Rabu, 9 Oktober 2013

Pukulan beduk selamat nyawa

Penduduk melihat keadaan selepas kebakaran terbesar di Matu

MATU: Pukulan beduk jiran menyelamatkan nyawa mangsa kebakaran yang meranapkan 12 rumah kayu di Kampung Padang Tian, Matu dekat Mukah, awal pagi semalam.

Dalam insiden pada kira-kira jam 3 pagi itu, seorang jiran dari kawasan kebakaran, Hassan Udin, 57, ternampak sebuah rumah mula dijilat api lantas mengejutkan jiran-jiran lain untuk memukul beduk.

Menurut Hassan, mengikut tradisi kampung itu, jika beduk masjid berbunyi, ia menandakan ada sesuatu insiden sedang berlaku di sekitar kampung.

“Saya ternampak api sedang membakar sebuah rumah dan secepat kilat saya meminta jiran-jiran lain membunyikan beduk untuk mengejutkan mereka yang sedang tidur.

Kebakaran yang meranapkan bangunan asrama SMK Lake, Bau semalam

“Setiap pagi, saya bangun awal kerana anak saya lazimnya bangun sekitar masa itu untuk membuat kuih,” katanya kepada Utusan Borneo di lokasi kejadian, semalam.

Sejurus itu, usaha memadamkan api yang marak digerakkan oleh penduduk kampung menggunakan enjin pam dengan menyedut air dari Sungai Tian.

“Ketika kejadian angin bertiup agak kencang yang mengakibatkan api marak dengan cepat,” ujarnya yang tinggal kira-kira 100 meter dari kawasan kejadian.

Dalam insiden yang disifatkannya sebagai terbesar di Matu, kira-kira 37 orang daripada 12 keluarga hilang tempat tinggal. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Mangsa kebakaran kini tinggal di rumah keluarga terdekat.

Ahli Parlimen Igan Datuk Wahab Dollah turut menghulurkan bantuan makanan terawal kepada mangsa.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mukah Rasit Morni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera dengan enam anggota yang diketuai oleh Pegawai Azman Amit.

“Selepas menerima panggilan kecemasan, kami terus menghubungi pihak polis di Igan untuk membantu menyediakan feri dan kami mengambil masa dua jam lebih untuk sampai ke lokasi kejadian iaitu sekitar jam 5.09 pagi.

“Sejurus tiba, saya dan anggota lain terus berusaha memadamkan api dan dapat mengawal api 10 minit kemudian.

Api dapat dikawal sepenuhnya sekitar jam 7.40 pagi,” katanya.

Rasit menambah, anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan orang awam turut membantu pihak bomba memadam kebakaran tersebut.

Sementara itu di Bau, sebuah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake musnah dijilat api dalam kebakaran tengah hari semalam.

Asrama dua tingkat tersebut yang menempatkan pelajar lelaki tingkatan enam dan empat sekolah berkenaan dikatakan musnah 70 peratus dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 12 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bau Zainal Elias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.06 tengah hari.

“Jarak di antara balai dan sekolah kira-kira satu kilometer di mana kita tiba di tempat kejadian kurang daripada seminit selepas bertolak dari balai “Dengan kekuatan anggota seramai 14 orang yang turut dibantu oleh beberapa pelajar Kadet Bomba sekolah berkenaan, kita berjaya mengawal api pada jam 12.30 tengah hari dan dipadam sepenuhnya pada jam 1.04 petang,” jelas Zainal sambil menambah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

“Tiada pelajar berada di asrama tersebut semasa kebakaran berlaku.

Kita difahamkan, asrama tersebut dihuni oleh pelajar tingkatan empat serta enam bawah dan mereka ketika ini sedang bercuti.

“Hanya beberapa pelajar tingkatan enam bawah sahaja yang tidak bercuti, namun semasa kejadian mereka sedang mengikuti kelas tambahan,” katanya.

Menurut Zainal lagi, tingkat atas bangunan separa konkrit kekal itu musnah sepenuhnya, manakala tingkat bawah terbakar 20 peratus.

“Api merebak dengan cepat tambahan tingkat atas bangunan asrama tersebut dibina daripada kayu, manakala tingkat bawah konkrit,” katanya.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sabtu, 5 Oktober 2013

Korban bot terbalik di Itali meningkat kepada 111 orang

Pengawal pantai menyelamat seorang mangsa bot karam dekat pulau Lampedusa, Itali kelmarin

LAMPEDUSA - Pasukan penyelamat Itali menemui 111 mayat pencari suaka daripada sebuah bot yang karam dekat pulau Lampedusa di Itali kelmarin, kata seorang pengawal pantai semalam. Pasukan berkenaan dijangka mengeluarkan lebih 100 mangsa lagi dari dalam bangkai bot tersebut.

Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 155 mangsa selepas bot sepanjang 20 meter yang membawa sekitar 500 pencari suaka karam kurang satu kilometer dari pantai. Kebanyakan pencari suaka itu berasal dari Eritrea dan Somalia.

"Pasukan penyelam meneruskan operasi pada pagi ini. Kami menjangkakan untuk menemui lebih 100 lagi mayat," kata pengawal pantai, Floriana Segreto.

Lebih 300 orang dipercayai terkorban dalam tragedi paling buruk krisis imigran di Eropah sejak beberapa dekad lalu.

Insiden berlaku apabila bot malang itu terbakar hingga mencetuskan panik dalam kalangan imigran sebelum ia terbalik dan karam. - Reuters

Nelayan dikhuatiri hilang di laut

ASIAH (tengah) bersama tiga anaknya menunjukkan gambar suaminya

TUMPAT – Seorang nelayan dikhuatiri hilang di laut selepas keluar untuk menunda bot rakannya yang tersadai di kawasan Pantai Dasar Sabak, Kota Bharu sejak tiga hari lalu.

Mangsa, Abdul Aziz Daud, 58, yang berasal dari Kampung Pulau Seratus di sini dikatakan keluar berseorangan dengan menaiki sebuah bot laut dalam kira-kira pukul 8.30 pagi dari pangkalan Kok Majid dekat sini Rabu lalu.

Isteri mangsa, Asiah Ismail, 51, berkata, berita kehilangan suaminya itu ketahui selepas diberitahu bot yang sepatutnya ditunda oleh Abdul Aziz telah selamat tiba di pangkalan Kok Majid hasil bantuan nelayan lain.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan suaminya, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Palekbang dekat sini kelmarin.

“Anak saya bersama beberapa penduduk kampung telah melakukan gerakan mencarinya, namun hingga kini masih belum menemui sebarang petunjuk.

“Difahamkan bot yang ingin ditunda suami saya itu mengalami kerosakan pada bahagian kipas enjin dan tersadai di pantai berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Gorek dekat sini semalam.

Norish hanya dapat 30 peratus

Norish Karman hadir di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam semalam

SHAH ALAM – Selepas empat tahun menuntut hak selepas perceraian, pelakon Norish Karman terpaksa berpuas hati apabila menerima 30 peratus daripada RM1.2 juta, nilai anggaran tiga buah kenderaan mewah selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengisytiharkan aset berkenaan sebagai harta sepencarian.

Kenderaan yang dimaksudkan ialah Nissan Murano, Nissan Elgrand, dan Mercedes CLK manakala dua buah lagi kereta yang turut dituntut, SsangYong Stavic dan Toyota Caldina telah dilupuskan.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain bagaimanapun menolak tuntutan lain iaitu sebuah banglo bernilai RM2 juta di Bangi, Selangor dan dua buah kondominium di Danau Permai dan Abadi Indah masing-masing bernilai RM300,000.

Beliau turut menolak tuntutan Norish bagi dua pegangan saham syarikat milik bekas suaminya, Datuk Hashimudin Abdul Kadir sebanyak 70 peratus di Perspec Prime (M) Sdn. Bhd. dan syarikat Virtual Peak (M) Sdn. Bhd. selain saham sendiri sebanyak 60 peratus dalam syarikat Bintang Syurga (M) Sdn. Bhd.

Pada 2009, Norish atau nama sebenarnya, Nor'Asikin Karman, 37, membuat tuntutan harta sepencarian terhadap Hashimudin yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Seri Menanti, Negeri Sembilan yang dinamakan sebagai defendan selepas bercerai pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Syariah Petaling Jaya.

Beliau dalam penghakimannya memutuskan bahawa kesemua tuntutan yang dikemukakan Norish tidak sempurna, rosak dan tidak memenuhi hukum syarak.

Norish selaku plaintif gagal mengemukakan maklumat yang tepat dan tidak cukup untuk membuktikan hak pemilikan kepada harta-harta itu.

Anjing pamer aksi luncur ombak

Seekor anjing, Toby yang lengkap dengan jaket keselamatan meluncur bersama tiga patung itik

PANTAI HUNTINGTON - Berpuluh-puluh ekor anjing mencuri tumpuan apabila menyertai Pertandingan Luncur Anjing Surf City di California, Amerika Syarikat.

Kejohanan tahunan kali kelima itu berlangsung di Pantai Huntington pada Ahad lalu.

Pertandingan luncur ombak tersebut dibahagikan kepada beberapa kategori berat bermula daripada anjing di bawah sembilan kilogram (kg) hingga kepada lebih 27kg.

Acara berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton sejak ia diperkenalkan pada 2009. Anjing-anjing yang ditemani pemilik masing-masing turut dipakaikan pelbagai jenis pakaian.

Terdapat juga kategori khusus di mana pemilik boleh meluncur dengan anjing peliharaan masing-masing serta dua ekor anjing meluncur bersama-sama di atas sebuah papan luncur pada satu masa. - Agensi


Mayat dua lelaki dalam but kereta

Dua mayat dijumpai dalam but kereta Proton Waja 

BAGAN SERAI – Orang awam yang berhenti di kawasan Rehat dan Rawat Alor Pongsu arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan di sini gempar dengan penemuan mayat dua lelaki di dalam but sebuah kereta Proton Waja yang ditinggalkan di lokasi tersebut semalam.

Mayat Ting Liong Chin, 28, dan Seu Hong Chee, 19, masing-masing dari Cheras dan Kepong, Kuala Lumpur ditemui pada pukul 4.05 petang.

Ketika ditemui, tangan dan kaki kedua-dua mangsa itu dalam keadaan terikat manakala muka mereka ditutup dengan plastik lutsinar. Mereka dipercayai dibunuh sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, perkara tersebut terbongkar apabila seorang pekerja di hentian tersebut terhidu bau busuk ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.

Pekerja yang enggan dikenali itu mendakwa, dia meninjau kereta tersebut selepas melihat banyak lalat berkeliaran berhampiran but kenderaan itu.

“Saya mendapati pintu kereta itu berkunci. Saya rasa tidak sedap hati dan melaporkan perkara itu kepada polis.

Padah enggan berhenti


SUNGAI PETANI - Cubaan tiga lelaki disyaki penjenayah memecut kenderaan sebaik diarah berhenti oleh polis memakan diri apabila seorang daripada mereka cedera ditembak dekat Taman Keladi di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 malam itu, seorang remaja berusia 19 tahun terkena tembakan di bahu dan punggung manakala dua lagi rakannya dapat meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, sebelum kejadian, sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan kereta Proton Gen 2 tersebut yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di Taman Sejati Indah.

Khianat: Nyaris maut terhidu gas beracun


SIBU: Empat sekeluarga nyaris maut apabila rumah teres dua tingkat mereka di Lorong Deshon 18B di sini menjadi sasaran perbuatan khianat, awal pagi semalam.

Seorang jurujual kereta hanya dikenali sebagai Goh, 30, dan isterinya seorang guru, 29, serta dua anak mereka berumur satu dan enam tahun dikatakan sedang tidur di bilik tidur utama ketika tempat letak kereta mereka terbakar sekitar jam 3.30 pagi.

Asap tebal yang mengeluar­kan gas beracun menyebabkan mereka sekeluarga pengsan.

Jiran sebelah yang terhidu bau asap dan terdengar bunyi bising bergegas memeriksa keadaan di luar dan mendapati api merebak di tempat letak kereta mangsa.

“Saya bergegas masuk se­mula ke rumah untuk mem­beritahu ahli keluarga yang lain supaya keluar dari rumah secepat mungkin,” katanya sambil menambah beliau men­ghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat sejurus itu.

Pasukan Bomba dari Balai Sungai Merah tiba bersama lima anggota yang bergegas membuka pagar besi pintu hadapan untuk memasuki rumah tersebut.

Empat sekeluarga terbabit yang didapati masih tidak se­darkan diri di bilik tidur utama di tingkat atas, kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh ang­gota bomba.

Mereka dibawa melalui pin­tu belakang sebelum dibawa ke halaman rumah jiran mereka.

Bantuan CPR terpaksa dilakukan terhadap mereka, manakala bayi berumur seta­hun yang berada dalam kead­aan serius selepas menghidu asap dikejarkan ke Hospital Sibu menggunakan kereta polis dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kedua-dua ibu bapanya tu­rut mengalami kelecuran pada tangan mereka manakala anak perempuan mereka berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail ketika di­hubungi mengklasifikasi kes tersebut sebagai khianat. Menurutnya, pemilik ru­mah tersebut pernah terlibat dalam perniagaan menjual minyak diesel tetapi ber­henti menjalankan perniagaan tersebut dua bulan lalu.

Katanya, sebuah kereta Per­odua Viva dan sebuah kender­aan pacuan empat roda yang mempunyai tangki minyak dil­etakkan di bahagian belakang­nya turut musnah dijilat api.

“Polis sedang menjalankan siasatan ke atas motif di seba­lik kerja khianat ini,” katanya yang tidak menolak kemungki­nan penjenayah menggunakan bom ‘molotov cocktail’ sebagai penyebab kebakaran itu.

DEMAM BOLA : Serbu gara-gara khabar angin

3,000 penyokong banjiri pekarangan Stadium Negeri biarpun tiket sudah habis dijual

KUCHING: Akibat terlalu percayakan khabar angin, kira-kira 3,000 penyokong menyerbu Stadium Negeri semalam dalam usaha tera­khir untuk mendapatkan tiket perlawanan bola sepak di antara Sarawak dan Sime Darby malam ini.

Penyokong yang rata-ratanya marah dan kecewa kerana masih belum mem­punyai tiket, dikatakan mula membanjiri pekarangan sta­dium seawal jam 7 pagi, meskipun telah diberitahu tiket perlawanan sudah habis dijual.

Menurut sumber, penyokong bergegas ke sta­dium sebaik mendengar khabar angin mengatakan tiket masih dijual di sana.

“Petugas terpaksa menutup pintu pagar bagi mengelak penyokong menyerbu dan menimbulkan kekecohan dalam stadium.

“Sebahagian daripada penyokong yang mula hilang sabar dilihat mula meman­jat pagar dan memekik ke arah petugas untuk membeli tiket,” katanya.

Menurutnya, beberapa anggota polis yang dikejarkan ke tempat kejadian bagaim­anapun berjaya mengawal keadaan.

Insiden serupa turut ber­laku kelmarin apabila ribuan penyokong menyerbu Wisma Hopoh untuk mendapatkan tiket.

Keadaan itu menyebabkan beberapa buah kedai terpaksa ditutup hingga memaksa kaunter jualan tiket dipin­dah ke pekarangan tempat letak kereta pusat beli-belah berkenaan.

Salah seorang penyokong wanita dilaporkan pengsan dipercayai akibat kesesakan dan kepenatan.

Menurut sumber lagi, dua penyokong tegar Sarawak juga dikatakan hampir ber­gaduh di kaunter jualan tiket yang terletak di pusat beli-belah Sarawak Plaza.

Insiden dikatakan ber­punca ekoran kedua-dua penyokong tidak berpuas hati semasa hendak men­dapatkan tiket di kaunter berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) malam kel­marin mengeluarkan kenyat­aan bahawa tiket perlawanan bola sepak antara Sarawak dan Sime Darby tidak akan dijual di Stadium Negeri kerana sudah habis dijual.

FAS juga mengatakan pihaknya hanya menjual sebanyak 20,000 keping tiket memandangkan Sta­dium Negeri hanya dapat memuatkan seramai 21,000 penonton. - UTUSAN BORNEO

Jumaat, 4 Oktober 2013

Bot ekspres hangus ketika berlabuh

Bot ekspres malang terbabit yang sedang hangus ketika berlabuh di Temalat

SIBU: Sebuah bot ekspres yang sedang dibaiki tiba-tiba terbakar dalam kejadian pada kira-kira jam 3 petang semalam dipercayai akibat litar pintas. Bot eskpres terbabit yang berlabuh di tebing sungai berdekatan Temalat, Song bagaimanapun tidak membawa penumpang ketika kejadian.

Kontroler Lembaga Sungai- sungai Sarawak (LSS) William Jinep berkata, pihak LSS telah menerima laporan berhubung kejadian daripada juragan bot tersebut.

“Ketika kejadian, bot ekspres ini tidak membawa penumpang. Hanya empat pekerja berada di dalam bot,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Menurut William, juragan bot sedar bot tersebut mengalami sedikit kerosakan sebelum berlabuh di tebing sungai untuk dibaiki.

“Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa berlaku.

Juragan bot telah mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya dengan tidak membawa penumpang,” jelas beliau.

Siasatan awal, katanya, mendapati bot ekspres yang beroperasi bagi laluan Sibu-Temalat-Sibu itu terbakar dipercayai akibat litar pintas ketika kerja-kerja membaiki alat penyaman udara.

Beliau juga memberitahu tiada letupan berlaku sebagaimana yang didakwa dan kebakaran berjaya dipadam dalam masa lima minit.

“Kita masih belum pasti kerosakan yang berlaku memandangkan belum ada laporan daripada pemilik bot,” jelas William.

Kebakaran itu juga dikatakan telah menyebabkan kerosakan di bahagian penumpang, sementara bahagian bilik enjin dan ruang pemandu tidak mengalami kerosakan.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pengusaha dan juragan bot ekspres agar sentiasa mengutamakan soal keselamatan.