Sabtu, 27 Oktober 2012

Mangsa Rompak Beraya Di Hospital

Azizan yang cedera di kepala dirawat di Hospital

SUNGAI PETANI – Malang bagi sebuah keluarga di Kampung Simpang Empat Sedaka, Yan dekat sini semalam yang terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di hospital apabila dua anggota keluarga itu cedera parah ditetak dua penyamun sehari sebelum itu.

Dua mangsa yang malang itu ialah Azizan Hanafi, 63, dan menantunya, Mohd. Fakhzan Nasir, 34. Mereka yang cedera masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Cerita Azizan, sebelum kejadian pada pukul 5.30 pagi, dia berada di dalam bilik kerana mahu mengambil ubat selepas habis bersahur bersama isteri, Mah Sulaiman, 62, anak, Shaukiah Hanim, 33, dan menantu, Mohd. Fakhzan.

“Tiba-tiba saya terdengar isteri menjerit dari dapur memberitahu ada penyamun.

“Saya bergegas masuk ke dapur sebelum bergelut dengan seorang lelaki bertopeng yang kemudian menetak belakang badan dan kepala saya menggunakan parang,” kata Azizan ketika ditemui di HSAH.

Katanya, Mohd. Fakhzan yang berada di luar rumah cuba membantu namun dia juga ditetak penjenayah.

Dalam pergelutan itu, Azizan yang mengusahakan bendang di kawasan rumahnya ditetak tiga kali di atas kepala dan dua kali di belakang badan. Azizan terpaksa menerima kira-kira 50 jahitan.

Mohd. Fakhzan pula ditetak di tapak tangan kanan dan atas kepala.

Azizan memberitahu, insiden tersebut merupakan kejadian pertama rumah mereka cuba dirompak sejak keluarganya tinggal di rumah itu kira-kira 40 tahun lalu.

Sementara itu, Mohd. Fakhzan berkata, ketika kejadian dia membuka pintu dapur dan keluar dari rumah untuk masuk ke bilik air yang terletak di luar.

Sebelum sempat memasuki bilik air, Mohd. Fakhzan mendakwa dia ternampak kelibat seseorang di luar rumah yang disangka bapa mertuanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan