Jumaat, 11 Januari 2013

Taklimat Pendaftaran Pekerjaan Secara Online

Dewan Suarah Miri

MIRI: Bekas pelajar kaum Orang Ulu dan Dayak khasnya pemegang Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, diploma dan ijazah digalak menghadiri taklimat dan latihan pendaftaran pekerjaan secara online di Dewan Suarah Miri pada 12 Januari ini.

Aktiviti itu diadakan bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Persekutuan Persatuan-persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) turut mengendalikan latihan itu dengan dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Graduan Dayak Sarawak, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Persatuan Dayak Miri (DAM).

Presiden FORUM Gerawat Gala memberitahu, objektif aktiviti ialah untuk menghimpunkan pelajar kaum Orang Ulu dan Dayak untuk membuat permohonan pekerjaan mereka secara online dengan bimbingan daripada SPA.

“Oleh itu, semua pelajar kaum Orang Ulu dan Dayak di bahagian Miri yang berminat mahu memohon pekerjaan dan mendaftar secara online dengan SPA dialu-alukan datang ke Dewan Suarah Miri pada hari Sabtu ini,” jelasnya.

Menurut Gerawat, turut diajak hadir ialah mereka yang telah mendaftar dan ingin mengetahui status permohonan mereka.

Beliau menambah, taklimat merangkumi panduan-panduan persediaan untuk menghadiri temu duga kepada calon-calon yang terpilih.

Pemohon dinasihati untuk membawa bersama kad pengenalan, sijil-sijil akademik untuk pendaftaran di mana kakitangan SPA akan membantu mereka mendaftar secara online.

“Kami berharap untuk menghimpuan seramai 500 pemohon untuk aktiviti ini. Lebih ramai lebih baik lagi,” jelasnya sambil menambah bahawa aktiviti sama turut diadakan di Marudi pada 16 Januari di Dewan Suarah Marudi.

Menurutnya taklimat sama juga akan diadakan di Long Lama pada 19 Januari ini untuk membantu pelajar-pelajar dari luar bandar khasnya Baram mendaftar permohonan mereka.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Setiausaha Penganjur Dick Bala di talian 012-8782601 atau DAM di talian 085-43547 (waktu pejabat).

Mereka juga boleh menghubungi Alexander Isut Karin di talian 012-8739428, Mathew Benson di (019-8652877) dan Wilfred Mac (013-8261997).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan