Isnin, 29 Oktober 2012

RM60,000 Lesap Akibat Kecuaian


LIMBANG: Akibat kecuaiannya terlupa mengunci pintu pejabat, seorang peniaga baja tanaman dan racun rumpai di bandar ini terpaksa berputih mata apabila wang hasil perniagaannya berjumlah RM60,000 yang diletak di atas meja pejabatnya pagi semalam lesap dalam sekelip mata.

Dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, mangsa seorang lelaki Cina berusia 38 tahun mengalami kerugian sejumlah itu selepas wang perniagaannya didapati hilang ketika meninggalkan pejabat.

Kehilangan wang terbabit dimaklumkan sendiri oleh ibu mangsa yang ketika itu berada di kedai mereka yang terletak berhampiran dengan pejabat anaknya.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai mengesahkan kejadian itu dan berkata mangsa terlupa mengunci pintu pejabat sebelum keluar untuk bersembahyang.

“Ketika kejadian hanya ibu mangsa yang berada di pejabat. Namun, ibu mangsa terpaksa pergi ke kedai berhampiran untuk melayan pelanggan bersama seorang pekerja kedainya.

“Sebaik memasuki semula pejabat tersebut, ibu mangsa terkejut apabila mendapati wang tunai berjumlah RM60,000 yang diletakkan anaknya di atas meja lesap dalam sekelip mata,” katanya di sini semalam.

Mohd Bukhori berkata sebelum kejadian, mangsa berhasrat untuk menyimpan wang tersebut ke dalam bank pada hari Jumaat lalu, namun tidak kesampaian kerana cuti Hari Raya Aidiladha.

Katanya sebahagian wang itu sepatutnya digunakan untuk membayar upah pemborong yang menghantar baja tanaman dan racun rumpai.

Menurut beliau, pada mulanya mangsa tidak menyedari pejabat yang ditinggalkannya tidak berkunci sehingga dimaklumkan sendiri oleh ibunya.

“Laporan polis dibuat mangsa sekitar jam 10.30 pagi semalam dan kami masih meneruskan siasatan berhubung kes tersebut,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan