Jumaat, 3 Januari 2014

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur kategori ketiga dijangka berterusan sehingga esok.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, keadaan angin dengan kelajuan 60km sejam dan ombak melebihi 5.5 meter itu boleh menyebabkan kenaikan paras air laut, serta berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pelantar minyak. 

Kenyataan itu juga menyebut keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori kedua melanda perairan Sabah meliputi kawasan pedalaman, pantai barat dan Kudat serta Labuan dan Sarawak.

Keadaan angin kencang yang bertiup antara 50 dan 60 km/jam serta ombak setinggi 4.5 meter itu dijangka berterusan sehingga Jumaat ini, jelas kenyataan itu. 

Keadaan ribut petir pula akan berterusan sehingga lewat malam ini dan berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, feri dan aktiviti menangkap ikan. 

Keadaan angin kencang yang bertiup antara 40 dan 50 km/jam serta ombak setinggi 3.5 meter juga berbahaya kepada semua bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut. 

Keadaan ribut petir berkenaan melanda kawasan perairan Sarawak meliputi Mukah, Bintulu dan Miri, Wilayah Persekutuan Labuan, manakala di Sabah berlaku di pedalaman, pantai barat dan Kudat. 

Ribut petir yang melanda kawasan perairan Pulau Pinang, Perak dan Sandakan, Sabah juga dijangka berterusan sehingga lewat malam ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan