Sabtu, 23 Jun 2012

4 Rumah Panjang Dilanda Ribut Di Sibu


SIBU: Sejumlah 42 keluarga dari empat buah rumah panjang di Rantau Panjang di sini terjejas setelah bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang, petang kelmarin. Dalam kejadian disertai hujan lebat kira-kira jam 5 petang itu melibatkan 23 keluarga dari Rumah John Marikan, Rumah Franky (11), Rumah Anchum (4) dan Rumah Jiddy (4). Tiada kehilangan nyawa ataupun kecederaan penduduk berlaku, namun kejadian telah menyebabkan sebahagian harta benda penduduk rosak dan basah akibat terkena air hujan.

Kejadian kali ini merupakan yang kedua berlaku di Rantau Panjang selepas kejadian pertama pada 9 September 2009. Dalam kejadian tersebut, 32 keluarga dari lima buah rumah panjang telah terjejas. Menurut seorang mangsa, Johny Ribot, 34, beliau masih berada di tempat kerja iaitu di limbungan kapal berhampiran ketika kejadian tersebut berlaku.

“Apabila sampai di rumah, sebahagian daripada bumbung rumah saya telah diterbangkan angin dan bahagian dalam rumah habis basah akibat hujan lebat,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.

Johny tinggal di rumah itu bersama isteri serta dua orang anaknya yang masih kecil, bagaimanapun tetap bermalam serta tidur di rumah mereka itu malam kelmarin.

“Jika angin kencang berlarutan lebih lama lagi, saya percaya semua bumbung rumah ini akan habis diterbangkan,” jelas beliau sambil bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat. Selain kerosakan pada bahagian bumbung, rumah Johny turut mengalami kerosakan pada bahagian dinding terutama yang berdindingkan atap zink.

Sementara menurut Roseline Rose, 55, beliau baharu hendak memasak di dapur apabila terdengar angin kuat bertiup dari arah Batang Igan. Akibat tiupan angin kuat umpama puting beliung itu, menyebabkan bumbung bahagian dapur rumahnya habis diterbangkan entah ke mana.

“Ini menyebabkan bahagian dapur rumah habis basah,” ujarnya yang tinggal di situ bersama emaknya yang telah tua. Dengan bantuan penduduk rumah panjang yang lain, Roseline memperbaiki bumbung yang rosak dengan atap zink terpakai selepas ribut reda.

Seorang lagi mangsa, Cyril Juhor, 80, memberitahu beliau berada di rumah bersama isterinya ketika angin kuat itu berlaku.

“Angin kuat telah merosakkan sebahagian bumbung rumah saya. Rumah anak saya yang terletak berhampiran turut terjejas,” ujarnya. Kediaman Cyril difahamkan turut terjejas dalam kejadian pertama.

Sementara itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Andrew Shilling Banggit meninjau kerosakan yang berlaku, pagi semalam. Menurut Andrew, beliau akan merujuk perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau juga akan memaklumkan kejadian itu kepada ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan merangkap Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh.

“Kita akan berusaha membantu mangsa bagi memperbaiki bumbung rumah mereka yang rosak,” ujarnya. Turut sama meninjau kerosakan semalam ialah Pemanca Stanley Geramong serta Penghulu Jeffery Sut - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan