Rabu, 26 September 2012

Helaian Rambut Berbau Busuk Gusarkan Penduduk

Gambar Hiasan

SIBU: Helaian rambut seakan-akan rambut manusia yang kelihatan tersembul keluar dari sebuah beg nilon yang berbau busuk menimbulkan kegusaran di kalangan penduduk di Jalan Punai di sini, kelmarin.

Beg itu telah ditinggalkan di tempat pembuangan sampah sebelum ia disedari oleh seorang lelaki yang berusia 20-an yang pergi ke tempat berkenaan untuk membuang sampah kira-kira jam 8.30 pagi.

Dia melihat sesuatu yang kelihatan seperti rambut manusia dan ekoran perasaan takut, dia tidak mampu untuk membuka ikatan beg itu. Bimbang sesuatu yang buruk terjadi dia pun menghubungi pihak polis.

Setibanya pasukan polis pada jam 9.30 pagi, seorang anggota membuka beg tersebut dan mengesahkan ia adalah bangkai anjing.

Mendapat tahu hal yang sebenar, penduduk menarik nafas lega kerana rambut itu bukan rambut manusia.

Kata lelaki 20-an itu, kejiranan di situ membuang sampah mereka di tempat kejadian setiap malam Ahad untuk dikutip oleh lori sampah pada malam kelmarin, tetapi dia tidak melihat beg berkenaan.

Dia percaya beg terbabit dengan bangkai anjing di dalamnya telah dibuang pada awal pagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan