Isnin, 13 Ogos 2012

Remaja Tidak Sedarkan Diri Setelah Dilanggar 4WD

Pegawai perubatan HUS mengangkat mangsa 

KUCHING: Seorang remaja berada dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda (4WD) di Jalan Astana, malam kelmarin.

Insiden sekitar jam 10.30 malam itu berlaku apabila pemandu kereta ingin keluar dari kawasan rumahnya namun terlanggar motosikal terbabit.

Mangsa yang berusia 17 tahun kemudiannya terjatuh dari motosikal dan tidak sedarkan diri. Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang wanita cedera di kepala setelah kereta 4WD yang dipandu suaminya, berusia 60 tahun terbabas ke dalam longkang di Asajaya di sini.

Menurut mangsa, mereka dalam perjalanan menuju ke Muara Tuang apabila suaminya tiba-tiba gagal mengawal kenderaan dan terbabas.

Wanita berusia 52 tahun itu mengalami kecederaan di kepala manakala suaminya cedera di beberapa bahagian badan termasuk belakang. Kedua-dua mangsa dibawa ke HUS menggunakan ambulans.

Dalam kes berasingan, keprihatinan pengguna jalan raya di bandar raya ini berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan di Batu Tiga, malam Sabtu lalu.

Mangsa yang berusia 28 tahun dipercayai di bawah pengaruh alkohol kelihatan terbaring di jalan raya setelah hilang kawalan dan terjatuh.

Mangsa, yang cedera ringan ditarik ke tepi jalan raya sementara menunggu ambulans tiba. Lelaki berkenaan dibenarkan keluar wad setelah menerima rawatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan