mengulas mengenai laporan penjualan secara berleluasa gula-gula rokok kepada kanak-kanak yang disiarkan Utusan Borneo semalam.

Katanya buat waktu ini tiada sebarang undang-undang yang membenarkan pihaknya mengambil tindakan kepada perniaga-perniaga yang menjual manisan tersebut.

“Belum ada akta yang membenarkan kami mengambil tindakan ke atas mana-mana produk makanan yang menyerupai atau dibungkus menyerupai kotak rokok,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Wan Ahmad Uzir turut menasihati orang ramai terutama ibu bapa yang masih ragu-ragu tentang kandungan gula-gula terbabit agar menasihati anak-anak mereka dan pada masa yang sama mengawasi pembelian yang dilakukan anak-anak mereka bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Menyentuh mengenai bagaimana gula-gula buatan China terbabit boleh berada di pasaran tempatan katanya, pihaknya tidak bertanggungjawab mengawal aliran keluar masuk gula-gula itu kerana ia bukan salah satu daripada bidang kuasa badan terbabit.

“Kemasukan produk-produk dari luar negara merupakan bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama Jabatan Kastam,” jelasnya.


Ahli Perniagaan Mati Ditembak

Seorang kakitangan perubatan memeriksa keadaan mangsa 

MIRI: Seorang ahli perniagaan terkenal maut setelah ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali dipercayai pembunuh upahan dalam kejadian yang berlaku berhampiran lampu isyarat di Jalan Bendahara di sini petang semalam.

Mangsa yang berusia 48 tahun dan memandu seorang diri, maut di tempat kejadian setelah dua das tembakan yang dilepaskan penjenayah terbabit menembusi cermin keretanya dan mengena bahagian leher serta kepala sebelah kanannya.

Kejadian tembak itu yang berlaku sekitar jam 5.45 petang menggemparkan penduduk di bandar raya Miri apatah lagi ia berlaku ketika waktu puncak, ramai orang balik dari bekerja dan bergegas untuk berbuka puasa.

Sementara ahli keluarga dan rakan-rakan yang dimaklumkan tentang kejadian itu terus bergegas ke tempat kejadian.

Beberapa ahli keluarga mangsa juga dilihat menggunakan objek keras untuk memecah cermin belakang ke-reta mangsa bagi membolehkan kakitangan perubatan dari Hospital Miri memeriksa keadaan mangsa.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Prado berwarna putih dipercayai sedang berhenti di lampu isyarat terbabit apabila tiba-tiba ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali.

Kereta mangsa kemudian ditemui berhenti pada jarak kira-kira 70 meter dari lampu isyarat terbabit dengan mangsa sudah terkulai kaku di tempat duduk pemandu. Dua kesan tembakan turut kelihatan pada cermin sebelah pemandu.

Difahamkan, mangsa merupakan seorang ahli perniagaan terkenal dengan mempunyai rangkaian perniagaan yang pelbagai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Mun Kok Keong ketika ditemui di tempat kejadian mengesahkan kes itu dan mengklasifikasikannya sebagai bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Ini merupakan kes tembak maut yang pertama berlaku di Miri setakat ini,” katanya sambil memberitahu, polis akan menjalankan siasatan terperinci dari segenap aspek untuk mengetahui motif sebenar kejadian.


Isnin, 30 Julai 2012

Polis Sahkan Eksekutif Stesen TV Mati Dijerut


Status BB milik mangsa sebelum ditemui meninggal dunia.

SHAH ALAM – Ketua Polis Selangor mengesahkan punca kematian eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9, yang mayatnya ditemui di kediamannya di Apartment Saujana, Damansara Damai pada Sabtu, adalah akibat lehernya dijerut.

Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah berkata laporan bedah siasat ke atas mayat Syaleza Jaffar, 31, di Hospital Sungai Buloh menunjukkan mangsa mati akibat tidak boleh bernafas dan terdapat kesan jerutan di sekeliling leher mangsa.

“Laporan siasatan menunjukkan mangsa mati akibat dijerut dan bukannya menggantung diri, namun kita masih menjalankan siasatan terhadap perkara itu,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan anggota keluarga terdekat mangsa di Segamat, Johor pada kira-kira 10.15 malam tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan. Suspek akan direman petang ini.

Tun Hisan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. Mayat Syaleza ditemui di dalam sebuah daripada bilik tidur rumah itu oleh suaminya pada kira-kira 7 malam.

Suaminya mendakwa terdengar dentuman dalam bilik tidur rumah itu dan ternampak mangsa tergantung tidak bernyawa di kipas bilik itu sebelum membawa turun mayat isterinya.

Polis kemudian ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh suami mangsa dan Syaleza disahkan meninggal dunia ketika ditemui polis.

Syazleza merupakan anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun. 


Tembak Adik Sendiri Kerana Disangka Babi Hutan


Gara-gara taksub dengan babi hutan, tubuh dua beradik dipenuhi dengan 45 butir peluru apabila terkena tembakan adiknya sendiri.

Kejadian yang berlaku di Lundu Sarawak ini, lelaki yang dikenali sebagai Kederin kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS).

Aktiviti berburu tiga lelaki termasuk dua beradik berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka kini bertarung nyawa selepas tubuhnya tertanam 45 butir peluru penabur akibat terkena tembakan adik sendiri yang menyangka mangsa babi hutan.

Dalam kejadian di hutan, kira-kira sejam perjalanan dari Kampung Selampit, dekat sini, malam kelmarin, mangsa, Kederin Jikem, 44, parah di perut dan paha.

Kederin kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS), akibat terkena peluru penabur yang dilepaskan adiknya berusia 38 tahun.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama adiknya serta ditemani seorang rakan keluar memburu di hutan sekitar jam 10 malam.

Menurut adik mangsa yang enggan dikenali, sebaik tiba di lokasi pemburuan kira-kira sejam kemudian, mereka berjalan memasuki hutan manakala rakannya menunggu di tempat letak motosikal.


Tikus Raksasa Makan 2 Bayi!



CAPE TOWN, KOMPAS.com – Afrika Selatan diserang tikus. Bukan tikus biasa, melainkan tikus-tikus berukuran kucing. Dengan ukuran sebesar itu, tikus-tikus itu mencari mangsa yang cukup besar iaitu Bayi.

Minggu ini terjadi dua tragedi mengerikan. Tikus-tikus raksasa memakan dua bayi dalam dua peristiwa berbeza. Lunathi Dwadwa (3) mati dalam tidurnya di kawasan di luar Cape Town. Sementara seorang bayi lain menjadi mangsa tikus di Soweto, tak jauh dari Johannesburg pada hari yang sama.

Lunathi ditemukan tewas dalam keadaan mengerikan oleh orangtuanya. Tidak ada tangisan ataupun jeritan sebelumnya.

“Saya tidak boleh lupa betapa mengerikan keadaan anak saya. Matanya keluar. Wajahnya rosak dari alis hingga pipi,” kata Bukiswa Dwadwa (27), ibu bayi itu.

“Tidak ada yang boleh melakukannya kecuali tikus,” ujar Mncedisi Mokoena, ayah Lunathi.

Beberapa jam kemudian, polis menemukan kes serupa. Seorang bayi perempuan diserang tikus besar ketika ibunya yang masih remaja pergi dengan teman-temannya.

“Kami mendapat panggilan dari lokasi kejadian, tentang kematian bayinya akibat serangan tikus,” kata polis bernama Bongai Mhlongo.

“Kami menahan ibunya dengan tuduhan kelalaian yang mengakibatkan kematian,” Ujarnya lagi.

Bulan lalu, Nomathemba Joyi (77) juga tewas setelah tikus-tikus raksasa memakan pipi kanan wajahnya.

Di kawasan kotor Afrika Selatan, tikus raksasa biasa ditemukan di tempat-tempat sampah. Tikus jenis itu boleh membesar hingga hampir satu meter, dari mulut hingga ekor. Sementara gigi depannya sepanjang 2,5 cm.

Tikus-tikus itu diyakini termasuk jenis African Giant Pouched Rats, salah satu jenis tikus terbesar dunia. Mereka lebih aktif di malam hari, pemakan segala, dan boleh memproduksi 50 anak dalam setahun. 


Kaki Dangdut Tak Hirau Bulan Ramadhan

Si Tua Kaki Dangdut Tak Hirau Ramadan, Dahaga Belaian Gadis Muda


KUALA LUMPUR: Ketika individu seusia sibuk bertadarus atau melakukan ibadat sunat sementara menunggu sahur, sekumpulan warga emas yang mengunjungi beberapa pusat hiburan di Lembah Klang terus hanyut dengan gelekan alunan irama dangdut premis berkenaan sambil dibelai pelayan pelanggan (GRO) muda.

Lebih memalukan, ada di antara warga emas terbabit tanpa segan silu meneguk minuman keras, seolah-olah tiada langsung perasaan bersalah melakukan maksiat di bulan puasa.

Malah, difahamkan, ada di kalangan GRO berkenaan boleh dibawa ‘tidur’ jika bayaran ditawarkan warga emas itu memuaskan.

Tinjauan di dua kelab dangdut di ibu negara awal pagi semalam mendapati, meskipun bilangan pengunjung tidak seramai hari biasa, kelab berkenaan masih tidak sepi daripada kunjungan warga emas yang dahagakan hiburan dan belaian gadis muda.

Agak menggelikan hati apabila ada di kalangan warga emas itu seolah-olah jalan bertatih kerana kepenatan akibat terlalu lama berdangdut bersama wanita muda di pentas tarian.


‘Sabar Duhai Hati’, Status Terakhir BB Isteri Ditemui Mati


Status BB milik mangsa sebelum ditemui meninggal dunia

PETALING JAYA – “Sabar duhai hati”, adalah status BlackBerry (BB) terakhir yang sempat dicatat seorang Eksekutif Pentadbiran sebuah stesen televisyen swasta, Syaleza Jaffar, 31, sebelum ditemui mati dalam bilik di kediamannya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, dekat sini, kelmarin.

Kejadian disedari setelah suaminya terdengar bunyi dentuman kuat, lalu bertindak pecahkan pintu bilik selepas panggilannya tidak terjawab.

Menurut sumber, pasangan itu bertengkar kira-kira jam 7 malam, menyebabkan mangsa merajuk dan mengunci dirinya di dalam bilik.

“Suami mangsa menghubungi ambulans yang tiba jam 10.30 malam. Pemeriksaan lanjut mendapati dia telah meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan jiran mangsa juga terdengar bunyi pertengkaran beberapa jam sebelum kejadian. Ia berkemungkinan berpunca daripada suami mangsa pulang lewat dari kerja luar kawasan.

Pasangan berkenaan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun dan menyewa di situ sejak tiga bulan lalu.

Suami mangsa yang bekerja di syarikat petroleum di ibu kota, buat laporan dan memberi keterangan kepada polis. 

Mayat Syaleza dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian itu.

“Peringkat awal kes diklasifikasikan mati mengejut, namun siasatan diteruskan sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak,” katanya.


Rakan Artis Bidas Abby Abadi


BUKAN sekali kenyataan dikeluarkan dramatis yang baru berhijrah, Abby Abadi mendatangkan rasa kurang senang rakan artis lain.

Seperti dilaporkan sebuah portal, Abby mendakwa artis yang berhijrah sepertinya hanya akan mempunyai pekerjaan jika kerajaan sedia ada tidak lagi memerintah.

Abby yang baru menjadi ahli Pas seumur hidup berkata, ruang mereka untuk berkarya menjadi sempit dan hanya parti itu yang boleh membawa perubahan.

Bagaimanapun, kenyataan Abby mendapat reaksi pelakon popular, Datin Paduka Umie Aida yang menganggapnya cetek pemikiran. Malah, Umie turut menasihatkan Abby agar tidak menggunakan politik untuk berdakwah.

Sebelum ini, Datuk AC Mical turut berkecil hati dengan Abby kerana dikatakan menghina pasukan polis.


Dedam Dengan Suami, Isteri Diperkosa


KUALA LUMPUR: ‘Hidup kau tidak selamat, aku pasti kau mati.’ Itu kandungan nota ditinggalkan dua lelaki selepas menodai seorang wanita berusia awal 20-an di rumahnya di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang Jumaat lalu, itu, dua lelaki berusia 30-an terbabit dipercayai meninggalkan nota berkenaan untuk ditujukan kepada suami wanita itu yang tiada di rumah.

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa yang bersendirian di rumahnya berada dalam bilik air untuk mandi. Mangsa terkejut apabila melihat dua lelaki tidak dikenalinya berada di rumah.

Belum sempat menjerit meminta bantuan jiran, dua lelaki terbabit mengeluarkan senjata lalu mengugut untuk mencederakannya.

Bimbang dengan ugutan berkenaan, mangsa mendiamkan diri sebelum kedua-dua tangan dan kaki diikat manakala mulutnya ditutup dengan kain.


Biar Anak Didera Mati Di Hospital


KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dari Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, bukan saja sanggup mendera anak mereka hingga pengsan, malah turut membiarkan anaknya itu yang berusia empat tahun bersendirian di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), pagi kelmarin.

Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki itu yang menunggu rawatan di unit kecemasan gagal diselamatkan doktor dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.15 pagi.

Sumber polis berkata, dalam kejadian itu, sepasang suami isteri yang tinggal berdekatan PPUKM menghantar seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak mereka ke unit kecemasan.

“Ketika dibawa ke PPUKM, kanak-kanak terbabit yang tidak sedarkan diri ditempatkan di unit kecemasan untuk rawatan. Beberapa minit kemudian, ibu bapa kanak-kanak itu keluar sebelum menaiki sebuah kereta yang sedia menunggu mereka di pekarangan PPUKM dan melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, beberapa kakitangan unit kecemasan PPUKM yang menyedari tindakan itu cuba mengejar mereka namun terlambat.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kanak-kanak itu mendapati mangsa didera ibu bapanya berikutan wujud kesan calar dan lebam di seluruh badannya.

Selepas disahkan meninggal dunia, doktor yang merawat mangsa membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan. Katanya, siasatan lanjut dijalankan untuk menjejaki ibu bapa mangsa.


400 Warga Bangladesh Di Kedah Dakwa Ditipu Ejen

ALOR SETAR: Seramai 400 pekerja warga Bangladesh yang sedang bekerja di seluruh Kedah dan mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen yang memeras wang mereka, meminta pihak berkuasa tempatan campur tangan.

Jurucakap pekerja itu, Sirajul Haque Kazi berkata, mereka mendapatkan khidmat sebuah syarikat pembinaan di sini yang berjanji mendapatkan permit dan pekerjaan semasa kerajaan melancarkan Program 6P fasa kedua awal tahun ini.

“Kami mencapai persetujuan dengan ejen tersebut yang meminta bayaran RM3,500 seorang dan menyerahkan pasport kami kepadanya. Kami juga membayar beliau wang pendahuluan RM3,000 setiap seorang. Baru-baru ini ejen tersebut memanggil kami tetapi menaikkan bayaran kepada RM4,200 dan enggan menyerahkan pasport kami jika permintaannya tidak ditunaikan,” kata Sirajul kepada Bernama.

Dia ditemui semasa mengadakan demonstrasi aman bersama kira-kira 50 rakannya di hadapan rumah ejen itu di Lorong Wan Mat Saman di sini, semalam.

Katanya, kira-kira 200 rakannya yang tidak mahu menjadi buruan pihak berkuasa kerana boleh didakwa tinggal secara haram di negara ini terpaksa akur dengan permintaan ejen tersebut untuk mendapatkan kembali pasport dan permit kerja mereka.

Sirajul berkata, mereka tidak mampu membayar lebih kepada ejen tersebut kerana terpaksa mencari sendiri pekerjaan selain dibayar upah yang rendah kerana status (tidak ada pasport) yang boleh dieksploitasi oleh majikan.

“Saya merayu pihak berkuasa supaya campur tangan dan bantu kami menyelesaikan masalah ini. Kami datang secara sah untuk bekerja di negara ini antara lima dan 18 tahun. Ada yang telah berkahwin dengan penduduk tempatan dan mempunyai anak,” rayu Sirajul.

Katanya, dia dan beberapa rakan membuat laporan di Balai Polis Alor Setar 25 Julai lepas supaya kes mereka dapat disiasat pihak berkuasa.

Program 6P ialah satu mekanisme komprehensif melibatkan enam komponen yang dilaksanakan secara berperingkat iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran serta melibatkan pendaftaran biometrik setiap pendatang tanpa izin bagi mengelak berlakunya pemalsuan identiti dan dokumen - Bernama


Suami Pengasuh Merogol Dan Meliwat Kanak-Kanak 3 Tahun


KLANG: Seorang lelaki layak digelar binatang apabila gagal mengawal nafsunya biarpun di bulan Ramadan apabila merogol dan meliwat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dalam kejadian di Kampung Sungai Yadi, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa diasuh isteri suspek di rumah mereka sejak dua bulan lalu dan suspek yang berusia 31 tahun mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk itu ketika isterinya keluar ke kedai.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, kejadian itu hanya disedari bapa mangsa jam 8 malam pada hari kejadian selepas dimaklumkan isterinya bahawa mangsa mengadu sakit di kemaluannya.

“Mangsa menceritakan kepada bapanya suspek mengajaknya memasuki bilik air menyebabkan bapa mangsa mengesyaki anaknya menjadi mangsa rogol,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek melakukan perbuatan itu ketika isterinya keluar ke kedai dan ketika di dalam bilik air, mangsa didukung dalam keadaan bogel sebelum dirogol dan diliwat suspek beberapa kali.

Katanya, siasatan juga mendapati dalam tempoh mangsa dihantar ke situ suspek hanya melakukan perbuatan itu sekali.

Berikutan itu, suspek yang juga pemandu lori ditahan di rumahnya pada hari sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 dan Seksyen 377c Kanun Keseksaan dan suspek direman hingga 3 Ogos depan bagi membantu siasatan.


Dilarang Berkahwin Kerana Berkulit Hitam


WASHINGTON - Satu pasangan Mississippi berasa terkejut kerana seorang pastor di sebuah gereja menyatakan bahawa mereka tidak dapat berkahwin kerana berkulit hitam.

Pastor itu, Stan Weatherford memberitahu, saluran televisyen ABC kelmarin bahawa tiada upacara perkahwinan pasangan berkulit hitam di gereja berkenaan di Crystal Springs, Mississippi sejak ia dibuka pada 1883.

Weatherford yang berkulit putih berkata, beliau menawarkan pasangan tersebut berkahwin di gereja lain yang dikunjungi penduduk berkulit hitam.

Beberapa penduduk terkejut dengan tindakan pastor tersebut.


Suami isteri Reda Anak Tunggal Hadapi Masalah Kesihatan Kronik

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri dari Kampung Kubang Rotan, Kuala Kedah, dekat sini tetap reda walaupun kelahiran cahaya mata sulung yang dinanti selama 10 tahun mengalami masalah kesihatan kronik.

Bayi Noor Hashimuddin Kamaruddin, 40, dan isterinya, Nor Zainaliza Hashim, 36, yang dilahirkan sembilan bulan lepas tidak boleh menelan air liur kerana masalah paru-paru dan memerlukan rawatan khusus serta penjagaan rapi.

Menurut Noor Hashimuddin, isterinya terpaksa melahirkan Siti Nor Aliya Sofea melalui kaedah pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semasa kandungan berusia lapan bulan kerana khuatir anaknya boleh lemas akibat terbelit tali pusat di kaki.

Sejak dilahirkan, bayi itu menjalani rawatan khas di HSB ekoran masalah kesihatan serius dan hanya dibawa pulang ke rumah seorang saudaranya di perumahan Mergong Jaya Fasa 2, di sini empat hari lepas, katanya.

“Siti Nor Aliya perlu dikuarantin dalam bilik berhawa dingin. Sedikit pencemaran boleh menyebabkan kesihatannya terjejas kerana paru-parunya amat sensitif,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Mutholib Harun, semalam.

Selain itu Siti Nor Aliya Sofea diberi minum susu menerusi tiub dan bergantung kepada mesin penyedut kahak kerana tidak boleh menelan air liur, kata Noor Hashimuddin peniaga barangan telefon bimbit di bandar raya ini.

Beliau mengharapkan orang ramai dapat memberi sumbangan bagi membolehkannya menyediakan bilik khas dan menyediakan peralatan penjagaan untuk anaknya di rumah ibu mentuanya di Kampung Kubang Rotan yang mencecah kos RM10,000.

Sementara itu, Abdul Mutholib selaku Anggota Lembaga Pelawat HSB, berkata beliau akan merujuk kepada Unit Kerja Sosial HSB untuk melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga Noor Hashimuddin.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Noor Hashimuddin di talian 019-3010806 atau menerusi akaun Maybank beliau bernombor 152095601195 - Bernama


Lelaki Indonesia Diberkas Setelah Pecah Masuk Rumah

KUCHING: Polis memberkas seorang lelaki warganegara Indonesia setelah memecah masuk sebuah rumah di Kampung Goebilt, Jalan Bako dan cuba melarikan dua telefon bimbit bernilai RM700.

Menurut pemilik rumah, mereka sekeluarga yang terdahulu berkunjung ke rumah saudara, tiba di rumah sekitar jam 10.30 malam apabila mendapati pintu rumahnya terbuka.

Mengesyaki sesuatu tidak betul, pengawal keselamatan yang berusia 47 tahun itu masuk ke rumah untuk memeriksa keadaan.

Bagaimanapun, cubaan suspek untuk menyembunyikan diri di sebalik tirai tidak berjaya apabila kakinya kelihatan dan menjurus kepada penangkapannya.

Cubaan suspek berusia 18 tahun itu untuk melarikan diri juga gagal apabila berjaya ditahan oleh penduduk kampung.

Unit polis peronda kemudiannya dihubungi ke tempat kejadian dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk diambil keterangan, sebelum dihantar ke lokap.

Sementara itu, sepasang suami isteri di Jalan Arang mengalami kerugian ribuan ringgit apabila rumah mereka dipecah masuk semasa ketiadaan mereka. Insiden itu disedari oleh ipar mangsa sekitar jam 2 petang, semalam.

Antara barangan yang dicuri adalah sebuah Perodua Myvi bernombor pendaftaran QAF5101 berwarna emas, kunci kereta, beg, tiga utas jam tangan wanita berjenama dan kunci kereta BMW.

Laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya.


Bekerjasama Elak Penularan Kolera

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan bekerjasama erat dengan Jabatan Kesihatan Bahagian Miri dan agensi berkaitan bagi mengelakkan wabak kolera merebak di bandar raya ini berikutan penularan wabak itu di Bintulu.

Datuk Bandar Lawrence Lai berkata, walaupun setakat ini tiada kes diterima, namun pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kami akan bekerjasama dengan semua pihak terutama Jabatan Kesihatan Bahagian Miri untuk memastikan tempat awam seperti bazar Ramadan bersih,” katanya kelmarin sambil menambah pengusaha gerai Ramadan wajib mengambil vaksin Typhoid sebelum memulakan operasi mereka.

Sebelum ini, kaunselor semasa mesyuarat menimbulkan kebimbangan mengenai wabak itu di Bintulu yang dikhuatiri akan merebak dengan meluas di seluruh negeri termasuk bahagian Miri.

Sementara itu, Kaunselor Dr Philip Raja berkata, kolera yang merupakan wabak bawaan air itu mudah berjangkit dan penjagaan kebersihan merupakan cara paling berkesan untuk menghindarinya.

Baru-baru ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh mengesahkan penularan wabak kolera di Bintulu selepas Jabatan Kesihatan Negeri mengenal pasti kuman Vibrio Cholerae pada 14 Julai lalu.

Berdasarkan siasatan jabatan itu, wabak berkenaan bermula apabila tiga kumpulan regata dari Rumah Gawan, Kampung Jepak dan Kampung Hilir di Sebauh, Bintulu menggunakan air dari Sungai Kemena untuk membersihkan pinggan, ikan dan tangan mereka.

Bakteria dari sungai tersebut mencemari makanan dan tangan semasa regata dan kemudian berjangkit dari seorang ke seorang selain mencemari makanan dan minuman.


Tunang Maut, Hasrat Berkahwin Pada Hari Raya Terbantut

Siti Mukaramah menujukkan gambar Abdullah Zawawi

KOTA BHARU - Hasrat seorang gadis untuk melangsungkan perkahwinan bulan depan tidak kesampaian apabila tunangnya maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Maktab Perguruan, Pengkalan Chepa di sini semalam.

Siti Mukaramah Lajim, 19, dari Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini dijadual melangsungkan perkahwinan dengan Abdullah Zawawi Abdullah Fauzi, 25, pada hari raya kedua nanti.

Kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Viva dipandu Abdullah Zawawi yang merupakan seorang kerani bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Pusat Boling Pasar Raya Billion di sini pada pukul 9.30 pagi.

Siti Mukaramah yang membantu ibu bapanya menjual ikan di Pasar Gok Kapor, dekat sini berkata, kali terakhir dia menemui tunangnya kelmarin di rumahnya bagi menyerahkan borang perkahwinan untuk diproses pihak berkuasa agama.

Katanya, semua persediaan untuk majlis perkahwinan itu telah siap diatur dan kad jemputan telah diedar.

"Apa boleh buat, saya reda dengan pemergiannya," cerita Siti Mukaramah.


Mati Sebelum Berbuka Puasa

Tinggal Kenangan... Syaleza bersama anak lelakinya yang berusia dua tahun

SUNGAI BULOH – Seorang wanita yang mengurungkan diri kerana merajuk selepas bertengkar dengan suaminya ditemui mati dalam keadaan tergantung pada kipas siling di dalam sebuah bilik di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai di sini kelmarin.

Mayat Eksekutif Pentadbiran Berita stesen televisyen TV9, Syaleza Jaffar, 31, ditemui oleh suaminya di dalam bilik tersebut ketika beliau memanggilnya untuk bersiap-siap menjelang waktu berbuka puasa pada pukul 7 petang.

Difahamkan, suami mangsa, Norazman Bashah, 30-an, hanya memberitahu mengenai kematian isterinya kepada abang mangsa pada pukul 9.30 malam. Ketika kejadian, anak lelaki pasangan tersebut yang berusia dua tahun turut berada di dalam rumah.

Jurucakap polis memberitahu, polis dan pasukan bantuan perubatan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 10.30 malam. Bagaimanapun, katanya, wanita itu telah disahkan meninggal dunia ketika ditemui.

“Pada mulanya kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, selepas bedah siasat, doktor mengesahkan terdapat beberapa kesan lebam pada tubuh dan kesan jerut pada leher wanita tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.


Cemas Rumah Dimasuki Perompak Bersenjata

KUCHING: Sepasang suami isteri warga emas menempuhi detik mencemaskan selepas rumah mereka dimasuki perompak bersenjatakan pisau awal malam Jumaat lalu.

Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 76 dan 73 tahun semasa kejadian dikatakan bersendirian di rumah mereka yang terletak berhampiran Pejabat Unit Peronda Polis (MPV) Kuching sekitar jam 8 malam.

Menurut sumber, dua lelaki yang tidak dikenali telah memasuki rumah keluarganya itu dengan merosakkan pintu hadapan menggunakan alat tajam.

“Si suami yang baharu keluar dari bilik air semasa kejadian terkejut selepas terlihat dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau berada di ruang tamu rumahnya.

“Tambah memeranjatkan si suami apabila seorang daripada lelaki tersebut dilihat mengacukan pisau ke arah isterinya dan meminta mereka mengikut arahan daripada mereka,” Katanya

Tambahnya, seorang daripada lelaki tersebut kemudian mula menyelongkar rumah tersebut dan seorang lagi menjaga pergerakan mangsa.

Selepas kira-kira 20 minit insiden tersebut, kedua-dua perompak tersebut segera melarikan diri dari tempat kejadian menggunakan sebuah kereta di mana kelihatan seorang lagi lelaki sedang menunggu mereka di dalam kereta.

Selepas memeriksa, mangsa mendapati suspek telah melarikan wang tunai RM2,000, 400 matawang China dan 300 matawang Singapura.

Menurut anak mangsa yang tiba di tempat kejadian sejurus dimaklumkan oleh bapanya mengenai insiden tersebut, mereka tinggal di situ sejak tahun 1971 dan ini adalah kejadian pertama yang menimpa keluarga mereka.


Buta Akibat Letupan Mercun Bola

Mohd. Sohibollah 

ALOR SETAR – Seorang pemuda bersama anak jirannya yang berusia lapan tahun terpaksa dirawat di hospital malam kelmarin selepas sumbu mercun yang dipasang jatuh ke dalam bungkusan 40 biji mercun bola sebelum berlaku letupan kuat di Kampung Kuala Kangkong di sini.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam kelmarin, pekerja syarikat percetakan, Mohd. Sohibollah Saad, 27, buta mata kiri akibat letupan tersebut sementara anak jirannya, Tuah Mohd. Hafiz Mohd. Razli cedera di muka dan beberapa anggota badan. Kejadian tersebut berlaku di hadapan rumah Mohd. Sohibollah di Kampung Kuala Kangkong.

Kedua-dua mangsa yang dibawa ke sebuah klinik berdekatan kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dengan ambulans berikutan kecederaan mereka serius.

Tuah Mohd. Hafiz

Mohd. Sohibollah terpaksa menjalani pembedahan mata kiri dan kini dilaporkan stabil. Bagi Tuah pula, nasib kanak-kanak itu lebih baik apabila dia dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.

Mohd. Sohibollah menceritakan, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun bola di depan rumahnya selepas membelinya di bazar Ramadan di Tandop di sini.

“Pada mulanya saya bermain seorang diri tetapi anak jiran (Tuah) datang dan minta nyalakan api pada satu mercun bola yang dipegangnya.

Mercun Bola

“Ketika sumbu mercun dicucuh tiba-tiba ada api terpercik dan terjatuh ke dalam bungkusan 40 biji mercun bola sebelum meletup serentak,” katanya semasa ditemui di HSB di sini. Sebaik letupan berlaku, Mohd. Sohibollah berasa sakit pada mata kiri dan penglihatannya menjadi kabur.

“Saya nampak anak jiran itu tercampak beberapa meter dan pengsan. Saya meminta pertolongan jiran untuk menghantar kami ke klinik,” ujarnya. Katanya, doktor yang merawatnya sudah membayangkan dia mungkin hilang penglihatan mata kiri.

Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie memberitahu, Mohd. Sohibollah dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan mata kiri serta perlu menjalani rawatan lanjut di wad mata HSB.

“Tuah pula cedera pada mata, muka dan paha kanan dan hanya mendapatkan rawatan pesakit luar,” tambah beliau.


Remaja Cedera Diserang Oleh Sekumpulan Lelaki

Polis membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan

KUCHING: Seorang remaja menerima beberapa jahitan di kepala setelah ditetak menggunakan objek tajam oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, malam kelmarin.

Dalam insiden kira-kira jam 10.05 minit malam itu, mangsa yang berusia 20 tahun dari Segedup bersama rakan-rakannya sedang menuju ke sebuah pusat beli-belah apabila empat lelaki tiba-tiba memberhentikan motosikal dan meluru ke arah mereka.

Menurut rakannya, mereka terpaksa melarikan diri tanpa sempat membantu mangsa memandangkan salah seorang penyerang membawa objek tajam, dipercayai parang. Penyerang yang tidak dikenali itu kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian.

Mereka kemudiannya dimaklumkan saksi yang turut berada di tempat kejadian bahawa kumpulan tersebut berkemungkinan besar tersalah orang memandangkan seorang lelaki berada tidak jauh di belakang mereka segera melarikan diri setelah ternampak kumpulan terbabit.

Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kiri kepala dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh polis pelancong Tebingan Kuching sementara rakan-rakannya yang lain membuat laporan polis untuk tindakan susulan.

Dalam kejadian berasingan, seorang pelajar kolej di Muara Tabuan berusia 21 tahun lebam dan luka di beberapa anggota badan setelah diserang bekas teman lelakinya.

Lelaki itu dikatakan tidak berpuas hati apabila gadis dari Saratok itu memutuskan hubungan mereka lalu bertindak menyerbu asrama mangsa sekitar jam 7 petang.

Suspek yang disyaki mabuk terdahulu membelasah rakan serumah mangsa, sebelum menyerang dengan menendang dan menumbuk mangsa di bilik tidurnya.

Mangsa ditemani rakannya kemudian membuat laporan polis sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).


Tujuh Lelaki Ditangkap Ketika Asyik Berjudi

KUCHING: Tujuh lelaki tempatan yang asyik bermain judi jenis Hoo Hey How di sebuah rumah di Kampung Kudei, di sini, ditangkap dalam serbuan Ops Dadu, awal pagi semalam.

Turut dirampas dalam serbuan sekitar jam 12.55 pagi itu adalah sebuah tin aluminium, tiga biji dadu, sehelai kain serta wang tunai atas meja RM116.

Tangkapan suspek berusia dalam lingkungan 33 tahun hingga 53 tahun dan rampasan itu dibuat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 Seksyen 6(1).

Serbuan itu dibuat oleh tujuh anggota polis Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.


Warga Nepal Maut Dubur Ditusuk Hos Mesin Angin

Kilang jubin di Seremban tempat Sanjaya mati akibat ditusuk hos angin

SEREMBAN: Seorang pekerja kilang warga Nepal maut akibat kecederaan parah di bahagian usus selepas duburya ditusuk dengan hos mesin angin dalam satu pergaduhan di sebuah kilang di Jalan Seremban-Jelebu, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamarudin ketika dihubungi hari ini berkata, dalam kejadian kira-kira 7.10 pagi itu, mangsa Sanjaya Yadav, 25, dipercayai bergaduh dengan seorang rakan senegaranya yang bekerja di kilang sama.

Katanya, dalam pergelutan itu suspek berusia 33 tahun bertindak mengambil hos mesin angin dan terus menusuk ke dalam dubur mangsa.

"Akibatnya mangsa menjerit kesakitan sebelum kemudiannya pengsan dan suspek yang panik dengan keadaan itu telah memaklumkan kepada penyelia kilang berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, penyelia kilang tersebut kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Tuanku Ja”afar di sini untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

"Siasatan awal mendapati mangsa mati akibat kecederaan parah di bahagian usus akibat tekanan angin dari mesin tersebut,” katanya.

Saiful Azly berkata, polis telah menahan rakan mangsa untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan - BERNAMA


Empat Maut Kemalangan Ngeri

Keadaan kereta Proton Wira yang remuk hingga mengakibatkan empat maut 

KUANTAN – Hasrat lima sekawan untuk pulang ke kampung di Dungun, Terengganu dari ibu negara berkecai apabila empat daripadanya maut manakala seorang lagi kritikal apabila kereta jenis Proton Wira yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ngeri kelmarin.

Kejadian di Kilometer 18, Jalan Pintasan Kuantan di sini pada pukul 11.15 malam itu mengakibatkan seorang remaja lembam, Ahmad Nazrin Hafizi Abd. Latif, 19; sepupunya, Muhd. Taufik Abd. Rahman, 20; serta dua lagi rakan mereka, Mohd. Shahidan Shaari, 26, dan Mohd. Shahafiz Othman, 22, maut. Kesemua mereka bekerja sendiri.

Kemalangan yang berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Dungun itu turut mengakibatkan seorang lagi rakan mereka, Wan Samsiah Wan Ghani, 16, kritikal.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang mangsa naiki merempuh belakang sebuah lori membawa muatan bijih besi yang keluar dari satu simpang.

“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Honda yang berada di belakang merempuh pula kereta mangsa. Bagaimanapun, pemandu lori dan kereta Honda tersebut tidak cedera.

“Tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala Ahmad Nazrin meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada pukul 6 pagi tadi (semalam) manakala seorang lagi kritikal akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya di sini semalam.


Warga Emas Meninggal Dunia Selepas Pengsan

SIBU: Seorang warga emas berusia lingkungan 50-an meninggal dunia selepas pengsan pagi semalam. Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7.30 pagi, apabila mangsa tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum jatuh pengsan.

Semasa kejadian, mangsa yang juga seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini sedang bertugas.

Dua remaja lelaki yang kebetulan ternampak kejadian itu segera meminta pertolongan selain memaklumkan insiden kepada polis.

Anggota paramedik dari Hospital Sibu yang turut dimaklumkan mengenai kejadian segera bergegas ke tempat kejadian. Bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, mangsa disahkan telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.


Lelaki Kurang Siuman Ganggu Pelajar

SWEE CHIN (dua dari kiri) dan Wilson Lau (kiri) bersama anak-anaknya

KUALA LUMPUR – Ibu bapa bagi pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Abdullah, Jalan Jambu, Jinjang Selatan di sini meminta pihak berkuasa segera membuat siasatan dan memberkas seorang lelaki kurang siuman yang dipercayai berkeliaran di kawasan sekolah berkenaan sejak dua tahun yang lalu.

Menurut ibu bapa pelajar sekolah berkenaan, lelaki tersebut akan mengekori pelajar perempuan yang berjalan bersendirian hingga ke satu tempat kemudian ditanya sama ada pelajar tersebut mahu menerima wang yang diberikannya.

Jika soalan tersebut tidak diendahkan pelajar berkenaan maka lelaki tersebut akan membuka seluar dan menunjukkan bahagian alat sulitnya.

Seorang ibu kepada pelajar tingkatan empat sekolah tersebut, Moo Swee Chin, 41, berkata, anak perempuannya merupakan salah satu mangsa dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, ia berlaku kira-kira pukul 2 petang pada bulan Mei lalu yang mana anaknya terserempak dengan lelaki berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Anak saya diekori seorang lelaki berumur kira-kira 50-an dengan menunggang sebuah motosikal berwarna hitam dan merah selepas keluar dari kawasan sekolah.

“Ketika itu anak saya sangat takut namun terpaksa meneruskan perjalanan kerana tiada orang lain yang berada di kawasan tersebut, tiba-tiba lelaki terbabit memberhentikan motor lalu bertanya sama ada anak saya mahu menerima duit RM100 yang diajukannya.


Galak Kanak-Kanak Merokok?

Pengaruh Negatif : Antara Smoke Candy yang mirip rokok sebenar.

SIBU: Ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sibuk berkempen untuk mengurangkan jumlah penghisap rokok di negara ini, ada pula sesetengah pihak yang cuba menggalakkan aktiviti yang kurang sihat ini di peringkat kanak-kanak.

Tinjauan ke beberapa kedai runcit dan kedai serbaneka di sini semalam mendapati hampir kesemua premis yang dilawati ada menjual Smoke Candy atau gula-gula rokok untuk kanak-kanak.

Gula-gula yang dijenamakan dengan jenama-jenama rokok yang terkenal seperti Marlboro, Kent, Camel dan rokok 888 ini disusun bersama-sama produk makanan lain untuk kanak-kanak.

Untuk menarik minat orang membeli gula-gula ini, Smoke Candy ini dibungkus menyerupai corak dan reka bentuk rokok sebenar yang berada di pasaran.

Dimuatkan lima batang ‘rokok’ dengan harga serendah 30 sen setiap kotak memang tidak mustahil untuk gula-gula jenis ini menjadi kegilaan golongan kanak-kanak yang mahu berketerampilan seperti orang dewasa.

Lebih membimbangkan keadaan, Smoke Candy dan beberapa lagi gula-gula berjenama terkenal yang dipercayai diimport dari negara China tidak mempunyai sebarang label nutrisi termasuk kelulusan daripada mana-mana pertubuhan berdaftar di Malaysia.

Status halalnya pun turut sama diragui kerana tidak memaparkan logo halal dari negara pembuat apatah lagi logo halal Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM).

Keadaan ini akan mewujudkan dilema kepada pengguna-pengguna Islam yang sangat menitikberatkan aspek kebersihan dan kesucian dalam penyediaan makanan.

Seorang pekedai yang menjual Smoke Candy yang mahu dikenali sebagai Chiew mengakui produk terbabit memang buatan China dan beliau menyatakan menerima gula-gula daripada pembekal tempatan.

“Pembekal akan menghantar barang-barang ke kedai saya dalam kuantiti yang banyak termasuk gula-gula ini dan kebanyakan barangan yang dihantar adalah dibuat di China,” katanya.

Katanya lagi, fenomena ini berikutan harga barangan dari China yang sangat rendah berbanding produk tempatan selain boleh memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada pembekal dan peniaga.

Di samping itu, Chiew yang sudah 12 tahun membuka kedainya turut mendedahkan bahawa Smoke Candy mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggannya terutama golongan kanak-kanak.

Menyentuh mengenai keraguan halal pada Smoke Candy, Chiew memberitahu:“Pada pendapat saya, hari ini hampir 80 peratus produk halal di Malaysia adalah buatan China, kita tidak dapat lari daripada hakikat itu,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pengguna, Hidayati Mansor, 25, ketika ditemui memberitahu Smoke Candy sudah ada di pasaran sejak sekian lama.

“Sewaktu saya bersekolah dulu di kampung saya, memang banyak jual Smoke Candy dengan jenama seperti Dunhill, Marlboro dan Rave,” kata Hidayati yang berasal dari pekan Bintangor.

Menurutnya, kanak-kanak terutama pelajar-pelajar sekolah sewaktu dia bersekolah dulu memang gemar membeli produk tersebut disebabkan ingin mengajuk tabiat orang dewasa yang menghisap rokok.

“Mula-mula memanglah untuk berseronok, akhirnya kanak-kanak akan cuba pula rokok yang sebenar,” luahnya.


Asmah Derita Penyakit Kulit Misteri

Penyakit kulit misteri yang ditanggung Asmah 

KUALA LUMPUR – Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitulah penderitaan ditanggung seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Asmah Mian, 51, ekoran penyakit kulit misteri dialaminya sejak dua tahun lalu.

Penyakit tersebut mula disedarinya di bahagian kiri dahi yang ditumbuhi bintik-bintik seperti jerawat dan ia semakin membesar sehingga kini dia hanya mampu terlantar kesakitan.

Menurut anak keduanya, Nur Haslindawati Rosli, 25, sebelum itu ibunya tidak pernah mengalami sebarang penyakit malah sentiasa aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

“Mulanya bintik-bintik itu tumbuh biasa sahaja tetapi lama kelamaan ia membesar sebesar duit 50 sen. Kemudian, dalam tempoh dua minggu, seluruh tubuh mula timbul bintik-bintik merah seperti penyakit campak. Sejak itu, keadaan mak saya semakin serius,” katanya ketika ditemui di Flat Projek Perumahan Rakyat Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini semalam.

Nur Haslindawati menerangkan, ibunya pernah dirawat di Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi pihak hopsital menemui jalan buntu kerana doktor turut tidak dapat mengenal pasti penyakit sebenar yang dialami.

“Doktor pernah ambil sampel kulit emak saya tetapi tiada keputusan diperoleh daripadanya, sejak itu, emak hanya bergantung kepada ubat tahan sakit dan krim,” jelasnya.


Juruterbang Singapura Maut Pesawat Terhempas





PONTIAN: Seorang juruterbang warga Singapura terbunuh selepas pesawat ringan yang dipandunya terhempas di sebuah kebun sawit di Parit Puasa-Parit Ali, Kampung Dalam, Ayer Baloi di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, DSP Tan Moh Chuan berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian pada 2.10 petang.

Mangsa dikenali sebagai Samuel Lim Shi Min, 24, dan mayatnya dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat. Pesawat yang terhempas adalah pesawat ringan satu tempat duduk.

Moh Chuan berkata, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam untuk siasatan lanjut.


Ahad, 29 Julai 2012

Rajuk Anak Setan

KUALA TERENGGANU: Merajuk kerana si bapa tidak membenarkannya menggunakan motosikal, seorang pelajar tingkatan dua tergamak berpakat dengan rakan sebayanya kononnya diculik sebelum meminta wang tebusan RM8,000 daripada bapanya untuk membeli motosikal.

Penipuan remaja berusia 14 tahun itu bersama rakannya terbongkar apabila bapanya berusia 42 tahun dan bekerja sebagai tukang besi terserempak dengan anaknya berjalan di depan sebuah pasar raya di Kuala Ibai, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, remaja itu meninggalkan rumah mereka menaiki basikal di Kampung Machang Lada, Paya Resak, Bukit Payong, Marang selepas merajuk dengan bapanya yang tidak membenarkan dia menggunakan motosikal, jam 3 petang Selasa lalu.

Menurutnya, bapa mangsa menyangka anaknya akan pulang sebelum menerima satu panggilan seorang menggunakan dialek Terengganu pada keesokan harinya mendakwa anaknya di Bukit Diman, Marang dan meminta wang RM8,000.

“Bapa mangsa membuat laporan pada hari sama jam 11.20 malam dan sekali lagi menerima panggilan jam 7.50 malam pada Khamis lalu yang mengarahkannya meletakkan duit tebusan itu di belakang sebuah kedai 24 jam di Kuala Ibai, di sini.

“Kerana tidak menerima panggilan seterusnya, si bapa yang bimbang keadaan anaknya cuba mencari sebelum ternampak remaja itu berjalan dengan seorang rakan di depan sebuah pasar raya di Kuala Ibai, di sini, jam 5 pagi kelmarin, lalu memaklumkan kejadian itu kepada polis.

“Hasil soal siasat, remaja itu mengaku merancang penculikan bersama rakannya yang tidak lagi bersekolah dan meminta wang tebusan itu untuk membeli motosikal sebelum mereka ditahan di rumah masing-masing di Kampung Machang Lada, Paya Resak, Bukit Payong, Marang dan Taman Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai pada hari sama, jam 1 tengah hari.

“Sepanjang kejadian itu, remaja itu memaklumkan tinggal di rumah rakannya di Taman Perpindahan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini.

“Kedua-dua remaja kini direman sehingga Selasa depan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kepada seseorang ketakutan bencana dengan tujuan melakukan pemerasan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam - Metro