Selasa, 14 Ogos 2012

Miri Tumpuan Penjual Barangan Tiruan


MIRI: Bandar raya Miri yang semakin berkembang dengan majoriti penduduknya adalah kaum Cina, telah menjadi tumpuan utama wanita-wanita dari negara China untuk datang ke sini dan menjual pelbagai barangan tiruan kepada pelanggan dengan tawaran harga yang termurah namun masih menguntungkan mereka.

Namun yang menjadi persoalannya, walaupun amat diketahui umum bahawa barangan tiruan yang dijual oleh wanita asing tersebut langsung tidak memiliki kualiti dan tiada jaminan keselamatan, namun ia masih mendapat sambutan hangat di kalangan pembeli di bandar raya ini.

Wanita-wanita asing ini yang beroperasi dengan cara ‘mendekati’ pelanggan secara terus di meja-meja makan, menjual pelbagai barangan seperti ubat seks, minyak urut, lampu, produk kecantikan, permainan kanak-kanak, cakera padat, baju, kain, pisau, dompet dan peralatan dapur.

Sambutan daripada pelanggan di sini pula terutama daripada kaum lelaki melariskan produk-produk seperti ubat seks, minyak urut, lampu suluh dan careka padat, seolah-olah menggalakkan lagi kegiatan mereka di bandar raya ini.

Beberapa kawasan tumpuan utama wanita asing untuk beroperasi ialah di Tebingan Miri, Pusat Komersil Center Point, SABERKAS dan kawasan tumpuan ramai pengunjung Cina iaitu Beautiful Jade Centre.

Mereka menjadikan kawasan kedai-kedai makan sebagai tempat untuk beroperasi dengan berjaja dari meja ke meja tanpa rasa segan.

Wanita-wanita asing ini yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun, masuk ke negeri ini menggunakan pas lawatan mereka dan ‘menjalankan’ operasi berjaja menjelang lewat petang dan malam.

Dengan berpakaian biasa dan tidak kurang yang berpakaian seksi, bergantung kepada jenis barangan yang dijual, mereka akan datang ke meja makan pelanggan dan mempromosikan barangan mereka.

Walaupun pada awalnya pelanggan menggelengkan kepala, namun mereka tetap ‘berdegil’ sambil menunjukkan pelbagai barangan yang dibawa satu persatu kepada pelanggan, sebaik pelanggan teralih untuk melihat barangan tersebut, mereka terus menawarkannya pada harga yang cukup murah.

“Itu adalah strategi mereka. Walaupun saya sedar ada kalanya pelanggan tidak senang hati dengan kehadiran mereka di sini, namun saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalau mereka kerana mereka tetap akan datang juga,” kata seorang peniaga kedai makan di Tebingan Miri di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Chew, 45.

Lebih menjengkelkan, katanya, jumlah mereka yang datang itu semakin lama semakin bertambah, kerana mereka tahu di sini boleh mendapatkan keuntungan yang lumayan.

Menurut Chew yang pernah berbual dengan mereka, dalam sehari wanita-wanita tersebut memperolehi keuntungan sekitar RM50 hingga RM100 berdasarkan sambutan terhadap produk yang dijual dan antara yang amat popular ialah careka padat sama CD, VCD ataupun DVD, dompet, ubat-ubatan dan minyak urut yang pelbagai jenis.

Tambahnya mereka membawa masuk barangan tersebut ke negeri ini, secara pukal menggunakan kontena dari negara China.

“Harga barangan yang dijual memang murah. Tetapi kualitinya begitu rendah.

“Berdasarkan maklumat yang saya dapat, untuk setiap barangan yang dijual dengan harga RM10, wanita berkenaan akan mendapat keuntungan sekurang-kurangnya RM5.

“Maknanya, keuntungan yang diperolehi adalah lima puluh peratus lebih mahal daripada harga yang ditawarkan.

“Justeru, tidak hairan semakin ramai wanita China dipercayai menyalahgunakan pas lawatan ke negeri ini dengan menjalankan perniagaan haram berkenaan,” kata Chew lagi.

Beliau percaya kehadiran wanita asing berkenaan ditaja pihak tertentu yang membawa masuk mereka secara beramai-ramai dari China ke negeri ini dan mereka juga yang membiayai kos kontena terbabit di mana, sampai di sini, wanita-wanita berkenaan akan memainkan peranan menjual bahagian itu.

Justeru, Chew berharap pihak berkuasa akan bertindak dengan lebih tegas lagi untuk membendung kemasukkan wanita-wanita asing tersebut yang menurut beliau bukan sahaja boleh membawa budaya sosial yang tidak sihat tetapi juga menjejaskan imej bandar raya ini dengan kehadiran mereka yang berkeliaran mencari pelanggan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan