Sabtu, 23 Jun 2012

Kualiti Udara Di Permyjaya Paling Teruk

MIRI: Lebih 100,000 penduduk di kawasan Bandar Baru Permyjaya, Senadin dan Tudan terjejas berikutan kebakaran tanah gambut seluas 10 hektar berhampiran Kompleks Anak Yatim Hamidah sejak tiga hari lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Ismail Ithnin berkata, setakat jam 7 pagi semalam, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Permyjaya mencatat 176, jatuh ke tahap yang tidak sihat.

“Bacaan IPU di kawasan lain termasuk Miri tidak begitu teruk iaitu sekitar 50. Kawasan Permyjaya mencatat bacaan tinggi kerana ia membabitkan kebakaran tanah gambut dan berdekatan dengan pembaca IPU,” katanya kepada media semasa meninjau kawasan kebakaran di Permyjaya, dekat sini semalam.

Menurut Ismail, pihaknya akan memberi keutamaan kepada kawasan kebakaran di Permyjaya kerana tahap kualiti udara di kawasan itu paling teruk berbanding kawasan lain di Miri.

Setakat ini, terdapat dua stesen automatik membaca IPU masing-masing di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Jalan Kuala Baram dan Piasau. Stesen tersebut akan memantau kualiti udara dan menghantar laporan kualiti udara kepada JAS sekali setiap empat jam.

“Sehubungan itu, kita mahu Jabatan Bomba dan Penyelamat memberi keutamaan untuk memantau kawasan ini kerana lokasinya berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Tudan dan Kompleks Anak Yatim Hamidah,” katanya.

Beliau menambah, perigi bawah tanah yang dibina untuk menangani kebakaran hutan gambut di Permyjaya sudah diaktifkan untuk memadamkan kebakaran dengan bantuan pasukan dari Naim Lands Sendirian Berhad. Selain itu, JAS juga sedang mendapatkan bantuan daripada pemilik tanah untuk memadamkan kebakaran tersebut.

“Setakat ini, Naim sudah menghantar pasukannya ke kawasan kebakaran dan mereka kini sedang mengepam air dari ‘check dams.’ Saya percaya kawasan yang terbakar ini mempunyai lebih daripada seorang pemilik,” katanya.

Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Unjar Lum berkata, lebih 15 pegawai bomba ditempatkan di Permyjaya dan Kuala Baram bagi memantau keadaan.

“Sudah tiga hari kita bertungkus-lumus memadamkan api kebakaran dan setakat ini keadaan di kedua-dua lokasi adalah terkawal,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting mahu Jabatan Bomba dan Penyelamat memantau kawasan Permyjaya berterusan.

“Permyjaya merupakan kawasan utama jerebu dan kita mahu ia diberi tumpuan. Kita juga bimbang dengan kesihatan orang awam,” katanya yang turut melawat kawasan kebakaran di Permyjaya. Beliau turut mengingatkan orang awam terutama kanak-kanak dan warga emas agar meminum air lebih banyak dan mengehadkan aktiviti di luar rumah untuk menggelakkan mereka sakit semasa jerebu dan kemarau.

Hadir sama Ketua Cawangan JAS Miri, Sivanathiran Subramaniam - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan