Isnin, 25 Jun 2012

Pencuri Baju Dalam Wanita Disiasat Lanjut

MIRI: Polis semalam berjaya mendapatkan perintah reman ke atas seorang pencuri baju dalam wanita. Permohonan reman di bawah Seksyen 117, Kanun Prosedur Jenayah itu perlu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek.

Suspek, seorang lelaki berusia 30 tahun dari Batu 7, Jalan Miri-Bintulu telah ditangkap polis di sini pada Jumaat lepas kerana disyaki memecah masuk ke bilik sewa seorang wanita warga Indonesia dan mencuri beberapa barangan miliknya.

Suspek juga dipercayai mencuri beberapa helai baju dalam pelbagai jenama milik mangsa dan jirannya, yang tinggal di tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai di Pusat Komersil Centre Point di sini.

Pada 22 Jun, mangsa, Nur Aini, 19, yang bekerja di sebuah kedai telefon bimbit berdekatan dengan tempat dia menyewa, memberitahu dia telah dihubungi oleh jiran sebelah biliknya, dan diberitahu bahawa biliknya telah dipecah masuk oleh seorang lelaki yang dikenali mangsa, yang juga dipercayai bekas teman lelakinya.

Mangsa yang bergegas balik ke bilik sewanya di tingkat tiga itu, kemudian mendapati selain pasportnya, telefon bimbit jenama Sony Ericsson serta rantai emas telah hilang. Turut hilang ialah beberapa baju dalamnya yang pelbagai jenama. Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1,009.

Bertindak atas maklumat yang diterima, polis berjaya menahan suspek pada hari yang sama di pekarangan Balai Polis Pusat Miri di sini pada jam 3.15 petang. Pada petang hari yang sama, suspek memandu arah sepasukan polis ke sebuah rumah tidak bernombor di Batu 6 1/2 Lambir, di Jalan Miri-Bintulu.

Hasil pemeriksaan polis, pasukan polis menjumpai sekeping pasport Indonesia di dapur rumah berkenaan, rantai emas, seutas gelang tangan perak dan telefon bimbit jenama Sony di rumah berkenaan. Kesemua barangan dirampas untuk dijadikan bukti kes.

Polis yang mengesahkan menerima laporan tersebut memberitahu kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan