ABIDJAN - Penyanyi rap Amerika Syarikat, Chris Brown telah mengakibatkan penganjuran Anugerah Kora di sini terpaksa ditangguhkan kerana dia ketinggalan pesawat ke Ivory Coast, kata pihak penganjur.
Anugerah itu yang diberi jolokan sebagai Grammy Afrika sepatutnya diadakan kelmarin. Pengarah komunikasi anugerah itu, Konnie Toure berkata, Brown tiba semalam.
Anugerah itu pernah dihadiri bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela dan Raja Pop, mendiang Michael Jackson.
Bagaimanapun, harga tiket yang agak tinggi untuk manyaksikan anugerah berprestij yang berlangsung di sebuah hotel mewah mencetuskan kritikan ramai.
Harga tiket itu ialah 1,500 euro (RM6,066) untuk penonton yang mahu duduk di kerusi di dalam sebuah hotel mewah.
Tiket berharga 75 euro (RM303.33) dikenakan kepada penonton yang duduk di luar hotel.
Brown pernah disabitkan kesalahan kerana memukul bekas kekasihnya, Rihanna yang juga penyanyi menjelang Anugerah Grammy di Los Angeles pada 2009.
Dia dihukum menjalani program tentang keganasan domestik selama setahun selain dipantau oleh pegawai perunding cara selama lima tahun. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan