Jumaat, 11 Januari 2013

Majalah Perancis Terbit Komik Nabi Muhammad SAW

Charlie Hebdo

PARIS - Sebuah majalah Perancis, Charlie Hebdo yang pejabatnya pernah dilontar dengan bom api selepas ia menyiarkan kartun mempersendakan Nabi Muhammad SAW menerbitkan buku komik biografi tentang rasul berkenaan semalam.

Seorang editor Charlie Hebdo bertegas bahawa buku berjudul The Life of Mohammed itu diterbitkan setelah penyelidikan menyeluruh dilakukan oleh seorang ahli sosiologi berketurunan Perancis-Tunisia.

Editor itu, Stephane Charbonnier berkata, buku biografi tersebut disunting oleh orang Islam. Kulit komik itu menunjukkan Nabi Muhammad bersama seekor unta melakukan perjalanan di padang pasir.

Charbonnier memberitahu agensi berita AFP bahawa idea menerbitkan buku komik itu diperoleh pada 2006 apabila sebuah akhbar di Denmark yang menyiarkan beberapa kartun menghina Nabi Muhammad disiarkan semula oleh majalah Charlie Hebdo. Kartun itu mencetuskan bantahan di seluruh dunia Islam.

Setakat semalam, tiada reaksi ketara berhubung buku komik baharu tersebut yang dijual pada harga enam euro (RM24).

Namun, pada Isnin lalu, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam karya tersebut sebagai satu bentuk provokasi dan berniat jahat.

"Bagi mengubah kehidupan rasul Islam dalam bentuk lukisan kartun itu pun merupakan satu kesalahan," kata seorang pengguna Twiiter, Ibrahim Kalin yang bersetuju dengan pendirian Erdogan di laman web tersebut. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan