Rabu, 8 Januari 2014

Tukang Jahit Cedera Diserang Lelaki Tidak Dikenali


Gambar Hiasan

KUCHING: Seorang lelaki warga emas dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan yang dialaminya setelah diserang seorang lelaki tidak dikenali di rumah sewanya di Jalan Stakan, Kota Sentosa semalam.

Mangsa yang berusia 62 tahun dan bekerja sebagai tukang jahit, pada mulanya terjaga daripada tidur sekitar tengah malam kelmarin apabila mendengar pintu hadapannya diketuk dengan kuat.

Selepas melihat melalui tingkap, mangsa tidak berani membuka pintu rumahnya itu kerana tidak mengenali lelaki berkenaan menyebabkan lelaki tersebut kemudian cuba membuka pintu belakang rumah tersebut.

Berikutan tidak berjaya, suspek kemudian pergi semula ke pintu hadapan dan telah merosakkan pintu berkenaan menggunakan tukul yang dipercayai dijumpainya di halaman rumah tersebut.

Suspek kemudian terus mendapatkan mangsa yang bersembunyi di dalam bilik sehingga menyebabkan berlaku pergelutan di antara mereka.

Dua wanita dipercayai rakan sekerja mangsa yang turut berada di dalam rumah tersebut kemudian segera menghubungi majikan mereka memaklumkan mengenai kejadian tersebut menyebabkan suspek segera meninggalkan tempat kejadian.

Mangsa yang tercedera itu kemudian segera dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

Suspek yang turut mengalami kecederaan itu kemudian telah ditahan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dikejarkan ke HUS untuk rawatan.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan