Sabtu, 23 Mac 2013

Brad Pitt dan Angelina Jolie Nak Kahwin

Brad Pitt dan Angelina Jolie 

Pasangan mempunyai enam orang anak ini akhirnya akan berkahwin

CORRENS, Perancis - Pasangan pelakon terkenal, Brad Pitt dan Angelina Jolie didakwa bakal melangsungkan perkahwinan di sebuah pulau di Caribbean pada April depan, lapor portal hiburan Entertainmentwise kelmarin.

Majalah hiburan Now pula melaporkan, Pitt, 49, dan Jolie, 37, sudah mengeluarkan belanja perkahwinan sebanyak AS$2.3 juta (RM7.1 juta).

Majalah itu turut mendakwa, aktor Hollywood tersebut telah mengambil dokumen perkahwinan mereka pada Februari lalu.

"Pitt dan Jolie menempah sebuah resort di Caribbean bernilai AS$760,000 (RM2.4 juta) semalam dan majlis akan berlangsung secara tertutup," kata satu sumber memberitahu majalah Now.

Majlis berkenaan dilaporkan hanya mampu memuatkan 120 tetamu dan lokasinya mengadap laut.

Pada Ogos tahun lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa pasangan tersebut bakal melangsungkan perkahwinan di kediaman mereka yang bernilai AS$60 juta (RM186.8 juta) di selatan Perancis. - AGENSI

Jamalul Kiram Mahu Saman Malaysia

Jamalul Kiram

TAGUIG CUTY, Filipina - Pasukan peguam pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III kini dikatakan sedang menyiapkan kertas tuntutan mahkamah untuk menyaman kerajaan Malaysia atas dakwaan membangunkan dan merampas Sabah secara haram.

Memetik laporan akhbar dalam talian, The Manila Times.Net, saman yang dihantar kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) itu menyatakan tuntutan 'denda' sebanyak AS$25 bilion (RM77.8 bilion) daripada kerajaan Malaysia.

Jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani memberitahu, saman tersebut adalah jawapan kepada tuduhan melakukan keganasan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Malaysia ke atas lapan rakyat Filipina baru-baru ini.

Menurut Idjirani, ini merupakan saman kali ketiga yang dikemukakan oleh pihak Jamalul Kiram.

PDRM Pertimbang Anggota Ops Daulat Naik Pangkat


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertimbangkan kenaikan pangkat untuk anggota yang bertugas dalam Ops Daulat di Sabah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Bagaimanapun, menurut beliau, keputusan muktamad mengenai perkara itu hanya akan diputuskan setelah insiden pencerobohan itu selesai.

"Kenaikan pangkat adalah berpandukan undang-undang yang ada, iaitu mengikut perkiraan tahun perkhidmatan, selain ada perkara lain yang perlu dilihat," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, Ismail menyelar kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh yang menuduh PDRM menjalankan operasi merampas dan memusnahkan dokumen pengenalan diri masyarakat Suluk di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Myanmar Umum Perintah Darurat

Keganasan tercetus di antara penganut Islam dan Buddha

MEIKHTILA, Myanmar - President Myanmar, Thein Sein semalam mengumumkan perintah darurat di bandar ini selepas sekurang-kurangnya 20 terbunuh dalam keganasan yang tercetus di antara penganut Islam dan Buddha.

Perintah darurat itu dibuat bagi membolehkan pasukan tentera membantu mengembalikan keamanan. Situasi dikatakan semakin tegang semalam apabila beberapa kumpulan termasuklah sami Buddha yang bersenjatakan pisau dan kayu merayau di jalan-jalan.

Ini merupakan keganasan terburuk sejak pertempuran antara dua kumpulan penganut agama berbeza itu tercetus di negeri Rakhine tahun lalu. Insiden tersebut mengorbankan kira-kira 180 nyawa dan lebih 110,000 orang hilang tempat tinggal.

"Keadaan tidak terkawal, walaupun kerajaan menyatakan sebaliknya," kata ahli parlimen dari parti pembangkang, Parti Liga Nasional untuk Demokrasi, Win Htein.

Beratus-ratus penganut Islam cuba mendapatkan perlindungan di sebuah padang bola sepak dan balai polis. Sementara penganut Buddha pula berkumpul di tokong-tokong. - AFP

Tiada Petunjuk Kaitkan Militan Yang Tawan Suri Rumah


LAHAD DATU: Polis meminta orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin berhubung insiden seorang suri rumah yang mendakwa ditawan empat pengganas lebih dua jam di rumahnya di Kembara Sakti, FELDA Sahabat 43 di sini, petang kelmarin.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata selain tiada petunjuk jelas, siasatan awal yang dilakukan juga mendapati wujud keraguan untuk mengaitkan insiden pada jam 2 petang itu dengan militan pengganas seperti dakwaan suri rumah terbabit.

“Memang ada kejadian di kampung itu dan walaupun polis meragui dakwaan itu kami tetap melakukan siasatan dan sehingga kini tiada petunjuk yang boleh dikaitkan dengan pengganas,” katanya pada sidang akhbar di markas operasi di FELDA Sahabat 16, dekat sini semalam.

Dalam kejadian itu, seorang suri rumah yang bersendirian dilapor didatangi empat pengganas yang bertindak mengikat kedua-dua kaki dan tangan mangsa. Wanita itu dikatakan berjaya melepaskan diri ketika militan terbabit leka mencari makanan.

Sambil menafikan bahawa ada tembakan dilepaskan dalam kejadian itu, Tan berkata khabar angin berkenaan mencetuskan suasana panik dan mendorong penduduk bertindak melarikan diri dan bersembunyi di masjid berdekatan.

Beliau berkata berikutan itu, beberapa anggota keselamatan ditempatkan di kampung berkenaan bagi memastikan penduduk berasa selamat dan selesa untuk meneruskan aktiviti harian masing-masing.

Mengenai kerja-kerja penilaian di Kampung Tanduo, beliau berkata keputusan berhubung penilaian yang dilakukan Majlis Keselamatan Negeri akan diumum selepas laporan lengkap mengenai kerosakan dan jumlah pampasan yang akan diterima mangsa dibentang kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman selewat-lewatnya minggu depan.

Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, Tan berkata dua daripada 285 individu yang ditangkap masing-masing ditahan mengikut Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Akta Pendaftaran Negara, manakala selebihnya mengikut Akta Imigresen.

“Jumlah yang ditahan mengikut SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)) kekal 108 orang, manakala bilangan anggota keselamatan yang terkorban dan cedera juga masing-masing kekal 10 orang,” katanya dan memberitahu bahawa operasi pembersihan dan penggeledahan di Kampung Tanjung Batu masih diteruskan. - BERNAMA

Polis Masih Siasat Dakwaan Surirumah Jadi Tebusan


LAHAD DATU: Timbalan Persuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang berkata pihak polis kini masih menyiasat sama ada terdapat kaitan kumpulan penjenayah Kiram dalam kejadian seorang suri rumah yang mendakwa menjadi tebusan empat lelaki di rumahnya di Kembara Sakti, Felda Sahabat 43 di sini kelmarin.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum mengenal pasti mana-mana suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kita masih menyiasat kejadian itu dan setakat ini tidak ada tanda-tanda penglibatan kumpulan pengganas,” katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.

Menurut Tan, pada masa ini pihak polis masih menyiasat dan berada di kawasan berkenaan bagi mengesan dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit.

“Kita masih belum mengenal pasti mana-mana suspek terlibat di kawasan perumahan berkenaan dan dalam kejadian itu juga tiada tembak menembak dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya juga percaya kebakaran yang berlaku kemungkinan akibat kecuaian.

“Kawasan berkenaan telah dikawal ketat oleh pihak polis bagi memberi keyakinan kepada penduduk setempat mengenai keselamatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Tan berkata pada masa ini seramai 63 pengganas kumpulan Kiram telah ditembak mati dan 30 mayat musuh telah dikeluarkan.

Manakala, jumlah mereka yang ditangkap mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas)2012 (SOSMA) masih berjumlah 108 orang.

“Jumlah lain-lain tangkapan ialah 285 orang di mana 283 ditahan di bawah kesalahan imigresen, dan masing-masing satu di bawah kesalahan pendaftaran negara dan kesalahan memiliki bahan letupan,” katanya.

Wanita Pengsan Menangis Gara-Gara Cinta


KUCHING: Seorang wanita terpaksa dikejarkan ke Hos­pital Umum Sarawak (HUS) kerana pengsan selepas me­nangis selama lebih sejam di hadapan rumah bekas kekasihnya, awal pagi se­malam.

Mangsa, 18, berasal dari Tondong, Bau, dekat sini difahamkan mempunyai ma­salah cinta serta cuba mencari bekas kekasihnya itu yang dikatakan tinggal di sebuah rumah pangsa di Jalan Ban Hock di sini sekitar jam 11 malam kelmarin.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak menemui rumah bekas kekasihnya itu menyebabkan dia kecewa dan terus bertindak berdiri di tengah jalan.

Ekoran risau akan terjadi perkara yang tidak diingini, orang awam segera meng­hubungi pihak polis yang tiba beberapa minit kemudian di tempat kejadian.

Selepas lebih sejam memu­juk mangsa, dia akhirnya bersetuju untuk pulang ke rumahnya namun dikatakan tiba-tiba rebah menyebabkan sepasukan anggota paramedik bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.

Berikutan keadaan mangsa yang lemah, dia kemudian terpaksa dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut. Sehingga berita ditulis semalam, mangsa dilapor­kan berada dalam keadaan stabil.

Penduduk Kembara Sakti Dipindahkan


LAHAD DATU: Kira-kira 1,000 penduduk sebuah kampung di Kembara Sakti, FELDA Sahabat 43 dipindahkan ke Sekolah Agama Rakyat, kira-kira lima kilomter dari perkampungan mereka sebagai langkah keselamatan dalam menghadapi ancaman militan Sulu.

Ketua kampung berkenaan Ramlan Junit berkata, arahan supaya penduduk kampung mengosongkan kawasan kediaman mereka dan tidak menghampiri kawasan itu sehingga diarahkan, dikeluarkan polis petang kelmarin.

“Kami ada dengar pelbagai cerita dan khabar angin mengenai pengganas datang ke kawasan ini. Diharap keadaan kembali terkawal dan kami dapat pulang ke kediaman masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama di sekolah itu di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan seorang suri rumah mendakwa ditawan empat militan itu di Kembara Sakti, FELDA Sahabat 43 petang kelmarin.

Ketika ditanya adakah penduduk kampung lain pernah terserempak dengan pengganas Sulu, Ramlan berkata sebelum ini suasana kampung itu aman dan tenang dan ini kali pertama pasukan keselamatan mengeluarkan arahan untuk berpindah.

Jelasnya rata-rata penduduk adalah pekerja ladang, petugas kilang kelapa sawit, peniaga dan tidak pernah terlibat dengan kegiatan berkaitan pengganas.

Seorang penduduk yang tidak mahu dikenali berkata apa yang dilakukan pasukan keselamatan ini patut dipuji kerana mementingkan keselamatan penduduk dan untuk mengawal sebarang unsur pencerobohan atau gangguan daripada pengganas Sulu.

Seorang pekerja kilang yang hanya mahu dikenali sebagai Ernawati, 28, berkata sebaik pulang dari kerja pada kira-kira jam 3 petang, beliau dan jirannya disuruh ke sekolah itu untuk penempatan sementara.

“Saya lihat ramai penduduk kampung berpusu-pusu keluar. Ada juga yang keluar dari kawasan ini dan menumpang di rumah saudara,” katanya.

Difahamkan lokasi kampung itu terletak kira-kira 30 kilometer dari zon merah Operasi Daulat dan dikelilingi hutan tebal serta pokok kelapa sawit.

Turut kelihatan di lokasi pemindahan itu ialah sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk kampung. - BERNAMA

Detik Cemas Seorang Pekerja Kilang Sawit Nilam Permata

Muhammad Ahmad

LAHAD DATU: “Sebaik sahaja saya menolak pintu yang terbuka sedikit dengan sebatang kayu, saya terkejut apabila melihat mangsa diikat pada bahagian tangan dan kaki menggunakan tali rafia serta mulut diikat mengunakan kain di atas sebuah kerusi di ruang tamu.

“Apabila saya bertindak hendak masuk, mangsa menggelengkan kepala menyebabkan saya terus berundur dan terus menjerit meminta penduduk kampung menghubungi polis.”

Demikianlah detik cemas yang dialami Muhammad Ahmad, 44, ketika menyaksikan jirannya, Maimunah Itin, 30an, ditawan di rumahnya di Kembara Sakti, Felda Sahabat 43 di sini kelmarin.

Beliau berkata, pada masa itu dia berasa sangat marah apabila melihat jirannya diperlakukan sedemikian rupa tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada senjata. Dia juga berasa takut untuk terus masuk ke dalam rumah memandangkan tidak nampak sedikitpun kelibat penceroboh yang mungkin bersembunyi untuk melakukan serangan hendap.

Muhammad yang bekerja di kilang Sawit Nilam Permata berkata, dia hanya menyedari kejadian itu ketika menghantar isterinya untuk berniaga di pasar malam pada kira-kira jam 3 petang.

“Ketika saya melalui kawasan perumahan saya lihat ramai kaum ibu berkumpul dan apabila saya bertanya mereka mengatakan ada jiran kami dijadikan tebusan, lalu saya terus bergegas ke sana.

“Semasa ke rumah mangsa, saya melihat dua anak mangsa yang menangis didukung dan dibawa oleh jiran ke kawasan yang selamat,” katanya.

Katanya, semasa kejadian mangsa berada di rumah bersama dua orang anaknya kerana suaminya Suhaimi Omar Basah, 30an, yang juga rakan sekerjanya bekerja di kilang.

Muhammad berkata, apabila pasukan polis bantuan Felda dan polis tiba dia dan keluarganya telah beredar ke masjid selepas mendapat arahan daripada pihak berkuasa.

Beliau mendapat tahu mangsa hanya berjaya keluar selepas bergolek ke pintu sebelum diselamatkan oleh polis bantuan Felda yang mengepung kawasan berkenaan.

Sementara itu, seorang jiran mangsa, Kamisah Mohamad, 40, berkata sebaik sahaja mendengar mengenai kejadian itu dia yang tinggal bersama anaknya yang berumur lima tahun terus menguncikan semua pintu dan tingkap rumah.

Katanya, akibat terlalu takut dia meninggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang selepas diminta berpindah ke masjid pada jam 5 petang.

“Pada masa itu, suami saya keluar bekerja dan hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan saya di dalam rumah bersama anak, namun kami bersyukur kerana tidak ada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Kembara Sakti, Ramlan Joned berkata pada masa ini seramai 1,091 penduduk telah dipindahkan ke masjid berhampiran.

Katanya, pada masa ini jumlah mangsa di kawasan berkenaan telah berkurangan selepas sebahagian daripadanya pergi ke rumah sanak saudara masing-masing.

Wanita Filipina Masuk Secara Haram Dipenjara Enam Bulan


MIRI: Seorang wanita warga asing dijatuhi huku­man penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen semalam kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Mahkamah turut memer­intahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran ke ne­gara asalnya sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Babylyn Lahab, 20, dari Zamboanga, Arina Be­langkau, Filipina didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihu­kum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditangkap pada jam 10.05 pagi, 7 Mac lalu di bulatan Pujut 3 iaitu hadapan Pasar Raya GK di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana diper­cayai warga asing.

Hasil pemeriksaan men­dapati tertuduh yang berasal dari Filipina tidak mem­punyai sebarang dokumen perjalanan sah yang mem­bolehkan dia memasuki dan tinggal di sini.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Mary Ong di hadapan Timbalan Pen­daftar Nasrul Hadi Abdul Ghani.

Lelaki Mengaku Tidak Salah Miliki DVD Lucah


MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan memiliki 40 keping cakera padat digital (DVD) filem lucah.

Liew Chii Poh, 25, dari Taman Kinta, Gopeng, Perak telah didakwa mengikut Sek­syen 292 (a) Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah akta yang sama. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati ada memiliki sebanyak 40 keping DVD filem pelbagai tajuk yang mengandungi unsur lucah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.45 petang, 18 Februari lalu di sebuah premis tidak bernama di Lot 906-1-13-302 tingkat bawah Soon Hup Tower, Jalan Merbau di sini.

Setelah mendengar pen­gakuan tidak salah ter­tuduh, mahkamah kemu­dian menetapkan 2 April depan untuk pengurusan kes dan 26 April pula ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan.

Manakala tertuduh dibe­narkan dibebas dengan ikat jamin RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

‘Kami Pasti Mati Jika Tidak Lari Daripada Pengganas Sulu’


Peneroka cerita detik cemas ketika keluarganya lari daripada serangan pengganas Sulu 1 Mac lepas

LAHAD DATU: Sepasang suami isteri terpaksa meredah hutan dan kegelapan malam sambil mendukung dua anak kecil ketika lari menyelamatkan diri daripada serangan militan yang menceroboh kampung mereka di Tanjung Labian, di sini 1 Mac lepas.

Malah, keluarga berkenaan tersesat lebih dua jam dalam ladang kelapa sawit di gugusan FELDA Sabahat itu, sebelum tiba di rumah kenalannya di Kampung Lok Buani, kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka.

Malangnya belum sempat melepaskan lelah di rumah kawannya itu, Mohd Asri Aliudin dan keluarga sekali lagi terpaksa meredah kegelapan malam melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit apabila mereka mendengar bunyi tembakan kira-kira tengah malam.

Menceritakan kembali detik paling menakutkan bagi beliau dan keluarga, Mohd Asri, 33, berkata ketika itu beliau hanya fikir untuk lari dan menyelamatkan keluarganya.

“Kami pasti mati jika tidak lari. Saya dukung anak perempuan saya berusia dua dan empat tahun dan lari bersama ke dalam ladang sawit…kadang-kadang kami terjatuh ketika mengharungi laluan berbukit kawasan ladang.

“Saya tutup mulut anak kecil saya yang menangis ketika kami berlari dalam ladang kerana khuatir tangisannya boleh dikesan pengganas,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata kumpulan militan dari selatan Filipina itu menyerang kampung mereka kira-kira jam 10 pagi dengan melepaskan tembakan ke udara dan ekoran itu ramai penduduk kampung menjerit “lari, lari, orang Sulu datang”.

“Kami dikejutkan dengan bunyi letupan dan tembakan. Dari jauh saya nampak beberapa manusia berpakaian serba hitam berjalan sambil melepaskan tembakan ke udara. Saya juga nampak kepulan asap,” katanya.

Mohd Asri berkata panik dengan suasana itu, beliau bersama keluarga melarikan diri ke dalam hutan dan hanya sempat membawa dokumen peribadi.

Selepas lebih empat jam di dalam hutan sawit, keluarga itu tiba di rumah rakan mereka di Lok Buani dan Mohd Asri hanya tiba di rumah mentuanya di penempatan peneroka FELDA Sahabat, Fajar Harapan, kira-kira tujuh kilometer dari Lok Buani pada jam 5 pagi.

“Penat kami pagi tadi belum hilang, kami kena lari lagi sambil bersembunyi. Ia seolah-olah tiada penghujungnya kekejaman pengganas ini.

“Tiba di rumah bapa mentua, saya sudah letih dan tidak berupaya untuk lari lagi…saya hanya mampu mendoakan Tuhan memberi perlindungan kepada kami dan pengganas tidak datang ke penempatan bapa mentua,” katanya.

Kini, selepas 21 hari kejadian itu, Mohd Asri masih berlindung di rumah mentuanya sambil mengenang masa depan yang tidak pasti kerana beliau kini hilang punca rezeki.

Mohd Asri yang masih geram dan marah dengan tindakan pengganas dari selatan Filipina itu, berkata beliau kerugian hasil sawit kira-kira RM2,400 bagi empat kali mengait buah sawit dalam sebulan dan mungkin kehilangan ternakannya iaitu empat ekor lembu dan enam kambing.

“Saya dengar ada orang cakap beberapa buah rumah dibakar di kawasan rumah kami dan ternakan kami diambil oleh pengganas. Kalau benar ia berlaku maka banyak saya rugi kerana lembu RM3,00 seekor, kambing RM600 seekor, tidak termasuk rumah terbakar,” katanya.

Beliau yang belum dibenar memasuki kampungnya kerana operasi pembersihan masih dijalankan, adalah antara 30 penduduk Kampung Tanjung Labian, yang beratur mengambil bantuan makanan berupa sekampit beras dan pelbagai keperluan asas lain yang diagih Jabatan Pertahanan Awam (JPAM). - BERNAMA

Dua Remaja Pecah Rumah, Curi Diperintah Berkelakuan Baik


MIRI: Dua remaja lelaki yang mengaku bersalah terhadap tuduhan melaku­kan pecah rumah dan curi diperintahkan Mahkamah Juvana semalam supaya dibebas dengan bon ber­kelakukan baik selama dua tahun berserta jaminan RM2,000.

Mahkamah turut memer­intahkan kedua-dua juvana terbabit supaya melapor diri ke Balai Polis Lutong sekali sebulan.

Kedua-dua juvana terba­bit dari Taman Ceria di sini menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 457 Ka­nun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperun­tukkan hukuman penjara 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-duanya dida­pati telah melakukan pecah rumah dan curi dengan memasuki sebuah rumah yang di bawah jagaan Lenny Galang dengan cara membu­ka pintu utama dan mencuri dua unit silinder gas jenama Shell berwarna kuning.

Mereka didakwa melaku­kan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 1 petang, 2 Disember tahun lalu di Lot 7563-2-17, Lorong 1-6 Permyjaya di sini.

Sabah Sumbang RM100,000 Kepada Keluarga Anggota Tentera Terkorban

Allahyarham Kpl Ahmad Farhan Ruslan

Allahyarham Kpl Ahmad Hurairah Ismail

KOTA BAHARU: Keluarga dua anggota tentera berasal dari Kelantan yang terkorban dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini menerima sumbangan kerajaan Sabah semalam.

Sumbangan RM100,000 seorang itu disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman kepada ibu kedua-dua anggota tentera itu pada majlis ringkas di Wisma Perwira Markas Lapan Briged di sini.

Kedua-dua anggota itu ialah Allahyarham Kpl Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Allahyarham Kpl Ahmad Farhan Ruslan, 20.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan Roslee Mamat, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Rodzi Md Saad dan Ketua Staf Markas Lapan Briged Lt Kol Mohd Zaki Abu.

Sukarti, ketika ditemui pada majlis itu, berkata beliau mewakili kerajaan Sabah menyampaikan sumbangan dan surat penghargaan kepada keluarga anggota tentera berkenaan.

Beliau berkata jasa dan pengorbanan yang diberi dua anggota tentera itu dalam mempertahan kedaulatan negara amat besar maknanya dan tidak boleh dinilai dengan sumbangan yang dihulur.

“Saya diarah ketua menteri supaya jumpa sendiri dengan keluarga anggota tentera yang meninggal dunia bagi menyampaikan sumbangan ini dan ucapan terima kasih kerajaan Sabah kepada keluarga mereka,” katanya.

Ibu Ahmad Hurairah, Rahmah Mamat, 50, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sabah yang menghulurkan sumbangan dan surat penghargaan atas jasa dan pengorbanan anaknya itu.

Sementara itu ibu Kpl Ahmad Farhan, Roslawati Ghani, 44, bersyukur dengan sumbangan besar yang diberi kerajaan Sabah dan menganggapnya sebagai penghargaan tinggi kepada anaknya. - BERNAMA

Sambutan Gawai Sempena Miri Mayfest Di Rh Nunong Pada 18 Mei


MIRI: Sambutan Gawai Dayak sempena Miri Mayfest bakal diadakan pada 18 Mei ini di Rumah Panjang Nunong, Nanga Jella Lambir bermula jam 6.30 petang.

Menurut Ketua Masyarakat Iban Miri, Pemanca Wilson Siang Lim sambutan berkenaan diadakan khas untuk memperkenal tradisi serta kebudayaan masyarakat Iban di sini.

“Ia juga merupakan salah satu daripada aktiviti dirancangkan oleh Ketua Masyarakat Bahagian Miri,” katanya di sini semalam.

Antara aktiviti yang turut diadakan pada malam tersebut adalah pertandingan ‘Kumang’ dan ‘Keling’ serta persembahan ‘Nyarau Ranyai’.

Sementara itu, pakaian terbaik lelaki dan wanita akan dipilih pada malam itu serta cabutan bertuah. Makanan dan minuman tempatan turut dihidangkan kepada tetamu pada malam itu.

Untuk maklumat lanjut tentang majlis itu boleh menghubungi Tuai Rumah (TR) Nuja Tinsui (019-8856564), TR Mawan Lalen (013-5733793) dan TR Johnapi Beti (019-4682595).

Jumaat, 22 Mac 2013

Ditawan Empat Pengganas Sulu Kelaparan


LAHAD DATU - Berpuluh-puluh penduduk di Kampung Kembara Sakti, Felda Sahabat 42 dekat sini semalam bertempiaran lari selepas kampung mereka didatangi empat lelaki bersenjata api dipercayai saki-baki kepada kumpulan pengganas Sulu.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, kumpulan lelaki berpakaian serba hitam kemudian memasuki rumah seorang penduduk di situ dan menjadikan tuan rumah berkenaan sebagai tawanan.

Satu sumber memberitahu, tuan rumah berkenaan membabitkan seorang wanita yang semasa kejadian tinggal bersendirian di rumah tersebut.

Tuan rumah itu diikat kedua-dua belah kaki dan tangan sebelum mangsa turut diugut bunuh jika melawan atau membuat bising. Selepas itu, kumpulan pengganas terbabit masuk ke dapur dan sibuk mencari makanan kerana dipercayai terlalu lapar.

Tuan rumah yang menyedari kumpulan empat lelaki itu terlalu sibuk mencari makanan di dapur mengambil peluang melepaskan diri.

Tangkap Buaya Sungai Midin

Buaya yang ditangkap setelah tersangkut pada pukat yang dipasang di Sungai Midin, Kuching 

KUCHING - Seekor buaya tembaga yang sering timbul di permukaan Sungai Midin di Kampung Semariang Batu di sini tumpas di tangan seorang warga emas dan cucunya apabila reptilia itu tersangkut pada pukat yang dipasang di sungai berkenaan semalam.

Sang Bedal sepanjang dua meter dan seberat 70 kilogram itu ditangkap kira-kira lima kilometer dari kampung tersebut pada pukul 7.30 pagi.

Samarin Sarkawi, 21, berkata, beberapa hari lalu, dia bersama datuknya, Mat Tuyut, 60, mengesan tapak kaki buaya di kawasan tebing sungai sebelum bertindak memasang pukat kerana bimbang keselamatan penduduk.

Menurutnya, buaya itu dipercayai menjadikan sungai berkenaan habitatnya ekoran kerja-kerja mendalamkan sungai sedang dijalankan bagi mengatasi masalah banjir.

"Saya berharap kebimbangan penduduk kampung sedikit sebanyak dapat dikurangkan dengan tertangkapnya buaya ini.

"Pada mulanya, kami berdua menyangka pukat berat kerana terlalu banyak ikan tetapi apabila ditarik ke atas, didapati ada seekor buaya yang meronta-ronta untuk melepaskan diri," ceritanya ketika ditemui.

Pengganas Sulu Wanita Ditangkap


LAHAD DATU - Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas bersenjatakan parang manakala seorang pengganas wanita diberkas dalam operasi penggeledahan di Kampung Tanjung Batu di sini semalam.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, pengganas lelaki itu mati ditembak pada pukul 1.30 petang susulan daripada pertempuran yang tercetus pada pukul 11.30 pagi manakala dalam pertempuran tersebut juga seorang anggota tentera cedera di jari kiri akibat terkena serpihan peluru.

"Kita membunuh seorang musuh manakala seorang musuh wanita berusia 40-an ditahan.

"Anggota tentera daripada Unit Grup Gerak Khas (GGK) yang cedera pula stabil dirawat di Hospital Lahad Datu selepas pembedahan," kata beliau pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat 16 di sini semalam.

Menurut beliau, pengganas lelaki yang ditembak mati itu bersenjatakan parang manakala wanita itu pula tiada senjata semasa ditangkap.

Rita Kena Ikut Cakap Suami



Adi Putra dan Rita Rudaini 

HEROIN drama bersiri Sehangat Asmara, Rita Rudaini baru-baru ini mendedahkan kepada sebuah portal dalam talian bahawa suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak pernah melarangnya untuk tidak lagi berlakon bersama seorang aktor kelahiran Singapura.

Susulan kenyataan tersebut, ramai yang menganggap aktor Singapura yang dikaitkan dengan Rita ialah Adi Putra, biarpun Aaron Aziz juga merupakan aktor popular kelahiran negara tersebut.

Ini kerana Adi Putra merupakan gandingan Rita dalam drama tersebut, malah mereka juga turut bergandingan dalam filem Balistik.

Bersua dengan pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim itu pada majlis pelancaran filem Langgar di Restoran Carne y Vino, Radius International Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, Adi Putra menegaskan dia tidak mempedulikan tentang perkara tersebut.

Malah, ujarnya, hal tersebut sepatutnya tidak menjadi isu yang perlu diperbesar-besarkan memandangkan dia mahupun Rita Rudaini masing-masing sudah mempunyai keluarga.

"Saya tidak tahu tentang hal ini dan saya tidak mahu ambil tahu kerana itu hal dia dan suaminya. Saya mencari nafkah yang halal menerusi berlakon dan kerja ini ibadah saya untuk menyara keluarga. Kalau suami dia tidak benarkan dia berlakon (dengan saya), jadi dia kena ikut kerana suami adalah khalifah keluarga"


Sanjay Dutt Di Penjara Lima Tahun


Sanjay Dutt

NEW DELHI - Mahkamah Agung India semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bintang Bollywood, Sanjay Dutt. Dutt didapati bersalah kerana menyimpan sejumlah senjata api milik kumpulan penjenayah yang terbabit dalam siri serangan bom terburuk di India pada tahun 1993.

Sebelum ini, aktor yang pernah membintangi filem Khalnayak itu pernah menjalani hukuman penjara selama 18 bulan.

"Dia akan menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan enam bulan lagi. Kami akan menunggu salinan penghakiman mahkamah dan kemudian memutuskan tindakan yang selanjutnya," kata peguam Dutt, Satish Maneshinde.

Pada tahun 2007, Dutt dibebaskan daripada terlibat dalam satu siri serangan bom itu. Bagaimanapun, dia didapati bersalah kerana memiliki sepucuk raifal AK-56 dan pistol.

Aktor yang berusia 53 tahun itu kini menjalani pengambaran filem terbaharunya, Policegiri. Dutt yang merupakan anak pasangan legenda Bollywood, Sunil dan Nargis Dutt berkahwin dengan kekasih lamanya, Manyata pada Februari 2008. Dia dikurniakan anak kembar dan seorang anak perempuan, Trishala daripada perkahwinan pertamanya.

Pelakon itu tidak berada di mahkamah ketika keputusan tersebut diumumkan.

Adik Dutt, Priya yang merupakan seorang ahli parlimen kecewa dengan keputusan itu. Priya enggan bercakap dengan pemberita selepas dia keluar dari mahkamah. - Agensi

Singa Laut Menyeberangi Jalan

Seekor singa laut menyeberangi sebatang jalan raya di Balneario Camboriu, Brazil

BALNEARIO CAMBORIU, Brazil - Seekor singa laut berjalan di atas lintasan untuk pejalan kaki di sebatang jalan raya di sini pada Sabtu lalu.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut terkejut apabila mereka melihat haiwan itu menyeberangi jalan. Singa laut sepanjang tiga meter itu keluar dari laut dekat bandar ini.

Beberapa buah kereta dan sejumlah orang ramai berhenti bagi memberi laluan kepada haiwan tersebut menyeberangi jalan.

Anggota-anggota polis dan ahli bomba mencurahkan air ke arah haiwan itu bagi mengelakkan badannya menjadi kering.

Bagaimanapun, haiwan tersebut kembali semula ke laut selepas satu jam 30 minit ia berada di daratan. - Agensi

Selena Gomez Akui Pernah Sebabkan Justin Bieber Menangis



Justin Bieber dan Selena Gomez

LOS ANGELES - Penyanyi dan aktres terkenal, Selena Gomez menyatakan dia pernah membuatkan bintang pop remaja, Justin Bieber menangis selepas hubungan mereka berakhir pada Januari lalu, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.

Bintang yang berusia 20 tahun itu menyatakan demikian ketika dia muncul dalam rancangan perbualan popular, Late Show bersama David Letterman. Gomez turut mendedahkan dia kini dalam keadaan baik selepas berpisah dengan Bieber, 19.

"Saya tidak mempunyai kekasih. Saya begitu baik," katanya semasa diwawancara Letterman. - AGENSI

Pencerobohan Sulu Bukan Atas Kepentingan Islam


LAHAD DATU: Tindakan pengganas militan dari selatan Filipina menceroboh Sabah hanya mengikut nafsu dan berkepentingan peribadi, bukannya atas kepentingan agama Islam.

Bekas mufti Negeri Johor yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Nooh Gadot berkata tindakan mereka itu tidak membawa sebarang makna dan tersasar daripada landasan Islam.

“Mereka berjuang ikut hawa nafsu, taksub, ikut syaitan, ada kepentingan peribadi dan bukan kepentingan agama serta menyelamatkan negara,” katanya kepada Bernama di Dewan Cenderawasih FELDA Sahabat semalam.

Beliau mengetuai rombongan Majlis Penyelaras Gabungan Persatuan Bukan Kerajaan Melayu Johor bagi menghantar sumbangan kepada penduduk kampung yang ditempatkan di dewan itu serta mereka yang tinggal di tiga lagi dewan iaitu Fajar Harapan, Embara Budi dan Gemala Pura.

Pengganas militan itu melakukan pencerobohan di Kampung Tanduo pada 12 Feb kononnya berjuang untuk mendapat hak mereka di Sabah.

Nooh berkata perjuangan kumpulan pengganas itu jauh sekali untuk agama dan negara mereka, malah bertindak tanpa perikemanusiaan selain menggugat keamanan umat Islam lain di negara ini, terutama di kawasan Lahad Datu.

“Dalam peperangan Islam, kalau membunuh seseorang musuh diharamkan mayat mereka diapa-apakan sebagai menghormati mayat musuh,” kata Nooh, yang juga Anggota Majlis Diraja Johor.

Beliau menyifatkan tindakan pencerobohan oleh pengganas militan itu tidak mengikut lunas kemanusiaan, tuntutan dan budaya Islam serta undang-undang antarabangsa.

“Keputusan dan tindakan kerajaan memerangi pengganas militan ini untuk melindungi nyawa umat Islam di negara ini adalah sesuai dan wajib dilakukan atas tuntutan Islam. Ia bagi memastikan keamanan dan kedaulatan negara terus dijaga,” katanya.

Mengulas misi kemanusiaan itu, Nooh yang menjadi penasihat majlis gabungan membabitkan 360 persatuan bukan kerajaan Melayu Johor, berkata ia dibuat atas keprihatinan rakyat negeri itu terhadap mereka yang terjejas akibat tindakan pengganas militan dan anggota pasukan keselamatan yang terkorban.

Beliau berkata tabung itu berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM140,000 dan mengumpul pakaian terpakai untuk diagih kepada penduduk kampung yang dipindahkan ke pusat pemindahan.

Selain bantuan barangan keperluan dan kewangan kepada penduduk kampung itu, Nooh bersama rombongan melaksanakan pendekatan kerohanian dengan melakukan tazkirah, tahlil serta sembahyang hajat di Dewan Fajar Harapan. - BERNAMA

Kes Penyakit Tibi Di Miri Serius

Catat kes tertinggi dengan 612 kes daripada 300,000 populasinya

MIRI: Miri mencatat kes penyakit batuk kering atau tuberculosis (tibi) paling tinggi di negeri ini dengan 612 kes direkodkan daripada 300,000 populasinya pada tahun lepas.

Menurut Pegawai Perubatan Hospital Miri Dr Jee Rou Chee, peningkatan ini amat membimbangkan sekiranya tiada langkah pencegahan awal diambil oleh para penghidap penyakit tersebut.

Katanya meskipun setakat ini Kuching merekodkan jumlah kes paling tinggi iaitu sebanyak 730 kes, namun ia dianggap masih rendah memandangkan jumlah populasinya dua kali ganda lebih ramai daripada penduduk Miri.

“Kita merekodkan lebih banyak kes di sini berbanding Kuching atau tempat-tempat lain di seluruh Sarawak.

“Kenapa?, antara sebabnya adalah kurangnya kesedaran tentang bahaya penyakit tibi di samping sukar mendapatkan rawatan berikutan masalah pengangkutan,” katanya ketika menyampaikan ceramah kesihatan awam berhubung penyakit tibi di Pustaka Miri di sini semalam.

Menurut Dr Jee, kurangnya kesedaran tentang bahaya penyakit tibi dan bagaimana ia boleh merebak kepada orang lain merupakan antara sebab mengapa penyakit ini sukar dikawal walaupun ia adalah sejenis penyakit yang dapat diubati.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan pada tahun lalu, daerah Marudi dan Miri masing-masing merekodkan peratusan paling rendah dan kedua terendah dari segi bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan iaitu hanya 50 dan 63 peratus.

Sedangkan tiga daerah lain iaitu Saratok, Pakan dan Song mencatat 100 peratus bilangan pesakit mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, beliau menggesa mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi supaya datang secara sukarela untuk membuat pemeriksaan kesihatan di poliklinik berdekatan.

Manakala mereka yang tinggal di Miri boleh mendapatkan rawatan sama ada di Poliklinik Tudan atau Miri.

Tibi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan bakteria dan ia boleh merebak melalui air dan angin dan boleh berjangkit dengan cepat sekirannya bersentuhan dan berkongsi perkakas dengan penghidapnya.

“Justeru, adalah penting apabila seseorang itu didapati positif tibi, semua ahli keluarga atau rakan sekerja membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengelak penyakit tersebut daripada merebak,” jelasnya.

Dalam pada itu menurut Dr Jee, antara kumpulan paling berisiko tinggi dijangkiti tibi adalah mereka yang mempunyai ahli keluarga penghidap tibi, penghidap HIV, imigran dari negara yang merekodkan penyakit tibi paling ramai, mereka yang berada di pusat pemulihan (penjara dan pusat pemulihan dadah) serta penghidap penyakit berisiko seperti kencing manis dan sebagainya.

Manakala simptom-simptom penyakit tibi adalah demam biasa, berpeluh pada waktu malam, batuk kering, susut berat badan dan hilang selera makan.

Seramai 150 orang telah menghadiri ceramah itu yang merupakan anjuran Pustaka Miri dan Hospital Miri sempena sambutan Hari Tibi Sedunia 2013.

Gangguan Bekalan Air Di Lutong Pada 27 Mac Ini


MIRI: Beberapa kawasan di Lutong akan mengalami gangguan bekalan air bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang pada 27 Mac ini. Kawasan terbabit meliputi Jalan Kampung Pengkalan, Jalan Spring dan Kampung Pengkalan Lutong.

Menurut pihak LAKU Management Sdn Bhd, gangguan itu berlaku berikutan kerja-kerja penyelenggaraan paip utama di Jalan Kampung Pengkalan.

Sekiranya keadaan cuaca pada hari tersebut nanti tidak mengizinkan, kerja-kerja berkenaan akan ditunda ke hari berikutnya.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan terjejas dinasihati untuk menyimpan bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan pada hari tersebut nanti.

Bagaimanapun, sekiranya mereka memerlukan bekalan air mendadak, bolehlah menghubungi Bahagian Khidmat Pelanggan melalui talian 085-436626/426626 untuk mendapatkan bantuan.

Justeru, pihak LAKU memohon maaf atas sebarang kesulitan dialami sepanjang tempoh tersebut.

Nafi Tuduhan Miliki Syabu


MIRI: Seorang lelaki diperintahkan Mahkamah Majistret semalam supaya dibebas dengan ikat jamin RM2,000 berserta dua orang penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis syabu.

Clement Wong Kee Seng, 33, dari Quardruplex Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis syabu (methamphetamine) seberat 0.01 gram (berat bersih).

Methamphetamine merupakan satu item yang terkandung di dalam Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952 (semakan 2001). Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.06 pagi, 17 Oktober 2011 di Jalan Pelita 1 di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 3 April depan untuk pengurusan kes. - BERNAMA

Peguam Negara Yakin Ada Lagi Pendakwaan Suspek Menyusul



TAWAU: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yakin ada beberapa lagi pendakwaan akan dibuat terhadap suspek yang ditahan anggota keselamatan di bawah Operasi Daulat berikutan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Abdul Gani bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh menentukan masa dan memberi bilangan suspek yang akan didakwa memandangkan insiden pencerobohan belum berakhir dan pertempuran masih berlaku antara anggota keselamatan dan penceroboh.

Beliau berkata, anggota keselamatan memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan mereka sebelum mana-mana suspek yang ditahan boleh dituduh di mahkamah.

“Apa yang penting ialah perkara ini masih berlaku. Anggota keselamatan sedang melakukan yang terbaik walaupun dalam situasi begini. Saya faham kesukaran-kesukaran yang dihadapi anggota keselamatan untuk menjalankan siasatan.

“Di lapangan, ketika peluru masih berterbangan, mereka perlu menyiasat menerusi forensik dan sebagainya. Jadi, ini adalah perkara yang kita mesti fahami,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau selepas prosiding pendakwaan di Mahkamah Tawau di sini semalam.

Abdul Gani berkata, memberi masa kepada anggota keselamatan untuk melengkapkan siasatan tidak bermakna mereka berniat melengah-lengahkan kes berkenaan sebaliknya ia dilakukan bagi memastikan keadilan untuk semua.

Katanya, beliau sendiri telah turun padang ke Lahad Datu untuk melihat anggota keselamatan melaksanakan tugas.

Beliau berkata, apabila seseorang itu hendak dituduh di mahkamah, ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, tanpa cukup bukti.

“Kadang-kadang dalam kes ini, kita yakin memang dia buat tetapi kita tak cukup bukti, kita tak boleh tuduh. Kena ingat, hak itu sama. Sama juga dengan orang kita, kalau tak cukup bukti, kita tak akan tuduh. Tuduh tanpa bukti atau bukti yang berkurangan adalah salah,” katanya.

Abdul Gani berkata, terdapat juga kes berkaitan pendatang tanpa izin dalam operasi itu dan tindakan akan diambil berasaskan undang-undang negara ini.

“Untuk berlaku adil, saya tidak melihat apa-apa bukti mengenai penganiayaan oleh polis semasa mengendalikan kes ini,” katanya. - BERNAMA

Judi Online, Penjaga Pusat Hiburan Mengaku Tidak Bersalah


MIRI: Seorang penjaga sebuah pusat hiburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan menjalankan kegiatan mesin judi atas talian secara haram.

Fazzullah Supri, 29, dari Pujut 9B di sini didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah menjalankan kegiatan mesin judi atas talian tanpa mempunyai sebarang lesen yang sah.

Tertuduh yang merupakan penjaga premis didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.45 petang, 1 Mac lalu di Lot 8688, Jalan Dato Permaisuri 3C, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa memohon ditetapkan satu tarikh baru untuk perbicaraan kes tersebut memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Majistret Lovely Natasha Charles membenarkan permohonan itu dan menetapkan 9 April depan untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh diperintahkan dibebas dengan ikat jamin 1,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Dalam kes berasingan, seorang remaja lelaki didenda RM2,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret pagi semalam kerana kesalahan menjalankan kegiatan mesin judi atas talian secara haram. - BERNAMA

Pengganas Sulu Mempunyai Tatu Ayat Al-Quran

Mayat pengganas cepat busuk dan dihurungi ulat dalam tempoh sejam


LAHAD DATU: Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, tetapi berdasarkan tanda-tanda yang ditemui pada mayat pengganas itu, mereka menggunakan ilmu kebatinan yang berunsur syirik.

Antara benda-benda berunsur syirik yang ditemui pada mayat pengganas ialah tangkal yang mereka percayai boleh menjadikan anggota militan kebal dan takwim bagi meramal hari yang sesuai untuk menyerang pasukan keselamatan.

Menurut sumber pasukan keselamatan, terdapat pengganas yang mati ditembak memakai tangkal dan mempunyai tatu ayat al-Quran di badan.

“Mereka mungkin kebal dengan peluru tetapi tidak setiap masa. Malah jika kulit mereka tidak lut namun letupan mortar mampu membunuh mereka,” katanya.

Beliau berkata, ada satu mayat pengganas yang mempunyai kesan hitam dipercayai kesan peluru namun kemungkinan kematian pengganas itu disebabkan luka dalaman akibat bunyi dan letupan mortar.

“Peliknya pengamal ilmu batin ini, mayat pengganas cepat busuk dan dihurungi ulat dalam tempoh sejam. Jika manusia biasa ulat akan hurungi mayat itu jika dibiarkan lebih dari dua atau tiga hari,” katanya.

Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Sabah Mej Anuar Mat Zin berkata Islam melarang menggunakan ilmu kebatinan yang boleh menyekutukan Allah dalam menegakkan sesuatu perjuangan kerana ia lari daripada landasan agama.

Beliau berkata perbuatan itu boleh merosakkan akidah sekali gus menjadikan perjuangan mereka adalah perbuatan sia-sia.

“Perbuatan memuja sesuatu ilmu seperti untuk kebal adalah salah di sisi Islam, Islam tidak menerima perjuangan seperti itu biar apapun niat dan matlamatnya,” katanya yang turut terlibat dalam Operasi Daulat dalam membanteras kumpulan pengganas itu.

Beliau berkata, soal ajal dan maut adalah di tangan Allah dan tiada siapa atau kuasa yang dapat mengubahnya.

Pengganas yang didakwa menggunakan ilmu batin untuk kebal turut memakai tangkal dan kad meramal hari, iaitu ilmu Kutika yang dipelajari daripada buku Tajul Muluk dan perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Itu mungkin kepercayaan mereka,” katanya selepas ditemui pemberita di markas operasi FELDA Sahabat 16, dekat sini kelmarin.

Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi pula menyifatkan amalan kebatinan pengganas tidak melambangkan mereka seorang pejuang jihad seperti yang cuba digembar-gemburkan pihak tertentu di negara ini.

“Menurut Islam adalah haram bagi mana-mana pihak yang ingin mengganggu-gugat negara yang berdaulat, iaitu pemimpinnya dipilih oleh rakyat dengan kerelaan hati mereka.

“Tetapi ia dibenarkan jika kedaulatan negara terancam seperti Palestin kerana ia demi mempertahankan kedaulatan negara itu yang telah dirampas,” katanya yang menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan adalah satu jihad kerana mempertahankan negara berdaulat. - UTUSAN BORNEO

SM Sains Miri Terus Kekal Sebagai Sekolah Terbaik Di Miri


MIRI - Tersenarai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Sekolah Menengah (SM) Sains Miri sekali lagi mengekalkan kejayaan sebagai sekolah terbaik di Miri dengan memperolehi kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Keputusan SPM 2012 telah mencapai gred purata 2.12 peratus secara keseluruhan dengan 16 calonnya mendapat A dalam semua subjek.

16 calon yang memperolehi keputusan cemerlang itu ialah Mohamad Hazrul Sulaiman, Abang Mohamad Harith, Najihah Yahya, Esther Symbah Morris, Michelle Diana Bong, Mohamad Izwan Mohamed Noriman, Nur Shakirah Shafian, Mohd Nazirul Kamari, Nur Afiqah Adenan, Aniza Annuar, Esther Geruna, Ferennie Angelly Liew, Jackson Dian Bobbry Ganing, Siti Norhafizah Omar, Nuraziemah Ahmad dan Siti Fadhliah Basrah.

Sementara itu, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang (KTDTHB) turut mencapai keputusan cemerlang dalam semua subjek selepas merekodkan kelulusan 100 peratus.

Sejumlah 18 calon daripada 118 calon yang mengambil peperiksaan SPM mendapat keputusan cemerlang.

18 calon tersebut ialah Firdaus Mohamad Amadin (8A+,1A), Dayang Ayuni Dayana Awang Bakar (4A+,5A), Shaqil Amily Jong (3A+,2A,4A-), Charles Setia (3A+,3A,3A-), Christal Asong Vinsien (4A+,4A,1A-), Leeroy Shah (3A+, 2A, 4A-), Mohammad Amir Zarith Haizam (2A+,4A,3A-), Connie A’an Laing (6A+,2A,1A-), Liyana Aqilah Alias (3A+,1A,5A-), Mohammad Hafizuddin Halwi (6A+,2A,1A-), Mohammad Hajib Ali (4A+,3A,2A-), Mohammad Najib Mohamad Shukri (5A+,3A,1A-), Nazihah Mohamad (2A+,4A,2A-,1B+), Angelyn Dominic Untam (3A+,2A,3A-,1B+), Emma Allyen Martin (3A+,3A,2A-,1B+), Law Peng Hang (1A+,3A,4A-,1B+), Dayang Ajeerah Awang Husaini (2A+,3A,3A-,1C+), dan Nur Afiqah (2A+,2A,4A-,1B+).

Bagi SMK St. Joseph Miri, sejumlah 157 calon termasuk dua calon Pendidikan Khas telah mengambil peperiksaan SPM 2012. Tiga calonnya mendapat keputusan cemerlang dengan memperolehi 9A dalam kesemua mata pelajaran.

Calonnya ialah Dolly Paya Michael Ding, Amanda Ng Thing Wei dan Christine Liaw Shin Ling. Manakala 14 lagi calonnya turut mendapat keputusan yang memberangsang dengan keputusan 8A, 7A, 6A, dan 4A.

Mereka ialah Evelyn Lau Lin Yin, Huong Nai Hao, Nurrizzuwanni Hairuddin, Kenneth Kho Khai Kiat, Mansellin Chong Han Yee, Teffie Shallenssey Tasing, Andrea Stephenie Stephen, Jasmine Yong Chia Yin, Javarica Dee Lianna Jack, Jenmarie Jill Engan, Lim Kian Kiat, Ling Siaw Yuen, Tang Tung Hau dan Debra Mina Dennis.

Manakala bagi SMK Baru Miri, kelulusan pencapaian SPM 2012 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus dengan 88.8 peratus kelulusan berbanding tahun sebelumnya yang mencapai kelulusan 88.2 peratus.

Seramai 12 calonnya yang terdiri daripada kelas aliran sains memperolehi keputusan yang cemerlang iaitu Jordan Lau Woon (7A,3B), Aaron Chiew Fook Sheng (7A,2B,1C), Emelda Bodong (7A,1B,1C), Sonia Unyang Jau (6A,4B), Azyan Haziqal Hanif (5A,4B,1C), Grace Ng Lay Guan (5A,1B,4C), Susielawaty Maja (5A,1B,4C), Aina Farwiyah Anuar (5A,1B,3C), Nur Alisha Jazreen Mohamad Harith (4A,4B,2C), Nurshafiqah Shamsuri (4A,4B,1C,1D), Zulaiha Ashadi (4A,2B,2C,2C) dan Olivia Nayah Serai (4A,1B,5D).

Manakala SMK Lopeng Tengah, enam calonnya mendapat keputusan yang memberangsangkan iaitu Kiung Sie Ying, Valerie Usun Francis, Ivy Ong Mei Ling, Lee Hui Ling, Na Zarnatul Azariah dan Sim Siong Yau.

Pengganas Sulu Perlu Diwakili Peguam


TAWAU: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata lapan lelaki Filipina yang didakwa di Mahkamah Tinggi di sini semalam perlu diwakili peguam bagi membela mereka demi keadilan dan atas dasar kemanusiaan.

Abdul Gani berkata disebabkan prinsip itu, beliau memohon mahkamah supaya tidak mencatatkan sebarang pengakuan tertuduh sehingga diwakili peguam masing-masing.

Katanya, Jabatan Peguam Negara akan menghubungi kedutaan Filipina esok (hari ini) sekiranya mereka berhasrat melantik peguam bagi pihak warganegaranya.

“Kelapan-lapan mereka telah dituduh tetapi saya meminta supaya hakim tidak mengambil pengakuan sebab sebagai pendakwa raya, saya berpendapat bahawa mereka harus diwakili peguam kerana hukumannya adalah berat.

“Kita ada peruntukan di mana bagi dua tertuduh di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan (melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong), ia membenarkan kerajaan melantik peguam untuk mereka, mahkamah akan melantik peguam dan kerajaan akan bayar.

“Walaupun tuduhan di bawah Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (menjadi ahli pengganas) yang dihadapi tertuduh lain tidak membawa hukuman mati, namun saya memberi jaminan kepada mahkamah bahawa saya akan cuba seberapa boleh untuk dapatkan peguam. Bukan atas apa tetapi atas prinsip kemanusiaan, seseorang yang dituduh harus mendapat pembelaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

Bagi tujuan yang sama, beliau juga telah berbincang dengan Sabah Law Association untuk membantu mendapatkan peguam bagi pihak tertuduh dan pagi kelmarin, beliau menghubungi Presiden Majlis Peguam Christopher Leong untuk membantu.

“Presiden Majlis Peguam di Kuala Lumpur juga saya hubungi dan mereka pun bersedia untuk membantu apa yang mereka boleh. Namun, Sabah Law Association adalah badan yang bertanggungjawab di Sabah. Mereka ada undang-undang, peguam di Semenanjung bukan sewenang-wenangnya dapat masuk untuk praktis di sini.

“Tetapi terpulang kepada mereka. Saya akan berbincang dengan mereka. Saya jangkakan mereka akan menyediakan peguam bagi kes ini,” katanya. - BERNAMA

Dipenjara Dua Minggu Kerana Curi Telefon Bimbit

Gambar Hiasan

MIRI: Seorang remaja lelaki dijatuhi hukuman penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan mencuri satu unit telefon bimbit kepunyaan seorang wanita. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan.

Ariman Marangga Sabri, 18, dari Kampung Batu Satu, Jalan Miri-Kuala Baram didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah mencuri satu unit telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Y Young berharga RM300 kepunyaan Jucinta Jok. Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.02 malam, 17 Mac lalu di Lot 64 Taman Gilbert di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman yang ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Pekerja Dibunuh Kejam Di Ladang Sawit


LUNDU: Seorang pekerja kontrak dibunuh kejam dalam satu kejadian rompakan di sebuah ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira dua kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia di sini, pagi semalam.

Mangsa, Liew Siong Fatt, 42, berasal dari Batu Kawa, Kuching ditemui mati dengan kesan tetakan di bahagian kepala selain tangan kiri mangsa juga dikatakan terputus dalam insiden yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Wong Chee Kiong mengesahkan insiden tersebut dan memberitahu mangsa dipercayai dibunuh semasa dirompak sebelum kenderaan jenis Toyota Hilux miliknya dilarikan dari tempat kejadian.

“Kes tersebut disiasat sebagai kes bunuh dan curi kenderaan di mana kereta Toyota Hilux milik mangsa dengan nombor pendaftaran QAM3012 dipercayai telah dilarikan penjenayah dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam. Menurutnya, siasatan terperinci masih dijalankan di tempat kejadian.

“Pihak kita masih menjalankan siasatan dan terdapat kesan tayar motosikal jenis ‘Scrambler’ ditemui dari tempat kejadian menuju ke sempadan.

“Bagaimanapun, belum ada suspek dikenal pasti buat masa ini,” jelasnya.

"Saya Disuruh Dan Diupah"


TAWAU - Seorang daripada tertuduh yang didakwa menjadi anggota pengganas yang menceroboh Sabah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak dinamakannya.

Hooland Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh mendedahkan demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas, dua daripadanya turut dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan Hooland di hadapan Hakim Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah. Hooland turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukannya.

Sejurus kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata demikian dan segala pengakuan akan dibuat selepas diwakili peguam pada 12 April nanti.

Ketika prosiding pagi ini, Hakim Ravinthran memberi peluang kepada setiap tertuduh untuk memberitahu mahkamah berhubung pertuduhan ke atas mereka dan jurubahasa perlu menjelaskan beban hukuman bagi setiap kesalahan.

Tertuduh juga diterangkan tentang pembelaan mereka yang perlu diwakili peguam kerana tuduhan ke atas mereka membabitkan hukuman berat iaitu gantung dan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dua tertuduh itu bersama empat yang lain turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua lagi didakwa cuba melindungi pengganas.

Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agung dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.

Sementara itu, Timhar Hadir, yang juga didakwa atas kesalahan sama (menjadi anggota pengganas) memberitahu bahawa dia datang ke Malaysia pada Febuari lepas menggunakan pasport antarabangsa.

Bagaimanapun Hakim Ravinthran meminta dia tidak menyatakan selanjutnya sebelum berbincang dengan pihak peguam.

Seorang lagi tertuduh yang menghadapi tuduhan sama, Habil Suhaili merupakan tertuduh yang mengambil masa agak lama untuk memahami pertuduhan.

Dia yang kelihatan berusia lebih daripada 60 tahun tidak dipakaikan straight jacket seperti tertuduh lain dan jurubahasa membacakan pertuduhan berulang kali dalam bahasa Suluk.

Habil sempat menyatakan bahawa dia tidak melakukannya namun hakim menjelaskan pengakuan itu tidak akan direkod.

Tertuduh pertama Atik Hussin Abu Bakar yang didakwa atas tuduhan melancarkan perang dan menjadi anggota pengganas hanya memohon penjelasan hukuman yang akan dihadapinya. Atik Hussin yang berbahasa Bajau kelihatan bersahaja seperti tertuduh lain.

Empat tertuduh lagi, Lin Mad Salleh, Basad Manuel, Kadir Uyung dan Lating Tiong hanya menyatakan nothing to say (tiada apa yang hendak dicakapkan).

Basad menghadapi dua pertuduhan yang sama seperti Atik Hussin manakala Lin hanya didakwa menjadi anggota pengganas dan Kadir serta Lating menghadapi tuduhan melindungi kumpulan pengganas.

Kesemua terduduh hanya menundukkan kepala ketika berada di kerusi sebelum dibawa ke kandang tertuduh untuk dibaca pertuduhan. Kesemua mereka tidak dibenarkan jamin.

Sementara itu, wartawan dan jurugambar yang membuat liputan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini dikawal ketat oleh anggota polis lengkap bersenjata dan hanya seorang wartawan daripada setiap organisasi yang dibenar masuk.

Kesemua wartawan yang dibenar memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi hanya dibolehkan membawa buku nota dan pen manakala semua alat komunikasi dan peralatan lain tidak dibenarkan. Tiada wartawan asing hadir membuat liputan prosiding hari ini.

Lapan tertuduh yang ditutup bahagian kepala dibawa menaiki lori polis kira-kira 10.10 pagi. - BERNAMA

Khamis, 21 Mac 2013

Tentera Malaysia Didakwa Mahu Bunuh Jamalul Kiram

Jamalul Kiram III

Jacel Kiram 

MANILA - Tentera Malaysia didakwa merancang untuk membunuh pemimpin pengganas Sulu, Jamalul Kiram III dan para pengikutnya, lapor akhbar Philippine Daily Inquirer semalam.

Seorang anak perempuan kepada Jamalul Kiram, Jacel Kiram berkata, seorang peguam, Mario Lozada telah berjumpa dengan seorang lelaki bernama Sunny Ng yang dipercayai sebagai pegawai tentera Malaysia berpangkat kolonel di restoran Genting Palace di kompleks kasino Resorts World, bandar Pasay pada Isnin lalu.

Menurutnya, pertemuan itu diatur oleh seorang ahli perniagaan Malaysia bernama Kenneth Lee yang mempunyai kaitan dengan sebuah firma Malaysia, tempat Lozada bekerja sebagai penasihat undang-undang.

"Mereka membayangkan kepada Lozada bahawa kedatangan ke sini adalah untuk membunuh Jamalul Kiram dan para pengikutnya (termasuk penasihat Jamalul Kiram, Pastor Boy Saycon)," dakwa Jacel pada satu sidang media di kediamannya di bandar Taguig.

Jacel berkata, Biro Siasatan Kebangsaan dan beberapa pegawai tentera Filipina memberi komitmen untuk menyiasat dakwaan untuk membunuh Jamalul Kiram.

"Malaysia berani untuk bertindak radikal kerana kenyataan Presiden Filipina, Benigno Aquino III yang pro-Malaysia," katanya.

Kelmarin, jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani mendakwa Ng dan empat orang 'komando' telah tiba di negara ini.

Menurutnya, mereka mahu membunuh Jamalul Kiram dan para pengikutnya. Idjirani turut mendakwa Ng mengupah tiga anggota Tentera Rakyat Baharu untuk melakukan misi tersebut.

Sebelum ini Jacel pernah menipu dengan menunjukkan sekeping gambar palsu yang didakwanya sebagai anggota keselamatan Malaysia yang mati selepas bertempur dengan pengikut bapanya.

Menurut akhbar dalam talian GMA News, gambar itu sebelum ini telah diterbitkan di muka hadapan akhbar Philippine Star. Selepas dimaklumkan oleh beberapa orang pembaca, pihak GMA News kemudian turut mengesahkan imej tersebut sebenarnya palsu. Gambar itu merupakan askar-askar Thailand yang terkorban pada tahun 2007 yang disiarkan di internet.

Sementara itu,Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika dihubungi menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) menyifatkan tuduhan terbaharu itu sebagai mengarut.

Remaja AS Dihukum Penjara Seumur Hidup

T.J. Lane

ARDON, Ohio - Seorang remaja, T.J. Lane, 18, yang didapati bersalah membunuh tiga orang pelajar di kantin sekolah di Chardon, Ohio, Amerika Syarikat (AS) semalam dijatuhi sebanyak tiga hukuman penjara seumur hidup tanpa dibenarkan parol.

Dia mengaku bersalah pada bulan lepas dalam kejadian tembakan yang berlaku pada Februari tahun lalu. Beberapa penyiasat berkata, Lane menyatakan tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian.

Sebelum kes itu dibicara di mahkamah awam, seorang hakim mahkamah juvana memutuskan Lane waras dan boleh dibicarakan biarpun ada bukti mendakwa dia mengalami halusinasi, psikosis dan fantasi. - AP

Ribuan Bangkai Udang Terdampar Di Pantai


CORONEL - Ribuan bangkai udang terdampar di sebuah pantai di sini, kira-kira 540 kilometer ke barat daya Santiago, Chile kelmarin.

Udang tersebut mati ekoran pencemaran yang berlaku di kawasan habitatnya dekat pantai tersebut.

Pencemaran itu berlaku selepas air yang digunakan untuk menyejukkan dua loji termoelektrik dilepaskan ke laut tersebut. - Reuters

M’sia Akan Menang Mudah Dalam Isu Tuntutan Sabah


PUTRAJAYA: Malaysia akan menang mudah dalam isu tuntutan ke atas Sabah jika kerajaan Filipina dan Malaysia bersetuju membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kata seorang pakar sejarah terkemuka tanah air.

Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, ini berdasarkan rekod dan bukti sejarah yang jelas menunjukkan Sabah adalah milik Malaysia.

Khoo berkata jika sekalipun diadakan satu lagi pungutan suara mengenai hasrat rakyat Sabah, “semua rekod menyebelahi kita”.

“Jika kerajaan Filipina membawa isu tuntutan ke ICJ, mereka akan kalah, sama seperti mereka kalah dalam isu tuntutan Sipadan.

“Mereka telah tidak ‘mengendali’ pulau ini sejak 1873. Lebih penting, rakyat Sabah telah bersetuju menjadi sebahagian daripada Malaysia. Ini keputusan dicapai Suruhanjya Cobbold sebelum pembentukan Malaysia,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Forum Kepimpinan Pusat Pengajian Kerajaan Razak (RSOG) berjudul “Multibudaya di Malaysia: Adakah suasana wujud seperti seharusnya?” di Menara Prisma di sini semalam.

Khoo diminta mengulas laporan bahawa kerajaan Filipina telah meminta sepasukan peguam kanan mengkaji tuntutan negara itu ke atas Sabah yang kini terhenti.

Debat mengenai tuntutan ke atas Sabah oleh kerajaan Filipina dan Kesultanan Sulu timbul kembali berikutan insiden pencerobohan di pantai timur Sabah baru-baru ini.

Bagaimanapun, Khoo berkata Kesultanan Sulu tidak boleh membawa kes itu ke ICJ kerana ia bukan sebuah negara berdaulat.

“Sulu sendiri tidak boleh berdepan dengan Malaysia…sukar untuk pergi ke ICJ kecuali Manila sedia membantu mereka.

“Saya tidak pasti Sulu dan Manila dapat bekerjasama (dalam isu tuntutan ke atas Sabah). Mereka tidak pernah bersepakat,” kata beliau. - BERNAMA