Rabu, 31 Oktober 2012

Ribut Gemparkan Penduduk Miri

Bangunan Institut Memandu Miri yang rosak teruk dilanda ribut kencang

Nak tengok gambar2 ribut di Miri Klik Disini

MIRI: Penduduk di beberapa kawasan di bandar raya ini gempar selepas dilanda angin kencang yang luar biasa dan hujan lebat, sehingga ada yang menyifatkannya sebagai ‘puting beliung.’

Ribut yang berlaku sekitar jam 1.30 petang semalam telah menumbangkan berpuluh-puluh batang pokok di sekitar kawasan Krokop, Pusat Komersil Boulevard, Pujut Corner dan Pujut Tanjung Batu, sekali gus mengakibatkan kesesakan jalan raya di Jalan Miri-Pujut, Jalan Bulan Sabit, Jalan Krokop dan beberapa batang jalan yang lain.

Selain itu, beberapa tiang elektrik turut patah dan tumbang serta menyebabkan kawasan sekitarnya terputus bekalan elektrik.

Kejadian yang berlaku dalam masa kurang daripada 20 minit itu turut menyebabkan Institut Memandu Bandaraya Miri Sdn Bhd yang terletak di Pusat Komersil Boulevard di sini mengalami kerosakan teruk dengan seluruh bahagian bumbung bangunannya diterbangkan angin kencang.

Manakala, peralatan dalam pejabat seperti komputer dan barangan elektrik yang lain rosak akibat ditimpa hujan lebat.

Turut terjejas teruk ialah salah sebuah blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Miri yang menempatkan dewan sekolahnya dan ‘Kedai Bulan’ di Pujut Corner di sini.

Kawasan Pujut Corner yang paling banyak mengalami pokok-pokok tumbang akibat kejadian itu tidak ubah seperti dilanda ‘garuda,’ hingga ada kediaman tidak kelihatan akibat dahan-dahan pokok yang patah.

Sementara itu, dianggarkan lebih 10 buah kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta di kawasan terbabit turut rosak selepas dihempap pokok tumbang.

Dalam pada itu, menurut Penguasa Bomba Zon Miri, Superintenden Unjar Lum, sehingga jam 4 petang semalam Balai Bomba Lopeng ada menerima enam laporan kes pokok tumbang kebanyakannya berlaku di kawasan Boulevard, Krokop dan Permyjaya.

Berikutan itu, katanya, sepasukan anggota bomba yang terbahagi kepada beberapa kumpulan telah bergerak ke enam lokasi kejadian di sekitar Krokop dan Boulevard.

“Meskipun menerima banyak laporan kes pokok tumbang, namun kita hanya bergerak mengikut keperluan seperti pokok tumbang yang menghempap rumah atau jalan raya sehingga menghalang lalu lintas yang memerlukan bantuan bomba untuk memotong dahan pokok berkenaan,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, pihaknya ada menerima 10 laporan kes pokok tumbang dan atap rumah terbang termasuk sebuah rumah di Krokop 8 yang mana bumbung rumahnya terbang hingga menghempap rumah jiran sebelah.

Menurut seorang suri rumah di Pujut Tanjung Batu, Isah Talip, 54, beliau tidak pernah melihat kejadian ribut yang menakutkan seperti itu.

“Keadaan angin berpusar-pusar dengan daun-daun kering, dahan yang patah dan sampah sarap berterbangan semuanya, hingga ada yang terjatuh di atas jalan dan rumah-rumah. Keadaannya memang sungguh menakutkan,” jelas beliau.

Kediaman beliau antara rumah di Kampung Pujut Tanjung Batu yang terputus bekalan elektrik bermula dari waktu kejadian berlaku.

Beberapa buah kereta yang ditimpa pokok

Sebatang pokok besar yang tercabut di Pasar Pujut Corner


Anak Tempatan Isi Jawatan Kosong Di Sarawak


KUCHING - Berkuat kuasa serta merta, jawatan kosong dalam perkhidmatan awam persekutuan bagi kumpulan sokongan gred satu hingga gred 40 di Sarawak akan diisi oleh anak tempatan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat SPA bersama wakil jabatan persekutuan di Sarawak, dan wakil-wakil badan bukan kerajaan antaranya Persatuan Graduan Dayak Sarawak, Persatuan Kayan Sarawak, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak diadakan di sini, pada Selasa.

"Hasil mesyuarat tersebut, kita telah berjanji jawatan kosong persekutuan melalui lantikan oleh SPA di Sarawak, akan diisi orang Sarawak sendiri.

"Keputusan yang dibuat bukan satu masalah besar untuk dilaksanakan, kerana jika kita lantik orang Semenanjung untuk mengisi jawatan sokongan contohnya seperti kerani, masalah logistik dan penempatan mungkin pula akan timbul, jadi lebih baik lantikan dibuat berdasarkan lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Temuduga SPA Malaysia cawangan Kuching di sini, hari ini. - BERNAMA


Cuaca Tidak Menentu Dijangka November Ini


KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan fenomena hujan tidak menentu akan berlaku sepanjang November di seluruh negara disebabkan arah tiupan angin sentiasa berubah.

Menurut jurucakap Bahagian Ramalan Cuaca jabatan itu, hujan yang membawa ribut petir di sebelah petang dijangka berlanjutan hingga awal November di sekitar pantai barat Semenanjung Malaysia terutama di negeri Perak dan kawasan Lembah Klang.

"Di kawasan pantai timur Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, dijangka berlaku peningkatan jumlah hujan pada November...Buat masa ini musim monsun timur laut masih dalam peringkat permulaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Jurucakap itu bagaimanapun berkata keadaan ini dijangka tidak akan menjejaskan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mulai 5 November hingga 6 Disember.

"Masih terlalu awal bagi kami untuk membuat ramalan tepat sama ada keadaan hujan tidak menentu akan berlarutan hingga Disember ini,” katanya sambil memberitahu bahawa pihaknya akan mengeluarkan ramalan cuaca sebelum sambutan Deepavali nanti. - BERNAMA


Kubur Arafat Akan Digali Bulan Depan


RAMALLAH, Tebing Barat - Seorang pegawai Perancis menyatakan, para penyiasat jenayah akan menggali kubur bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat pada bulan depan.

Menurutnya, kubur itu akan digali dengan tujuan untuk mengkaji punca yang menyebabkan kematian Arafat. Pihak berkuasa Palestin mengesahkan tentang penggalian itu.

Menurut pihak berkuasa itu, satu pasukan penyiasatan dari Switzerland akan tiba di sini berhubung penggalian kubur Arafat. Arafat meninggal dunia pada 2004 di sebuah hospital tentera di Paris, Perancis.

Punca kematian bekas pemimpin itu mencetuskan kontroversi selepas sebuah makmal Switzerland menemui bahan radioaktif polonium-210 pada beberapa helai pakaiannya.

Penemuan itu turut menyebabkan timbul dakwaan bahawa dia diracun. Sebelum ini punca kematian Arafat ialah dia diserang strok. - Agensi


Angkasawan Lihat Sandy Dari Angkasa Lepas

Imej satelit menunjukkan taufan Sandy di luar pantai timur Amerika Syarikat

CAPE CANAVERAL, Florida - Taufan Sandy yang membawa kemusnahan besar di pantai timur Amerika Syarikat (AS) dapat dilihat dari angkasa lepas.

Komander Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sunita Williams semalam menyatakan dia dan seorang kru lain dapat melihat lingkaran besar Sandy semasa ia mendekati pantai timur itu.

Keluarga Sunita tinggal di New England dan dia membuat pemerhatian dengan teliti di wilayah tersebut.

Taufan Sandy itu melanda New York kelmarin sehingga mengakibatkan hampir keseluruhan bandar raya tersebut tenggelam. Seramai 18 orang mati di tujuh buah negeri termasuk Kanada.

Kematian itu akibat dihempap pokok, rumah runtuh, terkena serpihan yang berterbangan dan renjatan elektrik.

Taufan itu tiba di New Jersey malam kelmarin dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam. Lebih enam juta penduduk terputus bekalan elektrik dari Carolina ke Ohio. Sementara itu, kempen pilihan raya presiden terpaksa ditangguhkan selama seminggu.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan antara calon parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts dengan Presiden AS, Barack Obama.

Taufan itu juga menyebabkan sistem tren bawah tanah di bandar raya New York mengalami kerosakan teruk dalam tempoh 108 tahun.

"Ia akan menjadi salah satu rekod," kata Naib Presiden Kanan Consolidated Edison, John Miksad.

Beliau menyatakan, lebih 670,000 pelanggan syarikat itu yang tidak mendapat bekalan elektrik akibat taufan tersebut di bandar raya New York. - Agensi


Obama Isytihar Bencana Besar

Kereta tenggelam di New York

NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengisytiharkan bencana besar di New York ekoran taufan Sandy yang menyebabkan banyak kemusnahan.

Obama mengisytiharkan bencana besar itu di negeri New York dan New Jersey. Taufan itu melanda kelmarin sebelum ia meninggalkan New York semalam.

Pengisytiharan itu akan menyebabkan pinjaman dan geran akan dikeluarkan bagi membantu mangsa-mangsa untuk membaiki dan memperoleh rumah buat sementara.

Taufan itu membawa ombak gergasi yang melanda kawasan Pantai Timur AS. Bursa Saham New York dan Nasdaq turut ditutup semalam.

Sementara itu, sebanyak 50 buah rumah terbakar di kawasan kediaman di bandar raya ini akibat taufan tersebut. Hanya dua orang dilaporkan cedera dalam kebakaran tersebut.

Menurut laporan media, seramai 25 orang dilaporkan terperangkap di tingkat atas sebuah apartmen dalam kejadian tersebut.

Anggota-anggota bomba menggunakan bot untuk tiba di lokasi tersebut kerana jalan dipenuhi air. Dua buah loji nuklear AS juga ditutup iaitu di New Jersey dan di tepi Sungai Delaware.

Menurut firma Eqecat, kerugian akibat taufan itu dianggarkan AS$20 bilion (RM61.04 bilion). - Agensi


Keranda Dilengkapi Sistem Karaoke

Keranda yang dilengkapi sistem karaoke di kilang milik Nogoy di wilayah Pampanga

MANILA - Sebuah keranda yang dilengkapi sistem karaoke dihasilkan oleh beberapa pekerja di sebuah kilang di wilayah Pampanga, utara bandar raya ini semalam.

Pemilik kilang itu, Robert Nogoy mengeluarkan keranda tersebut sempena sambutan Hari Halloween. Nogoy menggantikan bahagian dalam keranda itu dengan sistem karaoke bagi memberi kejutan kepada para tetamu parti Halloween.

Para tetamu parti Halloween kerap memakai pakaian seperti ahli sihir dan hantu. - Agensi


Mayat Lelaki Dijumpai Dengan Kesan Tembakan


SIBU: Mayat seorang lelaki Iban dijumpai dengan kesan tembakan di sebuah kawasan hutan di Ulu Lasi, Julau pada Ahad lepas.

Mangsa dikenali sebagai Tedong Lamba, 49, dari Rumah Panting, Ulu Lasi, Julau dikatakan pergi berburu bersama dua rakannya pada pagi Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa mula menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku apabila mendapati hanya dua rakan mangsa sahaja pulang ke rumah panjang mereka.

Menurut sumber, mereka memberitahu ahli keluarganya bahawa mereka telah berpisah ketika berada di hutan.

Pada awalnya, ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis kerana mangsa dilaporkan hilang semasa berburu bersama dua rakannya.

Polis bersama penduduk rumah panjang telah mengadakan operasi mencari mangsa pagi Sabtu lalu namun gagal menemui mangsa.

Mayat mangsa hanya berjaya dijumpai oleh orang kampung pada keesokan harinya dan didapati mengalami kecederaan di bahagian dada dengan kesan tembakan disyaki terkena tembak.

Pihak polis Julau juga telah membuat tangkapan terhadap dua suspek lelaki berumur 22 dan 46 tahun yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

Kedua-dua suspek kini dalam tahanan polis bagi membantu siasatan. Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


BR1M 2.0: Perlu Daftar Semula Jika Bertukar Alamat


KUALA LUMPUR - Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bertukar alamat atau kematian ketua isi rumah perlu mendaftar semula untuk membolehkan mereka menerima bantuan pusingan kedua yang akan diagihkan awal tahun depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, mereka yang terlibat serta pemohon baharu boleh mendaftar secara atas talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2.0 apabila pendaftaran dibuka mulai esok.

Bagaimanapun, penerima BR1M sedia ada yang lain tidak perlu mendaftar semula.

Menurut kenyataan itu, borang permohonan boleh didapati secara percuma di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan serta agensi kerajaan atau dimuat turun melalui laman sesawangwww.hasil.gov.my.

Pengumuman pusingan kedua BR1M dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2013 pada 28 September lalu.

Ia dijangka memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3 bilion.


Pesawat Lama Dijadikan Tadika

kanak-kanak yang belajar di dalam pesawat Yakovlev Yak-42

RUSTAVI, Georgia - Pihak pengurusan sebuah tadika membeli sebuah pesawat lama, Yakovlev Yak-42 di bandar ini. Pesawat itu diubah suai untuk dijadikan sebuah tadika yang mempunyai 15 kanak-kanak.

Menurut Reaktor Institut Hubungan Sosial Ukraine-Georgia, Gari Chapidze, pesawat kecil tersebut akan menjadikan kanak-kanak itu berasa seronok untuk belajar di tadika.

Chapidze berkata, kanak-kanak itu dibenarkan bermain dengan menekan 1,500 butang di kokpit pesawat berkenaan. Institut itu menguruskan pentadbiran tadika tersebut.

Pihak institut berkenaan mengenakan bayaran sebanyak 70 euro (RM276.72) sebulan kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Pesawat itu dibina syarikat Saratov Aviation Plant, Rusia. - Agensi


Sembilan Lelaki Terlibat Dengan Penyalahgunaan Dadah Ditahan


KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Nakotik (JSJN) Daerah Kuching telah menahan sembilan lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah malam kelmarin.

Kesemua mereka ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Lorong Cahya Damai, Bandar Baharu Samariang sekitar jam 11 malam Isnin lepas.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan lanjut ke atas rumah tersebut juga telah menjumpai serbuk dipercayai dadah jenis syabu yang telah dimasukkan ke dalam empat tiub lutsinar.

Kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Cedera Dalam Pergaduhan Antara Bugis Dan Bima


SIBU: Seorang lelaki warga Indonesia berbangsa Bugis cedera di bahagian dadanya setelah dipercayai dilibas dengan parang oleh seorang lelaki warga Indonesia berbangsa Bima di sebuah kantin di kawasan ladang kelapa sawit di Pasai Siong dekat sini malam Ahad lalu.

Kejadian itu berlaku apabila lelaki Bugis berusia 20-an sedang dilayan oleh seorang wanita yang bekerja di kantin berkenaan.

Kerana merasai dirinya tidak dilayan, lelaki Bima tersebut dikatakan marah sehingga menyebabkan lelaki Bugis berkenaan naik angin dan bertindak menampar lelaki Bima tersebut.

Lelaki Bima dipercayai pulang ke asramanya untuk memberitahu rakan-rakan yang lain yang turut campur tangan sehingga mereka keluar beramai-ramai menuju ke kantin untuk mencari lelaki Bugis tersebut.

Keadaan di kantin di situ menjadi kecoh apabila kedua-dua kumpulan Bima dan Bugis di situ masing-masing tidak mahu mengalah sehingga mencetuskan pergaduhan.

Satu pergaduhan antara dua kumpulan tersebut berlaku sehingga menyebabkan seorang lelaki Bugis cedera di bahagian dada dipercayai akibat terkena libasan parang.

Seorang pengawal keselamatan di situ telah bertindak menghubungi polis yang kemudiannya tiba di situ kira-kira satu jam kemudian untuk mengawal keadaan.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sibu telah menerima lebih 10 jahitan. Polis turut menangkap dua suspek untuk membantu siasatan polis.


Taufan Sandy Musnahkan Kota Ikon AS

Pasukan penyelamat membantu membawa keluar mangsa banjir

NEW YORK - Pertembungan dua lagi aliran cuaca yang bertukar menjadi taufan hampir menenggelamkan kota raya New York dan menjadikan Sandy sebagai taufan paling digeruni dalam sejarah Amerika Syarikat.

Sandy yang mulai membadai telah menyebabkan sebahagian besar kawasan rendah di Manhattan dilanda banjir sehingga bandar raya yang menjadi ikon Amerika Syarikat itu terputus bekalan elektrik.

Kira-kira 400,000 rumah terputus bekalan elektrik di kesemua lima kawasan pilihan raya bandaran iaitu dari selatan Pulau Manhattan sehingga ke kawasan 39th Street.

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di sebuah kompleks apartmen di 38th Street, yang terletak di tengah pulau itu dan bersebelahan dengan East River memaklumkan air hujan memasuki kediamannya sekitar pukul 2 petang kelmarin akibat hujan lebat dan tiupan angin yang sangat kuat.

"Air hujan masuk melalui celah-celah tingkap rumah walaupun tingkap sudah ditutup, angin yang sangat kuat menyebabkan tingkap rumah saya bergegar dengan itu kunci terbuka dengan sendirinya," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Dilla.

Dia yang menetap di tingkat 25 kompleks apartmen setinggi 54 tingkat dengan 840 unit itu berkata, air hujan juga membolosi kediamannya menerusi penyaman udara sehingga membasahi bilik dan ruang tamu rumah.

Dia yang tinggal seorang diri dan baru berpindah ke kota raya itu setelah dihantar bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan di sini turut terputus bekalan elektrik.

"Selepas tidak ada elektrik, saya kunci rumah dan turun ke tingkat 11, menumpang rumah rakan sekerja yang turut tinggal di kompleks yang sama," katanya.


Laman Web Punca Jadi Pengganas

Razif dan Razin ditangkap ketika cuba menyeludup masuk ke Syria dan berjihad

KUALA LUMPUR – Razif Mohd. Ariff dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal dipercayai terpengaruh untuk menyertai kumpulan pengganas selepas kerap melayari laman web yang dikendalikan puak militan.

Siasatan mendapati, dua laman web yang kerap dilayari kedua-dua sahabat itu ialah www.amsar1.info dan www.al-qimmah.net.

Topik utama kedua-dua laman web yang masih boleh dilayari itu ialah menggalakkan para pengunjung berkongsi fahaman mengenai Islam, jihad dan pengaruh Mujahidin.

Bagaimanapun, topik forum yang paling mendapat sambutan dalam kedua-dua laman web tersebut ialah mengenai tentangan umat Islam terhadap isu pemberontakan di Syria.

Satu sumber memberitahu, selepas beberapa bulan berkongsi pengetahuan di laman web tersebut, kedua-dua sahabat itu kemudian memutuskan untuk menyertai kumpulan pemberontak di Syria kononnya bagi membantu menegakkan demokrasi.

Sebelum itu, Razif, 32, dari Sungai Buloh manakala Razin, 22, dari Beranang, Selangor dikesan mengenali antara satu sama lain melalui laman sosial Facebook secara individu pada awal tahun 2012.


Tangan Hancur Tersepit Mesin

Tidak sedarkan diri selepas cedera parah apabila tangan kirinya hancur

KUCHING: Sebuah kilang papan di Sejingkat, di sini gempar pagi semalam apabila seorang pekerjanya hampir terputus keseluruhan tangan kirinya ketika mengendalikan satu mesin di kilang tersebut.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 22 tahun, semasa kejadian dikatakan sedang mengendalikan satu mesin pemotong papan sebelum tangan kirinya dikatakan termasuk ke dalam mesin tersebut dalam insiden yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu.

Mangsa kemudian dikatakan menjerit meminta tolong sehingga beberapa rakan sekerjanya bergegas membantu mengeluarkan tangan mangsa yang masih terperangkap di dalam mesin tersebut. Selepas beberapa minit berusaha, mereka akhirnya berjaya mengeluarkan tangan mangsa.

Melihat keadaan mangsa yang kritikal, penyelia kilang tersebut segera menghantar mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.


Penceroboh Pengsan Ketika Dikejar Penguni Asrama

Gambar Hiasan

SIBU: Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 20-an jatuh pengsan ketika dikejar oleh penguni asrama di kawasan sebuah rumah kebajikan di Jalan Ling Wen Shun dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 9.00 malam, ketika penghuni di situ baharu mahu melelapkan mata, tiba-tiba mereka terdengar munyi dari luar seperti ada orang sedang menceroboh masuk ke kawasan tempat tinggal mereka.

Para penghuni di situ kemudiannya bertindak mengejar dua lelaki tersebut setelah mendapati kelakukan mereka mencurigakan.

Salah seorang daripada suspek berjaya melarikan diri manakala seorang lagi dikatakan tiba-tiba jatuh pengsan dan gagal melarikan diri.

Polis yang dihubungi bergegas ke tempat kejadian dan mendapati suspek berketurunan Iban itu masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ambulans daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dihubungi polis tiba di pekarangan rumah kebajikan tersebut untuk memberi rawatan awal sebelum suspek dihantar ke Hospital Sibu.

Suspek kini dalam tahanan polis sementara siasatan masih dijalankan. Suspek dipercayai masuk dengan memanjat pintu masuk utama dan dikatakan berada dalam pengaruh alkohol ketika dijumpai pengsan di kawasan rumah kebajikan tersebut.


Stok Makanan Bertahan Lima Hari

Bersama menikmati sarapan di pangsapuri mereka di New York 

KUALA LUMPUR - Taufan Sandy bukan sahaja memberi impak kepada warga Amerika Syarikat di New York tetapi juga menguji ketabahan kira-kira 2,700 rakyat Malaysia yang terpaksa berkurung di dalam kegelapan di rumah berikutan bekalan elektrik terputus sejak kelmarin manakala jalan raya pula digenangi air.

Daripada 2,700 rakyat Malaysia yang menetap di New York, seramai 1,200 orang adalah pelajar.

Antaranya ialah Nabilah Fahana Yahya, 21, pelajar Sistem Informasi di Institut Teknologi Stevens yang menetap di sebuah pangsapuri bersama tiga lagi rakannya, Nur Amirah Rahim, Suraida Aliasdan Farah Nadia Muhammad Sabri.

Mereka kini bimbang mengenai bekalan air bersih serta stok makanan yang cuma bertahan lima hari.

"Kami tidak sempat untuk menyimpan stok air bersih yang secukupnya kerana terputus bekalan elektrik dan tidak menyangka taufan menjadi seteruk ini," kata Nabilah anak kelahiran Selangor menerusi e-mel.

Untuk hidangan semalam, dia hanya sempat memasak nasi dengan berlaukkan telur goreng.

Seorang lagi pelajar tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Teknologi Stevens,Muhammad Hazim Ab. Fatah pula menceritakan, dia serta rakannya yang lain menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan kenalan di New York serta keluarga di Malaysia.

Katanya, ia disebabkan bekalan elektrik di kediaman mereka di New Jersey telah terputus sejak pukul 10 malam kelmarin.


Lisa Turun Berat Badan

Berat badan Lisa pernah mencecah 58 kilogram sebelum mengamalkan diet pemakanan

PELAKON wanita yang bakal menggalas watak isteri mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika muda dalam teater Tun Siti Hasmah tidak lama lagi ini telah susut berat badannya.

Bukan disebabkan tertekan dengan latihan teater berkenaan atau kerana sudah berbadan dua, Lisa sebaliknya ingin menurunkan berat badannya yang dikatakan agak berisi selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon, pengarah dan penyanyi Yusry Abdul Halim.

Lisa yang kini kelihatan sangat langsing baru sahaja dilantik menjadi duta tempatan pertama untuk kanta lekap FreshLook, keluaran syarikat Alcon yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Sebelum ini antara selebriti luar negara yang pernah menjadi duta kanta lekap jenama tersebut ialah penyanyi Taiwan, Rainie Yang dan anggota kumpulan Girls Generation dari Korea Selatan, Im Yoona.

Lisa dan Yusri khabarnya bersepakat mahu menurunkan berat badan masing-masing dan untuk itu, mereka saling menyokong antara satu sama lain untuk mengurangkan makan nasi dan hanya makan makanan berkhasiat.

Ternyata, usaha tersebut memberikan impak terhadap Lisa. Ketika ditemui pada majlis pengumuman dirinya sebagai duta FreshLook di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.


Polis Parah Ditembak Penjenayah

Tan Sri Khalid (tengah) bersama beberapa pegawainya mendengar penerangan doktor 

KOTA BHARU - Seorang anggota polis muda berpangkat Lans Koperal cedera parah selepas terkena tembakan ketika mengejar dua suspek pencuri kereta mewah dalam kejadian di Paloh, Gua Musang semalam.

Muhammad Shamsul Anuar Muhammad Adnan,27, cedera selepas terkena dua das tembakan di dada hingga menembusi paru-parunya dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu, sebelum kejadian, mangsa dan beberapa lagi rakan sepasukan telah diarah untuk melakukan sekatan jalan raya di Paloh.

Katanya, ia bertujuan untuk mengesan penjenayah yang telah memecah masuk sebuah rumah milik seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun di Taman Tropika di Gua Musang setengah jam sebelum itu. Jarak antara dua tempat itu ialah kira-kira 20 kilometer.

"Maklumat mengatakan, dua penjenayah telah melarikan dua buah kereta mewah jenis BMW dan Honda Accord bersama sejumlah wang daripada rumah tersebut.

"Ketika sedang melakukan sekatan, mangsa melihat dua buah kereta yang sedang beratur untuk diperiksa telah membuat pusingan U. Curiga dengan keadaan itu, mangsa kemudian telah mengejar kereta tersebut dengan menunggang motosikal jenis Honda," katanya.

Beliau ditemui selepas meluangkan masa melawat Muhammad Shamsul Anuar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.


Chef Riz Mengaku Perkahwinan Dengan Ana Dahlia Bergolak

Chef Riz bersama Ana Dahlia

KUALA LUMPUR - Chef selebriti, Chef Riz mengakui perkahwinannya dengan aktres jelita, Ana Dahlia yang belum sampai setahun kini bergolak.

Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 30, anak kepada Chef Wan itu bagaimanapun enggan memberi pengesahan lanjut tentang dakwaan mereka berdua telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor baru-baru ini.

"Biasalah dalam perkahwinan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan suami isteri. Memang kami ada perselisihan faham dan saya ingin menyelamatkan perkahwinan kami.

"Saya sayangkan dia (Ana) dan saya harap jodoh kami panjang. Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu, tunggu sahajalah perkembangannya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Chef Riz, beliau sebaik-baiknya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai kisah rumah tangga mereka kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan.


Elizabeth Taylor Selebriti Mati Terkaya

Mendiang Elizabeth Taylor dan Michael Jackson

Bintang legenda Hollywood, Elizabeth Taylor telah mengalahkan sahabat baiknya, Michael Jackson dalam senarai selebriti mati terkaya di dunia.

Menurut senarai terbaharu yang dikeluarkan oleh majalah Forbes, untuk tempoh dari Oktober tahun lepas hingga Oktober tahun ini, mendiang Taylor telah mengumpul pendapatan tertinggi berjumlah AS$210 juta (RM672 juta) dengan sebahagian besarnya iaitu RM592 juta adalah hasil daripada lelongan barangan peninggalannya yang termasuklah permata, kostum dan lukisan.

Antara harta peninggalan Taylor yang terjual dengan harga paling mahal termasuklah lukisan karya pelukis legenda, Van Gogh pada tahun 1889 - mencecah RM51 juta di samping pulangan bisnes pewanginya, White Diamonds sepanjang tahun lepas yang terkumpul mencecah RM240 juta.

Menurut laporan majalah bisnes itu lagi, pendapatan Taylor untuk tahun lepas juga disumbangkan daripada hasil jualan produksi filem lakonannya yang ditayangkan pada tahun 1963, Cleopatra.

Ini kerana Taylor yang meninggal dunia pada Mac tahun lepas pada usia 79 tahun sebenarnya, berkongsi 10 peratus hasil pendapatan daripada tayangan setiap filem-filem lakonannya.

Michael Jackson yang meninggal dunia pada tahun 2009 pula jatuh di tempat kedua dalam senarai tersebut dengan mengumpul pendapatan mencecah RM464 juta, manakala mendiang Elvie Presley di tempat ketiga selepas berjaya mengumpul RM176 juta - jumlah sama yang dikumpul pada tahun sebelumnya.

Kartunis selebriti, Charles Schulz, pencipta karya kartun popular Peanuts pula di tempat keempat dengan mengumpul sejumlah RM118 juta.

Antara selebriti yang masuk dalam senarai baharu Top 10 Selebriti Mati Terkaya itu termasuklah dua bintang legenda Hollywood, mendiang Marilyn Monroe dan Steve McQueen.


Buat Laporan Polis Selepas Temui Kepala Babi

Beberapa anggota polis menjalankan siasatan di rumah mangsa.

KUCHING: Seorang peguam tampil membuat laporan polis selepas menemui kepala seekor babi di pekarangan rumahnya awal pagi semalam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Lee,74, memberitahu bahawa kepala tersebut telah ditemui olehnya ketika dia hendak mengambil surat khabar di hadapan rumahnya yang terletak di Jalan Mendu, di sini sekitar jam 7 pagi.

Lee kemudian segera memaklumkan kepada ahli keluarganya berhubung penemuan tersebut namun tidak seorang pun yang tahu dari mana datangnya kepala babi itu.

Risau sekiranya terdapat motif di sebalik penemuan tersebut,Lee kemudian segera membuat laporan polis di balai polis berdekatan.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching kemudian bergegas ke rumah mangsa untuk menjalankan siasatan.


Selasa, 30 Oktober 2012

Ribut Melanda Bandaraya Miri


Sesuatu yang di luar jangkaan telah melanda Bandaraya Miri petang tadi. Cuaca yang panas dari pagi sampai tengahari berubah menjadi mendung pada petangnya. Hujan turun dengan lebat dan ribut melanda Bandaraya Miri menyebabkan banyak tempat yang terjejas. 

Pokok2 juga banyak yang tumbang dan menyebabkan kesesakkan lalu lintas. Menurut beberapa orang rakan2, ada juga berlaku kemalangan di sekitar Bandaraya Miri sewaktu ribut melanda. 

Jom kita tengok gambar2 yang di ambil semasa dan selepas ribut yang melanda Baandaraya Miri petang tadi.

Keadaan selepas ribut dan pokok tumbang di area Boulevard Miri







Keadaan di Pasar Malam Saberkas, Miri








Institut Memandu juga mengalami kerosakkan yang teruk

















Semoga semua yang terjejas akibat ribut di Bandaraya Miri tabah menghadapi cubaan ini. Sama2 kita berdoa semoga perkara seperti ini tidak akan berulang lagi.
Amin...
Gambar Kredit - FB kawan2 MIRI.NET


Seramai 3.1 Juta Jemaah Selesai Laksana Ibadah Haji

Jemaah haji mengelilingi Kaabah di Mekah semalam

MEKAH - Seramai 3.1 juta jemaah selesai menyempurnakan ibadah haji pada hari terakhir di sini semalam tanpa berlaku sebarang insiden besar.

Pihak berkuasa Arab Saudi menganggap musim haji tahun ini sebagai antara yang paling berjaya.

Mereka turut mengucapkan tahniah kepada para jemaah walaupun terdapat sejumlah daripada mereka memasuki kota suci ini tanpa permit yang sah.

"Semuanya berjalan begitu baik," kata Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal kepada pemberita.

Menurut beberapa pegawai, sekitar 120,000 anggota polis bersama pegawai kesihatan telah dikerahkan mengawasi perjalanan haji selama lima hari. Kumpulan terakhir jemaah haji melontar jamrah semalam di Mina.

Mereka kemudian menuju ke kota suci ini untuk melakukan tawaf widak sebelum meninggalkan Arab Saudi untuk pulang ke negara masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Abdullah Al-Rabia berkata, tiada sebarang penyebaran penyakit dilaporkan berlaku pada musim haji kali ini.

Pada tahun ini sahaja, Arab Saudi membelanjakan lebih AS$293.3 juta (RM870.3 juta) untuk projek pembangunan di Mina, Arafah dan Muzdalifah bagi keselesaan jemaah. - AFP