Jumaat, 31 Ogos 2012

Gempa Bumi Kuat di Kepulauan Filipina

Gempa Bumi Kuat di Kepulauan Filipina Pada 31 Ogos 2012, 08:48 malam

Satu gempa bumi Kuat bermagnitud 7.9 pada skala Richter telah berlaku di Philippine Islands Region pada 08:48pm, 31 Ogos 2012. Pusat gempa bumi terletak di 10.9° Utara dan 127.1° Timur, 214km Timur Laut dari Surigao City,Philippine, 1145km Timur Laut dari Kinabatangan ,Sabah. 

Sebagai langkah berjaga-jaga penduduk di Pantai Timur Sabah dan Utara Sabah serta Utara Sarawak diminta menjauhi kawasan pantai. 

Jabatan Meteorologi Malaysia sedang memantau perkembangan ini dan akan memaklumkan maklumat yang terkini. - blogr.my


Tunjuk Kecintaan Kepada Negara


MIRI: Sempena Hari Kemerdekaan Ke-55 negara pada hari ini, Datuk Bandar Miri Lawrence Lai meminta semua warganegara Malaysia terutama penduduk Miri supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mereka sebagai tanda cintakan negara.

“Bagi pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos ini, kepada semua rakyat Malaysia dan penduduk Miri.

“Kita perlu menunjukkan semangat patriotisme dan sebagai membuktikan tanda cintakan negara, semua warga Malaysia perlu mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing dan saya mahu menggesa semua semua warga Miri mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mereka, bangunan kedai, pejabat, tempat kerja dan pusat-pusat komersial pada hari ini,” katanya dalam perutusan Hari Kemerdekaan Ke-55 di sini, petang semalam.

“Sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kita menyaksikan banyak perubahan yang berlaku di kalangan rakyat Malaysia dan kita seharusnya bersyukur kerana dapat menikmati kehidupan yang aman damai di negara ini, pada hari ini,” tambahnya.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini juga, Lawrence turut mengingatkan penduduk Miri bahawa malam ini (31 Ogos) adalah majlis pelancaran rasmi Pasar Malam Miri yang baharu, di tapak pasar malam berkenaan bermula jam 7 hingga 10 malam.

“Pelbagai acara telah disediakan sempena pelancarannya kelak termasuk konsert dengan persembahan muzikal dan nyanyian,” katanya.

Beliau pada masa yang sama meminta penduduk bandar raya ini termasuk para pelawat tempatan dan asing supaya beramai-ramai datang ke Pasar Malam Miri sebagai sokongan mereka untuk menghidupkan semula pasar malam tersebut yang pernah popular sekitar tahun 70-an.

Pasar Malam Miri yang baharu turut dibuka semula di lokasi tapak pasar malam yang lama yang pernah dibuka lewat tahun 1970-an iaitu di sepanjang Jalan Brooke.

Pasar malam tersebut katanya, mulai dibuka malam tadi, bermula jam 6 petang hingga 11 malam dan akan dibuka setiap malam Khamis, Jumaat dan Sabtu setiap minggu.

Sebanyak 165 gerai akan dibuka di sepanjang Jalan Brooke bermula dari simpang jalan menghala ke High Street dan Jalan Nahkoda Gampar.


Lelaki Penan Nyaris Maut Ditembak Pemburu

MIRI: Seorang lelaki kaum Penan dari Long Kawah, Tutoh-Apoh di Ulu Baram, nyaris maut apabila disangkakan binatang oleh seorang pemburu yang sedang berburu di hutan tidak jauh dari perkampungan mangsa.

Liling Gadung, 43, mengalami cedera parah di bahagian belakang kepala dan belakangnya serta pipi kiri dan telinga kiri akibat peluru Oleh Clare Cinderella penabur yang berkecai.

Bagaimanapun mangsa bernasib baik terselamat dalam kejadian itu kerana peluru daripada senapang patah milik suspek (pemburu) tersasar dari kepalanya.

Mangsa yang ditemui di Hospital Miri di sini petang semalam memberitahu, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang, Selasa lalu, ketika dia dan abangnya, sedang mencari kayu-kayu yang sesuai untuk syarikat swasta tempatnya bekerja sebagai buruh binaan bagi membina penempatan (kem) kediaman pekerja.

Dalam keadaan senja yang samar-samar, pemburu tersebut, Rawing Pangai, berbangsa Iban dari Long Siang, Tutoh, menyangkakan kedua-dua mereka ialah binatang liar lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa bagaimanapun tersasar.

Rawing hanya menyedari sasarannya bukan binatang tetapi manusia apabila terdengar jeritan mangsa yang mengalami kesakitan akibat serpihan peluru penabur daripada senapang patahnya.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Desa Long Bedian oleh kakitangan syarikat swasta tempat mangsa bekerja sementara, sebelum dia dirujuk ke Hospital Miri untuk menerima rawatan lanjut.

Manakala Rawing (pemburu) pula menyerah diri kepada polis di Balai Polis Marudi bersama senapang patah yang digunakan untuk berburu itu, pada jam 1.40 petang kelmarin (Rabu).

Laporan polis mengenai kejadian dan penyerahan diri oleh Rawing telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Marudi DSP Abu Bakar Mokhtar.

Sementara itu, Liling yang masih dirawat di wad biasa di Hospital Miri di sini, semakin pulih dan stabil, walaupun masih trauma dengan kejadian tersebut.


Sindiket Kad Kredit Tumpas

Firdaus menunjukkan kad kredit yang telah dirampas dalam serbuan

KUCHING: Sebanyak 29 kad kredit yang didaftarkan atas nama beberapa individu dirampas dipercayai telah dipohon secara haram oleh satu sindiket dalam satu operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kelmarin.

Ketua JSJK Sarawak Superintenden Mohammad Firdaus Abdullah berkata operasi oleh JSJK Ibu Pejabat Polis Da-erah (IPD) Kuching telah dijalankan ke atas sebuah rumah di Petra Jaya sekitar jam 4.36 petang Selasa (28 Ogos).

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, seorang wanita warga tempatan berusia 37 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Serbuan telah dijalankan ke atas sebuah rumah di Petra Jaya berjaya menahan seorang wanita dan turut merampas 29 keping kad kredit yang dikeluarkan oleh tujuh bank komersial berasingan.

“Siasatan awal mendapati kesemua kad kredit tersebut telah didaftarkan ke atas beberapa individu yang dipercayai telah dipohon oleh suspek dengan memalsukan atau menggunakan butiran peribadi individu tertentu tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, petang semalam.

Menurut beliau,kesemua kad kredit tersebut adalah asli dan dianggarkan penggunaan kad kredit tersebut mampu mencecah RM150,000.

Ditanya mengenai modus operandi sindiket tersebut, Firdaus memberitahu bahawa suspek akan mendapatkan butiran peribadi individu tertentu termasuk penyata gaji dan sebagainya sebelum memohon kad kredit tersebut.

“Kami difahamkan, kebanyakan mangsa suspek terdiri daripada individu yang ada membuat permohonan pinjaman bank seperti pinjaman pembelian kereta dan sebagainya.

“Dari situ, suspek akan memperolehi maklumat peribadi individu tertentu sebelum menggunakannya untuk memohon kad kredit,” katanya sambil menambah kebanyakan kad kredit tersebut didaftarkan di bawah alamat rumah suspek sendiri.

Firdaus turut memberitahu, daripada 29 kad kredit tersebut, tiga daripadanya telah digunakan oleh suspek yang juga merupakan pemilik sebuah taska di pusat bandar raya.

“Kad-kad yang lain belum digunakan lagi, malah ada juga yang belum diaktifkan,”katanya.

Menurut Firdaus, siasatan polis masih dijalankan di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan atau kedua-duanya sekali jika suspek didapati bersalah.

“Kes ini masih disiasat dan kami tidak menolak kemungkinan bahawa ini adalah satu sindiket sungguhpun ia adalah kes yang pertama berlaku di negeri ini,”katanya.

Sementara menurut Timbalan Ketua JSJK Sarawak DSP Yap Fui Lee, orang awam dinasihati untuk sentiasa berhati-hati jika berurusan dengan mana-mana pihak terutama yang melibatkan pemberian butiran peribadi.

“Selain itu, orang awam juga dinasihati agar tidak sesekali menandatangani mana-mana dokumen kosong kerana macam-macam perkara boleh terjadi dengan adanya tandangan kita pada dokumen tersebut,”katanya.


Anak Didakwa Kerana Ugut Ibu

MIRI: Mahkamah Majistret pagi semalam mengenakan denda RM600 atau tiga minggu penjara ke atas seorang lelaki kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya.

Ronnie Danis, 26, dari Bandar Baru Permyjaya di sini didapati telah melakukan ugutan jenayah dengan niat menakutkan seorang suri rumah yang juga ibu kandungnya, Sambal Balang, 40.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 pagi, 25 Ogos lalu di Lot 6302-2-2-24 Bandar Baru Permyjaya di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika disoal majistret kenapa dia bertindak sedemikian, tertuduh memberitahu dia sudah tidak tahan dengan maki-hamun ibunya yang sering mengatakan dia sial.

Pendakwaan dilakukan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.


Khamis, 30 Ogos 2012

Mayat Lelaki Separuh Bogel Ditemui Terdampar Di Pantai

Kelihatan mayat mangsa terdampar dalam keadaan meniarap di pantai 

MIRI: Empat pelajar ponteng sekolah yang leka bermain bola di tebing pantai Batu Satu berhampiran Pusat Latihan Maritim Sribima (SMTC) di Jalan Lutong-Kuala Baram di sini dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki separuh bogel yang terdampar di pantai berkenaan.

Ketika ditemui, mayat yang hanya memakai baju-T berkolar dan berwarna gelap terdampar dalam keadaan meniarap dengan kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang menggunakan seluar dalam warna merah, manakala mukanya separuh terbenam dalam pasir di pantai berkenaan.

Sementara itu, menurut Mampi Sulau, 55, mayat tersebut telah dijumpai sekumpulan empat pelajar sekolah menengah yang dipercayai ponteng sekolah dengan dua daripada mereka masih memakai seragam dan dua lagi berpakaian biasa yang datang ke pantai berkenaan untuk lepak sambil bermain bola.

Katanya sekitar jam 8.20 pagi semalam, ketika melalui jalan berhampiran pantai berkenaan untuk menghantar anaknya ke tempat kerja yang terletak di kawasan berdekatan, tiba-tiba dia ditahan empat pelajar terbabit yang memberitahu ada mayat dijumpai di pantai.

“Mereka panggil saya supaya berhenti dan memberitahu ada mayat lelaki di pantai dan meminta saya menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tanpa berlenggah, dia lalu pergi ke MCOT Petronas untuk memaklumkan kepada para pekerja di situ berhubung penemuan mayat tersebut dan meminta bantuan mereka menghubungi polis.

Berikutan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Lutong telah bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang kes tersebut.

Turut bergegas ke tempat kejadian ialah Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Mun Kock Keong, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Unit Anjing Pengesan (K9) dan pasukan forensik polis untuk menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian.

Dalam pada itu, bercakap pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini petang semalam, Mun memberitahu identiti mayat berkenaan masih belum dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat tersebut.

“Pun begitu, kita percaya dia seorang warganegara Malaysia memandangkan terdapat kesan suntikan BCG pada lengan sebelah kiri, berusia lingkungan 30-an dan mempunyai ketinggian diianggarkan 5 kaki 2 inci berdasarkan ukuran polis,” katanya.

Selain itu katanya, terdapat tatu gambar naga di bahagian belakangnya, tatu bunga di lengan kiri dan logo Ying Yang di lengan kanan.

Katanya pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh berdasarkan terdapat kesan luka di muka sebelah kiri dipercayai disebabkan benda tajam dan juga terdapat kesan darah semasa mayat diangkat di kawasan pasir berhampiran.

Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Meskipun demikian kata Mun, tidak dapat dipastikan sama ada mangsa dibunuh di sini atau di tempat lain dan mayatnya dibuang ke laut sehingga terdampar di pantai ini.

“Setakat ini, kami belum dapat mengesahkan sama ada seluar dalam yang digunakan untuk mengikat tangan mangsa adalah miliknya sendiri atau sebaliknya.

“Begitu juga dengan kesan darah yang terdapat di pasir pantai berkenaan belum dapat dipastikan sama ada ia milik mangsa,” ujar beliau.

Dalam pada itu menurut beliau, setakat ini polis Miri tidak ada menerima laporan polis tentang orang hilang.

Sehubungan itu kata Mun, pihaknya akan memperluaskan semakan ke bahagian-bahagian lain di seluruh negeri sekiranya ada laporan orang hilang.

Pada masa sama, pihaknya menggesa orang ramai yang mengenali pemilik tatu berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, ASP Zainan Azili Abdul Latif di talian 01112099878.


Van Remuk Selepas Terlanggar Belakang Lexus

Keadaan van yang melanggar bahagian belakang kereta Lexus 

SIBU: Sebuah van remuk selepas terlanggar belakang sebuah kereta SUV Lexus dalam satu kemalangan berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan Pahlawan.

Menurut saksi yang enggan namanya disiarkan, pemandu van tersebut tidak sempat menekan brek kenderaannya kerana terlalu dekat menyebabkan bampar Lexus tersebut tertanggal manakala belakangnya kemek.

Katanya, impak perlanggaran yang agak kuat menyebabkan bahagian hadapan van remuk manakala cermin hadapannya pecah.

Menurutnya, seorang penumpang yang berada di dalam van tersebut mengalami kecederaan dan terpaksa dihantar ke pusat perubatan swasta berdekatan.

Kemalangan turut menyebabkan lalu lintas di persimpangan lampu isyarat tersebut terjejas seketika.


Pelajar Warga China Dirompak


KUCHING: Niat seorang pelajar warga China ingin bersendirian di dalam rumah tidak kesampaian selepas kesempatan tersebut digunakan beberapa orang lelaki untuk merompaknya.

Mangsa yang berusia 24 tahun, seorang pelajar di sebuah kolej swasta di sini memberitahu bahawa semasa insiden tersebut dia berseorangan di rumahnya yang terletak di Jalan Laksamana Cheng Ho selepas beberapa orang rakan serumahnya keluar sekitar jam 9 malam.

Menurut mangsa yang sudah tiga tahun menetap di negeri ini, semasa insiden tersebut dia telah didatangi dua lelaki yang tidak dikenali menggunakan sebuah motosikal.

“Mereka menolak saya sebelum seorang daripada mereka mengacukan pisau ke arah leher saya dan meminta saya menyerahkan barang berharga kepada mereka.

“Saya tidak tahu hendak buat apa menyebabkan seorang daripada lelaki itu kemudian menyeluk saku seluar saya dan mengambil telefon bimbit saya,”katanya.

Risau akan dicederakan, mangsa memberitahu dia sempat menendang seorang suspek sebelum terus melarikan diri ke dalam bilik tidurnya.

“Saya terus menguncikan diri saya di dalam bilik dengan harapan mereka tidak dapat mengapa-apakan saya…dan selepas menyedari mereka sudah beredar baharu saya keluar dari bilik,”katanya.

Menurutnya, kedua-dua perompak tersebut hanya berjaya melarikan telefon bimbitnya dengan kerugian dicatatkan sekitar RM900.

Mangsa kemudian diringi rakannya telah membuat laporan polis di balai polis berdekatan.


Lelaki Dicekup Ketika Menceroboh Sebuah Rumah

Suspek dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga 

KUCHING: Seorang lelaki memberi alasan ingin menggunakan tandas selepas dicekup ketika menceroboh masuk sebuah rumah tengah hari semalam.

Suspek yang berusia 52 tahun dari Kampung Gita di sini, semasa kejadian dikatakan menceroboh masuk sebuah rumah yang tidak berpenghuni di Petra Jaya sebelum dia dilihat oleh orang awam yang berada berdekatan rumah tersebut sekitar jam 12.30 tengah hari.

Abang kepada pemilik rumah tersebut memberitahu dia telah dihubungi oleh seorang jiran mengenai insiden tersebut sebelum bergegas ke tempat kejadian dan melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

Sejurus tiba di tempat kejadian, dia memberitahu, beberapa orang awam termasuk jirannya sudah berada di luar rumah itu untuk memastikan suspek tidak melarikan diri sementara menunggu ketibaan pihak polis.

“Adik (pemilik rumah) saya sudah lama tidak tinggal di rumah tersebut kerana kini sedang bertugas di luar negara dan menetap bersama keluargnya di situ menyebabkan rumah itu sudah lama tidak dihuni,”katanya.

Beberapa anggota daripada Unit Kereta Peronda Polis (MPV) tiba di tempat kejadian dan telah mengarahkan suspek untuk menyerah diri.

“Dia (suspek) tidak mahu keluar menyebabkan pihak polis terpaksa menyerbu masuk dan menahan dia yang sedang bersembunyi di belakang almari di dalam rumah itu,”katanya.

Menurutnya, semasa ditahan suspek memberitahu bahawa dia hanya ingin menggunakan tandas dan tidak mempunyai niat lain.

“Dia mendakwa dirinya mengalami sakit perut dan ingin menggunakan tandas tetapi hasil pemeriksaan di dalam rumah mendapati beberapa bilik termasuk almari telah diselongkar dan keadaan di dalam rumah adalah berselerak,”katanya. Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga untuk diambil keterangan.

Sementara abang kepada pemilik rumah tersebut turut membuat laporan polis berhubung kejadian, juga di Balai Polis Simpang Tiga.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.


Rabu, 29 Ogos 2012

10 Entri Terbaik Denaihati

Blog Denaihati sememangnya tidak asing lagi di kalangan bloger2 dalam Malaysia ataupun luar Malaysia. Blog Denaihati sentiasa memberikan info2 yang berguna kepada semua yang membacanya. Kali ini blog Denaihati akan memberikan Bonus Raya Aidilfitri 2012 kepada 20 penyertaan terpantas menghantar 10 Entri Terbaik Denaihati dan mendapat Bonus Raya RM100 untuk setiap seorang. Satu entri terbaik pula akan mendapat Bonus Raya RM200.

Waa...aku terlambat hantar tapi tak apa lah. Mungkin bukan rezeki nak dapat duit raya kott... Tak per, aku tetap hantar juga ekk...

Dalam banyak2 ruangan, aku suka apabila blog Denaihati memaparkan kisah kehidupan yang pelbagai ragam di dunia. 10 Entri Terbaik Denaihati bagi aku adalah:-





Apa yang kita ingin dalam hidup ini? Satu pertanyaan yang membuatkan kita berfikir, apakah yang kita inginkan dalam sebuah kehidupan? Kalau di tanya pada aku, pasti aku akan menjawab....

" Aku ingin hidup bahagia di dunia dan di akhirat nanti..."


Zaman kanak2 sememangnya sukar untuk dilupakan. Tetapi bukan semua dapat mengecapi zaman kanak2 yang penuh dengan kebahagiaan. Setiap dari kita ada kisah gembira dan duka yang dilalui pada zaman kanak2.


Menurut kata2 oarang tua, dalam perkahwinan akan ada 3 peringkat ujian. Ujian pertama pada bulan ke 4 perkahwinan, ujian ke dua pada tahun ke 2 perkahwinan dan ujian ke tiga pada usia suami 40 tahun. Betul ke? 


Hati begitu tersentuh apabila membaca entri blog Denaihati ini. Memang diakui, kadang kala kita pasti pernah terasa hati apabila di tegur atau di marah oleh ibu dan ayah. Tetapi kita sebagai anak haruslah bersabar dan janganlah terlalu sensitive apabila ditegur ataupun di marah oleh ibu dan ayah.

8. Teguran Ibu dijadikan musuh hingga ke akhir hayat

Menitis air mata apabila membaca kisah seorang anak yang merajuk hanya kerana di tegur si ibu. Tergamaknya hati seorang anak tidak memperdulikan si ibu selama 10 tahun sehingga si ibu meninggal dunia. Inikah balasan seorang anak kepada si ibu yang bersusah-payah mengandungkannya sembilan bulan sepuluh hari?


Satu kenyataan tentang sebuah cinta dan kehidupan setiap pasangan. Masa bercinta semuanya indah tapi… hehehe…fikir2kan… 

Before – You take my breath away
After – I feel like I’m suffocating

Before – Twice a night
After – Once a month

Before – She says she loves the way I take control of the situation
After – She called me a controlling, manipulative egomaniac

Before – He makes me feel like a million dollars
After – If I had a dime for every stupid thing he’s done…

Before – Don’t stop
After – Don’t start

Before – The Sound of Music
After – The Sound of Silence

Before – Is that all you’re having?
After – Maybe you should just have a salad, honey

Before- Its like I’m in a dream
After – Its like he’s in a dorm

Before – $60/dozen
After – $1.50/stem

Before – Turbo charged
After – Jump start

Before – We agree on everything!
After – Doesn’t she have a mind of her own?

Before – Victoria’s Secret
After – Fruit of the Loom

Before – Feathers and Handcuffs
After – Ball and Chain

Before – Idol
After – Idle

Before – I love a woman with curves
After – I never said you were fat

Before – He’s completely lost without me
After – Why won’t he ever ask for directions?

Before – Time stood still
After – This relationship is going nowhere

Before – Croissant and cappuccino
After – Bagel and instant

Before – Blind
After – Nearsighted

Before – You look so seductive in black
After – Your clothes are so depressing

Before – Oysters
After – Fish sticks

Before – I can hardly believe we found each other
After -I can’t believe I ended up with someone like you

Before – Passion
After – Ration

Before – Once upon a time
After – The End

Masa bercinta kata Cinta sampai kemati …tapi dah kahwin lain jadinya. Harap janganlah begitu hendaknya. Setiap manusia pasti mahu hidup bahagia buat selama2nya… 

10. Kucing siapa suka


Aku suka kucing. Bila baca entri ini aku teringgat kat kucing2 aku. Aku sejak kecil lagi berkawan dengan kucing sebab aku ni jarang bercampur dengan kawan2. Kucing paling aku sayang, namanya Ramos Sari. Nama kucing aku Ramos Sari adalah kerana aku minat permain bola sepak pasukan Bujang Senang dan kerana kucing aku suka bermain kejar2 seperti bermain bola ( menguna bola ping pong atau kertas yang di renyuk bulat ). Aku masih ingat, balik sekolah kucing aku pasti akan tunggu aku depan rumah. Tapi sayang, kucing aku mati kerana diracun oleh jiran yang sakit hati kerana kucing aku selalu gaduh dengan kucing mereka. ( Kucing aku suka buli2 kucing lain lah tu… ). Lepas kucing itu mati, datuk aku ambil anak kucing yang sama warna dengan Ramos Sari dan aku beri nama juga Ramos Sari. Sampai sekarang kalau ada kucing, aku pasti akan bagi nama Ramos Sari. 


Ini Ramos Sari aku ke-5 dan yang terakhir aku jaga. Tapi Ramos Sari ini ganas dan tidak suka kalau orang lain yang pegang atau kacau pasti akan digigitnya. Ramos Sari ini paling suka ikut jalan2. Asal dengar bunyi alarm kereta pasti dia dulu yang berlari mahu masuk kedalam kereta. Kalau bawa kereta slow, dia akan keluar dari tingkap dan duduk di depan kereta ( dekat cermin / wiper ). Kalau mood dia ok, dia akan duduk di bahu tetapi kalau lepas di marah…dia merajuk duduk di belakang dekat speaker. 



“Bonus Raya Aidilfitri 2012 untuk semua Rakan Blogger yang tidak jemu-jemu bersama blog Denaihati. Berminat joom serbu Denaihati.com”.


Pasar Malam Di Miri Guna Konsep Lampu Tenaga Diperbaharui

Antara kakitangan MBM yang terlibat dalam sesi penerangan kepada peniaga pasar malam

MIRI: Peniaga pasar malam di bandar raya Miri yang bakal bermula pada esok (30 Ogos) akan menggunakan konsep lampu daripada tenaga diperbaharui yang pertama di Malaysia.

Berbeza dengan pasar malam lain, penggunaan lampu LED daripada tenaga solar akan diperkenalkan secara meluas di bandar ini.

“Kami lihat sambutan di kalangan peniaga yang menggunakan lampu LED daripada tenaga solar nanti dan kalau menggalakkan, ia mungkin akan diperluaskan,” kata jurucakap Majlis Bandaraya Miri (MBM) ketika ditemui Utusan Borneo dalam sesi penerangan syarat-syarat permit pasar malam berkenaan semalam.

Menurutnya, ini termasuk bakal diperkenalkan kepada peniaga-peniaga pasar malam di Pusat Komersil SABERKAS dan di bahagian-bahagian lain.

“Ini termasuk mempromosikan penggunaan lampu LED tenaga solar kepada pihak majlis lain,” jelasnya.

Mengenai pasar malam, waktu perniagaan adalah berlangsung pada setiap malam Khamis, Jumaat dan Sabtu dari jam 6 petang hingga 11 malam.

Tetamu kehormat yang bakal menghadiri majlis perasmian pada 1 September bermula jam 8 malam adalah Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin.

Sebelumnya Datuk Bandar MBM Lawrence Lai memberitahu bahawa selain bertindak sebagai medan perniagaan, pasar malam itu adalah tempat untuk keluarga keluar bersama-sama dan berjumpa rakan-rakan.

“Kemudian, ia (pasar malam) akan menjadi tarikan terutama kepada pelancong dan pelawat,” kata Lawrence lagi.


Selasa, 28 Ogos 2012

Unit Khas Polis Siasat Kes Bunuh Di Marang


KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menubuhkan satu unit khas bagi menyiasat kes seorang peniaga ditembak mati di Kampung Bukit Cempedak, Marang, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP, K. Manoharan berkata, pasukan itu akan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt. Mohd. Zani Che Din.

"Kes seumpama ini pertama kali berlaku di negeri ini. Kami telah mengambil keterangan daripada ahli keluarga, penduduk kampung serta individu yang berada dalam kedai itu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, Mat Keya Jusoh, 54, ditembak ketika sedang bermain dam dengan seorang rakan yang berusia 51 tahun di depan rumah kedai miliknya.

Seorang dari tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva melepaskan dua das tembakan dari dalam kereta dalam jarak kira-kira lima meter daripada mangsa.

Manoharan berkata, hasil bedah siasat mendapati satu daripada tembakan itu mengenai badan mangsa dan polis percaya pistol yang digunakan adalah daripada jenis automatik.

Menurut beliau, gerakan memburu ketiga-tiga lelaki yang berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun itu sedang giat dilakukan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA


Minum Racun Kerana Isteri Tidak Benarkan Kahwin Lagi


GEORGETOWN — Seorang warga emas nekad meminum sebotol cecair dipercayai racun setelah hasratnya untuk berkahwin lain tidak mendapat restu isteri pertama di Farlim, Air Hitam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian pukul 1.45 petang itu, lelaki berusia 68 tahun terbabit meminum racun itu di sebuah klinik swasta di sini.

Beliau berkata, tindakan itu diambil setelah permintaan lelaki berkenaan untuk berkahwin lain ditolak isteri pertamanya.

"Lelaki itu kini dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kong Meng berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA


Pemilik Kedai Makan Terkejut Pistol Dalam Laci

Gambar Hiasan

GEORGE TOWN — Seorang pemilik restoran terperanjat apabila menemui sepucuk pistol dalam laci kaunter premisnya di Jalan Burmah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian pukul 9 pagi itu, pemilik kedai yang hanya ingin dikenali sebagai Syed Al Amin sedang sibuk membuat persediaan membuka perniagaannya.

"Hasil pemeriksaan, polis mendapati pistol jenis Browning 9mm masih berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pemilik restoran berkenaan pernah membuat laporan menemui sepucuk pistol seumpama itu dalam keretanya tujuh bulan lepas.

Kong Meng berkata, Jabatan Siasatan Jenayah dan Forensik sedang menganalisis kesan cap jari yang terdapat pada pistol itu.

"Polis percaya ia perbuatan sabotaj dan kita sedang mengumpul keterangan daripada pekerja restoran itu,” katanya. - BERNAMA


Dua Ah Long Ditangkap

Hock Seng (kiri) menunjukkan sebahagian poster kumpulan ah long yang dirampas

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 5.30 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui kira-kira 3,000 keping poster pinjaman wang haram ah long yang disimpan di dalam stor rumah berkenaan

"Selain itu, kami turut merampas dua komputer riba, buku catatan pinjaman, sembilan telefon bimbit dan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM28,000.

"Cek-cek ini merupakan cagaran yang perlu diberi peminjam wang kepada ah long sebelum pinjaman mereka diluluskan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini semalam.


Penduduk Bimbang Banjir Besar

Che Bakar (kanan) bersama penduduk menunjukkan pulau kecil yang bakal dibangunkan 

TUMPAT - Seramai 5,000 penduduk di Kampung Laut di sini bimbang akan menghadapi bencana banjir yang lebih besar sekiranya pembangunan dijalankan di pulau kecil antara Kampung Cina dan Kampung Kijang di Sungai Kelantan yang sebelum ini menjadi tempat penduduk bercucuk tanam.

Kawasan pulau kecil yang berada dalam jajahan Tumpat itu yang sebelum ini tidak bergeran, menjadi tempat penduduk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan bermusim.

Bagaimanapun, kerajaan negeri didakwa telah mengeluarkan geran kepada beberapa penduduk dan membayar pampasan bagi pemindahan milik sebelum menjualnya kepada pihak ketiga untuk dibangunkan.

"Kami tidak menolak pembangunan tetapi apa yang membimbangkan penduduk, jika pembangunan dilaksanakan, air Sungai Kelantan akan terubah haluannya sebab jika kawasan tersebut lebih tinggi, sudah tentu air yang sepatutnya keluar ke muara akan menghala ke Kampung Laut yang kedudukannya lebih rendah," kata Che Bakar Che Deraman, 62.


Pengedar Pil Kuda Tertangkap

Abdul Aziz (dua dari kanan) menunjukkan pil kuda dan barangan rampasan 

TANAH MERAH - Polis berjaya merampas 1,292 biji pil kuda dalam dua tangkapan berasingan melalui operasi bersepadu bermula pukul 2.50 pagi hingga 5.15 pagi di Jalan Taman Hiburan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, dalam tangkapan pertama, polis menahan sebuah kereta jenis Proton Satria yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis pada badan salah seorang daripada mereka, ditemui dua biji pil dipercayai dadah berwarna kemerahan yang disimpan di dalam kotak rokok.

"Siasatan lanjut pada kenderaan terbabit, polis menjumpai satu beg silang berwarna coklat yang diletakkan di dalam papan pemuka kereta.

"Polis kemudian menjumpai enam paket plastik warna biru mengandungi 992 biji pil kuda serta satu plastik lut sinar berisi daun dipercayai ganja dan turut ditemui wang tunai RM4,450," katanya.


Penyakit Kulit Alif Boleh Sembuh

Mohd. Alif Haikal yang menghidap penyakit kulit ekzema proriasis

KUALA LUMPUR - Harapan keluarga Mohd. Alif Haikal Juhari, 6, yang menghidap penyakit kulit atau psoriasis untuk menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain mungkin menjadi kenyataan apabila teknologi terkini bagi merawat penyakit tersebut kini terdapat di Malaysia.

Pakar Kulit, Dr. Ko Chung Beng berkata, teknologi tersebut merupakan teknologi terkini dari Itali berasaskan rawatan cahaya atau laser yang dinamakan Alba 355.

"Pesakit yang menghidap penyakit psoriasis di keseluruhan badan perlu menjalani rawatan kira-kira enam hingga 10 kali sesi rawatan.

"Selepas dua hingga tiga minggu rawatan dijalankan, pengurangan tanda kemerahan pada kawasan yang dirawat akan menurun kira-kira 90 hingga 95 peratus," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Difahamkan, kaedah rawatan yang digunakan tiada kesan sampingan dan tidak menyakitkan pesakit.


Peniaga Ditembak Ketika Main Dam

Mat Keya maut selepas ditembak dari jarak dekat ketika bermain dam

MARANG - Seorang peniaga yang leka bermain dam di depan kedai bersama seorang rakannya mati ditembak di Kampung Bukit Cempedak di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K.Manoharan berkata, kejadian berlaku pada 11.30 malam ketika mangsa, Mat Keya Jusoh, 54, bermain dam dengan seorang rakan baiknya yang berusia 51 tahun di depan rumah kedai miliknya.

"Ketika itu, datang sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga lelaki yang mencari lelaki bernama Pok Mat sebelum mereka kemudian meminta untuk membeli minuman.

"Bagaimanapun, belum sempat mangsa mengambil minuman salah seorang suspek terus melepaskan dua das tembakan dari dalam kereta yang jaraknya hanya tiga meter sehingga mangsa rebah dan ketiga-tiga suspek melarikan diri," kata beliau kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, tembakan itu mengenai rusuk belakang sebelah kanan dan rusuk depan sebelah kiri mangsa.


Dua Cedera Ambulans Terbalik

Ambulans terbalik hingga menyebabkan pemandu dan seorang jururawat cedera 

KUCHING – Seorang pemandu ambulans dan seorang jururawat nyaris cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki itu terbabas lalu terbalik di atas pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Wan Alwi di sini semalam.

Kejadian pukul 4 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Hospital Pakar Kuching, Tabuan Stutong di sini ke Tabuan Dayak untuk mengambil pesakit. Jarak antara dua tempat itu kira-kira tiga kilometer.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila pemandu ambulans tersebut hilang kawalan ekoran jalan licin ketika hujan lebat di sepanjang perjalanan.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Polis percaya kejadian itu disebabkan jalan licin ekoran hujan lebat. Pemandu ambulans dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terhumban melepasi penghadang ke jalan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kejadian itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira dua kilometer ekoran pemandu bertindak memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat kemalangan tersebut.


Lelaki Dijel Ugut Bunuh Isteri

Mohd. Fadzli dijatuhi hukuman penjara dan denda atas tuduhan mengugut bunuh isterinya

KOTA BHARU - Seorang penghantar surat dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mengugut untuk membunuh isterinya selepas menuduh wanita itu curang.

Majistret Muhamad Safuan Azhar menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh Mohd. Fadzli Ibrahim, 24, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Muhamad Safuan mengarahkan hukuman tersebut berkuat kuasa semalam dan jika tertuduh gagal membayar denda, dia akan dipenjarakan tiga bulan lagi.

Mohd. Fadzli didakwa mengugut isterinya, Wan Nor Aishah Wan Hassan, 24, di sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab di sini pada pukul 8 pagi, 23 Ogos lalu dengan mengacukan pisau ke arah mangsa.


Lelaki Maut Ditembak Penyamun

Di premis kafe siber inilah Mohd. Rahmat mati ditembak oleh dua penyamun 

KUALA LUMPUR - Dua penyamun bersenjatakan sepucuk pistol dan parang bertindak menembak mati seorang penjaga sebuah kafe siber selepas berang apabila mangsa mengejar dan memukul kepala salah seorang penjenayah itu dalam kejadian di Jalan 1/32 Taman Jinjang Baru di sini semalam.

Kejadian tragis pukul 6.40 pagi itu mengakibatkan Mohd. Rahmat Jul, 34, dari Sandakan, Sabah mati sebaik tiba di Hospital Selayang selepas terkena dua das tembakan di dada dan satu di pangkal paha.

Difahamkan, Mohd. Rahmat bertindak mengejar dan memukul kepala salah seorang penjenayah itu menggunakan sebatang besi kerana menyangka pistol yang diacukan kepadanya ketika kejadian samun sebelum itu palsu.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila mangsa yang bekerja sambilan di premis itu didatangi dua suspek berusia lingkungan 40-an terbabit dengan menaiki sebuah motosikal. Mereka memakai topi keledar dan topi ketika menyamun.


Penganut Fahaman Syiah Di Indonesia Diserang


SAMPANG, Indonesia - Serangan ke atas penganut fahaman Syiah di Indonesia menyebabkan dua lelaki terbunuh dan berpuluh-puluh buah rumah dibakar.

Kira-kira 500 orang penganut fahaman Sunni bersenjatakan parang kecil dikatakan menyerang sekumpulan pelajar di bandar Sampang, wilayah Jawa Timur pada Ahad lalu.

"Perselisihan fahaman agama kian meningkat kerana penguatkuasaan undang-undang untuk menangani keganasan tidak dilaksanakan dengan berkesan. Keadaan ini menggalakkan berlakunya keganasan ke atas orang awam," kata penyelidik Institut untuk Demokrasi dan Keamanan Setara, Ismail Hasani.

Jurucakap polis wilayah Jawa Timur, Hilman Thayib memberitahu, dua lelaki terbunuh dan enam yang lain cedera. Sementara sebanyak 39 buah rumah dibakar dalam serangan terbabit. Menurutnya, hampir 2,000 orang pegawai polis dan keselamatan diarah ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan.

"Mangsa mati kerana diserang dengan sabit. Seorang mati di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia pagi tadi. Setakat ini, kami telah menahan lapan orang suspek," kata Thayib.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semalam mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

Ini bukan insiden pertama di wilayah tersebut. Disember lalu, penganut fahaman Syiah di Nangkernang diserang. Beratus-ratus rumah dan sebuah sekolah agama dibakar, sekali gus memaksa 500 orang mangsa melarikan diri dari kampung mereka.


Bapa Tekad Tinggalkan 3 Anak

Nurul Safiza (kiri) menjaga dua adiknya, Muhammad Nurhan dan Nur Masyita Amiera 

JOHOR BAHRU – Nordi Adi, bapa kepada Siti Norzana, 12, yang masih terkandas di Indonesia bersama keluarga bekas isteri keduanya, Karsini Kaslam, 25, tekad meninggalkan tiga anaknya bersendirian di Flat Taman Kempas di sini.

Lelaki itu dipercayai menuju ke Lampung, Indonesia bersendirian untuk menyelamatkan anaknya yang kini didakwa di bawah cengkaman bapa angkatnya.

Dia dipercayai berbuat demikian lantaran kecewa kerana mendakwa sudah terlalu lama menunggu janji pihak tertentu untuk membawa anak kesayangannya pulang ke pangkuannya.

Namun, sebelum bertekad meninggalkan tanah air, niat itu terlebih dulu telah disuarakan Nordi, 57, kepada wartawan Kosmo! melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon yang dibuat sejam sebelum dia berangkat ke negara seberang.

Berikut adalah beberapa petikan SMS yang dihantar kepada Kosmo!:

Nordi: Mungkin esok (24 Ogos lalu), saya akan tinggalkan tiga anak saya.

Kosmo!: Apa maksud pakcik?

Nordi: Saya pergi sahut cabaran bapa angkat Siti Norzana. Tunggu berita Interpol, macam tunggu buah tak gugur.

Kosmo!: Pakcik sudah beli tiket kapal terbang?

Nordi: Saya keluar melalui jalan belakang.

Nordi dipercayai meninggalkan rumah dan tiga anaknya, Nurul Safiza, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, di Flat Taman Kempas di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 24 Ogos lalu menggunakan perkhidmatan feri.

Membuktikan tindak-tanduknya bukan main-main, dia menghubungi Kosmo! semula menggunakan talian dari Indonesia kira-kira pukul 3.45 petang pada hari yang sama.

“Saya sudah berada di Lampung, saya sudah bersedia berjuang walau apa juga rintangan untuk selamatkan Zana, tolong tengok-tengokkan anak saya,” katanya ringkas.

Nordi sebelum ini telah mendapatkan bantuan daripada Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyelamatkan empat anaknya yang didakwa diculik dan disimpan oleh ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia, sejak dua tahun lalu.

Misi itu, bagaimanapun hanya berjaya membawa pulang tiga daripada mereka manakala Siti Norzana tidak dapat dibawa bersama pada 30 Jun lalu selepas Suwwandi Kariorojo, 44, yang mendakwa sebagai bapa angkat kanak-kanak itu enggan membenarkannya pulang ke negara ini.

Dalam pada itu, Nordi ketika ditanya bagaimana nasib ketiga-tiga anaknya yang ditinggalkannya, jawabnya: “Saya serah kepada Allah. Tiada siapa menjaga mereka, sudah kehendak takdir, terpaksa saya terima dugaan ini. Untuk seminggu dua (duit belanja) cukup, seterusnya, entahlah.” - KOSMO


Kambing Panjat Pokok Di Maghribi

Beberapa ekor kambing memanjat pokok 

RABAT - Senario beberapa ekor kambing memanjat sebuah pokok argan di sebuah kawasan gurun dekat Essaouira, barat Maghribi mendapat sambutan hebat di laman perkongsian video YouTube.

Haiwan itu memanjat pohon berkenaan untuk memakan buahnya yang manis.

Pokok yang dapat hidup pada musim kemarau itu digunakan oleh penduduk Maghribi untuk menghasilkan sejenis minyak bagi pembuatan kosmetik dan ubat.

Minyak argan merupakan antara minyak termahal di dunia dengan komoditi tersebut dijual pada harga sekitar AS$300 (RM939) seliter.


Peniaga Wanita Nyaris Jadi Mangsa Samun


SHAH ALAM - Cubaan empat lelaki untuk menyamun seorang peniaga wanita di Taman Paling Jaya, Semenyih, awal pagi semalam gagal dengan tindakan pantas wanita berusia 45 tahun berkenaan memecut kenderaannya untuk menyelamatkan diri.

Dalam insiden kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, wanita itu yang berada dalam keretanya untuk pulang ke rumah selepas berniaga, dihampiri empat lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi.

Dua daripada suspek kemudian keluar daripada kereta tersebut dan menghampiri kereta yang dinaiki mangsa sebelum memecahkan cermin tingkap kereta mangsa dipercayai untuk menyamunnya.

"Terkejut dengan tindakan itu dan bimbang akan dicederakan suspek, mangsa kemudian segera memecut keretanya untuk menyelamatkan diri," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Katanya, mangsa telah memandu keretanya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Bertindak berdasarkan maklumat, katanya, empat lelaki yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 26 tahun ditahan di Plaza Tol Sungai Ramal, Kajang, Selangor pada kira-kira pukul 2 pagi semalam.

Mohd. Adnan berkata, polis antara lain menjumpai dua bilah parang, sebilah pisau dan sebatang kuku kambing daripada suspek.

"Polis sedang menyiasat sama ada kumpulan penjenayah ini terlibat dalam kes samun di sekitar Lembah Klang," katanya. - BERNAMA


Kabaret Guna Robot Wanita Pikat Pelanggan

Dua wanita memakai bikini (kiri) mengendalikan robot perempuan setinggi 3.6 meter 

TOKYO - Di sebuah restoran yang terletak di daerah hiburan di sini, empat buah robot wanita mengenyit mata dan melambaikan tangan sambil bergerak mengikut rentak gendang tradisi Jepun dan lagu Lady Gaga.

Suasana itu menandakan bermulanya persembahan di 'Restoran Robot' yang merupakan sebuah restoran kabaret berteknologi tinggi di Jepun. Sebahagian besar robot industri di dunia digunakan di negara itu.

Pemilik restoran berkenaan menyatakan, dia berbelanja 10 bilion yen (RM391.2 juta) dan menunggu selama tiga tahun untuk keempat-empat robot itu disiapkan.

"Semuanya kecuali komponen utama robot ini dihasilkan dan dipasang oleh kami," kata jurucakap kabaret berkenaan, Watanabe.

Katanya, robot wanita itu memiliki ketinggian 3.6 meter. Robot yang ditempah khas tersebut mempunyai ciri-ciri raut wajah yang dikawal oleh penari kelab berkenaan.

Bahagian bawah tubuh robot tersebut dilengkapi beberapa tempat duduk seperti karakter siri kartun popular Jepun, Gundam.

Bahagian tubuh atas robot itu dihiasi dengan pakaian dalam pahlawan wanita futuristik. Robot tersebut turut dirias dengan rambut berwarna perang, coklat dan merah bersama mata biru atau hijau. Setiap robot tersebut dikawal oleh dua penari wanita berbikini. Penari-penari itu akan duduk di kerusi yang terletak di bahagian perut robot berkenaan.

Mereka akan mengawal raut wajah dan kaki robot berkenaan dengan menggunakan kayu bedik sepanjang persembahan robot wanita itu berlangsung.

Konsep di sebalik pembukaan restoran itu adalah bergaduh, wanita yang lincah dan robot-robot tersebut adalah sebahagian daripada tema restoran ini.


Perintah Ikat Jamin Bukan Bererti Lepaskan Nor Afizal


PUTRAJAYA - Walaupun pemain boling kebangsaan, Nor Afizal Azizan dikenakan perintah ikat jamin berkelakuan baik selama lima tahun kerana merogol seorang gadis bawah umur, hukuman itu tidak bererti dia dilepaskan daripada kesalahan yang dilakukannya, kata Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakiman setebal 14 muka surat yang dikeluarkan di sini hari ini, presidennya, Tan Sri Md. Raus Sharif berkata, mengikut perintah ikat jamin di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah, seseorang yang dikenakan perintah itu sebenarnya disabitkan kesalahan dan sabitan itu direkodkan.

"Ia akan menjadi sebahagian daripada rekod jenayah orang berkenaan dan akan kekal sepanjang hayatnya,” kata Raus bagi menjelaskan salah tanggapan tentang Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah yang diguna pakai dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, sebenarnya, Nor Afizal, yang kini berusia 21 tahun, ditangguh daripada menjalani hukuman penjara dan perlu berkelakuan baik selama lima tahun.

"Sekiranya dia berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun itu, dia akan terlepas daripada hukuman bagi kesalahannya. Sekiranya dia tidak mematuhi syarat yang ditetapkan dalam ikat jaminnya, dia akan ditangkap semula dan dikenakan tindakan sejajar dengan kesalahan rogol yang asal,” katanya. - BERNAMA


Jurutera Bina Robot Kumbang

Hidung robot RX-03 boleh mengeluarkan asap

TOKYO - Seorang jurutera Jepun, Hitoshi Takahashi membina sebuah robot berbentuk seperti seekor kumbang gergasi dinamakan Kabutom RX-03.

Robot sepanjang 11 meter dengan berat 17 tan itu diperkenalkan kepada orang ramai dalam satu demonstrasi di sini semalam.

RX-03 boleh bergerak dengan menggunakan enam kakinya. Dijana enjin diesel berkuasa tinggi, robot berkenaan turut mengeluarkan asap daripada hidungnya.


Suami Isteri Dan Dua Rakan Didakwa Edar Dadah


KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri, masing-masing warga Singapura dan China didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis ketamin seberat 88.4gram, dua minggu lalu.

Dua rakan mereka warganegara Singapura dan Vietnam turut didakwa terhadap pertuduhan yang sama mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tan Meng Kiat, 39, warga Singapura dan isterinya warga China, Meng Bei Bei, 25, manakala rakan mereka Kwok Pin Hwee, 31, warga Singapura dan Le Thi Thuy Nga, 28, warga Vietnam dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah beralamat Blok 10-9-3A, Jalan 1C/149, Petaling Indah Condominium, pada 4.30 petang, 13 Ogos lalu.

Pin Hwee, turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 611.5gram di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin. - BERNAMA


Kekayaan David Beckham

David Beckham

KACAK dan tangkas di padang bola ternyata membuat nilai diri David Beckham melambung tinggi. Selain menerima bayaran yang cukup lumayan menerusi pekerjaan sebenarnya sebagai pemain bola sepak kelab LA Galaxy dengan bayaran sekitar RM7 juta sebulan, Beckham memperoleh pendapatan luar biasa sebagai duta beberapa produk.

Menurut laporan, dengan hanya menjadi model iklan dan duta produk untuk jenama Armani, Adidas, Samsung dan Diet Coke pada tahun lalu, Beckham berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM60 juta.

Malah Beckham turut berkongsi pendapatan lumayan bersama isterinya, Victoria melalui wangian ciptaan mereka serta jenama yang dijual di bawah payung H&M.

"Jumlah pendapatan lumayan yang diperoleh oleh Beckham membuktikan bahawa dia masih popular, berkuasa, berpengaruh dan kuat untuk dijadikan model atau duta produk. Malah untuk tahun ini, pendapatan Beckham dijangka menjadi lebih tinggi walaupun ramai yang berpendapat kariernya sebagai pemain bola sepak sudah hampir berkubur," ujar seorang sumber kepada The Sun.

David Beckham & Victoria Beckham On Their Wedding Day.  July 5th 1999
David Beckham dan Victoria Beckham

0110_victoria-david-beckham-family-bbc-sports_sm.jpg
Keluarga bahagia David Beckham


Manusia Pertama Ke Bulan Meninggal Dunia

Neil  Alden , Edwin Aldrin (kiri) dan Michael Collins (tengah) di Pejabat Oval di White House

WASHINGTON - Manusia pertama menjejakkan kaki di bulan, Neil Alden Armstrong meninggal dunia pada usia 82 tahun, kata keluarga bekas angkasawan Amerika Syarikat (AS) berkenaan kelmarin.

Armstrong menjalani pembedahan pintasan jantung awal bulan ini selepas dua hari beliau menyambut hari jadinya pada 5 Ogos lalu bagi membuka beberapa arteri yang tersumbat.

Sebagai komander kapal angkasa Apollo 11, Armstrong merupakan manusia pertama menjejakkan kaki di bulan pada 20 Julai 1969 diikuti oleh angkasawan, Edwin Aldrin.

Selain beliau dan Aldrin, misi ke bulan yang dilancarkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat itu disertai oleh seorang lagi angkasawan, Michael Collins.

Peristiwa bersejarah tersebut ditonton oleh 500 juta orang di kaca televisyen di seluruh dunia.

Semasa kali pertama melangkah di permukaan bulan yang berdebu, Armstrong berkata, "Langkah kecil ini (dirinya) merupakan langkah besar buat manusia sejagat.".

Ungkapan tersebut kekal sebagai antara petikan bahasa Inggeris paling terkenal sehingga hari ini. Ketika itu, Armstrong berusia 38 tahun.

Walaupun telah merealisasikan impian manusia yang mendambakan untuk menyentuh bulan sejak berkurun lamanya, Armstrong enggan meninggi diri berhubung pencapaian terhebat itu. Malah, beliau agak kecewa dengan sanjungan besar yang diterimanya.

"Kita semua mahu diktiraf bukan kerana sesuatu pencapaian sahaja tetapi berdasarkan usaha yang kita lakukan pada setiap hari," kata Armstrong dalam temu bual bersama program televisyen terbitan CBS,60 Minutes, pada 2005.

Beliau juga pernah ditanya tentang perasaannya apabila mengetahui bahawa tapak kakinya di bulan akan kekal selama ribuan tahun.

"Saya berharap seseorang akan pergi ke bulan suatu hari nanti dan membersihkan tapak-tapak kaki saya," katanya. Misi ke bulan itu merupakan misi angkasa lepas terakhir buat Armstrong.

Beliau kemudian dilantik sebagai pentadbir bahagian aeronautik di NASA tetapi meninggalkan agensi berkenaan pada tahun berikutnya untuk mengajar kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Cincinnati.

Beliau kekal di pusat pengajian tinggi berkenaan hingga tahun 1979 sebelum bersara untuk menjadi seorang petani dan penternak.

Sepanjang tempoh tersebut, Armstrong memencilkan diri dan hanya bersetuju menerima beberapa undangan temu ramah atau syarahan.

Dilahirkan di Wapakoneta, dalam negeri Ohio pada 5 Ogos 1930, Armstrong meminati kapal terbang sejak kecil lagi dan pernah bekerja di sebuah lapangan terbang berdekatan semasa meningkat remaja.

Beliau mengambil kelas penerbangan ketika baru berusia 15 tahun dan memperoleh lesen juruterbang pada hari jadinya yang ke-16.

Sebagai seorang juruterbang Tentera Laut AS, beliau pernah menyertai 78 misi penerbangan dalam Perang Korea.

Armstrong kemudian belajar Kejuruteraan Aeronautik di Universiti Purdue sebelum memperoleh ijazah Sarjana Sains di Universiti California Selatan.

Selepas berkhidmat sebagai juruterbang tentera laut dari 1949 hingga 1952, Armstrong menyertai agensi angkasa lepas AS yang ketika itu dikenali sebagai Jawatankuasa Penasihat Nasional Bagi Aeronautik (NACA) pada 1955.

Beliau berkhidmat sebagai jurutera, juruterbang ujian, angkasawan dan pentadbir untuk NACA dan kemudian NASA sepanjang tempoh 17 tahun.

Sebagai juruterbang penyelidikan untuk Pusat Penyelidikan Penerbangan NASA di California, beliau menerbangkan banyak pesawat perintis berkelajuan tinggi AS.

Armstrong mendapat status angkasawan pada 1962 dan menerajui misi Gemini 8 untuk berlabuh di angkasa lepas sebelum diberikan kepercayaan untuk mengetuai pengembaraan manusia ke bulan.

Bekas angkasawan itu tinggal di sebuah kawasan di Cincinnati bersama isterinya, Carol.

"Kami ingin berkongsi kesedihan untuk memberitahu bahawa Neil Armstrong meninggal dunia susulan komplikasi daripada pembedahan pintasan jantung," kata keluarganya dalam satu kenyataan.

"Armstrong merupakan seorang suami, ayah, adik beradik dan rakan yang penyayang," tambah kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan Presiden AS, Barack Obama dan Edwin Aldrin turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga angkasawan legenda itu.

"Armstrong merupakan antara wira AS yang paling unggul. Apabila beliau dan dua lagi angkasawan berlepas menaiki roket Apollo 11 pada 1969, mereka membawa bersama aspirasi seluruh rakyat negara ini," kata Obama.

Aldrin pula berharap beliau, Armstrong dan Collins dapat bertemu pada tahun 2019 sempena sambutan 50 tahun misi Apollo 11 ke bulan.

"Amat dikesali kerana harapan ini tidak akan tercapai. Semangat Armstrong akan kekal bersama kita semua," ujar Aldrin.

"Saya akan merindui sahabat saya ini dan saya tahu rakyat AS dan penduduk di seluruh dunia akan terasa kehilangan perintis aviasi dan angkasa lepas ini," tambahnya.


Chong Wei, Mew Choo Bakal Kahwin Tahun Depan



KUALA LUMPUR - Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menamatkan zaman bujangnya dengan bekas pemain perseorangan badminton wanita negara, Wong Mew Choo, tahun depan.

Pemenang pingat perak Olimpik London itu berkata, beliau kini bersedia berkahwin dengan Wong yang dikenalinya sejak 2001 ketika mereka bersama-sama mengikuti kem latihan badminton negara.

Bagaimanapun, Chong Wei enggan menyatakan tarikh atau tempat yang dipilih untuk meraikan majlis bersejarah itu memandangkan semuanya masih dalam perancangan.

"Mungkin saya akan mengundur diri tahun depan kerana pertandingan penting sudah berakhir dan mula merancang memandangkan saya bukan lagi muda,” katanya kepada pemberita. - BERNAMA


36 Maut Bas Langgar Lori Tangki

Keadaan sebuah bas dan lori selepas kemalangan di sebuah lebuh raya di Yan'an, Beijing 

BEIJING - Seramai 36 orang terbunuh apabila sebuah bas dua tingkat melanggar belakang sebuah lori tangki di sebatang lebuh raya di utara China semalam, lapor media negara berkenaan.

Agensi berita rasmi Xinhua menyatakan, rempuhan tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar.

Menurut Xinhua, ketika kejadian sekitar pukul 2 pagi semalam (waktu tempatan), lori tangki tersebut sedang membawa bahan kimia metanol di sebatang lebuh raya dekat bandar Yan'an dalam wilayah Shaanxi.

Agensi berita tersebut memberitahu, seramai 39 orang berada di dalam kedua-kedua kenderaan itu semasa kejadian dengan hanya tiga orang yang terselamat. Mangsa-mangsa yang terselamat kemudian dibawa ke sebuah hospital untuk menerima rawatan.

Keselamatan jalan raya merupakan masalah serius di China. Menurut Xinhua, kelemahan penyelenggaraan jalan raya dan sikap pemandu yang lalai menyebabkan 70,000 kematian dan 300,000 kecederaan dilaporkan berlaku di China itu pada setiap tahun.


Isnin, 27 Ogos 2012

Lelaki Mati Leher Dikelar

Polis menjalankan siasatan di rumah Ghadzali 

GEORGE TOWN - Seorang lelaki tergamam apabila kedatangan ke rumah sahabat baiknya dikejutkan dengan penemuan mayat rakannya itu yang menjadi mangsa pembunuhan kejam di Kampung Sungai Pinang, Balik Pulau di sini semalam.

Mayat Ghadzali Ahamad, 53, ditemui kira-kira pukul 10 pagi semalam dalam keadaan kedua-dua belah tangan terikat serta kesan kelar di leher bersama tompokan darah.

Difahamkan, sebelum ditemui, rakan mangsa berasa curiga apabila mangsa tidak keluar selepas dipanggil berkali-kali.

Dia datang ke rumah mangsa untuk membawa lelaki itu ke Hospital Balik Pulau bagi mendapatkan rawatan susulan berhubung penyakit asma yang dihidapinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, rakan mangsa yang menyangka dia masih tidur menunggu hampir 10 minit sebelum dia mendapati pintu dan tingkap tertutup selepas membuat pemeriksaan di sekeliling rumah.


Pertandingan Makan Embrio Itik Di New York

Peserta dalam pertandingan makan embrio itik pertama di New York

NEW YORK - Satu pertandingan memakan telur mengandungi embrio anak itik yang sempurna kali pertama diadakan di Amerika Syarikat (AS) kelmarin

Dikenali sebagai balut, telur berkenaan merupakan antara makanan menjijikkan di dunia. Acara ekstrem tersebut dianjurkan oleh restoran Maharlika yang menjual masakan Filipina di sini.

"Telur ini direbus dan dihidangkan bersama secubit garam dan cuka tebu,

"Apabila kulit telur dipecahkan, anda mula dengan meminum cairan di dalamnya sebelum memakan janin anak itik. Jika anda bertuah, anda akan menemui embrio itik yang mempunyai sedikit bulu dan paruh kecil," kata pemilik bersama restoran berkenaan, Miguel Trinidad.

"Telur ini merupakan sumber protein yang hebat dan dapat menguatkan tenaga batin anda," tambahya.

Menampilkan 10 peserta, pertandingan sulung itu dimenangi oleh seorang lelaki, Wayne Algenio. Dia memakan sebanyak 18 telur embrio dalam tempoh lima minit.

Algenio yang memenangi tali pinggang hitam bersadur emas berjanji akan mempertahankan kejuaraannya pada tahun depan.


Pelesit Rempit Maut Ketika Berlumba Di Klang

Mayat Sattindran terbaring di tengah jalan

KLANG - Seorang pemuda dipercayai pelesit rempit terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori di Persiaran Raja Muda Musa di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi, mangsa, S. Sattindran, 20, maut di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditungganginya tercampak sejauh kira-kira 60 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.

Difahamkan, sebelum tragedi itu, Sattindran dan seorang rakannya yang menaiki motosikal lain sedang berlumba apabila mereka dilihat beberapa kali melalui jalan tersebut.

Bagaimanapun, selepas motosikal ditunggangi Sattindran merempuh belakang lori, rakan mangsa terus melarikan diri.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd. Rahman berkata, mangsa mati di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala.


Tiga Maut Jejambat Runtuh Di China

Sebuah trak terbalik di jejambat yang runtuh

BEIJING - Tiga orang terbunuh dan lima lagi cedera apabila jejambat sebanyak lapan lorong runtuh di timur laut China semalam, sembilan bulan selepas siap dibina, lapor agensi berita China News Service.

Jejambat itu merupakan sebahagian daripada laluan ke sebuah lapangan terbang di bandar Harbin. Ia dibuka pada November tahun lalu selepas dua tahun siap dibina dengan kos AS$300 juta (RM930.39 juta).

Kenderaan terhumban dari sebuah jejambat yang runtuh di Harbin

Dua orang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mati kemudian. Pihak berkuasa akan menyiasat reka bentuk dan ciri-ciri pembinaan semasa melakukan siasatan bagi mengetahui punca kejadian.

Ribuan orang memberi komen tentang runtuhan itu di laman Sina Weibo.

"Cuba bayangkan beberapa pegawai korup mengambil empat perlima daripada dana projek," kata seorang pengguna laman itu.


Temuduga Untuk Jadi Calon Isteri Lelaki Kaya

Menunggu giliran untuk ditemu duga

BEIJING - Sejumlah wanita muda di China yang bergaya dengan pelbagai fesyen dan kasut duduk di atas bangku dan memegang dokumen mengandungi maklumat tentang berat badan serta ketinggian mereka.

Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,000 wanita yang menghadiri proses tapisan kendalian para kakitangan Kelab Usahawan Bujang China di sini untuk menjadi 50 calon yang dibenarkan berkenalan dengan 32 lelaki kaya. Lelaki kaya itu mungkin bakal menjadi suami mereka.

Seorang peserta wanita menyatakan, dia sanggup menangis di dalam sebuah kereta BMW daripada duduk di tempat duduk belakang basikal.

Terdapat juga seorang lagi peserta wanita yang mahu meminta wang sebanyak AS$31,000 (RM96,069) sebagai syarat untuk berjabat tangan dengan seorang lelaki.

Wanita-wanita itu perlu berumur 20 hingga 28 tahun, mempunyai ketinggian 165 sentimeter, cantik dan lemah lembut dan sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan kolej.

Pada Ahad lalu, wanita-wanita itu dinilai oleh pihak pengendali temu duga seperti bagaimana mereka mengendalikan tekanan dan apakah yang mereka mahu daripada seorang lelaki.

Kelab itu mengenakan syarat kepada para lelaki kaya yang mahu menyertai proses pencarian jodoh itu perlu mengesahkan kekayaan mereka dan membayar yuran sebanyak AS$31,000