Selasa, 14 Mei 2013

Lelaki Dicekup Ketika Hendak Mencuri Kereta


MIRI: Hasrat seorang lelaki melarikan sebuah kenderaan tidak kesampaian apabila dicekup polis ketika cuba masuk ke dalam kenderaan itu yang diletakkan terlebih dahulu di tempat letak kereta bawah tanah sebuah kompleks beli-belah di sini malam Ahad lalu.

Sebaik tangkapan dilakukan sekitar jam 9 malam itu, suspek yang berusia 24 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut berhubung kes tersebut.

Terdahulu menurut sumber, suspek bersama dua rakannya yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva dilihat masuk ke kawasan letak kereta bawah tanah sebuah kompleks beli-belah di Jalan Bintang di sini dalam keadaan yang mencurigakan.

Pengawal keselamatan di kompleks berkenaan yang mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kehadiran tiga lelaki terbabit.

Polis yang tiba beberapa minit kemudian berjaya menahan salah seorang daripada lelaki berkenaan ketika mereka cuba masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Prado yang diletakkan di situ.

Manakala dua lagi rakannya berjaya melarikan diri.

Menurut sumber, kenderaan Prado berkenaan telah diletakkan terlebih dahulu di tempat letak kereta berkenaan pada hari sama (Ahad) dan ketiga-tiga lelaki terbabit dipercayai pergi ke situ bagi tujuan mengambil kenderaan berkenaan untuk dilarikan.

Difahamkan, kenderaan Prado itu telah dilaporkan hilang di kawasan pusat bandar Miri sehari sebelum dijumpai pada malam Ahad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan