Selasa, 21 Mei 2013

Bunuh: Wanita Dan Abang Dicari Polis

Superitendan Shamsudin Mat

LAHAD DATU: Polis sedang giat menjejaki seorang wanita dan abang kandungnya kerana dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang buruh ladang warga asing yang juga merupakan suami kepada wanita itu, di sini, pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa Saidy Gira, 48, bekerja sebagai buruh di sebuah ladang di Tungku itu, telah ditemui mati di rumah kongsinya oleh salah seorang pekerja ladang di situ yang kemudian bertindak memaklumkan kejadian itu kepada penyelianya sebelum satu laporan polis dibuat sejurus selepas itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Shamsudin Mat berkata pihaknya yang bergegas ke lokasi kejadian telah menemui mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kesan kelar di lehernya.

“Kita juga telah merampas sebilah parang tidak jauh dari mayat mangsa ditemui. Bagaimanapun, isteri dan ipar mangsa telah melarikan diri selepas kejadian itu dan usaha bagi menjejaki kedua-dua suspek ini sedang giat dijalankan,” katanya di sini, kelmarin.

Sementara itu kata Shamsudin, siasatan lanjut mengenai punca dan motif pembunuhan masih diteruskan

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa juga telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan