Selasa, 30 Oktober 2012

Duda Maut Dirempuh Kereta

Mengusung jenazah Ja'far yang meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta

KOTA TINGGI – Seorang warga emas yang baru berpisah dengan isterinya enam bulan lalu maut apabila dirempuh sebuah kereta yang terbabas ketika sedang berjalan kaki ke rumah rakannya selepas menunaikan solat Isyak di sebuah masjid kelmarin.

Kejadian pukul 8.20 malam di Kilometer 10, Jalan Mawai–Kuala Sedeli di hadapan balai raya Kampung Sayang di sini itu mengakibatkan Ja’far Yusof (gambar kecil), 78, maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Difahamkan, mangsa maut selepas dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu pelajar perempuan di sebuah institut pengajian awam di Bangi, Selangor. Pelajar berusia 21 tahun itu tidak cedera.

Mengimbau semula kejadian itu, seorang penduduk, Abu Husin Othman, 72, berkata, dia tidak menyangka mangsa meninggal dunia kerana mereka baru lepas berjemaah menunaikan solat Isyak di Masjid Jamek, Kampung Sayang.

Katanya, mangsa tinggal bersendirian sebelah rumahnya dan baru berpisah dengan isterinya enam bulan lalu. Ja’far tidak mempunyai anak.

“Arwah seorang yang periang dan suka bergurau namun dua tiga hari lalu dia kelihatan muram. Mungkin itu petanda yang dia akan pergi menghadap Ilahi,” ceritanya.

Tambahnya, hasrat arwah untuk memulakan perniagaan menjual makanan ringan juga tidak kesampaian ekoran kejadian tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Low Hong Seng berkata, mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke klinik kesihatan di Tanjung Sedeli.

Katanya, pihaknya telah mengambil keterangan daripada pelajar perempuan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan