Sabtu, 29 Disember 2012

Ukiran Lembu Jantan Di Sawah Padi

Ukiran lembu jantan di Kampung Nitiprayan

JAKARTA - Seorang artis seni, Budi Barnabas menghasilkan ukiran berjudul lembu jantan mendapat kecederaan di kawasan sawah padi di Kampung Nitiprayan, Bantul dekat Yogyakarta, Indonesia.

Ukiran kayu itu merupakan sebahagian daripada pameran ukiran di luar bangunan yang dikenali sebagai Tuaian Terakhir.

Pameran tersebut yang akan berakhir pada 31 Disember ini mempamerkan hasil kerja 30 artis seni yang menyuarakan tentang kemerosotan kawasan tanah pertanian. - Reuters

Dua Sahabat Maut Tersepit

Keadaan 4WD jenis Mitsubishi Storm yang terbalik

MARANG – Dua sahabat maut apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh dua batang tiang elektrik dan sebuah pondok menunggu bas di Kilometer 52 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan semalam.

Kejadian pukul 7.15 pagi itu mengakibatkan pemandu 4WD jenis Mitsubishi Storm, Jamiluddin Zaiton, 28, dan penumpang depan, Shahrul Nazim Mohd. Azmi, 19, maut akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, dua sahabat itu dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Dungun sebelum kenderaan itu terbabas ke kanan jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok dekat sini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya memberitahu, ekoran kemalangan itu, kenderaan dinaiki dua sahabat itu terbabas kira-kira 30 meter sebelum terbalik.

“Kita terpaksa mendapatkan bantuan bomba kerana mayat kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing. Mereka mati akibat cedera parah di kepala,” katanya ketika dihubungi.


Van Jatuh Dalam Gaung

Van yang terjatuh ke dalam gaung di Dahua, selatan China

BEIJING - Seramai 10 orang maut termasuk lima kanak-kanak selepas sebuah van jatuh ke dalam gaung di Dahua, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang semalam.

Van yang membawa muatan berlebihan itu terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung itu di selatan China. Kenderaan sembilan tempat duduk itu dinaiki sebanyak 20 orang.

Nahas tersebut berlaku pada pukul 6 pagi waktu tempatan. Lapan penumpang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika tiba di hospital.

Menurut seorang jurucakap pemerintah tempatan, seramai 10 orang yang cedera diberikan rawatan perubatan.

Ibu seorang bayi, Wei Yuefang memberitahu, dia dan keluarganya dalam perjalanan ke Kampung Bahaotun di pekan Qibainong untuk menghadiri majlis perkahwinan. Anaknya yang berusia 10 bulan itu kini berada dalam keadaan kritikal.

Menurut Yuefang, dia keluargnya tercampak keluar semasa kenderaan berkenaan terjatuh ke dalam gaung.

"Para penumpang yang masih sedar menjerit meminta pertolongan. Penduduk kampung dari kampung berhampiran datang membantu kami," katanya.

Punca kejadian masih disiasat. - Agensi


Isteri Dibunuh

Saat bahagia Nor Fatimah Anis ketika melangsungkan perkahwinan enam bulan lalu

ALOR SETAR - Pertengkaran sepasang suami isteri yang disyaki berpunca daripada perasaan cemburu berakhir dengan tragedi apabila wanita yang baru berkahwin enam bulan lalu itu ditemui mati di rumah mertuanya di Kampung Alor Gelegah di sini semalam.

Kejadian pukul 2 pagi itu mengakibatkan pembantu kedai, Nor Fatimah Anis Md. Radzi, 17, mati dengan kesan kecederaan di kedua-dua belah kaki dan tangan selain kesan luka di dahi. Dia dipercayai dipukul dengan dua batang buluh sepanjang 0.89 meter di hadapan rumah tersebut.

Difahamkan, ketika kejadian, ibu dan bapa mertua mangsa tiada di rumah kerana pergi ke rumah anak mereka di Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, polis percaya kejadian itu bermotifkan cemburu namun pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar.

"Sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan bertengkar di depan rumah sebelum mereka keluar dengan menunggang motosikal dan pulang 15 minit kemudian sambil diekori seorang lelaki yang menaiki motosikal berasingan.

"Sebaik tiba di rumah, suami wanita itu dan lelaki tersebut bergaduh. Semasa pergaduhan itu, mangsa cedera selepas dipukul di kepala dengan objek keras," katanya kepada pemberita di sini.

Lelaki itu kemudian beredar manakala suami mangsa membawa isterinya masuk ke dalam rumah.

Menurut Mohd. Zakaria, polis telah menahan tiga lelaki termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kesemua lelaki itu berusia dalam lingkungan 20-an. Dua lelaki itu merupakan kenalan pasangan tersebut.

"Kita anggap kes ini selesai dengan penangkapan tersebut," katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, dia bergegas ke rumah mangsa yang terletak berdekatan dengan kediamannya selepas terdengar pasangan itu bertengkar.


Nama Psy Diguna Untuk Watak Perogol


TOKYO - Penyanyi Korea Selatan yang terkenal di seluruh dunia dengan tarian kuda, Psy digambarkan sebagai seorang perogol dalam komik manga Jepun, lapor akhbar The Japan Daily Press semalam.

Komik itu akan diterbitkan pada 31 Disember ini yang menunjukkan satu watak mirip Psy. Ia mengisahkan watak tersebut mengetuai satu kumpulan penculik dari Korea Selatan dan merogol sekumpulan gadis Jepun.

Bagaimanapun, menurut laman Digital Journal, penduduk Korea Selatan menyuarakan kemarahan mereka tentang tindakan komik Jepun itu. Ia melaporkan, kemarahan tersebut dinyatakan di laman-laman internet.

Psy menjadi terkenal di dunia menerusi muzik video Gangnam Style di laman YouTube yang dimuat naik sejak 15 Julai lalu. Klip video itu yang menunjukkan Psy menari tarian kuda telah ditonton lebih satu bilion kali.

Psy kemudian menjadi kebanggaan warga Korea Selatan sehingga mengatasi populariti Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon yang juga berasal dari negara yang sama.

Penyanyi itu juga diundang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadiri banyak majlis muzik ekoran kejayaannya itu.

Tarian kuda itu juga dipersembahkan bukan sahaja oleh artis AS tetapi juga ahli-ahli sukan terkenal dunia. - Agensi


Selamat Pengantin Baru

Khairul Fahmi dan Leuniey selepas menjadi suami isteri

TUMPAT – Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat menamatkan zaman bujangnya semalam apabila selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar atau Leuniey di Pasir Pekan di sini.

Khairul Fahmi, 23, atau lebih dikenali sebagai Apek dan Leuniey, 21, dinikahkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib dengan disaksikan oleh kira-kira 2,000 tetamu termasuk ahli keluarga kedua-dua mempelai serta para peminat di rumah keluarga pengantin perempuan.

Apek menyerahkan wang hantaran berserta mas kahwin berjumlah RM19,000 sempena nombor jersi 19 yang dipakai dalam skuad Harimau Malaya bersama tujuh dulang hantaran berbalas tujuh.

“Saya memilih Leuniey kerana dia sangat memahami karier saya yang terlalu sibuk. Buktinya dia faham dengan keadaan walaupun saya pulang untuk membuat persediaan hanya sehari sebelum majlis berlangsung,” katanya.

Mengenai anak, Khairul Fahmi berharap akan menimang sekurang-kurangnya empat orang cahaya mata.

Majlis resepsi pengantin perempuan akan diadakan esok di Hotel Renaissance, Kota Bharu manakala pengantin lelaki pula di rumah keluarga Khairul Fahmi di Cherang dekat sini pada 5 Januari.


Bermain Dengan Ular Sawa

Seorang lelaki bermain dengan beberapa ekor ular sawa di Bandar Malabon

BANDAR MALABON, Filipina - Seorang lelaki bermain dengan beberapa ekor ular sawa di bandar ini semalam.

Dia membuat persembahan bagi meraikan kedatangan Tahun Ular berdasarkan kalendar Cina pada bulan depan. Sejumlah orang menyaksikan persembahan lelaki itu yang berbaring bersama ular-ular tersebut.

Ular sawa Albino Burma merupakan antara yang dipamerkan lelaki berkenaan semasa dia bermain dengan haiwan berkenaan. - Reuters


Ular Masuk Rumah Ketika Banjir

Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu membantu menangkap 41 ekor ular yang masuk rumah semasa banjir di negeri ini.

Pegawai JPAM Terengganu, Leftenan (PA) Nor Asmawi Abdul Mutalib berkata, jenis ular yang ditangkap itu ialah seperti tedung dan senduk, dan haiwan-haiwan itu diserahkan kepada pihak berkuasa relevan.

Dalam tempoh dua hari sahaja sejak banjir mula melanda negeri ini Ahad lepas, pihak JPAM menerima aduan 13 hingga 16 kes ular masuk rumah setiap hari, katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, biasanya pada musim banjir, ular akan mencari tempat perlindungan apabila sarangnya ditenggelami air. – BERNAMA


Ariel Jalin Hubungan Dengan Isteri Orang

Ariel

JAKARTA - Penyanyi kumpulan muzik Noah, Ariel disoal siasat pihak polis kelmarin ekoran dakwaan dia menjalin hubungan dengan seorang pramugari, lapor akhbar dalam talian Kompas.com semalam.

Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham, 31, dilaporkan disoal siasat selama lebih 90 minit di ibu pejabat polis Metro Jaya di sini.

Pramugari berkenaan, Magdalena Awuy yang sudah bersuami dan mempunyai seorang anak didakwa berkenalan dengan Ariel sejak konsert jelajah kumpulan Noah di lima negara pada November lalu.

Namun, bekas penyanyi kumpulan Peterpan itu menafikan dia menjalin hubungan dengan wanita tersebut dan mendakwa ada pihak sengaja menuduhnya. Berita hubungan sulit mereka mula tersebar di Internet pada 21 November lepas.

Pada 31 Januari 2011, Ariel dihukum penjara tiga tahun setengah kerana terlibat dalam penerbitan pita video seks melibatkan wanita mirip dua selebriti Indonesia, Luna Maya dan Cut Tari.

Dia dibebaskan dari Rumah Tahanan Kebon Waru, Bandung pada Julai lalu. - Agensi


Bapa Di Penjara 30 Lulan Dera 3 Anak

Nordi dipenjara 10 bulan selepas mengaku bersalah

JOHOR BAHRU – Seorang bapa yang pernah mendapat simpati ramai melalui kisah empat anaknya dilarikan bekas isteri ke Lampung, Indonesia sebelum tiga daripadanya berjaya dibawa pulang, dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mendera tiga zuriatnya itu minggu lalu.

Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias memerintahkan Nordi Ali, 57, menjalani hukuman tersebut selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh.

Beliau memerintahkan setiap pertuduhan dikenakan hukuman 10 bulan penjara dan memutuskan supaya ia berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 Disember lalu. Ini bermakna, pengawal keselamatan itu hanya menjadi penghuni tirai besi selama 10 bulan sahaja.

Mengikut kesemua pertuduhan, Nordi didakwa mencederakan Nurmasyita Amiera, 8; Nurul Safiza Fitri, 11, dan Muhammad Nurhan, 9, di rumah mereka di No. 07-03, Jalan Dataran 2/8, Flat Taman Kempas di sini antara pukul 6 pagi hingga 6 petang, 21 Disember lalu.

Nordi didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Nordi mengaku salah apabila memukul anak-anaknya menggunakan batang paip PVC dan tali pinggang.

“Saya hanya berniat untuk mendidik anak-anak. Saya bimbangkan mereka kerap keluar rumah tanpa pengetahuan dan tidur di rumah jiran yang ada anak lelaki,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Sze Han dan Mohd. ‘Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Kuil Berusia 3,000 Tahun Ditemui Di Baitulmuqaddis

Tapak kuil purba yang ditemui di Tel Motza, Baitulmuqaddis

TEL MOTZA, Israel - Beberapa ahli arkeologi Israel mendakwa telah menemui sebuah kuil dan patung-patung kecil keagamaan berusia kira-kira 3,000 tahun dan dipercayai wujud pada zaman empayar Judah, kata pihak berkuasa antikuiti negara itu kelmarin.

Artifak itu ditemui di Tel Motza, di luar Baitulmuqaddis semasa kerja-kerja arkeologi dilakukan di hadapan sebuah kawasan pembinaan lebuh raya baharu di lokasi terbabit.

"Struktur bangunan keagamaan yang ditemui amat luar biasa dan menarik," kata pengarah penggalian dalam satu kenyataan.

Salah seorang pengarah penggalian, Anna Eirikh memberitahu agensi berita AFP, penemuan tersebut membuktikan terdapat amalan keagamaan ketika zaman empayar Judah.

"Apa yang pasti semua patung kecil yang ditemui digunakan untuk tujuan keagamaan," katanya.

Penemuan bertarikh 9 hingga 10 sebelum Masihi itu membuktikan terdapat kuil pertama dibina di kawasan Baitulmuqaddis. - AFP


Empat Lagi Lemas Akibat Banjir


KUALA LUMPUR - Empat kematian akibat lemas ketika banjir dilaporkan berlaku di sekitar Terengganu kelmarin.

Di Kemaman, kegembiraan 10 sahabat bermain banjir di Kampung Hilir, Pasir Gajah bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, Mohd. Ezani Hakim Mohammad, 15, dan Muhammad Hafiz Mohd. Nasir, 14, bersama lapan rakan ke tempat kejadian untuk bermain air tetapi lima daripada mereka berpatah balik kerana arus semakin kuat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, lima sahabat itu dihanyutkan arus deras tetapi tiga daripada mereka sempat berpaut pada pokok.

Jelasnya, mayat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dadong itu ditemui tersangkut pada pokok pada pukul 10.30 malam.

Katanya, mayat mereka dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Di Kuala Terengganu, seorang remaja lemas ketika membasuh motosikal berhampiran sungai di Kampung Kebor Besar, Manir pada pukul 2 petang.

Mohd. Badrul Aman Abdul Rahman, 15, dipercayai tergelincir ke dalam sungai kampung berkenaan dan mayatnya ditemui tiga jam kemudian oleh anggota bomba.

Di Setiu, kanak-kanak yang hilang ketika mengikut bapanya menjala ikan di Kampung Kederang, Permaisuri kelmarin ditemui di dasar tali air kira-kira 200 meter dari tempat mangsa dilaporkan tergelincir.

Mayat Nik Mohd. Al-Fahmi Jailani, 6, ditemui penduduk kampung yang menjalankan usaha mencari pada pukul 1 pagi semalam.

Mangsa baru tiba dari Pasir Puteh, Kelantan bersama keluarga untuk menziarahi neneknya sebelum mengikut bapanya menjalan ikan.

"Bapanya terjun untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal kerana air dalam dan deras," katanya.


Paus Finback Terdampar Di Queens

Ikan paus finback ditemui terdampar di Teluk Jamaica

NEW YORK - Seekor ikan paus finback sepanjang 18.28 meter ditemui terdampar di Teluk Jamaica, Breezy Point, Queens pagi kelmarin, kata beberapa pegawai. Para penyelamat dari Yayasan Riverhead berkata, paus itu kelaparan dan bergelut untuk hidup.

"Ia kelihatan amat kurus dan ini bukanlah situasi yang bagus," kata Pengarah Eksekutif yayasan itu, Rob DiGiovanni.

Polis dan bomba terpaksa menggunakan hos getah untuk menyiram air ke atas ikan paus itu bagi memastikan ia terus hidup.

Menurut Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar negeri, ikan paus finback merupakan spesies kedua terbesar selepas paus biru.

Seekor ikan paus finback berukuran sepanjang 6.09 meter ketika lahir dan boleh membesar sehingga 21.3 meter panjang apabila dewasa. - Agensi


Dua Maut Ditimbus Tanah Runtuh

Salah satu mayat pekerja kontrak yang maut selepas ditimbus tanah runtuh

SUNGAI PETANI – Malang menimpa dua pekerja kontrak apabila mereka maut akibat ditimbus tanah runtuh ketika sedang melakukan kerja-kerja memasang saluran paip kumbahan di tapak pembinaan projek perumahan Ambangan Heights, Jalan Bukit Selambau di sini semalam.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu mengakibatkan P. Morgan, 39, dari Bedong dan S. Saravanan, 25, dari Sungai Lalang di sini maut. Majikan mereka, Ng Jun Chuan, 45, pula parah dan sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa berada di dalam tanah yang telah dikorek sedalam 10 meter sebelum tebing lubang itu tiba-tiba runtuh lalu menimpa mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Rosdi Ismail memberitahu, ketika kejadian, seorang lagi rakan mereka, Ming Wei Toh, 51, pula berada di atas.

“Morgan, Saravanan dan Jun Chuan berada di bawah tapak saluran paip berkenaan sebelum ditimpa tebing tanah runtuh.


Kutipan Box - Office Cecah RM33.1 Bilion

Filem Les Miserables yang dibintangi oleh Amanda Seyfried dan Eddie Redmayne

LOS ANGELES - Prestasi pecah panggung filem muzikal Les Miserables dan filem Django Unchained pada Hari Krismas lalu meletakkan kutipan tiket panggung wayang Hollywood bagi tahun ini meningkat kepada AS$10.8 bilion (RM33.1 bilion), kata firma Hollywood.com kelmarin.

Filem Les Miserables dilaporkan memperoleh AS$18.2 juta (RM55.8 juta) di Amerika Syarikat dan Kanada apabila ia mula ditayangkan Selasa lalu.

Filem Django Unchained yang dibintangi aktor Jamie Foxx and Leonardo DiCaprio pula meraih kutipan tiket sebanyak AS$15 juta (RM46 juta).

"Beberapa studio filem tahun ini berusaha untuk mencipta rekod dengan catatan AS$10.8 bilion iaitu peningkatan sebanyak enam peratus berbanding tahun lalu," kata penganalisis Hollywood.com, Paul Dergarabedian. Filem The Hunger Games dan The Avengers turut membantu menambah pendapatan tahun ini.

Sementara itu, filem The Hobbit: An Unexpected Journey mengaut AS$11.4 (RM34.9 juta) pada Krismas lalu selepas mendapat kutipan pecah panggung hampir AS$37 juta (RM113.4 juta) hujung minggu lalu.

Berada di tempat keempat dan kelima ialah filem Parental Guidance dan filem lakonan Tom Cruise, Jack Reacher masing-masing memperoleh AS$6.4 juta (RM19.6 juta) dan AS$5.3 (RM16.2 juta). - Reuters


Pesta Makanan Jalanan 1Malaysia Di Miri


MIRI: Pesta Makanan Jalanan 1Malaysia kembali lagi dan akan diadakan di Permy Mall selama sebulan bermula Ahad ini.

Sementara, majlis pelancarannya akan disempurnakan oleh Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin di Pasar Malam SABERKAS pada Sabtu ini bermula jam 6 petang.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai memberitahu, sebanyak 200 gerai menjual pelbagai jenis makanan dan minuman terlibat dalam pesta itu.

“Ini merupakan kali keempat kami menganjurkan aktiviti ini. Ia dijadikan kesempatan kepada kami untuk mempromosikan Miri kepada pengunjung,” jelas beliau semalam.

Selain MBM, penganjur bersama pesta itu ialah Persatuan Penjaja-penjaja Miri dan Kementerian Pelancongan.

Bel iau member itahu, penganjur juga akan mengutip derma daripada pengunjung untuk diserahkan kepada PERYATIM Miri, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Pusat Dalam Komuniti.

Hadir sama semasa sesi media semalam ialah pengerusi penganjur Hii King Chiong dan ahli jawatankuasa Kaunselor Laila Mohamad dan Kaunselor Lawrence Kong.


Lelaki Disyaki Jalankan Kegiatan Judi Online


MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki menjalankan kegiatan mesin judi secara atas talian diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Suspek yang berusia 25 tahun dari Kampung Blimbing, Krokong, Bau diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu menurut keterangan pegawai penyiasat Sarjan Zainal Abidin Ahmad ketika mengemukakan permohonan reman, sekitar jam 11.15 malam, 26 Disember lalu, sepasukan polis yang menjalankan Ops Dadu telah membuat pemeriksaan di premis suspek kerana dipercayai ada menjalankan kegiatan mesin judi atas talian.

Dalam pemeriksaan itu, polis telah menahan suspek yang bertugas sebagai penjaga kaunter/premis dan lima lelaki lain yang merupakan pelanggan di premis tersebut.

Selain itu, polis turut merampas sebanyak 22 unit komputer yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan tersebut serta beberapa barangan lain dan wang tunai berjumlah RM207 daripada suspek untuk dijadikan barang kes.

Dalam permohonan lanjutnya, Zainal memberitahu bahawa reman selama empat hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan berhemat suspek serta saksi-saksi yang terlibat. Justeru membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali hanya membenarkan reman selama tiga hari dan memerintahkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah sama pada 30 Disember ini untuk sebutan kes.


Dilibas Dengan Taji

Gambar Hiasan

SIBU: Gara-gara tidak mahu bertanggungjawab terhadap seorang gadis yang mengandung, seorang lelaki menerima tujuh jahitan selepas dilibas dengan taji oleh empat orang lelaki.

Dalam kejadian yang berlaku 21 Disember yang lalu, gadis yang berumur 19 tahun telah mendedahkan kepada ahli keluarganya bahawa dirinya telah mengandung tiga hingga empat bulan.

Selepas disoal oleh ahli keluarganya, gadis tersebut telah menuduh teman lelakinya yang berumur dalam lingkungan 20-an sebagai orang yang bertanggungjawab.

Susulan itu, dua orang abang gadis tersebut, seorang saudara lelaki dan seorang lagi rakan mereka bertindak mencari teman lelaki mereka di Jalan Tiong Hua dekat sini pada malam berkenaan.

Apabila empat orang lelaki terbabit menjumpai teman lelaki gadis tersebut, satu pertengkaran tercetus sehingga mereka bergaduh.

Akibat pergaduhan itu, teman lelaki tersebut cedera di bahagian belakang, kepala dan tangan dipercayai dilibas dengan taji ayam.

Bagaimanapun, teman lelaki tersebut berjaya melarikan diri menuju ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.

Teman lelaki gadis tersebut kemudiannya dihantar oleh ambulans ke hospital untuk mendapat rawatan.

Pada malam 25 Disember, pihak polis telah menerima maklumat mengenai satu pergaduhan yang berlaku di sebuah pusat hiburan di sini.

Polis yang membuat siasatan ke pusat hiburan tersebut telah menjumpai dan menahan salah seorang daripada abang gadis tersebut.

Salah seorang lagi abang gadis dan seorang lagi saudara lelaki juga berjaya ditahan oleh polis pada malam 27 Disember.

Dua orang abang mangsa yang ditahan berumur 27 dan 29 tahun manakala seorang saudara lelaki mereka berumur dalam lingkungan 30-an pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Seorang lagi suspek lelaki yang masih bebas berhubung dengan kes tersebut yang kini dalam siasatan polis.


Isteri Lari Suami Ada Hubungan Sulit


SIBU: Seorang isteri, 26, yang dikenali sebagai Rinnie Salang dipercayai melarikan diri dari rumah kerana mengesyaki suaminya ada hubungan sulit dengan wanita lain di sini.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas seorang ibu kepada lima orang anak mendapati ada pesanan ringkas (sms) yang menyatakan ‘I Love You’ dalam peti masuk telefon bimbit suaminya.

Menurut laporan, suaminya, 38, yang hanya dikenali sebagai Kieu, dia tidak mengenali orang yang menghantar sms tersebut.

Pada 3 Disember lalu, suaminya juga ada menerima ‘miss call’ daripada nombor telefon bimbit yang sama sebelum menerima sms tersebut.

Dua hari selepas itu, isteri Kieu dikatakan memarahi suaminya kerana enggan memberitahu orang yang menghantar sms tersebut terus bertindak melarikan diri dari rumah mereka.

Menurut pengadu, isterinya ada pulang ke rumah selama satu hari semasa anak mereka yang berumur satu tahun jatuh sakit pada 22 Disember lalu.

Namun, isterinya keluar dari rumah keesokannya dan tidak muncul kembali sehingga kini. Bimbang mengenai keselamatan isterinya, Kieu membuat laporan polis di Balai Polis Sentral semalam.


Dadah: Penjawat Awam Mengaku Tidak Bersalah


MIRI: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini petang semalam terhadap tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Abdul Hamid Muhammad, 26, dari Jalan Riam di sini didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara dua tahun dan boleh menjalani pengawasan serta merta di bawah Seksyen 38B Kuasa Mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati ada menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Pindaan 2002), dengan cara memasukkan bahan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.10 pagi, 1 Mac tahun ini di Pejabat Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Januari depan untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan ikat jamin RM1,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.


Jumaat, 28 Disember 2012

Pembunuh Ke Tali Gantung


JOHOR BAHRU – Perbuatan kejam seorang pengawal keselamatan yang membunuh seorang gadis sebelum mengerat dan membakar mayat mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Masai di sini tahun lalu berbalas apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman mengarahkan D. Kalaiselvan, 47, menjalani hukuman tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Kalaiselvan bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh membunuh Nur Rahayu Qomarodin, 16, di ladang kelapa sawit Sungai Masai, Jalan Masai-Kong Kong, Masai, antara pukul 2.30 pagi hingga 2.50 pagi pada 18 Jun 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Abdul Halim berkata, tertuduh gagal memberikan penjelasan yang munasabah selain pembelaan yang dibuat secara bersumpah menerusi kandang saksi itu bersifat penafian semata-mata.

“Tertuduh gagal memperjelaskan mengapa dia perlu lari daripada pihak polis dan memindahkan beban kejadian terhadap orang lain iaitu Ramani dan Siva yang tidak diceritakan dengan lebih lanjut identiti mereka.

“Perbuatan kamu kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun kerana kamu tergamak melakukan perbuatan itu terhadap gadis yang sebaya dengan anak kamu. Oleh itu, mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kamu,” katanya.


Kereta Kebal Bedil Kampung

Mayat-mayat penduduk kampung bergelimpangan

DAMSYIK - Seramai 20 orang termasuk lapan kanak-kanak terbunuh selepas kereta kebal tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad membedil sebuah kampung di wilayah utara Kahtaniyeh semalam, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia untuk Syria.

"Sekurang-kurang 20 orang termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita terbunuh selepas tentera rejim Bashar menyerang sebuah ladang di kampung Kahtaniyeh, barat bandar Raqa," kata kumpulan pemerhati itu.

Sebuah video amatur yang dimuat naik ke Internet oleh kumpulan aktivis menunjukkan beberapa mayat berlumuran darah dan mayat seorang kanak-kanak ditutup dengan selimut di dalam sebuah rumah.

"Berpuluh-puluh orang lagi dilaporkan cedera di ladang itu," kata aktivis di Raqa.

Sementara itu, menurut kumpulan pemerhati sama, lebih 45,000 orang dilaporkan terbunuh di Syria sejak penentangan terhadap Presiden Bashar Al-Assad meletus pada Mac tahun lalu.

"Secara keseluruhan kami telah mendokumen kematian seramai 45,048 orang," kata pengarah badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman.

Tambahnya, lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh sepanjang minggu lepas.

Katanya, mereka yang terbunuh termasuk 31,544 orang awam, 1,511 orang berpaling tadah, 11,217 tentera dan 776 tidak dapat dikenal pasti. - Agensi


Mayat Bogel Dalam Bilik

Anggota polis mengangkat mayat Edward Rajasooria

SEREMBAN – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan bogel dengan kaki dan tangan terikat manakala kepalanya ditutup dengan sehelai kain sarung dalam kejadian dipercayai bermotifkan samun di Jalan Rasah di sini semalam.

Mayat Edward Rajasooria Sebastian, 62, dijumpai pada pukul 9 pagi di dalam sebuah bilik di rumahnya oleh sepasukan anggota polis.

Difahamkan, mangsa yang belum berkahwin tinggal bersendirian di rumah yang diwarisi daripada keluarganya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya bergegas ke rumah mangsa sebaik menerima panggilan daripada seorang jiran mengatakan lelaki itu tidak keluar rumah sejak petang kelmarin.

“Sebaik tiba, polis dapati pintu depan rumahnya tidak berkunci sebelum menemui mayat mangsa di dalam bilik dalam keadaan berbogel dengan kaki dan tangan terikat manakala mukanya ditutup dengan sehelai kain sarung,” katanya di sini semalam.


Parah Dilibas Angkara Dendam

Parah akibat dilibas diberi bantuan awal oleh pasukan penyelamat

GEORGE TOWN - Perasaan dendam yang membuak-buak mendorong sekumpulan lima samseng bertindak nekad menyerang, menetak dan menghentak seorang lelaki hingga parah dalam kejadian di Gat Lebuh Macallum di sini kelmarin.

Kejadian pukul 11 malam itu mengakibatkan mangsa yang berusia 40 tahun cedera di kepala, tangan dan lengan kiri selepas dilibas dengan parang sebanyak lima kali selain dihentak dengan kerusi plastik.

Kejadian berlaku apabila kesemua suspek yang berjalan kaki menyerang lelaki itu sebelum melarikan diri sebaik melihat mangsa rebah.

Difahamkan, mangsa terpaksa menanggung sakit selama setengah jam sebelum ditemui oleh orang awam yang terus menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan awal mendapati punca serangan adalah bermotifkan dendam.


Bunga Bangkai Mekar Pada Hari Krismas

Titan Arum mengeluarkan bau busuk seperti mayat reput

MELBOURNE - Sekuntum bunga bangkai atau nama saintifiknya, Titan Arum mekar sepenuhnya pada Hari Krismas di Taman Botani Diraja di sini, lapor akhbar dalam talian Daily Telegraph semalam.

Media berkenaan melaporkan, orang ramai mempunyai masa cuma 48 jam untuk melihat bunga itu sebelum tumbuhan tersebut layu dan mati.

"Saya dapat menghidu bau bunga itu walaupun berada di luar rumah kaca taman botani ini," kata koordinator tapak semaian taman botani berkenaan, David Robbins.

Berukuran setinggi 1.8 meter, Titan Arum mengeluarkan bau busuk seperti mayat reput.

Tumbuhan yang berada dalam keadaan dorman dari satu hingga tiga tahun sebelum berbunga itu merupakan yang pertama di negeri Victoria. - Agensi


Dipukul Sampai Mati Kerana Kebakaran

Penduduk pulang ke rumah mereka yang hangus terbakar

MANILA, Filipina - Lapan orang terbunuh manakala 5,000 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas satu kebakaran berlaku di sebuah kawasan setinggan di bandar San Juan ketika sambutan Hari Krismas, kata beberapa pegawai semalam.

Pegawai Kanan Bomba, Domingo Cabog berkata, seorang penduduk dipukul sehingga mati oleh jirannya selepas dituduh memulakan kebakaran itu kelmarin. Lelaki itu dilaporkan mabuk tetapi bukan penyebab kepada kebakaran tersebut.

Cabog berkata, kebakaran bermula di dalam sebuah rumah apabila sekumpulan kanak-kanak bermain dengan lilin.

Seramai 13 orang turut dilaporkan cedera. Mangsa yang cedera termasuklah dua anggota bomba dan sukarelawan akibat dibaling batu oleh penduduk yang marah, kata Cabog.

Polis kini menjalankan siasatan mengenai kejadian lelaki yang dipukul sehingga mati. Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat. - AP


Persiapan Kahwin Apek - Leuniey

Leuniey sedang dirias inai oleh jurusolek

TUMPAT - Banjir yang melanda tiga negeri di Pantai Timur ketika ini tidak menjejaskan kerancakan persiapan perkahwinan penjaga gol bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Nur Eilunie Natasha Jaafar yang dijadualkan akan bernikah esok.

Eilunie atau Leuniey, 21, ketika ditemui di rumahnya di Pasir Pekan di sini memberitahu, semua persiapan untuk majlis tersebut berjalan lancar dan dia bersyukur kerana rumahnya tidak dinaiki air.

"Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan sudah disiapkan, hanya tinggal pelamin yang akan dipasang malam ini (malam tadi). Risau juga musim hujan lebat macam ini.

"Pihak kami juga telah menunaikan solat hajat mendoakan agar segalanya berjalan sempurna dan cuaca baik pada hari perkahwinan nanti," katanya ketika ditemui di sini semalam.


Terjun Kereta Dipandu 100km/j

Jubah hitam yang dipakainya

KUCHING – Seorang wanita tidak menyangka sehelai jubah hitam pemberian suami yang dibeli di Mekah semasa menunaikan haji pada tahun ini menjadi perisai apabila dia hanya cedera ringan ketika nekad terjun dari kenderaan yang sedang bergerak laju kelmarin.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Nor, 41, itu bertindak demikian selepas menyedari kenderaan jenis Mitsubishi Pajero milik suaminya dipandu seorang pencuri dengan kelajuan 100 kilometer sejam dalam kejadian pukul 11 malam di Jalan Main Bazaar, Kuching Waterfront di sini.

Selepas berguling beberapa kali di atas jalan, ibu kepada lima anak itu hanya cedera di lengan, siku, kedua-dua lutut dan kaki.

Mengimbau semula kejadian itu, peniaga gerai makanan itu mendakwa, dia terlena di kerusi penumpang depan dalam kenderaan yang diletakkan di bahu jalan kira-kira 20 meter dari gerainya dalam keadaan enjinnya hidup manakala pintu tidak dikunci.


Fazurina Nafi Bernikah Di Siam


Fazurina dan Muhammad Hykal menunjukkan surat akuan pernikahan mereka

GEORGE TOWN - Pelakon drama, Siti Fazurina Mohd. Famir yang lebih dikenali sebagai Nina menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan dia 'kahwin lari' di Thailand dengan Muhammad Hykal Zulkifli setelah tidak mendapat restu keluarga.

Menurut Nina, 30, dia dan suaminya, Muhammad Hykal, 31, sebenarnya selamat melangsungkan majlis pernikahan di Masjid Jamek Sungai Pinang di sini pada 20 Disember lalu dan bukannya di negara jiran seperti yang digembar-gemburkan.

"Majlis pernikahan saya berlangsung secara sah dan saya tak sangka perkara ini boleh timbul apatah lagi membabitkan ahli keluarga saya sendiri.

"Saya sebenarnya banyak berkecil hati. Mereka tidak pernah merasai apa yang saya rasa. Kalau ahli keluarga saya dapat menerima Hykal perkara sebegini akan selesai.

"Kami berdua sudah lama merancang untuk berkahwin dan kali ini Tuhan telah memakbulkan doa kami. Hykal adalah pilihan terbaik untuk saya," katanya pada satu sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini semalam.


Victoria Tak Laku


Victoria Beckham

HARI ini, Victoria Beckham merupakan wanita yang paling dicemburui banyak wanita lain di seluruh dunia. Selain begitu masyhur sebagai anggota grup Spice Girls, selebriti dan ikon fesyen, Victoria yang dikenali sebagai Posh Spice punya sebab utama untuk dicemburui iaitu sebagai isteri kepada pemain bola sepak terkenal, David Beckham.

Bagaimanapun, Victoria yang kini merupakan ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu bahawa sebelum bercinta dengan Beckham, tidak ada lelaki yang sudi menjadi kekasihnya.

"Sewaktu saya bersama grup Spice Girls, khalayak melihat kami begitu popular dan dikejar banyak lelaki. Sayangnya, saya tidak bernasib baik dalam bab bercinta. Tak ada lelaki yang mahu menjadi kekasih saya," ujar Victoria.

Walaupun tidak didekati oleh lelaki, ternyata penantian cinta wanita berusia 38 tahun itu berbaloi apabila Beckham tertarik kepadanya.

Mereka mula bercinta pada tahun 1997 dan berkahwin dua tahun kemudian. Pasangan Victoria dan Beckham kini memiliki tiga anak lelaki iaitu Brooklyn, Romeo dan Cruz serta seorang anak perempuan, Harper Seven.



Leuniey Sendiri Jemput Bapa

Leuniey bakal bernikah dengan Khairul Fahmi

KOTA BHARU – ”Anak saya sendiri telah menjemput bapa kandungnya itu untuk menghadiri perkahwinan mereka.” Demikian tegas Nor Laila Abu Bakar, 40, ibu kepada Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey, 21, yang akan melangsungkan perkahwinan dengan penjaga gol bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, pada Jumaat ini.

“Sebelum ini, Leuniey ada ke rumah bapa kandungnya untuk menandatangani borang sebagai wali nikah dan ketika itu juga Leuniey telah menjemput bapa kandungnya itu turut hadir pada majlis pernikahannya.

“Saya tidak mahu mengulas panjang isu ini kerana ia lebih kepada isu dalaman keluarga,” tegas Nor Laila yang menafikan laporan sebuah akhbar semalam yang mendakwa bapa kandung Leuniey, Jaafar Mohamad terguris kerana tidak diundang ke majlis perkahwinan tersebut.





Khamis, 27 Disember 2012

Hadiah Bawa Bencana

Motosikal Honda CBR yang ditunggangi Muhammad Amshar

GEORGE TOWN – Kegembiraan seorang remaja lelaki menunggang motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai baru dihadiahkan oleh bapanya berkecai apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang, mangsa Muhammad Amshar Aniq Ruzaidi, 16, mati di tempat kejadian apabila motosikal berkuasa 1,000 cc yang ditunggangi terbabas lalu merempuh belakang sebuah kereta Perodua Myvi yang diekorinya.

Mayat mangsa ditemui terbaring di atas jalan manakala motosikal jenis Honda CBR itu pula terseret sejauh 38.5 meter dari lokasi mayat mangsa.

Semasa kejadian, remaja berasal dari Taman Utara, Batu Uban itu menunggang seorang diri dari Bayan Lepas menuju ke pusat bandar bandar.

Difahamkan, Muhammad Amshar baru memperoleh lesen memandu motosikal berkuasa tinggi pada 13 Disember lalu. Motosikal itu pula dikatakan hadiah ayahnya.


Malaysia Jadi Markas Macau Scam

Warga asing yang terlibat dalam sindiket Macau Scam yang ditangkap

PETALING JAYA – Kegiatan jenayah Macau Scam yang sebelum ini menggunakan khidmat warga tempatan untuk mengendalikan penipuan tersebut mengambil pendekatan baharu dengan menggunakan khidmat warga asing sepenuhnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa negara ini.

Taktik tersebut bagaimanapun dapat dihidu polis serterusnya membawa kepada penahanan 50 warga asing yang terdiri daripada 46 warga Taiwan dan empat warga China dalam serbuan di dua buah rumah banglo masing-masing di Seksyen 12, Petaling Jaya dan Bukit Damansara di sini.

Kesemua warga asing termasuk enam wanita itu dipercayai bertindak sebagai pekerja kepada sindiket tersebut yang menjalankan aktiviti penipuan internet atau spoofing.

Pekerja-pekerja tersebut dipercayai dibawa masuk ke negara ini dan dikawal oleh seorang penyelia yang juga merupakan warga asing.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada sindiket itu.

Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din berkata, sebelum ini, sindiket yang didalangi oleh warga Taiwan dan China itu menggaji warga tempatan sebagai pekerja untuk menghubungi mangsa-mangsa yang mahu ditipu.


Tauke Snuker Mati Ditetak

Lokasi pemilik kedai snuker mati dibunuh

AMPANG - Seorang pemilik pusat snuker maut selepas dia yang dipercayai menjadi mangsa dendam ditetak oleh dua lelaki dalam kejadian di tingkat dua, tempat letak kenderaan di pusat beli-belah The Store, Pandan Indah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mangsa Ng Swee Hong, 40, baru meletakkan keretanya di tempat letak kenderaan di pusat beli-belah itu sebelum berjalan menuju ke pusat snuker miliknya yang terletak di aras sama. Jarak antara tempat letak kenderaan dan pusat snuker milik mangsa ialah kira-kira 10 meter.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Mohd. Nazri Zawawi berkata, mangsa yang diserang oleh dua orang lelaki itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lengan kanan. Dia mati sejurus tiba di Hospital Pantai di sini.

"Polis menerima laporan kejadian pada pukul 4.45 petang daripada seorang saksi lelaki berusia 20-an yang membantu menghantar mangsa ke hospital.

"Sejurus menerima maklumat itu, anggota polis yang tiba ke lokasi hanya menemui kereta Honda Civic milik mangsa dan kesan darah di kawasan itu," kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian.


Banjir Landa Indonesia Dan Britain

Sebatang jalan yang dilanda banjir di Jakarta

JAKARTA - Banjir melanda bandar raya ini semalam dengan air naik setinggi 2.5 meter di beberapa kawasan, lapor akhbar Jakarta Post semalam.

Antara kawasan yang dinaiki air akibat hujan lebat itu ialah Kampung Pulo dan Kampung Melayu di Jakarta Timur. Menurut beberapa penduduk, banjir tersebut berlaku dipercayai akibat hujan lebat di Bogor, Jawa Barat. Beberapa jalan raya turut dilanda banjir manakala sejumlah rumah ditenggelami air di Pos Pengumben, Kebon Jeruk. Menurut seorang penduduk di kawasan tersebut, Sri Rejeki, dia tidak menyangka banjir akan berlaku.

"Pada pukul 2 pagi, paras air naik setinggi para paha," katanya.

Menurut polis, paras air di beberapa kawasan naik setinggi 15 hingga 50 sentimeter. Kawasan lain yang turut dilanda banjir ialah di Ciracas, Jakarta Timur. Kawasan Bukit Duri di Jakarta Selatan juga dinaiki air.

Beberapa kawasan di Bandung, Jawa Barat tidak terkecuali daripada dilanda banjir.

Sementara itu, di Britain, hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir menjelang sambutan Krismas. Banjir itu menyebabkan rel kereta api dan jalan raya ditenggelami air sekali gus menjejaskan perjalanan penduduk.

Penduduk di Braunton, selatan England mendapati kampung mereka ditenggelami air ekoran paras Sungai Caen meningkat.

Di Kampung Umberleigh berdekatan Braunton, seorang wanita diselamatkan oleh anggota-anggota penyelamat selepas dia berpaut pada dahan sebatang pokok selama hampir sejam.

Agensi Alam Sekitar mengeluarkan 150 amaran banjir kelmarin, kebanyakannya di barat daya dan tengah England. - Agensi


Banjir Semakin Buruk

Penduduk Kampung Buloh di Setiu menaiki sampan untuk berpindah

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin buruk semalam dengan maklumat terkini menunjukkan lebih 12,305 mangsa dipindahkan berbanding 2,921 mangsa yang dipindahkan kelmarin.

Terengganu terus mencatat mangsa terbanyak dengan 6,637 mangsa dipindahkan ke 111 pusat pemindahan sementara di kesemua tujuh daerah di negeri itu ekoran hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara, jumlah mangsa banjir di Kelantan pula meningkat kepada 3,293 yang kini ditempatkan di 37 pusat pemindahan sementara, manakala di Pahang sebanyak 2,375 mangsa dipindahkan ke 15 pusat pemindahan.

Di Terengganu, daerah Hulu Terengganu mencatat mangsa banjir terbanyak dengan jumlah 1,608 orang di 16 pusat pemindahan dikuti daerah Besut dengan 1,096 mangsa.


Maut Semasa Beli Roti

Sejumlah orang cedera dalam serangan udara di sebuah kedai roti di Halfaya, Syria

DAMSYIK - Seramai 60 orang awam yang sedang beratur untuk membeli roti di bandar Halfaya terbunuh kelmarin dalam satu serangan udara yang didakwa pihak penentang dilakukan pesawat tentera Syria, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Untuk Syria.

Pihak Jawatankuasa Penyelaras Penduduk Tempatan (LCC) bertindak mengecam pembunuhan beramai-ramai oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad itu.

Pihak LCC berkata, ketika kejadian, berpuluh-puluh orang awam sedang beratur di luar sebuah kedai roti.

Bagaimanapun, agensi berita milik pemerintah Syria, SANA semalam melaporkan, kejadian itu didalangi kumpulan pejuang penentang Bashar. Ia menafikan kejadian pembunuhan beramai-ramai itu berpunca daripada serangan udara tentera rejim.

"Satu kumpulan pengganas bersenjata menyerang bandar Halfaya, membunuh ramai wanita dan kanak-kanak," kata agensi berita itu.

Ia melaporkan tentera Syria kemudian campur tangan ketika serangan berlaku dan berjaya membunuh serta mencederakan ramai penentang.

Bagaimanapun, perikatan yang mewakili kumpulan penentang Bashar, Majlis Kebangsaan Syria menyalahkan rejim Presiden itu melakukan jenayah menentang kemanusiaan.

Sementara itu, para aktivis penentang Bashar menyatakan, enam orang yang berjuang menentang tentera Bashar mati kelmarin akibat terhidu bau gas dan asap putih di Homs.

Menurut para aktivis, tentera Bashar mungkin menggunakan bom yang mengandungi gas pembunuh.

Jet-jet tentera turut melakukan serangan di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di Ghouta Timur dekat Damsyik.

Sementara itu, Utusan Damai Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Lakhdar Brahimi menyatakan kebimbangan tentang keadaan di Syria semasa mengadakan mesyuarat dengan Bashar di Damsyik semalam.

"Bashar menyuarakan pandangannya tentang situasi itu dan saya memberitahunya mengenai mesyuarat saya dengan para pemimpin dan rantau ini dan di luar negera (berhubung isu Syria," katanya.

Menurut stesen televisyen pemerintah Syria, Bashar menganggap pertemuan sebagai mesra dan membina.

"Pihak pemerintah komited untuk memastikan kejayaan semua usaha dengan bermatlamatkan untuk melindungi kedaulatan dan kebebasan negara ini," kata Bashar.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 700 penduduk Palestin mati di Syria sejak konflik di negara tersebut berlaku pada Mac tahun lalu.

Maklumat itu didedahkan oleh seorang pegawai pelarian Pertubuhan Pembebasan Palestin, Zacharia al-Agha.

Lebih 43,000 orang terbunuh sejak kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan bertempur dengan tentera Bashar.

Sebahagian besar penduduk tempatan mahu Bashar dugulingkan ekoran kegagalannya membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan bersuara di negara ini. - Agensi


Rabu, 26 Disember 2012

Lagi Kejadian Tembak Di AS

Rumah dibakar Spengler bagi mengumpan anggota-anggota bomba supaya datang ke rumahnya

WEBSTER, New York – Seorang bekas banduan membakar sebuah rumah dan kereta di kejiranannya di sini, dalam negeri New York, untuk mengumpan pihak bomba sebelum menembak mati dua anggota pasukan berkenaan.

Penyerang kemudian bertindak membunuh diri selepas berbalas tembakan dengan pihak polis.

Dalam kejadian tersebut, pihak berkuasa terpaksa menggunakan kereta perisai untuk memindahkan mangsa-mangsa yang terbunuh serta 33 orang penduduk sekitarnya.

Ketua polis bandar ini, Gerald Pickering berkata, penyerang bersenjata itu, William Spengler telah dipenjara lebih 17 tahun kerana memukul sampai mati neneknya yang berusia 92 tahun pada tahun 1980.

Menurutnya, pembunuhan tersebut berlaku di sebuah rumah bersebelahan kediaman tempat serangan kelmarin berlaku.

Pihak berkuasa memberitahu, Spengler, 62, memperoleh parol pada 1998 dan menyepikan diri sejak dia dibebaskan.

“Kebakaran itu satu perangkap,” kata Pickering pada satu sidang media.

“Mereka ini (anggota-anggota bomba) bangun di tengah malam demi memadamkan kebakaran. Mereka tidak menyangka akan ditembak dan terbunuh,” tambahnya.

Setakat ini, polis masih menyiasat motif serangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, satu rakaman audio yang disiarkan di laman web RadioReference.com menunjukkan seseorang melaporkan bahawa penyerang menggunakan sepucuk raifal atau senapang.

Dia melepaskan tembakan dari atas sebuah rabung di luar kediaman tersebut.

Jelas pihak berkuasa, dua anggota bomba mati di tempat kejadian manakala dua yang lain dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan.

Seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu turut cedera dalam insiden tersebut.

Menurut Pickering, sebanyak tujuh buah rumah musnah dengan polis masih belum dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa lain yang maut dalam serangan tersebut. Dalam perkembangan yang sama, seorang anggota polis Bellaire dan seorang penduduk ditembak dan dibunuh seorang suspek di tempat letak kereta kedai barangan penjagaan diri di barat daya bandar raya Houston kelmarin.

Pihak berkuasa menyatakan, Koperal Jimmie Norman, 53, sedang mengejar suspek berusia 21 tahun itu, Harlem Harold Lewis apabila dia menaiki kereta ke tempat pakir pada pukul 8.55 pagi waktu tempatan. Beberapa saksi berkata, Lewis keluar dari kenderaannya dan mula melepaskan berdas-das tembakan.

“Lelaki itu mula menembak dengan tembakan dilepaskan ketika saya melarikan diri. Kira-kira 10 minit kemudian saya terfikir pistol apa yang digunakan lelaki itu,” kata sorang saksi, Stephanie Pacheco.

Seorang saksi lain, Selvin Romero memberitahu Lewis melanggar trak pikap miliknya.

Menurut Romero, dia mengekori Lewis ke laluan di hadapan kedai itu.

Katanya, dia melihat Norman menghampiri kereta Lewis untuk memaksa dia menyerah diri. Namun, beberapa saat kemudian, Lewis melepaskan tembakan ke arah anggota polis itu.

“Suspek mula menembak anggota polis itu dan seterusnya menembak pemilik kedai berkenaan," kata Romero.

Pemilik kedai itu, Terry Taylor ditembak pada jarak dekat di kepala. Menurut polis, dia mati di tempat kejadian.

Polis menyatakan, Norman dibawa ke Hospital Ben Taub di sini dan meninggal dunia tidak lama kemudian. Dia tidak berbalas tembakan dengan suspek.

Lewis cedera dan melarikan diri tetapi dia ditemui di belakang sebuah premis perniagaan tidak jauh dari lokasi kejadian. Menurut polis, sepucuk senjata api ditemui di tempat kejadian.

Lewis kemudian dibawa ke sebuah hospital berhampiran dan berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Beberapa doktor memberitahu, dia dijangka pulih. Suspek kini berdepan dakwaan membunuh seorang anggota polis dan melakukan pembunuhan.

Sementara itu, seorang lelaki Seattle berusia 30 tahun terbunuh dan seorang lelaki cedera dalam insiden tembakan di sebuah bar di Bellevue dalam negeri Washington juga kelmarin.

Polis Washington mengeluarkan waran tangkap pada hari yang sama terhadap seorang remaja berusia 19 tahun berhubung kejadian itu.

Sebelum ini, kejadian tembakan berlaku di Sekolah Rendah Newton, Connecticut pada 14 Disember lalu.

Dalam kejadian itu, seorang pemuda berusia 20 tahun, Adam Lanza menembak ibunya dan 20 kanak-kanak termasuk enam kakitangan sekolah tersebut.

Lanza kemudian membunuh diri. – Agensi


Buaya Dalam Parit

Kakitangan Jabatan Hidupan Liar memasang perangkap buaya

KOTA KINABALU - Para pelatih jururawat di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) gempar apabila melihat kelibat seekor buaya yang disangka batang pokok buruk di tepi parit besar di Jalan Penampang, berhampiran Muzium Sabah di sini pagi semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu berlaku ketika beberapa pelatih sedang menunggu bas sebelum melihat seekor buaya di tepi parit.

Seorang pelatih, Joanne Lagusitine, 21 berkata, dia hanya menyedari mengenai kehadiran reptilia itu selepas terlihat satu objek seakan-akan sebatang kayu sedang bergerak-gerak.

"Apabila diamati, objek itu rupa-rupanya adalah seekor buaya tetapi beberapa saat kemudian, buaya itu terus hilang.

"Kemungkinan terdapat dua ekor buaya di sungai berkenaan kerana seminggu yang lalu, saya difahamkan ada orang lain pernah ternampak kelibat buaya di kawasan parit di situ," katanya di sini semalam.


Pesawat Terhempas

Anggota bomba memadamkan saki baki api yang membakar pesawat berkenaan

YANGON – Sebuah pesawat penumpang syarikat penerbangan Air Bagan yang membawa ramai pelancong asing terhempas dan terbakar menyebabkan dua orang terbunuh serta mencederakan 11 yang lain di negeri Shan, timur Myanmar, kata beberapa pegawai semalam.

Pesawat Fokker-100 itu terhempas ketika ia cuba mendarat di sebuah kawasan sawah padi berhampiran sebuah lapangan terbang di Heho semasa cuaca berkabus.

Menurut Kementerian Penerangan, mangsa yang terbunuh merupakan seorang kanak-kanak Myanmar berusia 11 tahun dan seorang penunggang motosikal.

Seramai 63 orang menaiki pesawat itu termasuk 51 warga asing dan enam kru. Pesawat itu dalam penerbangan dari Yangon ke Mandalay. Pesawat itu putus pada bahagian ekor dan terbakar, menurut kementerian berkenaan.

Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital.

Menurut seorang jurucakap syarikat tersebut, Ye Min Oo, hanya juruterbang yang mengetahui punca nahas itu.

Dia berkata, pihaknya masih belum menghubungi dua juruterbang tersebut bagi mengetahui punca sebenar nahas kerana mereka telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pesawat model Fokker itu tidak lagi dikeluarkan.

Syarikat itu dimiliki oleh taikun Tay Za yang disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS) kerana aktivitinya dengan bekas ketua rejim tentera Myanmar, Than Shwe.

Kepimpinan Shwe sebagai ketua negara dikritik kerana keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia. Beliau meletakkan jawatan sebagai ketua negara Myanmar pada tahun lalu. – Agensi


Isnin, 24 Disember 2012

Pantai Timur Mula Dilanda Banjir

Menyelamatkan motosikal yang ditenggelami banjir

DUNGUN - Seramai 144 mangsa banjir melibatkan 26 keluarga dari lima buah kampung di daerah ini ditempatkan di tiga pusat penempatan sementara berikutan banjir yang mula melanda kawasan kediaman mereka pagi semalam.

Sehingga petang semalam, seramai 40 penduduk daripada tujuh keluarga yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Bukit Gedut, Pulau Serai dipindahkan kira-kira pukul 9 malam kelmarin. Mereka ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Serai di sini.

Seramai 34 mangsa melibatkan tujuh keluarga dari Kampung Tanjung Pagar pula dipindahkan ke balai raya kampung itu, manakala tiga keluarga dari Kampung Seberang Pintasan dipindahkan ke Dewan Sivik Seberang Pintasan.


Mati Ditikam Bertubi - Tubi Depan Isteri


KUALA LUMPUR - Seorang mekanik mati setelah ditikam bertubi-tubi oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai kerana salah faham dalam kejadian di depan sebuah rumah kedai di Jalan 43, Selayang Baru dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi, mangsa R. Kumaran, 31, yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu mati di tempat kejadian selepas salah satu tikaman tersebut terkena pada rusuk kiri mangsa yang kemudian menembusi jantungnya.

Lebih menyedihkan apabila kematian Kumaran disaksikan oleh isterinya, B. Krishnaveni, 29. Sebelum kejadian, pasangan tersebut baru sampai di depan rumah mereka selepas menziarah ibu Krishnaveni yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian.

Kumaran dan Krishnaveni baru dua tahun mendirikan rumah tangga dan belum dikurniakan anak.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, semasa kejadian, mangsa mahu mengunci motosikalnya manakala isterinya yang bekerja di sebuah kedai disuruh naik ke rumah mereka di tingkat tiga di rumah kedai itu.


Anak Yusof Haslam Bertunang

Syafiq Yusof dan Aeisyah pada majlis pertunangan mereka

KUALA LUMPUR - Anak kepada pengarah filem terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof mengikat tali pertunangan dengan rakan kolejnya, Aeisyah Zainal di rumah tunangnya di Gombak, Selangor semalam.

Pada majlis tersebut, Syafiq, 20, yang juga seorang pengarah filem sudah dua tahun menjalin hubungan cinta dengan Aeisyah, 20, memberi tunangnya sebentuk cincin yang disarungkan oleh ibunya, Datin Fatimah Ismail beserta tujuh dulang hantaran. Pihak perempuan pula membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Syafiq yang mengarahkan filem berjudul Sam berkata, dia dan tunangnya merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh setahun hingga dua tahun dari tarikh pertunangan mereka.

"Syukur kerana majlis pertunangan berjalan dengan lancar. Saya harap agar pertunangan ini sampai ke jenjang pelamin.

"Insya Allah sama ada hujung tahun depan atau 2014 kami akan berkahwin," ujarnya gembira.


CIA Bidas Filem Osama Laden

Bigelow di set penggambaran filem Zero Dark Thirty di Chandigarh, India

WASHINGTON - Pemangku Pengarah Agensi Penyiasatan Pusat (CIA), Michael Morell menyatakan, filem tentang kisah hidup bekas ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden memperbesar-besarkan teknik lemas untuk mendapatkan maklumat oleh para penyiasat.

Filem itu berjudul Zero Dark Thirty yang diarahkan Kathryn Bigelow mengisahkan kisah tentang pemburuan Osama selama sedekad selepas kejadian pengganas pada 11 September 2011 berlaku di Amerika Syarikat (AS).

Dalam filem itu, para penyiasat AS didapati menggunakan teknik keras seperti melemaskan muka para tahanan yang dianggap pelbagai pihak sebagai satu bentuk penderaan.

Menurut Morell, terdapat teknik lain digunakan oleh para penyiasat untuk mendapatkan maklumat daripada para tahanan yang disyaki pengganas. Teknik yang menjadi kontroversi itu telah diharamkan oleh Presiden AS, Barack Obama. Morell merupakan antara calon yang bakal menjadi ketua CIA selepas peletakan jawatan David Petreaus.

Petreaus meletakkan jawatan selepas dia terlibat dalam skandal dengan seorang penulis wanita. Penulis wanita itu menghasilkan buku tentang riwayat hidupnya.

Filem tentang pemburuan Osama itu bakal menjadi calon untuk memenangi anugerah Oscar.

Osama meninggal dunia selepas mati ditembak dalam satu operasi memburunya oleh anggota-anggota komando tentera laut AS di Abbottabad, Pakistan pada Mei 2011. - Agensi