Khamis, 28 Jun 2012

Jerebu Di Miri Serius

Bacaan IPU naik 245, kebakaran hutan tanah gambut terus merebak 

MIRI: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri yang terletak di Kuala Baram dekat sini, terus naik hingga mencecah 245 pada jam 7 pagi semalam, sekali gus mencatatkan paras tertinggi di seluruh negara ketika ini iaitu pada tahap 4, kategori Amat Tidak Sihat.

Angka ini menurun sedikit pada jam 11 pagi iaitu pada bacaan 215 namun masih dalam kategori yang sama. Ia hanya berada di bawah tahap 5 (300 ke atas) iaitu kategori Berbahaya.

Sementara itu kebakaran hutan khususnya di kawasan tanah gambut di Miri sudah meliputi keluasan sehingga 50 hektar, dengan kebanyakan kebakaran berlaku di sekitar kawasan ILP.

Keadaan ini telah memaksa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dan memantau keadaan sehingga jam 8 malam kelmarin.

“Dengan kekuatan anggota seramai 21 orang dan dibantu 18 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), kami terpaksa membahagi-kannya kepada tiga pasukan, iaitu di Vista Perdana, Tudan Fasa 5 dan kawasan ILP,” kata Penguasa Bomba Zon Miri Unjar Lum ketika dihubu-ngi semalam.

“Kebakaran di Tudan Fasa 5 sudah dapat dipadamkan manakala di Vista Perdana kami hanya memadamkan di kawasan pinggir sahaja namun jauh ke dalam hutan, kami tidak dapat melakukannya kerana ketiadaan akses untuk sumber air dan sumber manusia.

“Namun tumpuan utama kami ialah di kawasan ILP, di mana kami terpaksa menggunakan dua pam air mudah alih bagi memadamkan kebakaran tersebut, menggunakan sumber air daripada terusan kecil yang dibina,” tambahnya.

Katanya, usaha keras pihak bomba itu sekali gus mengetepikan dakwaan sesetengah pihak dan orang awam yang mengatakan pasukan penyelamat itu tidak menjalankan tugas mereka.

“Ia tidak benar sama sekali, kami terpaksa bertugas dari pagi hingga malam untuk memastikan kebakaran ini tidak merebak ke kawasan penempatan atau bangunan,” katanya.

Dalam pada itu Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Bahagian Miri S. Sivanathiran memberitahu bahawa bacaan IPU di kawasan ILP lebih tinggi berbanding Miri yang masih dalam kategori sederhana, disebabkan kelembapan udara yang memerangkap debu-debu kebakaran hingga menyukarkan ia berpecah.

“Oleh kerana itu menjelang malam dan awal pagi, bacaan amat tinggi kerana debu-debu ini terperangkap di ruang udara akibat kelembapan.

“Tambahan pula alat bacaan IPU terletak hanya 100 meter daripada ILP menyebabkan kawasan ini mendapat bacaan yang paling tinggi,” tambahnya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya terpaksa menggunakan enam jengkaut untuk menyiapkan segera terusan bagi menghalang kebakaran.

Terusan sepanjang dua kilometer dari Menara Peninjau hingga ke ILP itu akan membantu mengawal kebakaran dan memudahkan lagi proses memadamkan api.

Kali terakhir Sarawak dilanda jerebu paling buruk dalam sejarah ialah pada September 1997 dengan bacaan IPU di Kuching mencecah 650 manakala di Miri bacaan melebihi 700 dengan jarak penglihatan hanya pada 120 meter.

Keadaan ini sekali gus menyebabkan ‘Darurat Jerebu’ diisytiharkan di negeri ini 20 September 1997 yang menyaksikan lapangan terbang di seluruh negeri ditutup dengan penerbangan keluar masuk Sarawak di- batalkan dan sekolah-sekolah juga ditutup manakala semua aktiviti luar dilarang sepenuhnya - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan