Ahad, 19 Januari 2014

Taman Tema Air Senadin Siap Sepenuhnya Jun 2015

Gambar Hiasan

MIRI: Kerja-kerja pembinaan Taman Tema Air fasa pertama di Senadin oleh Miri Housing Group akan bermula pada bulan hadapan dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2015.

Pengerusi Kumpulan Eksekutif Miri Housing Group, Datuk Lau Siu Wai berkata majlis pelancaran dan pecah tanah projek mega taman air itu akan diadakan pada 22 Februari ini oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya, majlis pelancaran dan pecah tanah itu akan diadakan di tapak taman tema seluas 500 ekar yang terletak tidak jauh dari Universiti Curtin Malaysia Sarawak (Curtin Sarawak).

“Majlis akan diadakan mulai jam 10 pagi dan kita mempelawa orang awam agar datang beramai-ramai memeriahkannya. Kita menyediakan ribuan payung berkualiti tinggi selain makanan kepada orang awam,” katanya pada sidang media di pejabat Miri Housing Group, di sini kelmarin.

Tambahnya, taman tema air itu akan dilengkapi dengan kompleks beli-belah, tiub air, papan gelongsor air, kolam renang cetek dan kolam renang dalam.

“Apabila siap nanti, ia bukan hanya mengubah wajah Senadin malah menambah tarikan di Miri keseluruhannya. Kami berharap dapat memberi lebih banyak pilihan kepada warga Miri dan pelancong untuk menghabiskan masa hujung minggu selain berjalan di taman.

“Pada masa sama menjadikan Miri lebih menarik dikunjungi sejajar dengan statusnya sebagai bandar raya pelancongan,” katanya sambil menambah projek yang menelan kos kira-kira RM1 bilion itu akan dibina secara tiga peringkat.

Tambahnya, bangunan kompleks beli-belah di taman tema itu juga akan dibina lebih besar berbanding Bintang Megamall yang menempatkan premis menjual barangan berjenama dari luar negara.

Beliau yakin ia dapat menarik ramai pengunjung dan pelancong kerana kedudukannya terletak berhampiran sempadan Miri dan Brunei.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan