Khamis, 29 Ogos 2013

27 Tinggal Sehelai Sepinggang

eberapa anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran yang memusnahkan rumah tersebut

MIRI: Seorang bayi lelaki berusia sebulan adalah antara 27 orang dari sembilan keluarga yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Lereng Bukit di sini, petang semalam.

Rumah separa konkrit itu yang berusia lebih 20 tahun mempunyai sembilan bilik dengan sebuah bilik dihuni oleh tuan punya rumah, manakala lapan yang lain disewakan kepada lapan buah keluarga.

Me terpaksa ditenteramkan oleh seorang anaknya

Kebakaran itu mula disedari sekitar jam 2.50 petang oleh seorang wanita warga emas, Me Sanna yang juga tuan punya rumah tersebut.

Menurut Me, 75, ketika itu dia sedang mencuci pinggan mangkuk di dapurnya yang terletak di bahagian belakang rumah apabila tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu.

“Saya mencari dari arah mana bunyi itu datang dan terkejut apabila ternampak api sudah marak dalam salah sebuah bilik. Serentak itu, saya terus menjerit meminta tolong untuk memberitahu penghuni bilik lain tentang kebakaran tersebut.

“Saya terus mencapai tongkat dan keluar menyelamatkan diri tanpa sempat mengambil apa-apa termasuk dokumen pengenalan diri,” katanya sambil menangis ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Me, semasa kejadian hanya dia dan beberapa penghuni bilik lain yang kesemuanya wanita dan anak kecil berada di rumah, manakala kaum lelaki telah keluar bekerja.

Katanya, rumah itu merupakan peninggalan mendiang suaminya dan dibina beberapa bilik di dalamnya bagi tujuan disewa kepada orang lain.

Manakala, salah sebuah bilik didiaminya sendiri bersama seorang anak perempuan berusia 41 tahun dan ketika kejadian, anaknya itu sedang bekerja.

Sementara itu, menurut seorang lagi penghuni yang enggan namanya disiarkan, ketika kejadian dia dan dua anaknya termasuk bayi lelaki berusia sebulan sedang menonton televisyen di biliknya bersama ibu yang kebetulan berkunjung ke situ.

“Sebaik menyedari kebakaran yang bermula di bilik sebelah, saya terus mendukung bayi keluar untuk menyelamatkan diri tanpa sempat mencapai apa-apa termasuk susu dan pakaiannya.

“Apa yang lebih penting bagi saya adalah keselamatan dua anak saya,” kata ibu muda terbabit.

Sepasukan anggota bomba yang terdiri daripada 15 anggota diketuai Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Ali Bema Jelik bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang.

Pihak bomba yang tiba di tempat kejadian empat minit kemudian mendapati struktur rumah itu telah musnah sebanyak 35 peratus dan mereka terpaksa mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran.

Menurut Ali, struktur rumah yang diperbuat daripada separuh kayu dan ditambah perabot yang terdapat dalam rumah berkenaan menyebabkan api marak dengan cepat.

Selain anggota bomba, turut membantu memadam kebakaran itu ialah sepasukan anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Miri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan