Isnin, 21 Januari 2013

Sharnaaz Akui Kongkong Shila

Sharnaaz dan Shila

Banyak cerita kurang enak yang dikaitkan dengan bintang drama bersiri Bukan Bidadari ini, Sharnaaz Ahmad atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad ini.

Ditanya tentang satu lagi gosip panas yang mewarnai hubungannya dengan Shila iaitu soal dia mengongkong penyanyi lagu Patah Seribu itu, Sharnaaz tidak melatah. Dia sebaliknya dia sudi memberikan jawapan dengan penuh profesional.

"Memang saya mengongkong Shila kerana dia bakal menjadi isteri saya dan kami amat serius dengan hubungan yang dijalinkan ini. Jika dia hanya teman wanita biasa saya, mungkin saya tidak perlu peduli dengan apa yang dia lakukan tetapi dia adalah bakal isteri saya," tegasnya.

Tidak mahu lagi fokus kepada percintaan sahaja pada tahun ini, Sharnaaz berikrar untuk mengurangkan kontroversi dan mahu menumpukan terhadap rezeki lakonan yang semakin mencanak.






Berlindung Di Bawah Jeti

Tammy Holmes berlindung di bawah sebuah jeti bersama cucu-cucunya

HOBART - Sebuah keluarga di Australia terselamat daripada maut dengan berlindung di bawah sebuah jeti apabila kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran hutan, lapor akhbar MailOnline semalam

Bencana tersebut yang berlaku di Dunalley, Pulau Tasmania baru-baru ini menyebabkan sekitar 90 kediaman di bandar itu musnah.

Dalam insiden itu pasangan suami isteri Tim dan Tammy Holmes terpaksa berlindung di bawah jeti tersebut bersama lima cucu mereka terpaksa berlindung di bawah jeti berkenaan selama lebih dua jam.

Ketika api bertambah marak dan bekalan oksigen semakin berkurangan akibat asap tebal, mereka masih berpaut pada struktur kayu itu sambil memeluk satu sama lain dengan harapan dapat keluar daripada situasi berbahaya itu.

Keluarga tersebut kemudian bergilir-gilir memadamkan api yang mula membakar jeti tersebut dengan mencurahkan air laut.

Selepas berlindung selama dua setengah jam, Tim akhirnya berjaya menemui sebuah perahu yang digunakan oleh mereka untuk keluar dari zon berbahaya itu.

"Kami menerima mesej menyatakan ibu dan bapa serta anak-anak saya dikelilingi api yang marak. Ketika itu, saya dan suami pasrah bahawa kami akan kehilangan mereka," kata anak perempuan Tim, Bonnie Walker dalam temu bual bersama rangkaian televisyen Australia, ABC.

Menurutnya, dia dan keluarganya bersyukur kepada Tuhan kerana mereka terselamat dalam kebakaran hutan itu yang berlaku ketika Australia dilanda suhu panas ekstrem. - Agensi




Singa Afrika Diancam Kepupusan


ABUJA, Nigeria - Singa Afrika Barat kini berdepan kepupusan dengan jumlah haiwan itu amat rendah apabila cuma terdapat 34 ekor singa berkenaan di Nigeria, lapor akhbar MailOnline kelmarin.

Menurut pertubuhan bantuan singa, Lion Aid, kini cuma terdapat 645 ekor singa liar di bahagian barat dan tengah benua Afrika.

Tambah pertubuhan tersebut, binatang buas itu tidak lagi ditemui di 25 negara Afrika dengan cuma terdapat sekitar 10 ekor singa di beberapa negara lain di benua tersebut.

Kawanan singa masih dapat ditemui di Burkina Faso, Niger, Republik Afrika Tengah, Cameroon dan Chad tetapi haiwan itu pupus di beberapa negara lain seperti Ghana, Ivory Coast dan Togo.

Keadaan itu berbeza berbanding 30 tahun lalu apabila terdapat 200,000 ekor singa di Afrika dengan kini hanya tinggal kurang daripada 15,000 ekor haiwan tersebu.

Menurut Lion Aid, antara faktor yang menyebabkan kepupusan singa Afrika Barat termasuk kehilangan habitat, pemburuan haram dan konflik peperangan. - Agensi


Sabtu, 19 Januari 2013

Ribut Debu Merah




SYDNEY - Ribut debu merah berlaku di laut dekat pantai Australia Barat pada Rabu lepas. Debu itu ditiup angin kencang dari Lautan Hindi semasa ia bergerak dekat pantai bandar Onslow, Australia Barat.

Seorang pekerja sebuah kapal tunda, Brett Martin sempat merakamkan gambar-gambar ribut debu merah itu yang bergerak 25 batu nautika dari pantai bandar tersebut. - Agensi


Britney Dan Trawick Berpisah?


PENYANYI Britney Spears dan pasangannya, Jason Trawick cukup lama menjalinkan hubungan, bahkan mereka juga sudah mengikat tali pertunangan. Begitupun, muncul khabar angin mengatakan penyanyi Toxic itu sudah berpisah dengan Trawick.

Seperti yang dilaporkan oleh Daily Mail, Britney dilihat bersiar-siar tanpa memakai cincin pertunangan berlian tiga karat di jarinya.

Ada sumber mengatakan bahawa Britney dan Jason sudah berpisah. Semuanya gara-gara Britney menolak untuk mempunyai anak daripada benih Jason. Ibu kepada Jayden dan Preston itu juga dilaporkan menyambut tahun baru 2013 tanpa Jason.

Radaronline pula melaporkan Britney dan Jason tidak lagi tidur bersama dalam tempoh masa yang lama.

"Britney dan Jason tidak lagi tidur bersama. Semuanya berlaku disebabkan Jason inginkan anak bersama Britney.

"Jason ingin mempunyai zuriat sendiri walaupun dia sudah bahagia menjadi ayah tiri kepada dua orang anak Britney," ungkap sumber.


Rabu, 16 Januari 2013

Wanita Serah RM23,250 Risau Gambar Bogel Disiar

Gambar Hiasan

KUCHING: Risau gambar bogelnya akan disiarkan di sebuah akhbar tempatan, seorang wanita sanggup membayar RM23,250 kepada seorang lelaki yang mendakwa dirinya peguam.

Menurut sumber, kejadian menimpa seorang wanita ber-usia 40 tahun selepas dia berkenalan dengan seorang lelaki melalui laman sosial Facebook yang mengugut akan menyiarkan gambar bogel mangsa di sebuah akhbar tempatan.

Risau akan perkara tersebut, mangsa kemudian cuba mencari penyelesaian dan akhirnya bertemu dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai peguam dan mampu menyelesaikan masalah itu.

Suspek (peguam) kemudian meminta mangsa memasukkan sejumlah wang kepadanya untuk proses pengurusan kes tersebut dan perkara itu berterusan sehingga mangsa telah memasukkan keseluruhan wang sebanyak RM23,250 ke dalam akaun suspek.

Selepas beberapa hari, mangsa kemudian memberitahu, dia telah bertemu dengan seorang rakan yang bekerja di akhbar tempatan tersebut dan memberitahu bahawa pihaknya tidak akan menyiarkan gambar sedemikian kerana ia menyalahi etika yang ditetapkan.

Mangsa kemudian mengesyaki dirinya ditipu oleh suspek yang mendakwa dirinya sebagai peguam itu dan terus membuat laporan polis berhubung kejadian.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.


Nikotin e-rokok Di Sarawak Di Tahap Yang Dibenarkan


KUCHING: Kandungan nikotin dalam rokok elektronik (e-rokok) atau ‘e-cigarette’ di pasaran Sarawak masih di tahap yang dibenarkan dan tiada cecair nikotin berkepekatan tinggi.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata, ia merupakan kajian yang dilakukan Jabatan Kesihatan setakat ini berkenaan e-rokok di pasaran Sarawak yang hanya mengandungi bahan tidak berbahaya terhadap kesihatan.

“Setakat ini di Sarawak, kami mendapati (e-rokok) yang ada di pasaran tidak mengandungi nikotin berkepekatan tinggi. Yang ada hanya bahan-bahan yang tidak membahayakan kesihatan.

“Maka itu, tidak sesuai bagi kita untuk mengambil tindakan menghalang penggunaan atau penjualan e-rokok berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menafikan kemungkinan sudah ada e-rokok yang dijual di pasaran sekarang turut menggunakan cecair nikotin berkepekatan tinggi.

“Kemungkinan sekarang e-rokok yang ada di pasaran sudah menggunakan cecair nikotin berkepekatan tinggi tetapi setakat pemeriksaan kita sebelum ini, memang mendapati ia tidak melebihi kepekatan yang dibenarkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar nasional Isnin lepas yang dipetik sebagai berkata, Kementerian Kesihatan memantau rapi penjualan rokok elektronik atau ‘e-cigarette’ di pasaran bagi memastikan ia tidak menjejaskan kesihatan penggunanya.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian telah mengesan terdapat rokok elektronik yang mempunyai cecair nikotin dalam pelbagai kepekatan di pasaran.

Tambahnya, pada ketika ini tiada kawalan berhubung penjualannya di negara ini kerana rokok elektronik tanpa cecair nikotin diguna untuk mengurangkan ketagihan perokok.

“Justeru, kita perlu meneliti kegunaan ‘e-cigarette’,” katanya.


Selasa, 15 Januari 2013

IPad1 64gb 3G Wifi Secondhand Untuk Dijual




IPad1 64gb 3G Wifi Secondhand Untuk Dijual. Sesiapa yang berminat, sila tinggalkan nama dan no. telefon untuk di hubungi. Email miri4ever.net@gmail.com untuk sebarang pertanyaan...

Harga : RM900


Harga boleh di runding...




Misteri Lelaki Hilang 10 Hari

Gambar Hiasan

BELURAN - Setelah hilang 10 hari ketika mencari lokan di Sungai Mandagu di Bukit Besi dekat sini, seorang lelaki ditemui dalam keadaan lesu pada Khamis lepas.

Ketua Polis Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Julkasim Kairun, 32, yang hilang sejak 1 Januari lepas, dijumpai pekerja di sebuah ladang kelapa sawit.

Julkasim masih menerima rawatan di Hospital Beluran dan dilaporkan dalam keadaan stabil, katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditemui di Hospital Beluran, Julkasim berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami luka-luka ringan di kaki akibat terkena ranting kayu dan duri dalam hutan.

Menceritakan pengalaman sesat selama 10 hari, dia berkata terpaksa minum air sungai dan makan lokan mentah yang diperoleh dari sungai untuk terus hidup.

Katanya pada 1 Januari lepas, dia keluar bersama abang dan adik ipar mencari lokan di sungai itu sebelum terpisah daripada mereka.

"Saya dengar ada bisikan menyuruh saya pulang tetapi saya tidak mengendahkan bisikan tersebut dan meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian, keadaan menjadi gelap dan saya dapati saya tinggal sendirian.

"Keesokan harinya, saya tidak tahu berada di mana, saya berjalan dan terus berjalan mencari jalan keluar namun gagal. Saya tidak makan sehingga hari kelima di dalam hutan dan hanya minum air sungai. Selepas lima hari, saya tidak mampu lagi menahan lapar lalu terpaksa makan lokan mentah,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya ketika sesat di dalam hutan dia nampak orang ramai dari jarak dekat sedang mencarinya lalu cuba memanggil mereka tetapi mereka tidak melihatnya.

"Saya meneruskan perjalanan dengan menyusuri tebing sungai sehinggalah saya sampai di sebuah ladang kelapa sawit. Di sana, saya menemui pekerja ladang dan pengurus ladang kemudian menghubungi pihak polis untuk melaporkan penemuan saya,” katanya.

Isterinya, Normadiah Sharif Yassin, 23, yang sedang sarat mengandung tujuh bulan anak pertama berkata nalurinya kuat mengatakan bahawa suaminya masih selamat.

Katanya ketika dia menerima khabar buruk daripada abangnya bahawa suaminya hilang, dia seakan hilang punca, namun dia tidak berputus asa dan berdoa sehinggalah suaminya itu ditemui. - BERNAMA


Kate Middleton Dijangka Bersalin Jun


Putera William dan isterinya, Kate Middleton

LONDON 14 Jan – Isteri Putera William, Catherine atau Kate Middleton, dijangka akan bersalin bulan Jun depan dan kini berada dalam keadaan yang sihat, lapor pejabat Istana St. James.

Duchess of Cambridge itu sebelum ini ditahan di Hospital King Edward VII, kerana mengalami alahan teruk.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak istana hari ini memberitahu, Middleton yang berkahwin dengan Putera William pada April 2011 kini berada dalam keadaan sihat dan muncul di khalayak ramai minggu lalu. – AGENSI


Bot karam: 41 PATI Selamat, 7 Belum Ditemui

Mangsa-mangsa bot karam yang berjaya diselamatkan

KOTA TINGGI: Empat puluh satu warga Indonesia dipercayai pendatang asing tanpa izin selamat manakala tujuh termasuk tekong dan kru masih hilang apabila bot pancung yang mereka naiki karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, di sini semalam.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata kesemua mereka terdiri daripada 35 lelaki dan empat wanita berumur 20 hingga 40 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berumur setahun dan dua tahun.

“Salah seorang daripada wanita itu sedang mengandung lapan bulan dan kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 300 meter dari pantai Teluk Ramunia ketika bot pancung tersebut baru memulakan perjalanan ke Batam, Indonesia,” katanya kepada pemberita, di Jeti Marina Tanjung Pengelih, di sini semalam.

Mustafa Kamal berkata, seorang wanita mangsa bot karam terbabit sempat menghubungi Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999, pada jam 5.20 pagi sebelum pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kemudian berjaya menyelamatkan 18 mangsa termasuk dua kanak-kanak, pasukan polis marin menyelamatkan 19 mangsa manakala empat lagi mangsa ditemui pasukan polis selepas mereka terdampar di tepi pantai.

Katanya, hasil siasatan dipercayai kejadian berlaku disebabkan keadaan laut yang bergelora, muatan bot berlebihan selain kesemua mangsa juga tidak memakai jaket keselamatan.

“Mungkin juga bot fiber yang dinaiki kebanyakan mangsa yang berasal dari Lombok, Indonesia itu bocor, bagaimanapun, kita akan menyiasat secara terperinci selepas bot berkenaan dibawa ke tepi pantai,” katanya.

Mustafa Kamal berkata, kesemua mangsa yang diselamatkan APMM dibawa ke Jeti Marina Tanjung Pengelih manakala mangsa yang diselamatkan polis marin dibawa ke jeti nelayan Sungai Rengit, sebelum kesemua mereka dibawa ke pejabat APMM Tanjung Sedili, Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata sehubungan itu, gerakan mencari dan menyelamat tujuh lagi mangsa yang hilang sedang diteruskan anggota APMM, polis marin dan bomba di sekitar kawasan kejadian.

Sementara itu, wanita yang menghubungi MERS 999 itu, yang hanya dikenali sebagai Silahwati, 30, ketika ditemui berkata dia sempat melihat bot itu dimasuki air sebelum terbalik.

Silahwati yang bekerja sebagai tukang cuci di Johor Baharu berkata kebanyakan mangsa berpaut pada bot sebelum dia menghubungi MERS 999 menggunakan telefon bimbit salah seorang mangsa lain.

“Keadaan ketika itu sangat gelap dan ombak yang tinggi. Syukur dalam keadaan kelam kabut itu saya dan mangsa lain sempat berpaut pada bot,” katanya. - Bernama

Coretan : Tak dapat nak bayangkan, macam mana lah keadaan dua kanak2 yang baru berumur setahun dan dua tahun itu semasa bot yang mereka naiki karam. Kesiannyer...


Budak Mati, 400 Cedera Di Filipina

Seorang lelaki bermain mercun sempena sambutan tahun baru di Manila

MANILA - Tembakan bagi menyambut tahun baru menyebabkan seorang budak berusia empat tahun terbunuh dan lebih 400 lagi cedera disebabkan permainan mercun bagi menyambut tahun baru, kata beberapa pegawai semalam.

Peluru mengenai budak itu di bahagian belakangnya semasa dia bermain di luar rumahnya di daerah Mandaluyong, pinggir Manila.

Menurut seorang pegawi polis, Leonardo Espina, pihaknya sedang berusaha untuk mengesan orang yang melepaskan tembakan itu.

Bagaimanapun, ia memerlukan masa untuk mengesan kerana terdapat penggunaan senjata api yang tidak berlesen berleluasa di negara ini.

"Kami menangkap 10 orang yang melepaskan tembakan, kebanyakannya ialah pengawal keselamatan peribadi yang mabuk," katanya.

Espina berkata, anggota-anggota polis yang turut melepaskan tembakan bagi meraikan kedatangan tahun baru juga akan dikenakan tindakan disiplin.

Setiausaha Kesihatan, Enrique Ona menyatakan, 404 orang cedera disebabkan permainan mercun di negara ini.

Menurutnya, separuh daripada mereka merupakan kanak-kanak.

"Sebahagian mengalami kecederaan yang serius," katanya. Antara yang cedera itu ialah seorang budak lelaki yang salah satu kakinya terpaksa dipotong. - Agensi


Wanita Dilarang Duduk Seperti Lelaki

Seorang wanita membonceng sebuah motosikal di Banda Aceh

BANDA ACEH, Indonesia - Sebuah bandar di sini akan melarang wanita daripada duduk seperti lelaki ketika membonceng motosikal bersama kaum Adam, kata datuk bandarnya kerana beliau menganggap posisi tersebut tidak sopan.

Langkah itu diambil selepas pemimpin-pemimpin wilayah berkenaan mendraf beberapa rang undang-undang baharu termasuk melarang wanita berseluar ketat, merejam suami atau isteri yang berzina dan merotan pesalah homoseks.

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah.

Di bawah undang-undang baharu itu, wanita di bandar Lhokseumawe, utara, Pulau Sumatera perlu membonceng dengan kedua-dua kaki mereka terjuntai di sisi motosikal.

"Wanita yang membonceng motosikal tidak boleh duduk seperti menunggang kerana ia akan membangkitkan nafsu penunggang lelaki. Peraturan itu juga bagi melindungi wanita daripada sebarang perkara yang tidak diingini," kata Datuk Bandar, Suaidi Yahya.

"Tidak sopan untuk wanita duduk seperti lelaki. Kami melaksanakan undang-undang Islam di Lhokseumawe," tambahnya.

Namun, kata Suaidi, wanita-wanita dibenarkan duduk seperti lelaki jika motosikal berkenaan dikendalikan mereka. Bagaimanapun, katanya, mereka mereka perlu berpakaian sopan menurut cara Islam.

Beliau merancang menghebahkan larangan itu dalam tempoh beberapa minggu lagi dan membincangkannya dengan ulama-ulama sebelum peraturan tersebut dikuatkuasakan.

Aceh mula melaksanakan undang-undang syariah selepas wilayah tersebut diberikan kuasa autonomi khas pada 2001.

Pihak berkuasa wilayah berkenaan kerap melaksanakan hukuman rotan ke atas mereka yang didapati meminum arak dan berjudi. - AFP


Ditangkap Kerana Miliki Dua Kad Pengenalan

Gambar Hiasan

MIRI: Seorang pemuda yang ditangkap kerana disyaki memiliki dua keping kad pengenalan milik dua individu lain diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Haizah Tamin setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Syukri Sidi daripada Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Syukri memberitahu bahawa pada 11 Januari lalu, seorang pegawai kanan polis telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri yang menyatakan sekitar jam 3.30 petang hari sama, semasa melakukan soal siasat ke atas seorang suspek, pengadu mendapati semua barangan rampasan berhubung satu laporan polis di Balai Lutong adalah milik suspek.

Barangan itu terdiri daripada sebuah dompet jenama Timberland berwarna coklat yang mengandungi beberapa dokumen peribadi termasuk MyKad kepunyaan seorang wanita dan satu lagi dompet jenama Arrow berwarna hitam mengandungi sekeping MyKad kepunyaan seorang lelaki.

Kedua-dua Mykad itu kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes di bawah Seksyen 25 (1) (o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki kad pengenalan kepunyaan orang lain.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 1 petang, 13 Januari lalu di pekarangan Balai Polis Pusat Miri, polis telah menangkap suspek terbabit untuk disoal siasat lanjut berhubung kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Syukri memberitahu bahawa reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 25 tahun dari Bandar Baru Permyjaya di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk membuat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung dua keping MyKad yang dirampas daripada suspek.

Tambahan percakapan berhemat suspek masih belum dirakam dan membebaskan dia lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun mahkamah hanya membenarkan reman dua hari dan memerintahkan suspek dihadapkan ke mahkamah pada 16 Januari ini untuk sebutan kes.


Aktivis Minta Kerakyatan Wanita Mesir Berbogel Ditarik

Alia berbogel di Kedutaan Mesir di Stockholm pada 20 Disember lalu

KAHERAH - Seorang wanita Mesir, Alia al-Mahdy berdepan dengan ancaman kewarganegaraannya mungkin ditarik balik selepas dia berbogel tanpa memakai sebarang pakaian di depan kedutaan negara ini di Stockholm, Sweden baru-baru ini.

Portal berita Al-Arabiya semalam melaporkan bahawa seorang aktivis, Mahmoud Abdel Rahman telah memfailkan aduan kepada pendakwa raya berhubung perbuatan Alia.

Menurut Mahmoud, imej Mesir rosak dan tindakannya itu mempersendakan agama Islam selepas Alia berbogel pada 20 Disember lalu.

Mahmoud meminta supaya nama Alia, 22, diletakkan di dalam senarai orang yang perlu dipantau supaya dia boleh ditangkap ketika memasuki Mesir.

Dalam aduannya itu, dia menyatakan Alia menulis ayat-ayat yang menghina draf perlembagaan baharu Mesir dengan bantuan dua aktivis wanita daripada kumpulan FEMEN.

Kumpulan tersebut terkenal dengan aktiviti tunjuk perasaan bagi membela hak-hak wanita dengan anggota-anggotanya kerap mendedahkan payudara termasuk berbogel.

Alia berbogel bersama dua aktivis wanita kumpulan tersebut di Kedutaan Mesir di Stockholm itu.

Dia menunjuk perasaan bagi membantah draf baharu perlembagaan Mesir yang didakwa menyekat kebebasan penduduk dan hak-hak wanita.

Bagaimanapun, draf tersebut diluluskan oleh para pengundi dalam pungutan suara yang diadakan sebanyak dua kali pada 15 dan 22 Disember tahun lalu.

Mahmoud turut menyediakan cakera padat digital yang mengandungi gambar Alia berbogel kepada pihak pendakwa raya.

Sementara itu, Alia menyatakan dia menerima ancaman bunuh selepas berita tentang perbuatannya yang berbogel itu tersebar.

"Jika saya kembali ke Mesir, saya akan dipenjarakan dan saya mungkin terbunuh jika rejim yang memerintah Mesir kini terus berkuasa," katanya kepada akhbar Al-Watan.

Menyentuh tentang sebab-sebab dia berbogel, Alia menyatakan perlembagaan baharu menggalakkan diskriminasi terhadap wanita dan ia akan membuka jalan ke arah lebih banyak hak golongan Hawa di negara ini digugurkan.

Alia diberikan taraf sebagai pemilik suaka politik di Sweden. Dia sebelum ini pernah berbogel di sebuah laman blog dan Twitter. - Agensi


Diusir Dari Thailand

Bot yang membawa 73 pelarian Rohingya

PHUKET, Thailand - Beberapa pegawai berkata, 73 orang pelarian Rohingya dari Myanmar yang ditemui menaiki sebuah bot di Laut Andaman dekat pulau peranginan di sini akan dihantar pulang ke negara mereka.

Gabenor Phuket, Maitri Inthusut semalam berkata, semua pelarian tersebut memberitahu, mereka tidak dapat meneruskan perjalanan ke Malaysia kerana keletihan dan takut sesuatu yang buruk akan berlaku ketika berada di laut.

Maitri berkata, 73 orang pelarian termasuk 12 orang kanak-kanak itu akan dihantar pulang ke Myanmar dengan menggunakan pengangkutan darat yang disediakan oleh polis imigresen negara ini.

Pihak berkuasa Thailand memberikan para pelarian Rohingya itu ubat-ubatan, makanan dan minyak selepas mereka ditemui kelmarin.

Dasar kerajaan Thailand adalah tidak menerima pelarian tetapi akan membantu mereka untuk memasuki negara ketiga. - AP


Aktivis Marah Sirip Jerung Disembunyi

Ribuan sirip jerung disusun untuk dikeringkan

HONG KONG - Aktivis-aktivis alam sekitar di sini meluahkan rasa marah semalam berikutan pendedahan beberapa keping gambar menunjukkan bumbung sebuah kilang dipenuhi beribu-ribu sirip ikan jerung yang baru dilapah.

Terletak di selatan China, pulau ini merupakan antara pasaran sirip jerung terbesar di dunia. Sirip jerung digunakan untuk membuat sup mewah yang disajikan pada majlis-majlis bankuet dan dianggap sajian istimewa oleh ramai penduduk Asia.

Seorang aktivis, Gary Stokes yang melawat lokasi berkenaan menganggarkan terdapat antara 15,000 hingga 20,000 sirip ikan jerung sedang dijemur di atas bumbung sebuah bangunan di kota metropolitan ini.

Sirip-sirip jerung itu dipercayai sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan mendadak bahan makanan tersebut menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.

"Penemuan ini mengejutkan. Tindakan menyorok sirip jerung di kawasan tersembunyi seperti ini adalah pertama kali berlaku di pulau ini," kata koordinator kumpulan pemuliharaan alam sekitar tempatan, Sea Seherperd kepada agensi berita AFP.

Sekitar 73 juta ikan jerung dibunuh setiap tahun dengan pulau ini mengimport kira-kira 10,000 tan makanan tersebut sejak sedekad lalu.

Kebanyakan sirip ikan itu kemudian dieksport ke tanah besar China.

Sekilogram sirip jerung kering boleh dijual pada harga HK$10,000 (RM3,911) di sini, manakala semangkuk sup sirip jerung berharga HK$1,000 (RM391). - AFP


Isnin, 14 Januari 2013

Hantaran RM495 Juta Untuk Pperkahwinan Anak Perempuan

Anak perempuan Duanbiao yang berkahwin di Jinjiang

JINJIANG, China - Seorang ahli perniagaan di sini, Wu Duanbiao bermurah hati apabila beliau memberikan hantaran mencecah 1.01 bilion yuan (RM495 juta) menjelang perkahwinan serba mewah seorang anak perempuannya, menurut beberapa laporan semalam.

Menurut akhbar The South China Morning Post, antara hadiah perkahwinan yang diberikan ahli perniagaan itu termasuk empat kotak barang kemas yang diperbuat daripada emas, sebuah buku akaun bank bersama deposit 20 juta yuan (RM9.9 juta) dan portfolio hartanah.

Duanbiao merupakan pengerusi firma seramik tempatan, Fujian Wanli Group.

Selain itu, beliau memberikan 500 juta saham dalam firmanya yang bernilai lebih 100 juta yuan (RM49.5 juta) kepada pasangan pengantin baharu tersebut.

Menurut laporan media tempatan, usahawan berkenaan turut menghulurkan derma berjumlah 15 juta yuan (RM7.4 juta) kepada dua buah badan amal di China.

Beliau juga menghadiahkan sebuah kereta Mercedes dan Porsche. Seorang jurucakap firma Duanbiao mengesahkan hantaran tersebut tetapi menafikan majlis perkahwinan itu akan berlangsung selama lapan hari berturut-turut. Menurutnya, majikannya mahu mengadakan acara yang ringkas tetapi meriah.

Sebelum ini, sebuah akhbar mendakwa beliau akan mengadakan majlis perkahwinan selama lapan hari bermula 28 Disember tahun lalu untuk menjamu tetamu dalam kalangan orang awam.

Pengantin lelaki yang merupakan seorang kakitangan awam sudah mengenali isterinya sejak dari zaman prasekolah. Bagaimanapun nama anak perempuan Duanbiao itu tidak didedahkan.

Pada bulan lalu, seorang lagi bilionair di sini mengahwinkan anak perempuannya dengan jumlah hantaran lebih 2.48 bilion yuan (RM1.2 bilion). - Agensi


61 Mati Dipijak Di Abidjan

Lokasi kejadian rempuhan yang berlaku di luar Stadium Felix Houphouet Boigny di Abidjan

ABIDJAN - Kira-kira 61 orang mati akibat dipijak di luar sebuah stadium di sini selepas pertunjukan bunga api sempena kedatangan tahun baru, kata pemerintah semalam.

Seorang pegawai kecemasan berkata, kejadian itu berlaku dekat Stadium Felix Houphouet Boigny apabila sejumlah orang berhimpun untuk menyaksikan pertunjukan bunga api.

Salah seorang yang cedera itu memberitahu agensi berita Reuters, pasukan keselamatan tiba untuk cuba memisahkan kumpulan orang ramai.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan panik sehingga mengakibatkan orang ramai mula berasak-asak sekali gus menyebabkan berlaku kejadian rempuhan.

Presiden Ivory Coast, Alassane Ouattara melawat mangsa yang cedera di hospital. Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi negara dan menyatakan siasatan dilakukan untuk menentukan punca kejadian.

Seorang koresponden Reuters memberitahu, tompokan darah dan sejumlah kasut kelihatan di luar stadium berkenaan.

"Dua anak saya datang ke sini. Saya memberitahu supaya jangan datang tetapi mereka tidak mahu mendengar.

"Mereka datang ketika saya sedang tidur," kata seorang pekerja pembersihan, Assetou Toure. Bagaimanapun, dia tidak mengetahui sama ada anaknya itu selamat daripada kecederaan. Kejadian itu merupakan yang terburuk di Abidjan sejak tahun 2010.

Pada tahun itu, kejadian yang sama berlaku di sebuah stadium semasa perlawanan bola sepak diadakan menyebabkan 18 orang mati. - Agensi


Psy Menari Di Times Square

PSY menari bersama MC Hammer di Times Square, New York

NEW YORK - Penyanyi rap yang terkenal dari Korea Selatan, Psy menari tarian kuda bersama penyanyi MC Hammer di Times Square di sini menjelang sambutan tahun baru 2013.

Psy yang terkenal di seluruh dunia menerusi muzik video Gangnam Style menari tarian kuda yang dipopularkannya itu bersama dengan Hammer.

Muzik video Gangnam Style di laman YouTube sudah ditonton lebih satu bilion kali sejak ia dimuat naik pada Julai tahun lalu.

Ketika berbual dengan MTV News, Psy berkata, dia akan menghabiskan tahun ini dengan menghasilkan lagi lagu popular di Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, lagu Gangnam Style amat popular di AS menyebabkan dia perlu menghasilkan sebuah lagi lagu baharu.

Menurutnya, dia turut mendapat undangan untuk membuat persembahan di Paris manakala pada Februari depan, penyanyi berkenaan akan memenuhi jemputan di China.

Taylor Swift yang merupakan penyanyi yang menjalin hubungan dengan anggota One Direction, Harry Styles turut membuat persembahan bagi meraikan kedatangan tahun baru itu.

Seramai sejuta orang memenuhi Times Square bagi menyambut ketibaan tahun baru. - Agensi


Kasut Tergantung Di Wayar Elektrik

Kasut tergantung pada wayar elektrik di Taman Letna, Prague 

PRAGUE, republik Czech - Sejumlah kasut tergantung pada wayar elektrik di Taman Letna di sini. Kasut-kasut itu milik para pemain papan beroda yang membalingnya ke arah wayar tersebut.

Mereka membaling kasut-kasut yang rosak dan tidak lagi boleh digunakan. - Reuters


Ditemui Mati Tergantung


KUCHING: Seorang pesakit di Hospital Sentosa ditemui mati tergantung dalam keadaan leher terjerut dengan kabel di tandas hospital tersebut, pagi semalam.

Mangsa yang berumur 52 tahun dikatakan berasal dari Jalan Tun Ahmad Zaidi. Lelaki tersebut dipercayai menggantung dirinya menggunakan kabel cerek elektrik.

Pihak polis bergegas ke hospital tersebut setelah menerima maklumat dan menghantarnya ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak.


Tinggal Sehelai Sepinggang


MIRI: Kira-kira 100 pekerja buruh binaan tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pekerja yang didiami mereka di Taman Marina di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku pada jam 8 pagi semalam.

Kebakaran tersebut telah meranapkan kesemua tiga blok kediaman pekerja terbabit yang dibina daripada kayu dan menempatkan 60 bilik.

Kebanyakan penghuninya ialah buruh warga Indonesia di samping sejumlah kecil warga asing lain dan pekerja tempatan.

Ketika kejadian, kebanyakan pekerja berada di tapak pembinaan dan tidak sempat menyelamatkan semua barangan berharga mereka termasuk dokumen penting milik masing-masing.

“Kami benar-benar terperanjat apabila dikejutkan dengan suara orang menjerit memberitahu kebakaran berlaku di rumah pekerja itu dan sebaik kami sedar asap tebal serta api sudah mula kelihatan,” jelas seorang pekerja yang ditemui ketika kejadian.

“Kejadian itu menyebabkan saya tinggal sehelai sepinggang, malah dokumen perjalanan serta permit kerja turut musnah dalam kebakaran itu,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Vivah, berasal dari Indonesia.

Sementara seorang lagi penghuni di rumah pekerja tersebut, Salleh Dol, 40, memberitahu bahawa dia sedang tidur ketika dikejutkan dengan teriakan ‘api’, ‘api’ oleh orang ramai menyebabkan keadaan panik dengan masing-masing keluar menyelamatkan diri.

“Oleh kerana terlalu cemas, saya terus keluar bilik sebelum mendapati api sudah membakar dua blok rumah pekerja berkenaan menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang milik saya serta sejumlah wang tunai yang disimpan dalam beg duit yang masih tertinggal di bilik,” katanya.

Salleh memberitahu, api dipercayai mula membakar sebuah daripada blok rumah pekerja terbabit sebelum merebak dengan pantas ke dua blok berhampiran.

“Kejadian berlaku begitu pantas kerana rumah kami diperbuat daripada kayu dan papan sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Miri Ali Bema Jelik berkata sebaik menerima panggilan kecemasan, tiga jentera bersama 17 anggota terus dikerah ke tempat kejadian.

Namun katanya, sebaik tiba di tempat kejadian api sudah membakar keseluruhan sekali gus memusnahkan rumah pekerja berkenaan.

“Struktur rumah tersebut yang diperbuat daripada papan lapis dan jaraknya yang berdekatan antara satu sama lain menyebabkan api merebak begitu pantas.

“Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca serta jumlah kerugian sebenar kejadian itu,” katanya.


Rela Ambil Risiko Daripada Guna Jejantas

Membahayakan nyawa dengan memanjat pagar besi untuk melintasi jalan

MIRI: Walaupun kemudahan jejantas telah disediakan untuk pejalan kaki yang terletak di pusat beli-belah Boulevard Miri-Pujut di sini, namun masih terdapat segelintir pejalan kaki yang tidak mengendahkan kemudahan yang disediakan.

Bahkan pagar besi pembahagi antara jalan raya yang bertujuan mengelakkan pejalan kaki melintas jalan raya, sebaliknya menggunakan perkhidmatan jejantas juga dirosakkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Fong Pau Teck ketika dihubungi memberitahu pihak berkuasa tempatan perlu memperketatkan undang-undang dan mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memantau serta memastikan jejantas digunakan sebaiknya.

“Kita perlu memperketatkan undang-undang untuk memastikan masyarakat setempat khususnya pejalan kaki menggunakan kemudahan jejantas yang telah disediakan.

“Kita harus bertanggungjawab terhadap keselamatan diri, oleh itu gunakan kemudahan yang telah disediakan agar tidak berlaku sebarang kemalangan yang tidak diingini.

“Sehubungan itu, pemeriksaan dari semasa ke semasa perlu diadakan oleh pihak berkuasa bagi memastikan pejalan kaki mematuhi peraturan dan bukannya melintas jalan raya sebagai jalan pintas,” jelasnya.

Beliau turut menggesa pejalan kaki agar tidak mengambil risiko membahayakan diri melintas jalan raya terutama pada waktu puncak tanpa menggunakan jejantas tersebut.

Di samping itu, beliau turut mahu pihak berkuasa tempatan mengeluarkan iklan atau inisiatif lain bagi mengingatkan masyarakat tentang kesedaran mementingkan keselamatan diri.

“Ini akan membantu meningkatkan kesedaran pejalan kaki serta mengingatkan mereka betapa bahayanya melintas jalan tanpa menggunakan jejantas,” tambahnya.


Coretan : Sayangilah nyawa, gunakan jejantas yang telah disediakan untuk melintas jalan. 


Sabtu, 12 Januari 2013

Ramai Wanita India Belajar Seni Mempertahankan Diri

Seorang wanita mengikuti kelas mempertahankan diri di New Delhi

NEW DELHI - Lebih ramai wanita di India mula menunjukkan minat untuk menghadiri kelas yang mengajar cara untuk mempertahankan diri bagi mengelak mereka menjadi mangsa rogol dan keganasan kaum lelaki.

Jumlah itu meningkat selepas hampir tiga minggu kejadian seorang pelajar wanita berusia 23 tahun dirogol oleh sekumpulan lelaki di dalam sebuah bas di sini.

Pelajar wanita itu kemudian mati di sebuah hospital di Singapura pada minggu lalu kerana kecederaan dalaman yang teruk selepas dia turut dipukul dengan batang besi.

Pada Khamis lalu, lima lelaki berumur 19 hingga 35 tahun didakwa secara rasmi kerana melakukan pembunuhan dan merogol pelajar wanita tersebut.

Seorang pengajar seni mempertahankan diri, Amuj Sharma berkata, dia dihujani dengan panggilan telefon daripada kaum Hawa yang berminat minat untuk mengikuti kelas yang ditawarkan di Institut Invictus Survival Science di selatan Delhi.

"Terdapat peningkatan permintaan untuk belajar tentang cara dan nasihat untuk mempertahankan diri dan latihan perlindungan peribadi," katanya.

Sharma mengajar pelajar-pelajarnya cara untuk menumbuk, menendang dan membebaskan diri ketika ditangkap oleh para penyerang.

Sebuah akhbar dalam minggu ini turut melaporkan, terdapat beberapa wanita yang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen senjata api selepas kejadian rogol itu berlaku.

Sementara itu, seorang pemilik kedai di sini memberitahu, jualan alat penyembur lada turut meningkat.

"Kami hanya dapat menjual beberapa botol dalam tempoh sebulan. Bagaimanapun, kini lebih ramai wanita telah datang ke kedai saya untuk membeli penyembur tersebut," kata pemilik kedai itu, Jai Shankar. - AFP


Kenderaan JPJ Didakwa Punca Kemalangan



IPOH - Kenderaan rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sri Manjung dirosakkan dan diterbalikkan orang awam kerana didakwa punca kemalangan di lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Methodist pekan Air Tawar dekat sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP Ahmad Mat Isa berkata dalam kejadian 12.20 tengah hari itu, pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner dinaiki tiga anggota JPJ berhenti di lampu isyarat sebelum kemalangan berlaku melibatkan dua lori, dua bas sekolah, empat kereta dan sebuah motosikal.

"Kereta JPJ itu berhenti kerana lampu merah. Semasa menunggu lampu hijau tiba-tiba lori yang membawa kelapa sawit dari arah Ipoh telah melanggar kenderaan JPJ itu kemudian membabitkan pula lapan kenderaan lain di belakang,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad berkata kira-kira 30 orang awam di kawasan itu menyerbu ke arah anggota JPJ berkenaan dan menuduh mereka menyebabkan berlakunya kemalangan itu.

"Oleh kerana takut kakitangan JPJ lari meninggalkan kereta mereka dan menumpang kenderaan awam untuk membuat laporan di Balai Polis Sri Manjung,” katanya.

Beliau berkata 15 orang yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Sri Manjung untuk rawatan dan polis sedang menyiasat punca kemalangan. - BERNAMA







Gambar - FB Jasworld Lim


Jumaat, 11 Januari 2013

Ahli Politik Ditampar Kerana Merogol

Seorang wanita menampar Brahma yang tidak berbaju

Brahma yang tidak berbaju dipukul oleh seorang wanita dengan sebatang kayu

NEW DELHI - Belumpun reda kemarahan rakyat ekoran kes rogol lima lelaki ke atas seorang gadis baru-baru ini, polis di negeri Assam, timur laut India menangkap seorang pemimpin parti Kongres yang memerintah negara ini, Bikram Singh Brahma kerana kesalahan yang sama kelmarin.

Dia ditangkap kerana didakwa merogol seorang ibu yang mempunyai dua anak di sebuah kampung di Santipur di daerah Chirang di negeri berkenaan.

Imej yang disiarkan di televisyen India menunjukkan beberapa wanita mengepung Brahma dan mengoyak bajunya. Seorang wanita turut menampar muka ahli politik itu.

Menurut polis, Brahma memasuki rumah wanita tersebut dan merogolnya pada pukul 2 pagi waktu tempatan.

Seorang pegawai polis, G.P. Singh berkata, ekoran jeritan wanita itu, beberapa orang di kampung tersebut keluar dari rumah dan menangkap Brahma.

Ketika kejadian, Brahma sedang melawat kampung tersebut. - Agensi


Majalah Perancis Terbit Komik Nabi Muhammad SAW

Charlie Hebdo

PARIS - Sebuah majalah Perancis, Charlie Hebdo yang pejabatnya pernah dilontar dengan bom api selepas ia menyiarkan kartun mempersendakan Nabi Muhammad SAW menerbitkan buku komik biografi tentang rasul berkenaan semalam.

Seorang editor Charlie Hebdo bertegas bahawa buku berjudul The Life of Mohammed itu diterbitkan setelah penyelidikan menyeluruh dilakukan oleh seorang ahli sosiologi berketurunan Perancis-Tunisia.

Editor itu, Stephane Charbonnier berkata, buku biografi tersebut disunting oleh orang Islam. Kulit komik itu menunjukkan Nabi Muhammad bersama seekor unta melakukan perjalanan di padang pasir.

Charbonnier memberitahu agensi berita AFP bahawa idea menerbitkan buku komik itu diperoleh pada 2006 apabila sebuah akhbar di Denmark yang menyiarkan beberapa kartun menghina Nabi Muhammad disiarkan semula oleh majalah Charlie Hebdo. Kartun itu mencetuskan bantahan di seluruh dunia Islam.

Setakat semalam, tiada reaksi ketara berhubung buku komik baharu tersebut yang dijual pada harga enam euro (RM24).

Namun, pada Isnin lalu, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam karya tersebut sebagai satu bentuk provokasi dan berniat jahat.

"Bagi mengubah kehidupan rasul Islam dalam bentuk lukisan kartun itu pun merupakan satu kesalahan," kata seorang pengguna Twiiter, Ibrahim Kalin yang bersetuju dengan pendirian Erdogan di laman web tersebut. - AFP


Ular Punca Bekalan Elektrik Terputus

Dua unit transformer 132/33KV di Substesen Deshon mengalami pintasan

KUCHING: Bekalan elektrik kembali pulih di Sibu kurang daripada dua jam selepas berlaku pintasan di substesen Deshon kelmarin.

Insiden itu menjejaskan beberapa kawasan di Sibu termasuk daerah perniagaan Sentral pada jam 9.07 malam.

Pengurus Wilayah Tengah Sarawak Energy Choo Min Chong berkata, juruteknik segera dikerah selepas berlaku insiden bagi memastikan bekalan elektrik segera pulih dengan cepat.

“Tenaga elektrik dipulihkan sepenuhnya pada jam 10.14 malam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Dua unit transformer 132/33KV di Substesen Deshon mengalami pintasan disebabkan seekor ular yang naik ke atas ‘bus bar’ (batang besi yang membawa arus berat untuk membekalkan beberapa litar elektrik) terbuka hingga menyebabkan pancaran elektrik di ‘bus bar’ tersebut.

Malangnya, peralatan yang sepatutnya mengasingkan kerosakan awal tidak berfungsi.

Ini menyebabkan satu lagi pintasan di dua unit transformer 132/33KV menyebabkan gangguan elektrik menjejaskan kawasan yang lebih luas.

“Kami amat kesal dengan sebarang kesulitan dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami di Sibu atas kesabaran mereka sementara kerja pemulihan dibuat,” kata Choo.