Rabu, 27 Jun 2012

Konco Bujang Seblak tumpas

Embol Asum menyeluk tangannya ke dalam mulut buaya sebagai tanda melepaskan geram

SARATOK - Indet Sanabong, 49, pawang buaya tersohor dari Betong membuktikan kehandalannya apabila menumpaskan sepasang buaya yang dipercayai ‘konco’ Bujang Seblak di Sungai Seblak, tidak jauh daripada kuala Sungai Anak, Roban di sini pagi ini.

Kedua-dua buaya yang dianggarkan berusia 25 tahun dengan berat 80 kilogram (kg) setiap satu itu berjaya ditangkap menggunakan umpan daging anjing yang dijampi Indet.

Buaya yang pertama ditangkap ialah seekor buaya betina sepanjang 2.7 meter pada pukul 9 pagi diikuti buaya jantan sepanjang 2.8 meter pada pukul 10.30 pagi.

“Malam tadi saya pasang lima umpan, dua daripadanya mengena namun satu lagi terputus akibat ditarik oleh seekor buaya yang lebih besar dan kuat, ia mungkin Bujang Seblak yang kita buru.

“Sepasang buaya ini adalah konco kepada Bujang Seblak kerana saya amat yakin umpan yang saya bacakan mentera hanya dimakan oleh buaya yang bersubahat dengannya selain pernah membaham ternakan penduduk," kata Indet.

Pemburuan buaya menggunakan kaedah tradisional itu dimulakan petang semalam setelah buaya ganas yang digelar Bujang Seblak membaham seorang penghuni Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Siah Munsong, 42, pada petang Selasa lalu.

Utusan Malaysia secara eksklusif diberi peluang oleh Indet untuk mengikuti operasi pemburuan buaya di Sungai Seblak pagi ini walaupun pada mulanya dia keberatan untuk memberi izin.

Wartawan dan jurufoto yang menaiki sebuah bot kecil bersama suami Siah yang juga Tuai Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Embol Asum, 48, mendapati Indet amat bersahaja mengendalikan buaya yang telah memakan umpan.

Setiap umpan itu mempunyai gugusan tiga mata kail dengan yang pertama diikat pada kabel keluli manakala yang kedua diikat menggunakan jalinan tangsi dan disambung dengan rotan hidup sepanjang 15 hingga 20 meter.

Walaupun buaya terkenal dengan sikap ganas lebih-lebih lagi sewaktu berada dalam air, di tangan Indet, ia akur menurut perintah dan langsung tidak melawan sewaktu ditarik ke dalam perahu panjang.

Sejurus dinaikkan ke dalam perahu, dua pembantunya duduk di atas belakang reptilia pemangsa itu sebelum mengikat keempat-empat kakinya.

Buaya berkenaan kemudian dibawa ke pangkalan perahu rumah panjang berkenaan untuk tatapan semua penghuninya yang amat berdendam dengan keganasan Bujang Seblak.

Diberi ‘penghormatan’ untuk membunuh buaya berkenaan ialah Embol dan ibu mertuanya, Jaie Isut, 63, yang amat emosi sewaktu melepaskan kemarahan dengan menghamburkan kata-kata seperti: ‘Aku bayar dendam aku’, ‘Kenapa kacau aku’ dan ‘Kau bunuh anak aku’, berulang kali.

Beberapa penghuni rumah panjang juga tidak melepaskan peluang menyeluk tangan kanan mereka ke dalam mulut buaya itu kerana ia dipercayai menjadikan jari-jari mereka mujarab untuk mengubati bayi yang mengalami masalah keputihan dalam mulut - Utusan Malaysia


Coretan - Kasihan ler...kenapa tak bunuh buaya yang bersalah sahaja...?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan