Jumaat, 30 November 2012

Amah Di Dera Majikan

Suryani

SUNGAI PETANI - Kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang cedera akibat didera majikannya memasuki episod baharu apabila seorang pengusaha salun didakwa atas kesalahan itu di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Bagaimanapun, Khor Chia Lin, 29, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abdidin. Chia Lin merupakan anak perempuan majikan kepada amah yang dikenali sebagai Suryani, 24.

Chia Lin didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Suryani dengan menggunakan batang mop di rumahnya di No. 22, Taman Patani Indah, di sini pada pukul 11 pagi, 23 November lalu.

Dakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Intan Nurul Farena kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd. Nasir dan peguam bela, Loo Yook Khin. Beliau turut menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang itu.

Yook Khin memberitahu, ibu tertuduh yang ditahan bersama anak guamnya sebelum ini telah dibebaskan selepas didapati tidak terlibat.

Sementara itu, Pemangku Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah yang turut menyaksikan prosiding itu berpuas hati dengan siasatan dan proses pendakwaan.

Katanya, dia berterima kasih kepada media kerana memaparkan berita berhubung kes penderaan pembantu rumah Indonesia.

Suryani dari Jakarta, melarikan diri dari rumah majikannya Ahad lepas selepas tidak tahan didera hingga cedera teruk di muka dan badan.


Raja Arab Saudi Muncul Di TV

Raja Abdullah berbual dengan beberapa tetamunya di Riyadh

JEDDAH - Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, 88, muncul di kaca televisyen negara itu kelmarin sejak pembedahan untuk memperkuatkan ligamen bahagian belakang badan baginda dibuat pada 17 November lalu.

Rakaman televisyen tersebut menunjukkan Raja Abdullah dikunjungi beberapa anggota kerabat diraja dan pegawai kerajaan di kompleks Bandar Perubatan Pengawal Kebangsaan Raja Abdullah di Riyadh.

Kestabilan Arab Saudi amat penting kerana ia merupakan negara sekutu Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai simpanan lebih daripada satu perlima minyak dunia.

Terdapat khabar angin di beberapa buah laman sosial yang menyatakan kesihatan baginda merosot sehingga menyebabkan indeks pasaran saham di negara ini jatuh pada Selasa lalu.

Raja Abdullah yang menaiki takhta pada 2005 telah melantik adindanya, Putera Salman, 76, sebagai Putera Mahkota selepas kemangkatan Putera Nayef. - Agensi


"Tolong Selamatkan Saya"

Polis memeriksa mayat Sukini yang mati terjatuh dari tingkat sembilan

PETALING JAYA – Seorang pekerja kedai dobi terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa didera secara mental oleh majikannya apabila wanita tersebut ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah apartmen semalam.

Peristiwa menyayat hati yang berlaku pada pukul 11 pagi di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini itu menyebabkan Sukini, 30-an, maut apabila cubaannya untuk melarikan diri dengan memanjat balkoni rumah majikannya yang berketurunan Cina gagal sebelum dia terjatuh.

Difahamkan, ketika hendak memanjat, wanita dari Kalumpang, Sulawesi itu telah tergelincir dan sempat berpaut beberapa minit pada tembok balkoni itu sebelum terjatuh.

Turut ditemui di sisi mangsa ialah satu bungkusan kain batik mengandungi beberapa helai baju, seluar dan sabun.

Pekerja dobi berkenaan yang ingin dikenali sebagai Yanti, 40, berkata, dia begitu kesal dengan kematian Sukini kerana dia memang bercadang untuk menyelamatkan wanita itu sebaik mendapat nota terakhir mangsa yang ditulis di atas tisu pada pukul 9 pagi kelmarin.

Nota itu berbunyi: “Kakak, tolong selamatkan saya. Kalau kakak tak boleh tolong saya nekad lari ikut balkoni.”

Mangsa baru bekerja sejak dua minggu lalu dengan majikannya itu.

Anak panah menunjukkan arah Sukini terjatuh.

“Sejak dua minggu lalu, saya mendapat tiga nota ditulis di atas tisu yang dicampak mangsa setiap kali dia lalu di depan kedai bersama majikannya untuk membeli nasi lemak pada waktu pagi.

“Ia berkisar mengenai kesulitan dan kesengsaraannya sejak bekerja dua minggu lalu. Mangsa turut mengadu dia tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa termasuklah keluarganya yang berada di Kalumpang, Sulawesi,” dakwanya ketika ditemui.

Ceritanya, nota keempat diterimanya pagi kelmarin. Nota itu memintanya supaya menyelamatkan amah tersebut atau dia akan nekad lari melalui balkoni kerana tidak tahan apabila sering dimaki hamun oleh majikannya.

“Sejurus membaca nota itu, saya telah melaporkannya kepada seorang pengawal keselamatan. Bagaimanapun, belum sempat dia diselamatkan, kami mendapat berita dia telah mati akibat terjatuh,” dakwanya lagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.

Penasihat Menteri Penerangan, Sosial dan Budaya bagi Kedutaan Indonesia di Malaysia, Suryana Sastradiredja pula ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Baru-baru seorang pembantu rumah dari Jakarta, Indonesia yang dikenali sebagai Suryani, 24, cedera teruk akibat dipukul dengan batang mop oleh anak majikannya yang berketurunan Cina di Taman Patani Indah, Sungai Petani, Kedah.


Tarik Trak Guna Telinga

Lasha Pataraia menarik sebuah trak dengan menggunakan tali yang diikat di telinganya

RUSTAVI, Georgia - Seorang pemuda berusia 32 tahun, Lasha Pataraia menarik sebuah trak dengan menggunakan tali yang diikat di telinganya di sini semalam.

Dia berjaya menarik trak seberat 8,250 kilogram itu sejauh 21.50 meter.

Pemuda tersebut berjaya mencipta rekod Guinness World Records ekoran usahanya itu. - Reuters


Iran Pamer Kapal Selam

Kapal selam Qadir di pelabuhan Bandar Abbas, selatan Iran 

TEHERAN - Tentera Laut Iran mempamerkan kapal selam dan hovercraft buatannya di pelabuhan Bandar Abbas di selatan negara ini kelmarin.

Sebuah stesen televisyen tempatan menunjukkan dua buah kapal selam dan dua buah hovercraft itu.

Kapal selam yang bernama Qadir itu boleh melancarkan serangan peluru berpandu dan torpedo secara serentak.

Stesen televisyen itu menyiarkan ucapan Ketua Tentera Laut Iran, Laksamana Muda Habibollah Sayyari yang menyatakan pihaknya perlu memiliki teknologi ketenteraan terbaharu untuk tujuan melindungi sempadan negara ini.

Kapal selam itu juga boleh beroperasi di kawasan perairan yang cetek.

Iran kini berdepan dengan tekanan negara-negara Barat supaya menghentikan program nuklearnya yang dibimbangi akan digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.

Bagaimanapun, pemerintah negara ini menyatakan program tersebut bertujuan un-tuk menjana tenaga elektrik. - Agensi


Penyerang Awam Dicekup

Senjata tajam antara yang dirampas dalam serangan di Bintulu

BINTULU: Empat lelaki berumur 21 hingga 44 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian serangan di tempat awam diberkas polis bersama rampasan beberapa senjata tajam, awal pagi kelmarin.

Suspek-suspek diberkas selepas polis menerima laporan pada jam 12.40 pagi semalam daripada seorang mangsa dalam serangan itu.

Mangsa bersama beberapa orang rakannya difahamkan hendak memasuki pusat hiburan di sini namun tidak semena-mena dihalang oleh seorang lelaki yang bertindak memanggil rakan-rakannya sambil mengancam akan menyerang mereka.

Berikutan itu, mangsa dan rakannya beredar dari tempat itu menaiki tiga buah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux berwarna putih.

Bagaimanapun, mangsa dan rakannya dikejar oleh kumpulan lelaki terbabit yang menaiki beberapa buah kereta sehingga ke tanah perkuburan Cina berdekatan premis makanan SEDC di sini.

Kereta mangsa kemudiannya dihalang dan diberhentikan, sebelum mereka diserang oleh suspek dengan senjata tajam.

Mangsa dan rakan-rakannya cuba melarikan diri dan meninggalkan kenderaan mereka di kawasan tanah perkubuhan itu, namun dalam cubaan itu berlaku pergelutan sehingga mangsa mengalami kecederaan di tubuh dan tangan.

Manakala, kenderaan mangsa dan rakan-rakannya telah dirosakkan termasuk cermin bahagian tepi dan belakang kereta dipecahkan.

Bercakap pada sidang media semalam, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat berkata, hasil maklumat yang diterima, sepasukan polis yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bintulu, ASP Awang Zamain Awang Jabai melancarkan gerakan memburu suspek yang membawa kepada penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux berwarna hitam di Parkcity Commercial Centre.

“Hasil pemeriksaan, empat lelaki di dalam kenderaan itu telah diberkas dan beberapa barang kes ditemui iaitu senjata ‘kwang tau,’ pemukul bola lisut, lampu sorot kenderaan yang kemungkinan terjatuh dari ken- deraan, bampar kereta, senjata tajam bentuk T serta enam telefon bimbit suspek,” ujarnya.

Katanya, empat suspek telah di-tahan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan yang sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan denda dan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ujarnya, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 427 melakukan perbuatan khianat dan Seksyen 6(1)c Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Tiga mangsa yang mengalami kecederaan ringan dirawat sebagai pesakit luar di hospital di sini,” kata-nya sambil menambah pihaknya belum pasti jumlah mangsa yang terlibat.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan polis dan empat suspek telah ditahan reman dua hari hingga esok.


Rentung Berpelukan


BELURAN: Tiga beranak ditemui rentung berpelukan di dalam bilik air rumah mereka selepas bangunan rumah kedai yang mereka diami itu musnah dalam satu kebakaran bersebelahan Pejabat Ahli Parlimen Beluran di Jalan Lama Beluran Dua Pekan Beluran, malam Rabu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Sivanathan A/L R Velautham, yang turut berada di lokasi kejadian memberitahu tiga mayat ditemui di bahagian tingkat atas bangunan kedai berkenaan.

“Ketiga-tiga mangsa dikatakan terperangkap di bahagian atas rumah kedai itu dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Siti Jainah Abdul Razak, 32, bersama dua anaknya Siti Noraznizah Husin, 9, dan Siti Norajikah Hussin, 5, berasal dari Kampung Kolapis,ditemui dalam keadaan berpelukan di bilik mandi bahagian atas rumah kedai mereka.

Anggota polis mengangkat mayat salah seorang mangsa

“Kita percaya mangsa dan dua anaknya itu dipercayai terperangkap selepas gagal membuka jeriji besi yang berkunci,” katanya.

Sivanathan berkata, ketika kejadian dikatakan suami mangsa sedang membuat kerja kimpalan di bahagian bawah bersama anak lelakinya, manakala isteri serta dua anak perempuannya berada di tingkat atas kedai menjual perkakas rumah itu.

Katanya, ketiga-tiga mayat dihantar oleh pihak polis ke Hospital Daerah Beluran untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk proses pengebumian.

Manakala suaminya, Husin Ismail, 30-an, dan anak lelaki sulung mereka, Azrul Nizam, 12, yang ketika itu berada di tingkat bawah sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin berkata mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu daripada Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat, Kota Kinabalu pada jam 9.01 minit sebelum menghantar sebuah jentera dan dua utiliti bersama sembilan anggota dikerah ke tempat kejadian.

Beliau memberitahu anggota bomba terpaksa mengambil masa 57 minit untuk sampai ke lokasi kejadian berikutan jarak yang jauh iaitu 60 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, dan ketika sampai 80 peratus rumah kedai itu sudah musnah dengan kebakaran dipercayai bermula daripada tingkat bawah kedai.

“Anggota bomba berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran disebabkan semua barang yang dijual di kedai itu adalah bahan mudah terbakar seperti minyak dan cat. Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 1 pagi,” katanya.

Jemushin berkata, semua mangsa yang berada di tingkat atas maut akibat lemas terhidu asap tebal.

“Ketiga-tiga mereka ditemui dalam keadaan saling berpelukan di bilik mandi yang terletak di bahagian belakang. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Beberapa orang saksi memberitahu api marak dengan pantas dari tingkat bawah yang menempatkan kedai menjual perkakas rumah berkenaan sebelum merebak ke tingkat atas rumah yang didiami oleh mangsa.

Saksi juga berkata mereka terkejut dengan kejadian itu dan cuba membantu memadam api di dalam kedai berkenaan tetapi api marak dengan pantas.

“Kami juga terkejut apabila diberitahu mangsa iaitu isteri dan dua anak perempuan Hussin terperangkap di rumah berkenaan,” kata salah seorang saksi.


Sandiwara Gadis ‘Diculik’


KOTA SAMARAHAN: Gara-gara berselisih faham dengan teman lelaki, seorang gadis sanggup mereka cerita dengan mendakwa dirinya diculik oleh sekumpulan lelaki, baru-baru ini.

Insiden tersebut dipercayai berlaku pada Rabu lepas apabila gadis berusia 18 tahun itu dikatakan menipu teman lelakinya dengan mendakwa dia telah diculik dan dikurung di sebuah rumah yang tidak diketahui lokasinya.

Selain itu, gadis tersebut turut dikatakan menghantar gambar menunjukkan dirinya dalam keadaan tangan diikat serta mata ditutup dengan kain melalui telefon bimbit kepada teman lelakinya untuk membuktikan dirinya benar-benar diculik.

Teman lelaki gadis tersebut yang risau akan keselamatan teman wanitanya kemudian segera memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga mereka serta melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

Sekitar jam 3 petang hari yang sama, gadis tersebut dikatakan telah pulang ke rumahnya dan memberitahu bahawa dirinya telah dilepaskan tanpa diapa-apakan oleh kumpulan penculik tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Pahlawan Zulkifli Hassan semasa dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian dan hasil siasatan awal mendapati gadis tersebut telah menipu di mana kejadian penculikan tersebut adalah drama semata-mata.

Menurut Zulkifli, gadis tersebut sebelum itu telah bergaduh dengan teman lelakinya menyebabkan dia berpura-pura diculik untuk mendapat perhatian daripada teman lelakinya semula.

Justeru, gadis tersebut kini mungkin akan ditahan dan didakwa kerana telah membuat laporan palsu yang boleh dikenakan tindakan undang-undang jika disabit kesalahan.


Maut Ditikam Rakan Sekerja


KINABATANGAN: Akibat pergaduhan dengan rakan sekerja, seorang pekerja ladang kelapa sawit maut ditikam di Ladang Permodalan Tiga, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Martin Lugu berkata dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dikenali sebagai Abdul Halim Abidon, 45, yang bekerja sebagai penuai buah di ladang berkenaan dikatakan bergaduh dengan suspek berusia 30 tahun yang juga pengawal keselamatan berikutan masalah kerja.

Beliau berkata, suspek dipercayai menikam mangsa di bahagian rusuk kiri sebelum melarikan diri, manakala pekerja ladang yang melihat mangsa terbaring di ladang berkenaan menghantar mangsa ke Hospital Lahad Datu, dan disahkan meninggal dunia.

“Siasatan awal polis mendapati pergaduhan berpunca akibat dendam lama.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Didenda Kerana Guna Dadah


MIRI: Seorang pemuda didenda RM1,800 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine.

Shafaruszaini Shapiee, 22, dari Kampung Pujut Padang Kerbau di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (AB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5,000 atau dua penjara, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati ada menggunakan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ABD 1952 dengan cara memasukkan bahan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.50 petang, 2 Januari tahun ini di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mizlan Abdul Ghani di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.


Wanita Bunuh Ibu Kekasih Terlepas Tali Gantung


KUCHING: Seorang wanita 26 tahun yang didapati bersalah membunuh ibu teman lelakinya lima tahun lalu terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Rayuan di sini semalam mengurangkan hukumannya kepada penjara tiga tahun.

Mahkamah Rayuan menetapkan hukuman terhadap Winnie Yek Leh Cheng dari Sibu adalah berkuat kuasa sejak penahanannya pada 2007.

Bagaimanapun dia dibebaskan kerana telah berada di penjara sejak 2007 yakni melebihi tempoh hukuman terkini dikenakan terhadapnya.

Yek kelihatan lega apabila keputusan itu disampaikan oleh barisan hakim, Datuk Azahar Mohamed, Datuk Balia Wahi Yusof dan Datuk Lim Lee Lian.

Dia didakwa membunuh di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang menyaksikan ia kemudian ditukar Mahkamah Rayuan kepada kesalahan menyerang di bawah Seksyen 324, Kanun Keseksaan.

Pada 18 Jun 2010, di Mahkamah Tinggi Sibu, Yek dijatuhkan hukuman gantung hingga mati kerana didapati bersalah membunuh ibu teman lelakinya Kuan Sin Moi, 82, menggunakan topi keledar di Rejang Park, Sibu pada 30 Januari 2007.


Khamis, 29 November 2012

Kepala Koyak 30 jahitan

Kesan luka di kepala Muhammad Aiman

KANGAR – Keseronokan seorang pelajar mandi-manda di sebuah taman tema air di Ayer Keroh, Melaka bertukar menjadi igauan buruk ketika bermain salah satu gelongsor air di situ.

Akibat kejadian itu, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini, Muhammad Aiman Afzal Suhaizam, 14, mengalami pendarahan otak dan tempurung kepalanya retak selepas terjatuh pada ketinggian kira-kira empat meter dari permainan gelongsor air boomerang dalam kejadian 20 November lalu.

Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Sharina Wahab, 39, mendakwa, dalam kejadian itu, kepala anaknya terhantuk sehingga terpaksa menerima 30 jahitan selain lebam di lutut, tangan dan tengkuk.

Dakwanya, anaknya pergi ke situ selepas mengikuti percutian selama empat hari anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis melibatkan rombongan kira-kira 80 orang terdiri daripada pelajar dan guru bermula 19 November lalu.

“Kejadian disebabkan kecuaian petugas yang menyelia permainan gelongsor tersebut apabila dia melepaskan Aiman dalam keadaan berpusing-pusing sehingga anak saya terpelanting keluar.

“Ekoran itu, Aiman terjatuh ke lantai konkrit dari ketinggian empat meter menyebabkan kepala anak saya terhantuk selain kesan lebam di lutut, tangan dan tengkuk sehingga menerima 30 jahitan,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Padi di sini semalam.

Dakwanya lagi, sebelum itu, Aiman telah meminta penyelia terbabit supaya tidak memusingkan pelampung yang dinaiki namun tidak diendahkan.

Menurut Sharina, dia kini resah dan risau apabila doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat anaknya memaklumkan yang Aiman bakal mengalami simptom pening dan sakit kepala seumur hidup.

“Kini anak saya sering mengantuk selain lesu setiap kali bangun tidur dan keadaan itu telah mengubah kehidupan anak saya yang sebelum ini ceria,” dakwanya.

Ujar Sharina, apa yang dikesalkan pihak taman rema air tersebut dan JPN Perlis mendiamkan diri selepas kejadian itu.

Sementara itu Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa ketika dihubungi menyatakan, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Dalam pada itu di Melaka, jurucakap taman tema tersebut memberitahu, pihaknya tidak pernah lepas tangan mengenai kejadian berkenaan dan sedang menunggu laporan penuh perubatan untuk tindakan lanjut.

“Kami telah menyediakan ambulans untuk menghantar mangsa ke Hospital Melaka sebaik kejadian sebelum dia dirujuk ke HKL.

“Kes ini pertama kali berlaku sejak kami mula beroperasi pada 15 Mei 2010,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, kejadian mungkin berlaku apabila posisi badan mangsa yang ketika itu menggunakan pelampung tidak stabil sehingga dia tercampak keluar.


Miliki Lengan Terbesar Di Dunia

Moustafa mengangkat kedua-dua lengannya.

MILFORD, Massachusetts - Seorang pemuda berketurunan Mesir, Moustafa Ismail yang tinggal di sini dipercayai memiliki lengan paling besar di dunia.

Ukur lilit lengan Moustafa yang berusia 24 tahun itu ialah 79 sentimeter. Pemuda itu makan tiga kilogram (kg) protein, 4.08kg karbohidrat dan minum air sebanyak 11.35 liter pada setiap hari .

Pihak Guinness World Records kini menimbang sama ada akan mengiktiraf Moustafa sebagai pemilik lengan terbesar di dunia.

"Mereka (penduduk) memanggil saya Popeye, Popeye Mesir.

"Bagaimanapun, tidak seperti watak kartun Popeye, saya suka makan ayam, daging dan apa jua makanan kecuali bayam," katanya.

Dia juga mengambil vitamin dan makanan tambahan lain.

Moustafa juga sukar untuk mencari baju yang sesuai dengan tubuhnya.

Dia mula berusaha untuk memperoleh bentuk lengan itu di bandar kelahirannya, Alexandria di Mesir sebelum berpindah ke Amerika Syarikat pada 2007 dan menetap di Franklin, barat daya Boston.

Moustafa melakukan senaman angkat berat selama dua jam hampir setiap hari. Pemuda itu pernah mengangkat bebanan seberat 272kg.

Dia sanggup melakukan dua pekerjaan termasuk sebagai pembantu di sebuah stesen minyak untuk membiayai senamannya di sebuah pusat kecergasan dan makanannya.

Namun, isterinya meminta dia meninggalkan salah satu pekerjaan kerana menganggap suaminya itu bekerja terlalu keras.

Pihak Guinness kemudian menghubunginya dengan menawarkan pemuda itu lawatan ke London, Britain untuk muncul bersama beberapa pemegang pelbagai rekod dunia termasuk wanita paling kecil di dunia. Moustafa memenuhi undangan itu.

Bagaimanapun, kontroversi muncul kerana terdapat dakwaan di internet bahawa dia menggunakan dadah steroid dan menanam implan pada lengannya.

Beberapa pihak lain mendakwa, dia menyuntik minyak synthol yang digunakan oleh ahli bina badan.

Dia pernah pergi ke Tokyo untuk muncul dalam program dokumentari stesen televisyen Fuji yang menunjukkan beberapa doktor mengambil sampel darah manakala ototnya turut menjalani ujian X-ray.

Doktor-doktor itu bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan terlarang dalam tubuhnya.

Namun, pihak Guinness mengeluarkan nama Moustafa dalam laman webnya. Jurucakap Guinness, Sara Wilcox berkata pada Oktober lalu, pihaknya masih melakukan penyelidikan dengan pakar-pakar perubatan berhubung kes Moustafa sebelum mengiktiraf lengannya. - AP


Suspek Samun, Rogol Diburu

Imej CCTV menunjukkan kelibat tiga lelaki yang disyaki

KUALA LUMPUR – Penjenayah yang menyamun sebuah premis urut sebelum merogol dua wanita Vietnam di Jalan Genting Klang dekat Setapak di sini Ahad lalu kini ibarat cacing kepanasan apabila polis mengedarkan gambar suspek-suspek terlibat.

Gambar suspek yang dapat dirakam melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan kelibat seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an memakai baju berwarna biru yang mempunyai logo Superman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, selain itu, pihaknya turut mengedarkan gambar dua lagi rakan suspek yang menaiki sebuah motosikal dan memakai topi keledar yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan rogol tersebut.

“Kita percaya kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah. Dalam kejadian itu, dua tukang urut warga Vietnam telah dirogol selepas suspek menyamun premis berkenaan dengan melarikan sejumlah wang,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Dua tukang urut warga Vietnam ditimpa nasib malang berganda apabila mereka dirogol setelah disamun oleh empat lelaki berparang ketika sedang bersiap untuk pulang.

Dalam kejadian antara pukul 1 hingga 1.30 pagi itu, dua lagi lelaki yang merupakan penjaga premis berkenaan masing-masing putus telinga kiri dan cedera di tangan akibat ditetak ketika cubaan melawan suspek.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Rakan Cop di talian 03-2115 9999 bagi membantu siasatan.


Menara Condong Di China

Menara Wanshousi yang condong di Xi'an, wilayah Shaanxi 

XI'AN, China - Menara Wanshousi di sini yang terletak berdekatan sebuah sekolah di sini condong sejak tahun 1960-an.

Ia dibina sejak zaman dinasti Ming yang memerintah pada tahun 1368 hingga 1644. Bagaimanapun, beberapa rangka besi dipasang bagi menyokong menara itu bagi mengelak ia tumbang. - Reuters


Maut Ditimpa Durian

Zainal menunjukkan buah durian yang menimpa anak sulungnya

NIBONG TEBAL – Seorang bayi lelaki berusia sebulan maut apabila dihempap sebiji durian seberat dua kilogram yang luruh ketika berada dalam dukungan ibunya di belakang rumah sewa mereka di Kampung Badak Mati, Jawi dekat sini kelmarin.

Muhd. Yusuf Zainal disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Bakap (HSB) pada pukul 5 petang akibat kecederaan parah di kepala.

Sejam sebelum disahkan meninggal dunia, durian kampung tersebut luruh dari sebatang pokok setinggi 13 meter yang tumbuh bersebelahan dengan ampaian tempat ibu mangsa, Samimi Kasmin, 40-an, menjemur pakaian.

Samimi merupakan seorang warga Indonesia manakala suaminya, Zainal Abedin, 46, merupakan rakyat Bangladesh dan bekerja sebagai buruh binaan di Permatang Tinggi.

Kedua-dua pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada 2010 dan menetap di rumah papan itu sejak berkahwin.

Muhd. Yusuf menemui ajal selepas kepalanya ditimpa durian

Mengimbau semula kejadian itu, Samimi memberitahu, sebelum kejadian dia sedang mengangkat pakaian di ampaian dan mendengar tangisan Muhd. Yusuf yang ketika itu sedang tidur di buaian di dalam rumah.

“Saya kemudian masuk lalu mendukungnya sebelum meneruskan semula kerja mengangkat pakaian. Tanpa disangka, sebiji durian tiba-tiba luruh lalu terkena kepala dia dan tangan kiri saya,” ceritanya ketika ditemui di HSB di sini.

Tambahnya, dia kemudian cemas apabila mendapati Muhd. Yusuf terus terdiam dan tidak sedarkan diri sebelum menjerit dan memanggil jiran untuk membawa anaknya ke HSB. Ketika itu suaminya keluar bekerja.

Sementara itu, Zainal berkata, dia reda dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu namun enggan mengulas lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.


Tawan Pelajar Unimas

Suspek yang menjadikan Wan Nor Hayati sebagai tebusan di Samarahan kelmarin

SAMARAHAN – Seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menghadapi detik paling mencemaskan dalam hidupnya apabila dijadikan tebusan selama sejam oleh seorang lelaki Indonesia yang menghadapi masalah hutang kelmarin.

Kejadian pukul 5.15 petang berhampiran Koperasi Kolej Cempaka, kampus tersebut di sini itu menyebabkan Wan Nor Hayati Wan Mahmud, 22, dari Kelantan trauma apabila diacu pisat lipat oleh suspek.

Bagaimanapun, pelajar tahun tiga jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dengan Kepujian (Pengurusan Seni) universiti tersebut tidak dicederakan.

Polis yang tiba sebaik menerima maklumat kemudian telah membuat rundingan dengan suspek sebelum lelaki itu bersetuju melepaskan mangsa.

Difahamkan, suspek dari Lempur Danau, Jambi Indonesia berusia 30 tahun tersebut datang ke negara ini pada Sabtu lalu untuk mencari pekerjaan.

Sebaik tiba di Kuching, suspek telah tinggal di rumah kongsi bersama seorang rakannya yang bekerja sebagai buruh binaan di dalam kawasan kampus tersebut.

Sebelum kejadian, suspek dikatakan telah menerima panggilan dari kampung mengatakan anak dan isterinya telah ditahan dan diugut ah long kerana hutang yang dibuatnya.

Suspek yang berang apabila majikan tidak mengizinkannya pulang kemudian nekad menggunakan jalan mudah untuk dihantar pulang dengan menjadikan mangsa sebagai tebusan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Zulkifli Hassan berkata, semasa menahan mangsa, suspek memberitahu pelajar itu supaya ‘jangan bimbang saya takkan cederakan kamu, panggil polis saya banyak lakukan dosa.’

Menunjukkan bagaimana suspek mengacukan pisau ke leher Wan Nor Hayati

Katanya, sebaik tiba, pihaknya tidak mengambil masa yang lama untuk membuatkan suspek menyerah diri dan melepaskan tebusan.

“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian tetapi tidak menolak kemungkinan suspek berbuat demikian kerana masalah keluarga di kampungnya.

“Kita juga percaya suspek berbuat demikian untuk mendapat perhatian polis supaya dihantar pulang,” katanya.

Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Zulkifli, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, Wan Noor Hayati memberitahu, dia tidak dapat melupakan saat-saat cemas ketika ditawan selama sejam.

Katanya, sebelum kejadian, dia sedang berjalan bersama rakan, Siti Nurfarawahida Abdul Rahim, 22, untuk ke kelas sebelum suspek menerpa dari belakang.

“Saya cuba leraikan pelukan lelaki tersebut dengan cara memukul menggunakan payung tetapi bukan sahaja gagal malah, pelukan itu semakin kuat. Ketika itu saya hanya memikirkan mengenai nyawa saya melayang,” cerita anak ketiga daripada lima beradik itu yang masih trauma ekoran kejadian tersebut.

Tambahnya, dia ada bertanya mengapa dia dijadikan sasaran tetapi suspek tidak menjawab. Dia bagaimanapun bersyukur apabila dilepaskan sebaik polis tiba.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unimas, Mohd. Fadzil Abd. Rahman berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai kejadian tersebut kepada keluarga mangsa.


Letupan Bom Di Pinggir Damsyik

Jet tentera Syria terhempas selepas ditembak jatuh kumpulan penentang Bashar 

JARAMANA, Syria - Serangan 2 bom kereta secara serentak membunuh sekurang-kurang 54 orang dan menyebabkan kemusnahan di bandar Jaramana di pinggir Damsyik semalam.

Bahan letupan yang diletakkan di dalam kedua-dua kereta itu diletupkan pada waktu subuh di kawasan penempatan pro-Presiden Syria, Bashar Al-Assad.

Menurut laporan media tempatan, kebanyakan penduduk di kawasan tersebut didiami penganut Kristian. Tiada pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

Jurugambar agensi berita AFP berkata, jalan-jalan raya dipenuhi darah dan cebisan daging manusia.

Sementara itu, para penentang Bashar berjaya menembak jatuh sebuah jet tentera Syria di Daret Ezza, wilayah utara negara ini.

Juruterbang jet itu kemudian ditawan kumpulan penentang. Pergolakan di Syria bermula sejak Mac tahun lalu yang telah menyebabkan lebih 40,000 orang terbunuh.

Pertempuran antara kumpulan penentang dengan tentera Syria berlaku hampir pada setiap hari.

Kumpulan penentang itu mahu menggulingkan Bashar selepas beliau gagal untuk membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan kebebasan hak asasi manusia. - Agensi


Bapa Rogol Anak

Gambar Hiasan

SANDAKAN: Seorang bapa ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan selepas didakwa merogol anak perempuannya yang berusia enam tahun di rumah mereka di Batu 12 di sini awal pagi Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata suspek berumur 36 tahun ditahan sejurus isterinya membuat laporan pada hari yang sama.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, isteri suspek telah terjaga dari tidur berikutan gangguan bekalan elektrik sebelum ternampak suaminya sedang melakukan perkara yang tidak baik itu terhadap anak mereka, katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya bertindak bangun lalu lari keluar dari bilik tidur berkenaan.

“Ketika ditanya oleh ibunya, mangsa mengadu berasa sakit di bahagian kemaluan,” katanya.

Rowell berkata, ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung perbuatan suaminya itu dan mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, pihak polis telah berjaya menahan suspek pada hari yang sama untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Beliau menambah, siasatan awal menunjukkan kejadian itu sudah berlaku sejak empat bulan yang lepas.


Jangan Sebar Berita Palsu Di Internet

Norikoh Saliwa

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini digesa untuk tidak terburu-buru mempercayai sebarang informasi palsu mengenai kes Norikoh Saliwa,16, yang ditemui mati terbaring di tepi jalan berhampiran Kampung Ranau, Kota Marudu baru-baru ini kerana ianya masih dalam siasatan pihak polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang menyebarkan fakta salah seumpama kes terbabit kerana tindakan itu bukan sahaja menimbulkan perasaan takut di kalangan masyarakat malah mampu menggugat keselamatan negara.

Hamza berkata, pelbagai andaian termasuklah dakwaan kononnya mangsa telah dirogol dan dibunuh oleh warga Pakistan sepertimana disebarkan menerusi internet haruslah dihentikan segera, kerana ianya mampu menggugat kesejahteraan awam selain mengaibkan keluarga mangsa.

“Sehubungan itu, kita meminta agar semua pihak berhenti menyebarkan sebarang berita yang bercanggah daripada fakta kerana menyebabkan kesejahteraan awam tergugat malah mengaibkan keluarga si mati, sedangkan siasatan berhubung kes ini masih dijalankan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebar maklumat itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Asisten Komisioner Omar Mamah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Superitendan Saiman Kasran.

Insiden yang berlaku Ahad lalu itu, Norikoh yang berasal dari Kampung Bombong 1, Kota Marudu ditemui mati di tepi jalan Kota Marudu-Kota Kinabalu kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Sebelum kejadian, mangsa dan kakaknya, 32, telah pergi menemani adik sepupu mereka yang berusia 15 tahun untuk mencari kerja di sebuah premis menjual perabot di pekan Goshen, Kota Marudu.

Kata Hamza, mereka telah membeli penyambung wayar di kedai berkenaan sebelum keluar minum bersama pengurus premis terbabit di pekan itu.

Jelas beliau lagi, tidak lama kemudian, kakak mangsa memberitahu bahawa mereka telah tertinggal penyambung wayar yang telah dibeli di premis itu dan meminta mangsa pergi mengambilnya.

“Bagaimanapun ekoran ketiadaan pengangkutan, mangsa telah menumpang lori milik pengurus premis berkenaan iaitu seorang lelaki warga Pakistan untuk ke premis itu.

“Sejurus kemudian, mayatnya telah ditemui terbaring di tepi jalan berhampiran Kampung Ranau yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pekan Kota Marudu,” kata.

Berikutan penemuan mayat mangsa, lelaki warga Pakistan yang berusia 40an itu telah ditahan polis pada keesokan harinya di premisnya kira-kira jam 10 pagi.

Mengulas lanjut, Hamza berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah di Likas di sini.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa mempunyai kecederaan paling nyata di bahagian kepalanya dan kita masih menanti laporan lengkap bedah siasat mayat mangsa untuk mengetahui terdapat kecederaan lain termasuklah bukti dia dirogol atau tidak.

“Kita juga akan menyiasat dari pelbagai aspek tetapi setakat ini kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat,” katanya.


Lelaki Tempatan Di Hukum Gantung


KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini kelmarin mengekalkan hukuman gantung mandatori terhadap seorang lelaki tempatan atas kesalahan membunuh seorang lelaki, pada lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Wahab Patali, Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof, dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk David Wong Dak Wah, sebulat suara mengenepikan rayuan Lee Fook, 42, atas sabitan.

Ketiga-tiga hakim berkenaan menetapkan keputusan itu, selepas mendengar hujah daripada peguam Mohd Fauzi Formusa dan Timbalan Pendakwaraya Siti Rafidah Zainuddin.

Mahkamah berpendapat tiada sebab untuk menggangu keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dan hukuman dikekalkan.

Pada 24 Febuari 2010, perayu dijatuhkan hukuman gantung mandatori selepas didapati bersalah membunuh Lam Ah Sang @Foo Ah Sang, 51, pada 24 Julai 2008 antara jam 4 hingga 5 petang, di taman rekreasi Bambangan, Kg. Madsiang, Jalan Tambunan, Penampang.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori.

Terdahulu, Mohd Fauzi, dalam hujahnya berkata sebelum perayu berjumpa dengan si mati, dia telah mengambil dadah dan alkohol secara berlebihan.

“Akibat daripada itu, perayu dalam keadaan separa sedar dan mengalami halusinasi dan tidak seperti manusia yang normal,” katanya.

Jelasnya lagi, perayu tiada niat untuk membunuh si mati, kerana ketika dia berjumpa dengan si mati, si mati cuba untuk menumbuknya, namun dia cuba mempertahankan dirinya.

Oleh itu, Mohd Fauzi memohon agar seksyen anak guamnya dikurangkan kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian.

Namun, Siti berkata hakim Mahkamah Tinggi adalah tidak silap dalam menjatuhkan hukuman itu terhadap perayu.

“Daripada keterangan perayu, dia mengambil dadah dan arak secara sukarela dan tidak disebabkan oleh orang lain. Oleh itu, tidak mematuhi prasyarat Seksyen 85 (2) Kanun Keseksaan.

“Hakim telah mengambil kira fakta dan perayu sebenarnya tahu perbuatannya dan untuk mempertahankan diri adalah tidak terpakai,” katanya dan menambah, perayu tahu dan sedar ketika membunuh si mati.

Tambahnya, perayu telah menghayun parang dan terkena pada kaki si mati dan kali kedua pula terkena pada leher si mati.

“Perayu sendiri yang menyimpan parang di ruang menyimpan barang kereta selepas membunuh si mati, lalu membawa pulang ke rumah,” katanya dan perayu turut mengugut PW9 agar tidak memberitahu orang mengenai kejadian itu atau menerima nasib yang sama.

Siti menegaskan pembelaan tidak waras pada waktu kejadian adalah tidak terpakai dan memohon agar rayuan perayu ditolak oleh mahkmah.


Berkhemah Di Dataran Tahrir

Penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir kelmarin

KAHERAH - Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Tahrir di sini yang masuk hari keenam semalam bagi menuntut Presiden Mesir, Mohamed Morsi membatalkan dekri yang membolehkan semua keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah.

Polis turut melepaskan bedilan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan yang membaling batu di dataran berkenaan.

Melontar batu ke arah kumpulan anggota polis

Seramai 40 orang cedera dalam pertempuran itu yang dianggap sebagai kejadian yang kelihatan seperti ketika para penunjuk perasaan menentang pemerintahan bekas presiden, Hosni Mubarak pada awal tahun lalu.

Hosni meletakkan jawatan pada Februari tahun lalu selepas tunjuk perasaan berlaku di serata negara ini. Beliau meletakkan jawatan setelah para penunjuk perasaan menganggap pemerintahannya korup.

Kumpulan penentang menuduh Morsi sebagai pemimpin bersifat kuku besi

Pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menyokong Morsi menyatakan, dekri itu hanya dilaksanakan buat sementara waktu.

Menurut pergerakan itu, ia bertujuan untuk menjamin keselamatan bagi mengelak pemberontakan berlaku seperti pada era Hosni yang menyebabkannya meletak jawatan. Morsi menjadi presiden menerusi pilihan raya pada Jun lalu.

Hakim-hakim di Mahkamah Rayuan di Mesir juga akan melancarkan mogok sehingga Morsi membatalkan dekri tersebut. - Agensi


Dirogol Saudara Sendiri


KENINGAU: Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di sini telah dirogol oleh saudaranya selepas mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya di sebuah sebuah rumah di estet perumahan di sini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @ David berkata kejadian itu berlaku apabila mangsa keluar rumah pada 21 November lepas kira-kira jam 1.45 pagi untuk berjumpa dengan teman lelakinya.

Katanya, dalam perjumpaan itu mangsa dibawa oleh teman lelakinya yang juga seoarang pelajar ke kawasan semak luar rumah perumahan itu untuk melakukan hubungan seks.

“Selepas itu, teman lelakinya meninggalkan mangsa di kawasan semak berdekatan rumah itu lalu pulang ke rumah manakala mangsa masih menunggunya tetapi tidak datang lagi dan mangsa mengambil keputusan untuk tinggal di rumah saudaranya di sebuah kampung di Bingkor,” katanya.

Robert memberitahu bahawa sebaik sahaja sampai di rumah saudaranya itu pada kira-kira jam 5.30 pagi, mangsa dipujuk pula untuk melakukan hubungan seks oleh saudaranya.

“Saudara mangsa bertindak merogolnya dan kemudian saudaranya menghubungi keluarga mangsa untuk datang mengambil mangsa. Mangsa tidak menceritakan kejadian yang berlaku terhadap dirinya kepada ibu bapanya,” katanya.

Walau bagaimanapun, tambahnya, ibu bapa mangsa yang curiga dengan kelakuan yang berlaku kepada anak perempuannya mendesak supaya memberitahu dan mangsa menceritakan kepada ibunya apa yang telah berlaku.

“Ibu bapa mangsa kemudian mengambil keputusan membuat laporan polis dan mangsa telah dihantar ke Hospital Keningau untuk menjalani pemeriksaan awal,” katanya.

Robert berkata, kedua-dua suspek yang berumur 18 tahun telah ditangkap dan ditahan reman untuk siasatan lanjut dan pihak forensik juga telah dimaklumkan untuk membantu siasatan.


Mayat Di Tepi Jalan

Norikoh Saliwa

Para anggota polis menjalankan siasatan di lokasi mayat ditemui

KOTA MARUDU: Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian gadis sekolah menengah di Kampung Ranau, di sini tempoh hari.

Pemangku Ketua Polis Kota Marudu, Asisten Superitendan Kamarudin Sulaiman berkata suspek berusia 40an ditahan di sebuah bangunan berhampiran pekan berkenaan kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil membantu siasatan kes.

“Kita masih siasat punca kematian mangsa yang ditemui terbaring tepi jalan berhampiran Kampung Ranau yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pekan Kota Marudu,” katanya.

Terdahulu, gadis yang merupakan pelajar sekolah menengah tingkatan empat itu, Norikoh Saliwa,16, berbangsa Dusun dan berasal daripada Kampung Bombong 1 itu ditemui sekitar jam 12.40 tengah hari pada Ahad lepas itu.

Turut difahamkan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala mangsa dan mayat gadis berkenaan telah dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk proses bedah siasat.


Rabu, 28 November 2012

Aku, iPhone 5, G+1 Dan SEO

contest iphone5 300x250 Banner

Entri yang berkaitan


Hari ini sudah sepuluh hari aku serta 84 peserta lain yang terpilih berusaha mengumpul G+1 untuk contest "iPhone Gadget Impian" yang dianjurkan oleh Denaihati. Masing2 berusaha untuk menjadi Top 10 bloger. Menurut Denaihati, markah tertentu hanya akan diberikan kepada peserta yang berjaya menduduki Top 10 untuk setiap tugasan. 10 Blogger yang berjaya mengumpul markah terbanyak untuk semua tugasan akan dinilai oleh Top Blogger. Pemenang akan ditentukan dari jumlah markah paling banyak dikumpulkan oleh para peserta contest "iPhone Gadget Impian"


Cabaran G +1 

Hari ini blog aku baru saja mengumpul 57 klik untuk g+1. Aku harap jumlah tersebut akan bertambah lagi supaya impian aku untuk mendapatkan iPhone 5 dari Denaihati akan tercapai. Semoga iPhone 5 ini tidak hanya akan menjadi gadget impian aku saja… 


Cabaran SEO 

Untuk cabaran SEO pula, aku tak tahu lah dapat ke tak blog aku berada dalam top 10 di Google.com dengan keywords "iPhone Gadget Impian". Emmm…kena lebih mempelajari tentang SEO lagi ler ni…

Semangat untuk mendapat "iPhone Gadget Impian"

Kepada rakan2 bloger yang sudi support aku, aku ucapkan terima kasih banyak2. Tanpa korang semua, tak mungkin aku dapat kumpul G+1...

Kapada semua rakan2, sokongan semua amatlah di perlukan. Harap sudi lah klik G+1 pada entri "iPhone Gadget Impian" aku ni.

Buru Bujang Pasir

Pantai Pasir Panjang, Santubong

KUCHING - Jabatan Hutan Sarawak bersedia mengeluarkan permit memburu dan menangkap buaya yang digelar Bujang Pasir selepas ia kembali mengganas dengan menyerang mangsa keduanya dalam tempoh tiga bulan di Pantai Pasir Panjang, Santubong dekat sini pada petang Ahad lalu.

Pegawai Hutan Sarawak, Asan Odou berkata, permit itu hanya diluluskan jika terdapat permohonan daripada penduduk setempat menerusi Pejabat Daerah Kuching untuk memburu dan menangkap reptilia tersebut.

Menurutnya, permit itu akan diluluskan dalam tempoh 24 jam sekiranya ada keperluan mendesak atas kepentingan keselamatan awam.

"Mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak, jabatan hanya mengeluarkan permit untuk tempoh dua minggu sahaja bagi menangkap serta membunuh buaya.

"Namun, jika ada keperluan kami boleh melanjutkan tempoh permit itu," ujarnya ketika dihubungi semalam.

Asan menambah, operasi tersebut mesti dilaksanakan oleh polis dengan kerjasama mana-mana pihak berkaitan di samping perlu diawasi wakil Jabatan Hutan dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).


Tidak Menyesal Hina Nabi


NEW YORK - Seorang penganut Kristian Koptik kelahiran Mesir yang menghasilkan filem anti-Islam dan mencetuskan protes di seluruh dunia Islam menyatakan dia tidak menyesal menghina Nabi Muhammad SAW, menurut satu temu ramahnya dengan akhbar New York Times.

Dalam komen umum pertama sejak filem berdurasi selama 14 minit bertajuk Innocence of Muslimsmencetuskan kemarahan pada September lalu, penganut Kristian tersebut, Mark Basseley Youssef memberitahu New York Times, dia mahu mendedahkan apa yang digelarnya 'kebenaran sebenar' dan meningkatkan kesedaran mengenai keganasan yang dilakukan atas nama Tuhan.

Filem itu turut menyentuh tentang sentimen anti-Amerika di negara Arab dan dunia Islam. Youssef menjelaskan punca di sebalik pembikinan filem tersebut adalah kerana kekejaman penganut Islam itu sendiri.

Ia dihasilkan selepas insiden seorang lelaki Islam membunuh 13 orang di Fort Hood, Texas pada 2009.

Kejadian itu menyebabkan dia berasa semakin marah. Temu ramah itu dijalankan secara bertulis menerusi peguamnya.

"Saya fikir, sebelum skrip filem itu ditulis, saya patut membakar diri sendiri di tengah-tengah orang ramai supaya rakyat Amerika dan dunia tahu mesej yang ingin saya sampaikan," kata Youssef.

Youssef yang turut dikenali sebagai Nakoula Basseley Nakoula dikenakan hukuman penjara selama setahun kerana melanggar peraturan pembebasannya dari penjara atas kesalahan menipu bank. - Reuters


Ditawan Penyamun

Pekerja salun dijadikan tebusan di Kuala Krai semalam

KUALA KRAI - Suasana tenang di Dataran Guchil di sini semalam bertukar kecoh apabila seramai 2,000 orang awam berkumpul untuk menyaksikan adegan cemas melibatkan lima pekerja salun dan seorang pekerja restoran yang dijadikan tebusan selama tiga jam setengah oleh penyamun bersenjatakan pistol palsu.

Kejadian mendebarkan pukul 2 petang itu berakhir tiga jam setengah kemudian dengan polis dapat memberkas suspek berusia 27 tahun dari Tanah Merah selepas berjaya menjalankan rundingan tanpa melibatkan sebarang kecederaan.

Pemeriksaan mendapati, suspek merupakan seorang graduan pereka grafik dari salah sebuah universiti tempatan. Kejadian itu turut mengakibatkan dua mangsa pengsan dengan salah seorang diserang asma.

Difahamkan, suspek datang ke premis itu dengan memakai topi keledar dan menutup mulut sebelum mengacukan pistol palsu ke arah pekerja. Suspek turut membawa sebilah pisau.

Ketika kejadian, dua pekerja yang berada di dalam tandas dan bilik rawatan muka yang tidak disedari suspek telah menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

Sepanjang tempoh tiga jam setengah itu, suspek telah melepaskan seorang demi seorang tebusan sehingga tinggal seorang pekerja wanita sebelum dia diberkas.

Sementara itu, salah seorang pekerja salun, Muhamad Zafri Mat Hussein, 24, berkata, dia berada di dalam tandas ketika suspek memasuki kedai sebelum bertindak mendiamkan diri dan menghubungi polis.

"Saya ada keluar sebentar apabila terdengar bunyi kecoh dan masuk semula ke dalam tandas sebaik melihat penyamun mengacukan pistol dan mencekik salah seorang rakan saya.

"Saya duduk selama tiga jam di dalam tandas dan hanya keluar selepas segalanya selesai. Ketika itu, suspek tidak menyedari kehadiran saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Kuala Krai.

Seorang lagi mangsa, Siti Roskasma Rozali, 25, memberitahu, suspek terus memegang rakannya, Nazirah Isa, 18, sebaik pintu dibuka selepas loceng ditekan.

"Dia kemudian meminta Nazirah membuka peti simpanan wang. Suspek kemudian meminta saya menghubungi majikan selepas dimaklumkan yang kunci peti berada dalam simpanannya.


Ular Sawa Gergasi

Seekor ular sawa gergasi memuntahkan seekor lembu yang dibahamnya

RIO DE JANEIRO - Seekor ular sawa gergasi memuntahkan semula seekor lembu yang dibaham haiwan tersebut di sebuah hutan di Brazil, menurut beberapa laporan kelmarin.

Menurut akhbar dalam talian MailOnline, hampir 66,000 orang telah menyaksikan rakaman video ular tersebut di laman YouTube dalam tempoh dua hari.

Kejadian itu berlaku di sebatang sungai di dalam hutan tersebut. Ular itu kemudian meninggalkan bangkai lembu tersebut selepas ia memuntahkannya. - Agensi


Korban Kemalangan Ngeri

Kereta Hyundai Starex yang remuk hingga mengorbankan lima nyawa di Slim River semalam

SLIM RIVER - Hasrat 11 rakan untuk mengadakan pertunjukan kebudayaan di Muar, Johor berkecai apabila lima daripadanya maut, empat parah dan dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 372.1 Lebuhraya Utara- Selatan arah Selatan dekat sini semalam.

Kejadian pukul 7 pagi itu mengakibatkan Pang Lee Si, 35, dari Taman Serdang, Kedah; budak, Juvien Chin Yu Xuan, 12, serta Poh Hock Huat, 60, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang; Daphne Eng Yuik Yee, 14, dari Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini dan Hong Choon Tee, 33, mati di tempat kejadian. Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Slim River (HSR) untuk bedah siasat.

Tiga penumpang, Bu Wei Hong, 50; Heng Ah Lee, 60, dan Lim Tau Hong, 3, dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi HSR.

Sementara itu, Chong Soon Choy, 61, patah tangan manakala dua lagi, Ho Seok Yi, 18, dan Goey Wen Ni, 16, cedera ringan. Kesemua mangsa menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Hyundai Starex yang dipandu Soon Choy.

Kemalangan itu mengakibatkan salah seorang mangsa putus kepala selain hancur anggota badan.

Ia berlaku tujuh hari selepas kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad yang maut dirempuh treler semasa bertugas di lorong kecemasan, lebuh raya sama yang terletak kira-kira 78 kilometer dari sini.

Sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan dari Nibong Tebal, Pulau Pinang ke Muar bagi memenuhi satu jemputan melakukan persembahan kebudayaan Cina.


Lohan Kesal Cinta Songsang

Lindsay Lohan


AKHIRNYA, Lindsay Lohan membuka rahsia kisah asmaranya dengan kekasih sesama jenisnya, Samantha Ronson.

Tanpa berselindung, Lohan mengatakan hubungan mereka putus kerana dia berasa Samantha umpama racun baginya.

Lohan dan Samantha berpisah tiga tahun lalu. Meski pun penyanyi dan pelakon sensasi tersebut mengatakan saat ini mereka masih berkawan, namun Lohan memberitahu pada hakikatnya, dia dan Samantha memang tidak secocok.

"Saya harus mencintai diri saya sendiri terlebih dahulu sebelum saya mencintai orang lain.

"Saya telah melakukan ia (bercinta) terlalu jauh sewaktu bersamanya. Dua orang beracun tidak boleh bersama-sama dan ia harus berakhir. Kami hanya berteman sekarang," luah Lohan kepada Dailymail.

Dia bagaimanapun mengaku, hatinya hancur saat berpisah dengan Samantha. Dalam masa yang sama, hubungan sesama jenis yang dijalin olehnya itu telah membuat dia dikritik banyak pihak. Ramai yang tidak bersetuju dengan hubungan songsang tersebut.

Mengulas tentang perkara tersebut, ujar Lohan: "Saya hanya bersikap berani dengan mengatakan bahawa saya mencintai seorang gadis pada waktu itu, dan ramai yang mencemuh. Saya rasa itu tidak adil kerana sekurang-kurangnya, saya berani."

Namun, semuanya telah berlalu dan Lohan tidak lagi menjalin hubungan sesama jenis. Katanya, dia kini hidup bahagia bersama keluarga dan teman-teman yang sentiasa mengambil berat terhadap dirinya.