Khamis, 21 Jun 2012

Kebakaran Rumah Di Batu Satu, Miri


MIRI: Seramai 43 penghuni daripada enam keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kayu milik mereka di Kampung Batu Satu, Kuala Baram di sini, ranap dalam satu kebakaran di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, api dipercayai bermula daripada sebuah rumah, ketika seorang wanita yang juga pemilik rumah terbabit sedang memetik mancis di ruang dapur rumahnya untuk menyalakan sebatang rokok, sebelum tiba-tiba terdengar satu letupan kecil di bahagian dapur berkenaan.

Mangsa, Juliana Abdullah, 39, memberitahu bahawa beliau baharu sahaja selesai memasak nasi untuk makan malam dan kemudian berehat di ruang tamu rumah bersama dua anaknya yang masing-masing berusia dua hingga lima tahun.

Bagaimanapun katanya, ketika sedang memetik mancis untuk menyalakan sebatang rokok di ruang dapur rumahnya, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan kecil diikuti api yang marak secara tiba-tiba membakar sebahagian kecil daripada dinding dapurnya.

“Saya terus bergegas mengambil air di bilik mandi serta berusaha memadamkan api tersebut, tetapi gagal api kerana merebak dengan pantas sekali lalu membakar dinding kayu dan siling dapur rumah kami.

“Ketika itu apa yang mampu saya fikirkan ialah menyelamatkan kedua-dua anak saya, sebelum menjerit untuk meminta bantuan daripada jiran-jiran,” katanya. Juliana memberitahu ketika kejadian, suaminya tiada di rumah kerana masih lagi bekerja. Beliau yang dalam keadaan panik dan ketakutan tidak mampu menyelamatkan barang berharga dan beberapa dokumen penting yang lain.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana kedua-dua anak saya terselamat. Itu yang paling penting,” katanya. 

Sementara itu salah seorang jiran mangsa, Rasid Abdul Razak, 20, sedang berjalan kaki balik ke rumahnya dari sebuah kedai berdekatan untuk membeli beberapa barang keperluan, apabila dia ternampak asap tebal datang dari rumah mangsa. Dalam suasana yang riuh dengan suara penduduk meminta tolong selain beberapa orang mulai membawa air dalam baldi untuk memadam api, Rasid tidak teragak-agak untuk turut sama menghulurkan bantuan.

“Seperti jiran yang lain saya turut membantu, namun usaha kami semua sia-sia apabila api merebak dengan begitu pantas hinggakan turut membakar beberapa rumah jiran yang lain,” katanya.

Kejadian itu katanya, turut menyebabkan persiapan awal bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi turut musnah dalam kebakaran.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Unjar Lum berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada jam 7.38 malam bergegas ke lokasi kejadian bersama 15 anggota bomba termasuk dua pegawai.

Dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng turut dikerah ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, kami dapati kesemua rumah terbabit sudah terbakar 100 peratus dan kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan cepat,” katanya sambil memberitahu, api berjaya dikawal kira-kira enam minit kemudian.

Katanya setakat ini pihaknya belum dapat mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan - Utusan Borneo



Tiada ulasan:

Catat Ulasan