Selasa, 15 Januari 2013

Misteri Lelaki Hilang 10 Hari

Gambar Hiasan

BELURAN - Setelah hilang 10 hari ketika mencari lokan di Sungai Mandagu di Bukit Besi dekat sini, seorang lelaki ditemui dalam keadaan lesu pada Khamis lepas.

Ketua Polis Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Julkasim Kairun, 32, yang hilang sejak 1 Januari lepas, dijumpai pekerja di sebuah ladang kelapa sawit.

Julkasim masih menerima rawatan di Hospital Beluran dan dilaporkan dalam keadaan stabil, katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditemui di Hospital Beluran, Julkasim berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami luka-luka ringan di kaki akibat terkena ranting kayu dan duri dalam hutan.

Menceritakan pengalaman sesat selama 10 hari, dia berkata terpaksa minum air sungai dan makan lokan mentah yang diperoleh dari sungai untuk terus hidup.

Katanya pada 1 Januari lepas, dia keluar bersama abang dan adik ipar mencari lokan di sungai itu sebelum terpisah daripada mereka.

"Saya dengar ada bisikan menyuruh saya pulang tetapi saya tidak mengendahkan bisikan tersebut dan meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian, keadaan menjadi gelap dan saya dapati saya tinggal sendirian.

"Keesokan harinya, saya tidak tahu berada di mana, saya berjalan dan terus berjalan mencari jalan keluar namun gagal. Saya tidak makan sehingga hari kelima di dalam hutan dan hanya minum air sungai. Selepas lima hari, saya tidak mampu lagi menahan lapar lalu terpaksa makan lokan mentah,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya ketika sesat di dalam hutan dia nampak orang ramai dari jarak dekat sedang mencarinya lalu cuba memanggil mereka tetapi mereka tidak melihatnya.

"Saya meneruskan perjalanan dengan menyusuri tebing sungai sehinggalah saya sampai di sebuah ladang kelapa sawit. Di sana, saya menemui pekerja ladang dan pengurus ladang kemudian menghubungi pihak polis untuk melaporkan penemuan saya,” katanya.

Isterinya, Normadiah Sharif Yassin, 23, yang sedang sarat mengandung tujuh bulan anak pertama berkata nalurinya kuat mengatakan bahawa suaminya masih selamat.

Katanya ketika dia menerima khabar buruk daripada abangnya bahawa suaminya hilang, dia seakan hilang punca, namun dia tidak berputus asa dan berdoa sehinggalah suaminya itu ditemui. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan