Selasa, 30 Oktober 2012

Tabung Masjid Dilarikan Pencuri

Empat tabung yang tidak sempat dilarikan pencuri

MIRI: Sebuah tabung berisi wang tunai dianggarkan lebih RM100 telah dilarikan pencuri dalam kejadian yang berlaku di sebuah masjid yang terletak di pusat bandar di sini awal pagi semalam.

Manakala empat lagi tabung yang ditempatkan di kawasan terbuka di masjid berkenaan tidak sempat dilarikan pencuri terbabit.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak masjid berkenaan di Balai Polis Pusat Miri di sini semalam.

Menurut sumber, kejadian itu hanya disedari oleh seorang pengawal keselamatan di masjid berkenaan pagi semalam.

Manakala kecurian dipercayai berlaku sebelum waktu sembahyang subuh pagi semalam, di mana pencuri terbabit telah menceroboh masuk ke dalam kawasan masjid dan memotong kunci tabung berkenaan.

Terdapat lebih 10 tabung ditempatkan di masjid berkenaan bagi memudahkan para jemaah yang ingin bersedekah ketika menunaikan solat di masjid berkenaan.

Berikutan itu, sepasukan polis telah bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut untuk mencari sebarang pentunjuk termasuk mengesan cap jari penjenayah terbabit.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan