Isnin, 29 Oktober 2012

Polis Masih Buru Suspek Samun Keluarga Pesawah


YAN - Polis masih giat mengesan dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun sebuah keluarga pesawah dengan melarikan wang tunai dan kereta Perodua Myvi di Kampung Simpang Empat, Sedaka di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu memberitahu, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan bagi menyiasat kes jenayah itu.

"Setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan. Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan suspek menerusi dua buah basikal yang ditinggalkan mereka selepas menyamun di rumah tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi semalam.

Mangsa, Azizan Hanafi, 63, dan menantunya, Mohd. Fakhzan Nasir, 34, cuba melawan penyamun terbabit tetapi mereka cedera ditetak dengan parang sehingga terpaksa beraya di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Azizan menerima 50 jahitan akibat luka ditetak tiga kali di kepala dan dua kali di belakang badan manakala Mohd. Fakhzan cedera di tapak tangan kanan dan kepala.

Kedua-dua perompak terbabit kemudian meninggalkan basikal mereka untuk melarikan diri dengan kereta Myvi milik Mohd. Fakhzan selepas memperoleh wang tunai RM200.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan