Selasa, 30 Oktober 2012

Lif Flat Kena Bakar, Komponen Dicuri

Keadaan sebuah lif yang rosak akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR - Kira-kira 3,000 penduduk Flat 700, Pandan Perdana, Cheras di sini kesal apabila perbuatan merosakkan kemudahan perkhidmatan lif oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Terbaru, sebuah lif yang baru sahaja dibaiki kembali rosak selepas dibakar oleh individu yang dipercayai juga merupakan penduduk di flat 10 tingkat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Flat 700, Tong Tick Chong berkata, kebakaran kira-kira pukul 9 malam itu disedari oleh penduduk yang kebetulan lalu di kawasan tersebut sebelum dia sempat memadamkannya daripada merebak.

"Flat ini mempunyai lapan buah lif dan lima sahaja yang berfungsi termasuk yang dibakar, manakala baki tiga lagi tidak boleh dibaiki langsung kerana mengalami kerosakan yang teruk.

"Pada mulanya penduduk menyangka kerosakan tersebut boleh dibaiki, tetapi setelah jawatankuasa pengurusan yang baharu menyiasat, didapati komponen seperti kabel serta mesin untuk menggerakkan lif telah dicuri," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Dewan Undangan Negeri kawasan Teratai, Ben Liew Pok Boon memberitahu, kerugian yang ditanggung akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu mencecah RM200,000.

"Ekoran kejadian itu, satu laporan polis dibuat dan suspek telah pun dikenal pasti.

"Hasil daripada laporan tersebut, pihak polis telah membuat rondaan di setiap tingkat dan melantik wakil penduduk untuk memaklumkan kepada mereka jika terdapat sebarang perkara yang mencurigakan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Flat itu sebelum ini bukan sahaja menghadapi masalah lif rosak akibat vandalisme tetapi juga kerosakan pam air yang mengakibatkan penduduk kadangkala terpaksa menanggung masalah tekanan air rendah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan