Khamis, 29 Ogos 2013

27 Tinggal Sehelai Sepinggang

eberapa anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran yang memusnahkan rumah tersebut

MIRI: Seorang bayi lelaki berusia sebulan adalah antara 27 orang dari sembilan keluarga yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Lereng Bukit di sini, petang semalam.

Rumah separa konkrit itu yang berusia lebih 20 tahun mempunyai sembilan bilik dengan sebuah bilik dihuni oleh tuan punya rumah, manakala lapan yang lain disewakan kepada lapan buah keluarga.

Me terpaksa ditenteramkan oleh seorang anaknya

Kebakaran itu mula disedari sekitar jam 2.50 petang oleh seorang wanita warga emas, Me Sanna yang juga tuan punya rumah tersebut.

Menurut Me, 75, ketika itu dia sedang mencuci pinggan mangkuk di dapurnya yang terletak di bahagian belakang rumah apabila tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu.

“Saya mencari dari arah mana bunyi itu datang dan terkejut apabila ternampak api sudah marak dalam salah sebuah bilik. Serentak itu, saya terus menjerit meminta tolong untuk memberitahu penghuni bilik lain tentang kebakaran tersebut.

“Saya terus mencapai tongkat dan keluar menyelamatkan diri tanpa sempat mengambil apa-apa termasuk dokumen pengenalan diri,” katanya sambil menangis ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Me, semasa kejadian hanya dia dan beberapa penghuni bilik lain yang kesemuanya wanita dan anak kecil berada di rumah, manakala kaum lelaki telah keluar bekerja.

Katanya, rumah itu merupakan peninggalan mendiang suaminya dan dibina beberapa bilik di dalamnya bagi tujuan disewa kepada orang lain.

Manakala, salah sebuah bilik didiaminya sendiri bersama seorang anak perempuan berusia 41 tahun dan ketika kejadian, anaknya itu sedang bekerja.

Sementara itu, menurut seorang lagi penghuni yang enggan namanya disiarkan, ketika kejadian dia dan dua anaknya termasuk bayi lelaki berusia sebulan sedang menonton televisyen di biliknya bersama ibu yang kebetulan berkunjung ke situ.

“Sebaik menyedari kebakaran yang bermula di bilik sebelah, saya terus mendukung bayi keluar untuk menyelamatkan diri tanpa sempat mencapai apa-apa termasuk susu dan pakaiannya.

“Apa yang lebih penting bagi saya adalah keselamatan dua anak saya,” kata ibu muda terbabit.

Sepasukan anggota bomba yang terdiri daripada 15 anggota diketuai Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Ali Bema Jelik bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang.

Pihak bomba yang tiba di tempat kejadian empat minit kemudian mendapati struktur rumah itu telah musnah sebanyak 35 peratus dan mereka terpaksa mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran.

Menurut Ali, struktur rumah yang diperbuat daripada separuh kayu dan ditambah perabot yang terdapat dalam rumah berkenaan menyebabkan api marak dengan cepat.

Selain anggota bomba, turut membantu memadam kebakaran itu ialah sepasukan anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Miri.

Wanita Jejaki Pencuri Telefon Pintarnya Melalui Internet

Gambar Hiasan

SIBU: Seorang wanita mencari telefon pin­tarnya yang hilang sejak tahun lalu melalui In­ternet akhirnya berjaya membantu polis untuk menjejaki pencuri tel­efon pintarnya di Sabah minggu lalu.

Kejadian itu berlaku se­masa iPhone 4S mangsa, 22, hilang ketika bekerja bersama seorang suspek lelaki, 33, ketika mem­buat audit di sebuah syarikat yang sama di sini pada September tahun lalu.

Mangsa yang menge­syaki suspek mencuri tel­efon pintarnya bertindak membuat laporan polis yang kemudian melakukan siasatan.

Namun, polis gagal men­dapatkan sebarang bukti kukuh selepas melakukan pemeriksaan badan terha­dap suspek.

Percayakan nalurinya, mangsa tidak berputus asa untuk mengesan pen­curi telefon pintarnya yang merupakan hadiah istimewa daripada ibunya semasa hari jadinya sebe­lum ini.

Pengadu juga terpaksa membeli sendiri sebuah lagi telefon pintar iPhone 4S kerana bimbang kehi­langan telefon pintarnya akan diketahui dan meng­hampakan ibunya.

Setelah sekian lama cuba mengesan penggunaan telefon pintarnya melalui Internet akhirnya mangsa berjaya mendapati isyarat peggunaan iPhone 4S-nya didapati aktif dan berada di kawasan Kota Kinabalu, Sabah.

Bertindak daripada maklumat polis di sini telah menghubungi polis di Kota Kinabalu yang kemudiannya berjaya menahan seorang suspek lelaki.

Suspek tersebut merupakan juruaudit yang pernah bekerja bersama mangsa tahun lalu.

Polis di sini dijangka akan pergi ke Sabah un­tuk membawa suspek ke mahkamah di sini dalam masa terdekat.

Remaja Diikat, Dikurung Tiga Lelaki

Gambar Hiasan

KUCHING: Seorang remaja diikat sebelum dikurung di bilik stor oleh sekumpulan lelaki yang menyamun ke­diaman keluarganya di Jalan Rock di sini, kelmarin.

Dalam kejadian sekitar 9 pagi selepas ibu bapanya berlepas ke ibu negara, remaja lelaki berumur 14 tahun itu dikatakan sedang bermain permainan video apabila terdengar bunyi bising dari tingkat bawah rumahnya.

Mangsa yang kemudiannya dikatakan turun ke tingkat ba­wah untuk membuat pemerik­saan, mendapati tiga lelaki tidak dikenali sedang menggeledah rumah tersebut.

Kumpulan itu yang bercer­min mata hitam, bertopi serta bersenjatakan parang, seter­usnya dikatakan mengikat mangsa sebelum mengurung­nya dalam bilik stor.

Penjenayah terbabit dika­takan melarikan pelbagai barangan elektronik, barangan kemas dan sejumlah wang ter­masuk seutas jam Rolex.

Mangsa yang berjaya me­lepaskan diri dari ikatan, selepas itu bertindak memec­ahkan pintu stor yang dikunci dari luar dengan menggu­nakan tukul sebelum men­ghubungi bapa saudaranya untuk meminta bantuan.

Difahamkan, pagar serta pintu rumah berkembar dua tingkat itu dalam kead­aan tidak berkunci selepas ibu bapa mangsa pergi ke lapangan terbang pada pagi tersebut untuk berlepas ke Kuala Lumpur.

Laporan polis dibuat pada sebelah malam dan kes terse­but sedang disiasat.

Isnin, 19 Ogos 2013

Polis Mesir Gempur Masjid

Keadaan di Dataran Ramses, Kaherah, Mesir kelmarin

KAHERAH - Polis Mesir berjaya menyuraikan perhimpunan penyokong Presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi yang berlindung di dalam Masjid Al-Fatah di sini kelmarin selepas kedua-dua pihak berbalas tembakan.

Pasukan keselamatan menarik keluar penunjuk perasaan di masjid yang turut dikelilingi penyokong kerajaan sementara Mesir yang menyifatkan mereka sebagai pengganas.

Pertempuran berlaku selepas kerajaan sementara Mesir menyatakan seramai 173 nyawa melayang dalam tempoh 24 jam. Ini sekali gus menjadikan angka kematian melebihi 750 orang sejak Rabu lalu.

Angka kematian meningkat selepas polis menggempur dua kem penyokong setia Morsi di ibu negara baru-baru ini.

Pada awalnya, pasukan keselamatan cuba memujuk penunjuk perasaan beredar dari masjid itu. Namun, situasi berubah menjadi ganas kelmarin.

Sekurang-kurangnya 1,042 orang terbunuh sejak 26 Jun lalu apabila penyokong Morsi mula mengadakan protes jalanan selepas beliau digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu.

Insiden di Masjid Al-Fatah di Dataran Ramses bermula pada Jumaat lalu apabila pasukan keselamatan mengepung kompleks yang menjadi tempat perlindungan beberapa ratus penyokong Morsi.

Kementerian Dalam Negeri menyatakan seramai 385 orang di dalam masjid berkenaan telah ditangkap.

Walaupun konflik kian meruncing, Ikhwanul Muslimin berikrar mahu mengadakan protes baharu di Kaherah dan beberapa lokasi lain sehingga Morsi dibebaskan daripada penjara dan dilantik kembali sebagai Presiden Mesir. Pengumuman tersebut mencadangkan bahawa bantahan jalanan tidak akan berakhir sejak Morsi digulingkan.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri Mesir, Ziad Bahaa el-Din cuba berunding dengan Ikhwanul Muslimin bagi menamatkan pertumpahan darah ketika kabinet membincangkan krisis itu semalam.

Antara inisiatif yang dicadangkan Ziad adalah gesaan menamatkan segera darurat, penyertaan politik untuk semua pihak dan jaminan hak asasi manusia termasuk hak kebebasan berhimpun.

Namun, idea beliau dilihat bertentangan dengan cadangan Perdana Menteri Mesir, Hazem el-Beblawi untuk mengharamkan pergerakan berusia 85 tahun itu.

"Tidak akan ada perdamaian dengan pihak yang mengotorkan tangan dengan darah dan mereka yang mengangkat senjata menentang negara," kata Hazem kepada pemberita kelmarin. - Agensi

Ahad, 18 Ogos 2013

40 Ular Sawa Dalam Bilik Hotel


Montreal: Kurang daripada seminggu selepas seekor ular sawa membelit dua kanak-kanak hingga mati, polis semalam menemui 40 ular berkenaan dari bilik sebuah hotel.

Reptilia itu ditemui dalam beberapa tong plastik di sebuah bilik hotel di Brantford, Ontario, tempat sepasang kekasih yang melarikan diri, kata polis. 

Polis melancarkan siasatan terhadap kes itu, tetapi mereka tidak menyatakan di mana pasangan terbabit berada ketika ular itu ditemui atau sama ada mereka akan didakwa kerana melanggar undang-undang melarang memiliki ular sawa.  

Ular berkenaan yang panjang antara 30 sentimeter dan 1.4 meter berada dalam keadaan tidak sihat. Ia kemudian diambil Persatuan Perlindungan Haiwan Kanada untuk tujuan pemeriksaan kesihatan.

Penemuan itu berlaku 11 hari selepas Connor dan Noah Barthe yang berusia enam dan tujuh tahun mati di bandar Campbelton, New Brunswick apabila seekor ular sawa Afrika terlepas dari kurungan dan membelit mereka hingga mati. 

Siasatan polis mendapati ular itu terlepas dari kurungannya sebelum menjalar melalui ruang pengalihan udara yang menuju ke bilik kanak-kanak terbabit. - AFP

Ustaz Azhar Idrus Dan Isteri Kemalangan



Proton Iswara (kiri) remuk selepas bertembung dengan Volkswagen Golf dipandu Ustaz Azhar Idrus

Kuala Terengganu - Penceramah popular Ustaz Azhar Idrus bersama isterinya terbabit dalam kemalangan apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di persimpangan lampu isyarat Kampung Pengadang Baru, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi, Ustaz Azhar dan isterinya dilaporkan tidak cedera, manakala pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara cedera ringan dalam kemalangan itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Pemandu kereta Proton Iswara, Che Daek Abdul Rahman, 58, cedera di dada manakala anak saudaranya, Iskandar Mohd Saidi, 12, bengkak di kepala akibat terhantuk dan luka di tangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kemalangan berlaku ketika Ustaz Azhar atau nama sebenarnya Zamrul Idrus, 49, dan isterinya dalam perjalanan ke Bukit Payong, Marang.

Beliau berkata, Ustaz Azhar membuat laporan polis pada jam 11 pagi di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan memberi keterangan berhubung kemalangan itu.

Tiga Kerabat Diraja Parah, Seorang Maut

Anggota bomba mengeluarkan salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan

GUA MUSANG – Tiga kerabat Istana Kelantan yang juga dua pupu Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V parah selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan yang turut membabitkan seorang maut di Kilometer 25.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Bukit Sejuk, Gua Musang di sini pada pukul 7.30 pagi semalam.

Kemalangan yang membabitkan empat kenderaan itu berlaku selepas kereta Proton Saga dinaiki ketiga-tiga mereka iaitu Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissel, 38, dan dua adiknya, Tengku Fatimah Ainura, 34, serta Tengku Farini Amelina, 26, dipercayai hilang kawalan sehingga bertembung dengan tiga kenderaan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter.

Seorang daripada tiga kerabat itu dikatakan tercampak keluar dari kenderaan. Ketiga-tiga mereka merupakan anak kepada Tengku Feissal Sultan Ibrahim yang juga sepupu ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra. - KOSMO

Nahas Feri Di Filipina


Anggota tentera laut menaikkan satu mayat yang ditemui selepas nahas berkenaan

TALISAY - Sekurang-kurangnya 31 orang maut manakala lebih 172 lagi hilang selepas feri yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kapal kontena di perairan bandar ini, dalam wilayah Cebu, tengah Filipina kelmarin.

Beratus-ratus penumpang terjun ke laut dalam kemalangan tersebut dengan selebihnya terperangkap di dalam feri penumpang sepanjang 138 meter itu. Setakat semalam, pasukan penyelam telah menangguhkan operasi mencari penumpang yang hilang.

Mengulas kemalangan dahsyat itu, Timbalan Ketua Pengawal Pantai, Luis Tuason berkata, kapten feri MV Thomas Aquinas itu mengarahkan feri tersebut dikosongkan apabila ia senget dan mula karam.

Feri itu sedang dalam perjalanan menuju ke pelabuhan di sini apabila ia berlanggar dengan kapal MV Sulpicio Express. MV Thomas Aquinas karam hanya beberapa minit selepas berlanggar dengan kapal tersebut.

Semasa kejadian, feri itu membawa seramai 752 penumpang termasuk kanak-kanak dan bayi serta 118 kru. Setakat ini, seramai 629 penumpang dan kru dilapor berjaya diselamatkan.

"Seramai 172 orang masih hilang dengan sebahagian mereka dikhuatiri terperangkap di dalam feri pada kedalaman 33 meter di dasar laut," kata Tuason.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Filipina memberitahu, satu siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas selepas operasi menyelamat berakhir.

Seorang penumpang yang terselamat, Jerwin Agudong berkata, feri MV Thomas Aquinas karam sekitar 30 minit selepas belayar dari bandar Nasipit, dalam wilayah Agusan del Sur di selatan Filipina.

Sementara itu, pemilik kapal kargo berkenaan, Span Asia Carrier Corp. menyatakan semalam bahawa kapal-kapal syarikat berkenaan pernah terlibat dalam empat lagi tragedi yang meragut lebih 5,00 nyawa sejak 1987. - Agensi

Amah Mangsa Pemerdagangan Orang Diselamatkan

Jeyadevi yang didakwa menjadi mangsa pemerdagangan orang

PETALING JAYA - Seorang amah warga India diselamatkan daripada terus menjadi mangsa pemerdagangan orang dalam kejadian di sini semalam.

Wanita berkenaan, P. Jeyadevi, 47, dari Madurai, India diselamatkan oleh sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Malaysia Global Rescue Humanity selepas mendapat maklumat mengenai nasib yang menimpa mangsa.

Presidennya, T. Kamalanathan mendakwa, mangsa telah dipergunakan oleh seorang ejen pekerja warga asing sejak masuk ke negara ini Februari lalu menggunakan permit pekerja pembersihan.

“Mangsa tidak dibenarkan memegang gaji RM500 sebulan selain telah bertukar tangan kepada lima majikan sebelum diselamatkan. Selain ditipu, mangsa turut dipukul dengan tali pinggang oleh ejennya.

“Kesemua gaji itu diambil ejen kononnya untuk bayaran permit pembantu rumah. Ejen mengenakan yuran antara RM5,000 hingga RM6,500 kepada majikan sebelum membawa lari mangsa selepas bekerja selama dua hingga empat minggu,” dakwanya lagi ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Sea Park di sini semalam. - KOSMO

Samun, Culik Sebelum Perkosa Pekerja Kilang

Soe Thu menunjukkan baldi digunakan suspek untuk meletakkan barangan berharga yang disamun

KOTA TINGGI – Tiga penjenayah bertindak kejam apabila bukan sahaja menyamun sekumpulan pekerja wanita Myanmar sebuah kilang elektronik selepas memecah masuk asrama mereka malah, melarikan salah seorang mangsa sebelum merogolnya dalam kejadian di Jalan Kijang, Taman Kota di sini kelmarin.

Kejadian pukul 10.45 malam itu berlaku apabila dua daripada tiga penjenayah tersebut menceroboh premis berkenaan melalui pintu belakang yang dipecahkan sebelum mengarahkan 15 wanita Myanmar berkumpul sambil mengacu-acukan parang. Seorang lagi penjenayah menunggu di luar.

Kira-kira setengah jam sebelum itu, kesemua penjenayah yang memakai topi dan sarung muka dikatakan telah memecah masuk asrama didiami 12 pekerja wanita warga Nepal kilang yang sama di Jalan Belinjau, Taman Kota Jaya di sini. Jarak antara dua tempat itu kira-kira tiga kilometer. - KOSMO

Tentera Serbu Masjid Al-Fatah

Sebuah bilik di Masjid Al-Fatah yang menjadi tempat penunjuk perasaan berlindung

KAHERAH - Pasukan keselamatan memasuki sebuah masjid di ibu negara Mesir di sini selepas berbalas tembakan dengan penyokong Presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi semalam. Siaran langsung televisyen tempatan menunjukkan beberapa kumpulan individu meninggalkan Masjid Al-Fatah dengan dilindungi anggota polis dan tentera.

Laporan televisyen menyatakan, sejumlah penyokong Morsi bersembunyi di beberapa menara masjid itu dan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan yang berkawal di kawasan sekitarnya.

Anggota polis dan tentera kemudian membalas tembakan mereka. Pasukan keselamatan kemudian menawan menara-menara tersebut. Setakat ini, belum ada laporan berhubung kematian dan kecederaan dalam insiden itu.

Terdahulu, beberapa anggota tentera dilihat memasuki masjid berkenaan yang menjadi tempat perlindungan beberapa ratus penyokong Morsi.

Saluran televisyen tempatan, Egyptian ONTV Live melaporkan anggota-anggota tentera itu cuba berunding untuk memujuk penunjuk perasaan itu supaya beredar.

Seorang penunjuk perasaan di dalam Masjid Al-Fatah memberitahu agensi berita AFP melalui telefon bahawa mereka menuntut agar tidak ditangkap atau diserang oleh kumpulan penyokong kerajaan sementara yang berhimpun di luar masjid.

Perkembangan itu berlaku setelah lebih 100 nyawa melayang dalam pertumpahan darah antara penunjuk perasaan yang setia kepada Morsi dengan pasukan keselamatan kelmarin. Situasi yang semakin buruk itu menjadikan Mesir di ambang huru-hara.

Dalam pada itu, pihak berkuasa menangkap lebih 1,000 pemimpin dan ahli pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin semalam. Pergerakan Islam itu merupakan penyokong kuat Morsi.

"Seramai 1,004 "elemen" Ikhwanul Muslimin telah ditangkap kerana melakukan keganasan dalam pertempuran yang mengorbankan 700 orang sejak Rabu lalu," kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.

Ikhwanul Muslimin yang menguasai Mesir selama setahun sehingga Morsi digulingkan oleh tentera turut menggesa penyokongnya kembali mengadakan protes jalanan.

Demonstrasi tersebut bagi mengecam rampasan kuasa tentera dan mengutuk kekejaman pasukan keselamatan dalam menangani kebangkitan rakyat.

Terbaharu, Perdana Menteri Mesir, Hazem El-Beblawi mengusulkan supaya pergerakan Ikhwanul Muslimin dibubarkan secara rasmi.

"Cadangan tersebut sedang dikaji," kata Menteri Hal Ehwal Masyarakat, Sherif Shawky. - Agensi

Sabtu, 17 Ogos 2013

Ibu Tunggal Cedera Dalam Kes Samun

Gambar Hiasan

ROMPIN: Seorang ibu tunggal cedera di tangan akibat terkena pisau pemotong daging selepas bergelut dengan seorang lelaki yang menceroboh masuk ke rumahnya di Kampung Serikin dekat Rompin awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Yahaya berkata dalam kejadian jam 5.15 pagi itu mangsa, 34, mahu ke tandas menemani anak lelakinya yang berusia enam tahun.

Beliau berkata, semasa berada di ruang tamu mangsa terkejut apabila terserempak dengan suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging itu.

“Suspek mengacukan pisau ke arahnya dan mangsa bertindak melawan sebelum bergelut dengan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Suspek kemudiannya bertindak merentap gelang emasnya dan mengarahkan ibu wanita itu, berusia 50-an, yang keluar dari bilik tidur, menanggalkan barang kemas yang dipakai.

Beliau berkata, selepas mengambil barang-barang kemas wanita itu dan ibunya, suspek melarikan diri melalui pintu dapur dengan sebuah kereta yang menunggu di luar rumah itu.

“Wanita itu mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan menerima tiga jahitan di tangan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Johari berkata dalam kejadian itu mangsa kehilangan lima gelang tangan emas dan dua utas rantai dengan jumlah kerugian kira-kira RM10,000. - Bernama

Syabu Ditemui Dalam Dompet Pegawai Polis

Gambar Hiasan

KUANTAN: Sejumlah serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu ditemui dalam dompet seorang pegawai kanan polis yang cedera parah dalam kemalangan jalan raya di sini, kelmarin.

Serbuk dan ketulan kristal seberat 0.8 gram itu ditemui pihak hospital ketika pegawai berkenaan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) di sini, kata sumber polis.

“Paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal yang disyaki syabu itu telah diserahkan petugas hospital kepada pihak polis Ibu pejabat Polis Daerah Kuantan pada jam 12 tengah hari semalam (kelmarin).

“Siasatan awal mendapati barang kes itu dijumpai pada dompet pegawai polis berkenaan yang bertugas di negeri ini,” kata sumber itu kepada Bernama di sini, semalam.

Menurut sumber itu Bahagian Tatatertib Polis Pahang telah diarah memulakan siasatan terhadap kes berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata, pegawai berkenaan cedera parah apabila kereta yang dipandunya melanggar belakang lori treler membawa muatan konkrit di Jalan Kuantan By Pass pada jam 7 pagi kelmarin.

Ketika kejadian pegawai berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Gebeng.

“Pegawai itu cedera parah…mengalami pendarahan pada bahagian dalaman perut dan patah lutut kiri,” katanya. - Bernama

Lelaki Minta Hutang Maut Ditikam

Anggota polis memeriksa mayat seorang pengutip hutang yang ditemui dibunuh

MELAKA: Seorang bekas pengutip hutang mati ditikam rakan ketika meminta hutang daripada suspek dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Zahir 19, Taman Malim Jaya, di sini semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Melaka Supt P. R. Gunarajan berkata Chong Piang Fong, 49, mati akibat tikaman pada bahagian dada susulan pergelutan dengan suspek dalam kejadian jam 9.15 pagi.

Mangsa yang tinggal di Machap Umboo Baru, Alor Gajah ke rumah suspek yang berusia 25 tahun itu bagi memintanya melangsaikan baki hutang, namun tercetus pergaduhan.

“Mangsa datang dengan membawa sebatang kayu pendek dan mula meminta baki wang yang dipinjam oleh suspek dengan nada tinggi sehingga menyebabkan pergaduhan. Suspek yang berang dengan serangan itu kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan menikam dada suspek,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa yang mengalami pendarahan teruk kemudian berlari keluar sebelum rebah di luar pagar rumah berkenaan.

Beliau berkata suspek yang merupakan bekas tahanan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) berhubung kes dadah dan dibebaskan dari penjara Batu Gajah, Perak pada Mei tahun lepas, melarikan diri menerusi pintu belakang rumah terbabit.

Namun dia berjaya ditahan oleh polis berhampiran Hotel Formosa Garden, Limbongan di sini kira-kira jam 10.50 pagi hasil maklumat orang awam, katanya.

Menurut Gunarajan siasatan awal polis mendapati mangsa dan suspek adalah kenalan lama dan mangsa pernah beberapa kali ke rumah suspek dipercayai untuk meminta hutang.

Tiga rakan suspek yang berada di rumah itu ketika kejadian turut ditahan bagi membantu siasatan kes, katanya.

Menurutnya polis juga akan menyiasat kes itu dari pelbagai sudut selepas mendapati rumah berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup selain menemui beberapa walkie-talkie di dalam rumah terbabit. - Utusan Borneo

Tukang Urut Bersama Pelanggan Ditahan Ketika ‘Beraksi’

Gambar Hiasan

SIBU: Polis menahan seorang tukang urut wanita dan se­orang pelanggannya ketika mereka sedang melakukan hubungan seks di atas katil sebuah pusat urut di Jalan Kampung Nyabor dalam satu serbuan antimaksiat malam kelmarin.

Serbuan dilakukan pada jam 11.30 malam selepas meneri­ma maklumat awam bahawa pusat tersebut menjalankan aktiviti tidak bermoral sejak kebelakangan ini.

Semasa memulakan ser­buan, sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) men­dapati tiga wanita sedang me­nonton televisyen, manakala seorang lagi berada di kaunter premis tersebut.

Selepas memeriksa semua bilik, polis mendapati salah sebuah bilik berkunci dan apabila pintunya dibuka secara paksa, mereka mendapati seorang wanita warga China, 43, dan pelanggannya yang baharu berumur 20 tahun berbogel dan ‘beraksi’ di atas katil urut.

Difahamkan, pasangan tu­kang urut dan pelanggan itu melakukan seks untuk kali kedua sejak mereka berada di bilik tersebut.

Si pelanggan dipercayai membuat bayaran pendahu­luan sebanyak RM280 dan sekali lagi RM100 untuk memuaskan nafsunya bagi kali kedua. Polis kemudian mengheret pasangan itu ke balai bersama sepeket kondom.

Sementara itu, wanita terbabit menitiskan air mata semasa dibawa ke Saratok pada jam 9.30 pagi semalam untuk ditahan reman.

Menurut sumber polis, wanita tersebut tiba di sini untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral dua bulan lalu selepas diberitahu oleh rakan-rakannya bahawa kononnya aktiviti berkenaan sah di Malaysia.

Jumaat, 16 Ogos 2013

Dirogol 7 Lelaki Selepas Dipaksa Ambil Dadah


KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan diiringi beberapa pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat laporan polis petang kelmarin mendakwa telah dirogol tujuh lelaki selepas dipaksa mengambil dadah.

Difahamkan, mangsa yang berusia 11 tahun dan berasal dari kawasan Samariang, Petra Jaya telah berkenalan dengan beberapa lelaki sebelum dia didakwa dirogol.

Menurut sumber, mangsa mendakwa telah dipaksa untuk mengambil dadah sehingga menyebabkan dia khayal dan peluang tersebut digunakan kesemua suspek untuk merogolnya.

Bagaimanapun, waktu kejadian tersebut belum dapat dipastikan sehingga mangsa menceritakan perkara tersebut selepas dihantar oleh keluarganya kepada pihak JKM, kelmarin.

Selain itu, mangsa turut dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan selepas laporan polis dibuat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Abang Ahmad Abang Julai semasa dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

“Laporan ada diterima dan pihak kita masih menjalankan siasatan berhubung kejadian,” katanya.

Maut Terjun Dari Dewan Suarah


MAUT TERJUN: Mayat mangsa diperiksa polis sebelum dibawa ke hospital

KUCHING: Seorang lelaki berusia 44 tahun dari Matang di sini maut dipercayai terjun dari Aras 3, Menara Dewan Suarah.

Lelaki yang dikenalpasti sebagai Rogers John Rasie itu dipercayai terjun kira-kira pada jam 12.50 tengah hari tadi, kerana masalah keluarga.

Mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.