Rabu, 31 Oktober 2012

Mayat Lelaki Dijumpai Dengan Kesan Tembakan


SIBU: Mayat seorang lelaki Iban dijumpai dengan kesan tembakan di sebuah kawasan hutan di Ulu Lasi, Julau pada Ahad lepas.

Mangsa dikenali sebagai Tedong Lamba, 49, dari Rumah Panting, Ulu Lasi, Julau dikatakan pergi berburu bersama dua rakannya pada pagi Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa mula menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku apabila mendapati hanya dua rakan mangsa sahaja pulang ke rumah panjang mereka.

Menurut sumber, mereka memberitahu ahli keluarganya bahawa mereka telah berpisah ketika berada di hutan.

Pada awalnya, ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis kerana mangsa dilaporkan hilang semasa berburu bersama dua rakannya.

Polis bersama penduduk rumah panjang telah mengadakan operasi mencari mangsa pagi Sabtu lalu namun gagal menemui mangsa.

Mayat mangsa hanya berjaya dijumpai oleh orang kampung pada keesokan harinya dan didapati mengalami kecederaan di bahagian dada dengan kesan tembakan disyaki terkena tembak.

Pihak polis Julau juga telah membuat tangkapan terhadap dua suspek lelaki berumur 22 dan 46 tahun yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

Kedua-dua suspek kini dalam tahanan polis bagi membantu siasatan. Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan