MIRI: Penduduk di Sibuti diingatkan supaya mengemas kini maklumat dan data peribadi untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 sebelum tarikh tutup permohonan pada 31 Januari ini.
Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang memberitahu ia adalah untuk melancarkan proses pengagihan bantuan berkenaan tidak lama lagi.
“Sila kemas kini data peribadi dan juga nombor akaun untuk menyenangkan pemberian BR1M 3.0 nanti,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, semua data peribadi dan akaun boleh dikemaskinikan di laman sesawang Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) beralamat di www.hasil.gov.my.
Sementara itu, beliau turut menasihati agar pemohon baharu juga mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014.
“Kerajaan sudah mempermudah kaedah permohonan dan juga penerimaan BR1M, ini semua demi rakyat,” jelasnya.
Maklumat umum mengenai BR1M 3.0, pembayaran dijangka akan dibuat kepada yang layak bermula Februari dan dijangka memberi manfaat kepada 5.9 juta isi rumah serta dua juta individu bujang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala untuk indvidu bujang berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan dinaikkan sebanyak RM250 kepada RM300.
Warga emas berusia 60 tahun ke atas dan tinggal sebatang kara juga akan menerima kenaikan jumlah bantuan daripada RM500 kepada RM650.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan