Sabtu, 9 Mac 2013

Tiada Tanda Letak Senjata

Gerakan buru penceroboh diteruskan

LAHAD DATU: Belum ada tanda-tanda penceroboh militan Sulu yang berkubu di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu mahu menyerah diri dan meletak senjata mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Is­mail Omar.

Beliau berkata, gerakan mem­buru penceroboh diteruskan dan tiada pertempuran berlaku sejak 11 pagi kelmarin, apabila sejumlah 31 pengganas ditembak mati.

“Selepas insiden pertempuran semalam (kelmarin) sehingga 31 penceroboh ditembak mati, tiada tanda mereka mahu letak senjata api,” katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di FELDA Sahabat 16, kira-kira 130 kilometer dari sini semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninjau markas Ops Daulat di FELDA Sahabat kelmarin berkata, Malaysia menolak sebarang tawaran genca­tan senjata dan menegaskan satu-satunya pilihan bagi penceroboh itu ialah letak senjata dan serah diri tanpa bersyarat.

Gerakan Ops Daulat masuk hari keempat semalam dengan heliko­pter digunakan untuk menghantar anggota keselamatan ke lokasi sekitar bagi operasi menggeledah, manakala jet-jet pejuang berlegar di udara membuat tinjauan.

Ismail berkata, pihak keselama­tan belum mengenal pasti identiti mayat seorang ketua penceroboh, dipercayai berpangkat jeneral, yang ditembak mati dalam pertempuran kelmarin.

Ditanya sama ada kemungki­nan ketua itu ialah orang yang menggelar dirinya Raja Muda Sulu, Azimuddin Kiram, Ismail berkata: “Kami masih mengenal pasti (iden­titi) berdasarkan pakaian dia, tetapi beliau ialah ketua operasi pihak penceroboh.”

Ismail juga menunjukkan kepada media gambar-gambar senjata yang ditemui daripada penceroboh yang ditembak mati.

Zulkifeli pula berkata, walaupun tiada pertempuran berlaku sejak kelmarin, ini tidak bermakna pihak musuh tidak lagi berada di kawasan itu.

“Operasi akan diteruskan,” ka­tanya. Sementara itu, Ismail Omar turut menafikan khabar angin kononnya 700 penceroboh militan akan memasuki Sabah untuk men­cetuskan huru-hara di negeri itu.

Beliau berkata, penyebaran mak­lumat melalui media sosial dan SMS, kononnya penceroboh militan itu akan memasuki Kota Kinabalu dan Tawau, adalah tidak benar.

“Maklumat yang disebar dalam berita itu meminta pihak polis berhati-hati dan meningkatkan kawalan keselamatan. Di sini saya nyatakan bahawa maklumat itu bukan dikeluarkan oleh polis dan ia tidak betul,” katanya. Justeru, Ismail menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dan panik dengan maklumat yang tidak sah berhubung isu pencerobo­han di Sabah.

“Kalau maklumat yang tidak disahkan sama ada oleh polis atau tentera, jangan mudah percaya,” katanya.

Ismail sekali lagi menegaskan bahawa keadaan keselamatan dan keamanan di kawasan pantai timur negeri itu terkawal dan orang ramai tidak perlu cemas.

Sehingga kini 52 penceroboh militan terbunuh dalam Ops Daulat sejak insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad Datu 12 Februari lepas.

Lapan anggota polis terkorban dalam tempoh itu iaitu dua dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam kejadian serang hendap di Kam­pung Simunul, Semporna pada 2 Mac. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan