Selasa, 21 Mei 2013

Belon Udara Panas Terhempas

Belon udara panas yang dinaiki seorang pelancong Brazil terhempas

ISTANBUL - Seorang pelancong Brazil meninggal dunia semalam manakala 24 mangsa lain cedera apabila sebuah belon udara panas yang mereka naiki terhempas di sebuah kawasan indah di Turki, kata beberapa pegawai. Nahas itu berlaku di Cappadocia yang terkenal dengan pemandangan batu-batu.

Gabenor Nevsehir, Abdurrahman Savas berkata, belon udara panas yang dinaiki pelancong tersebut berlanggar dengan belon lain di udara dan terhempas ke tanah.

Menurut Savas, kebanyakan mereka yang cedera mengalami patah tulang dan seorang lagi mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Aktiviti menaiki belon udara panas semakin popular di Turki terutama sekali di wilayah Cappadocia.

Nahas di Cappadocia itu berlaku tiga bulan selepas satu lagi kejadian belon udara panas meletup berlaku di Luxor, Mesir dengan mengorbankan 19 orang pada 26 Februari lalu. - AFP

Sindiket Bomoh Warga China Tumpas

Barangan kemas, pasport, wang tunai yang dirampas

IPOH: Sindiket ‘bomoh’ dari kalangan warga China yang dipercayai terlibat dalam 23 kes penipuan di negeri ini melibatkan kerugian RM1 juta tumpas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata mereka yang terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berumur antara 45 hingga 51 tahun ditahan di sebuah bilik hotel di Kulim, Kedah pada Jumaat lepas.

“Dalam serbuan pada jam 3.30 pagi itu polis merampas wang tunai dan barang kemas yang diserahkan mangsa kepada mereka antaranya wang tunai sebanyak RM3,270, enam utas gelang, 14 bentuk cincin dan dua rantai leher,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Beliau berkata, sindiket itu yang bergiat aktif sejak tiga tahun lepas dipercayai menawarkan perkhidmatan membuang malang atau nasib buruk.

Kes terbaru dilapor berlaku di Pekan Langkap, Hilir Perak pada 23 April lepas.

Mohd Shukri berkata, tiga daripada suspek baharu pertama kali masuk ke negara ini sementara yang lain memasuki lebih daripada sekali.

Kesemua mereka direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — Bernama


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!













Kes Bunuh Eksekutif TV9 Disebut Semula 26 Jun Ini

Norazman Bashah

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak yang didakwa membunuh isterinya, eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9, Nur Syaleza Jaffar, tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas pihak pembelaan belum menerima laporan bedah siasat daripada pihak pendakwaan.

Peguam Shah Rizal Abdul Manan, yang mewakili tertuduh, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata laporan itu dijangka akan diterima minggu ini.

“Selepas itu, saya akan menghantar representasi kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji semula pertuduhan ke atas anak guam saya,” katanya.

Norazman Bashah, 32, didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediaman mereka di No.115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya, antara jam 12 tengah hari hingga 7.30 malam, 28 Julai tahun lepas.

Wanita China Antara Yang Ditahan Terbabit Kes Samun Bersenjata

Bahan bukti

IPOH: Seorang wanita warga China adalah antara tujuh individu yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Kampung Acheh, Sitiawan dekat Manjung pada 15 Mei lepas.

Dua pucuk senjata api iaitu sepucuk pistol model Stayr Mannlicher Austria dan sepucuk revolver Ruger Speed-Six .38 Special serta 103 butir peluru. 38 dan 27 butir peluru 9 mm turut dirampas daripada mereka.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kesemua mereka yang berumur antara 21 hingga 38 tahun ditahan di sebuah hotel di Pantai Remis, Manjung dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

“Kira-kira jam 1.30 pagi, tiga lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol menyamun pemilik restoran yang berumur 49 tahun dan enam pelanggannya.

“Suspek merampas wang tunai kira-kira RM20,000 dan pelbagai telefon bimbit selain melarikan sebuah kereta jenis Kia Sephia milik pemilik restoran itu.

“Sebelum melarikan diri, seorang daripada suspek melepaskan dua das tembakan ke arah CCTV (kamera litar tertutup). Bagaimanapun kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak semalam.

Mohd Shukri berkata ekoran tindakan pantas anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, serbuan kemudian dilakukan di hotel terbabit dan berjaya menahan tujuh suspek serta merampas barangan yang disamun.

“Antaranya adalah wang tunai lebih kurang RM24,400, sembilan telefon bimbit, tiga jam tangan, dua kamera, barang kemas, dokumen peribadi mangsa dan dua kenderaan termasuk kereta pemilik restoran itu,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu turut dipercayai terlibat dalam dua kes pada 13 Mei lepas iaitu kes samun bersenjata di Bagan Serai dan kes tembak di Kuala Kurau.

Sehubungan itu polis membuka tiga kertas siasatan melibatkan kesalahan melepaskan senjata api secara haram, memiliki senjata api secara haram dan memiliki peluru tanpa permit, katanya.

Mohd Shukri berkata tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes ugut, tembak, bunuh, perintah tahanan dan dadah.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga hari ini. - Bernama

Dalang Pencerobohan Lahad Datu Tidak Akan Didedah Elak Prejudis


KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin pembangkang yang didakwa terlibat dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah tidak akan didedahkan untuk mengelakkan prasangka atau prejudis apabila kes itu dibawa ke mahkamah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya semua dokumen dan maklumat terperinci yang telah diperoleh akan diser­ahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

“Semua dokumen dan maklumat terperinci telah diperoleh dan penelitian dari segi undang-undang untuk kuatkan hujah di mahkamah sedang diteliti kami iaitu Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pertahanan akan adakan mesyuarat dengan pihak peguam negara untuk serahkan dokumen tersebut untuk tindakan selanjutnya.

“Saya tidak berhajat untuk menamakan individu terlibat iaitu dua dari Semenanjung (Malaysia) dan seorang dari Sabah sebab saya tidak mahu berlakunya satu keadaan prasangka atau prejudis bila kes ini dibawa ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja pertama ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kemente­rian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah Yong Teck Lee semalam, yang mendesak agar tiga pemimpin pembangkang yang didakwa terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, didedahkan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika menjadi Menteri Per­tahanan berkata kementerian­nya telah mengenal pasti tiga pemimpin pembangkang yang menjadi dalang kepada insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Ahmad Zahid juga se­belum ini dipetik sebagai berkata, masa yang terbaik untuk mendedahkan dalang tersebut adalah selepas pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerana jika pendedahan dibuat sebelum PRU13, ia seolah-olah mempunyai tujuan poli­tik. - Bernama

Lelaki Ugut Ibu Kandung Dipenjara Seminggu

Gambar Hiasan

MIRI: Gara-gara mengugut ibu kandungnya, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret, di sini pagi semalam.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Mohd Izal Jamaludin, 27, dari Piasau Utara telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Norsiah Bahrin dengan mengeluarkan kata-kata ‘Kau ingat aku takut mahu pecahkan kepala kau’ sambil mengambil sekeping papan dengan niat hendak menakutkan mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3 pagi, pada 14 Mei lalu di sebuah rumah di Piasau Utara, di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah.


Bunuh: Wanita Dan Abang Dicari Polis

Superitendan Shamsudin Mat

LAHAD DATU: Polis sedang giat menjejaki seorang wanita dan abang kandungnya kerana dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang buruh ladang warga asing yang juga merupakan suami kepada wanita itu, di sini, pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa Saidy Gira, 48, bekerja sebagai buruh di sebuah ladang di Tungku itu, telah ditemui mati di rumah kongsinya oleh salah seorang pekerja ladang di situ yang kemudian bertindak memaklumkan kejadian itu kepada penyelianya sebelum satu laporan polis dibuat sejurus selepas itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Shamsudin Mat berkata pihaknya yang bergegas ke lokasi kejadian telah menemui mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kesan kelar di lehernya.

“Kita juga telah merampas sebilah parang tidak jauh dari mayat mangsa ditemui. Bagaimanapun, isteri dan ipar mangsa telah melarikan diri selepas kejadian itu dan usaha bagi menjejaki kedua-dua suspek ini sedang giat dijalankan,” katanya di sini, kelmarin.

Sementara itu kata Shamsudin, siasatan lanjut mengenai punca dan motif pembunuhan masih diteruskan

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa juga telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya.

Lelaki Jadi Mangsa Sekumpulan Perompak

Gambar Hiasan

KUCHING: Seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menjadi mangsa sekumpulan perompak pada awal pagi semalam di Kampung Semariang, di sini.

Lelaki berusia 18 tahun dari Kampung Pasir Pandak yang ketika itu bersama seorang rakannya, didatangi lapan lelaki tidak dikenali pada sekitar jam 12 tengah malam berkenaan.

Suspek-suspek tersebut merampas sejumlah wang dan dokumen peribadi daripada mangsa sebelum melarikan diri.

Isnin, 20 Mei 2013

Wanita Dibelasah, Diheret Dan Ditolak Dari Jambatan


KUCHING: Seorang isteri nyaris maut selepas ditolak oleh suaminya dari sebuah jambatan selepas dia dikatakan enggan memberikan wang kepada suaminya itu, lewat petang kelmarin.

Mangsa, 30, juga dikatakan telah dibelasah oleh suaminya sebelum dia diheret ke jambatan tersebut yang terletak berhampiran Kampung Sungai Maong di sini, sekitar jam 6.30 petang.

“Saya telah dipukul serta diterajang olehnya di seluruh badan saya. Selepas itu, dia menarik rambut saya dan mengheret saya ke jambatan itu lalu menolak saya ke dalam sungai, tetapi nasib saya dapat menyelamatkan diri selepas itu,” katanya. Mangsa berkata demikian ketika membuat laporan polis berhubung kejadian pada hari yang sama.

Ekoran insiden itu, menurut mangsa, dia mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk mengalami calar di kaki serta lebam.

“Dia juga turut mencekik leher saya dan menampar muka saya beberapa kali dan akibatnya, saya mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat diheret dan sakit di seluruh badan dan kepala saya,” katanya lagi.

Menurut mangsa yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan, insiden tersebut bukan yang pertama kali berlaku.

“Ini bukan kali pertama dia berbuat sedemikian terhadap saya, malah dia juga pernah mengugut akan membunuh saya setiap kali kami bergaduh,” jelasnya.

Laporan polis telah dibuat oleh mangsa dan siasatan masih dijalankan.


14,000 Penduduk Rai Hari Bandar Raya Miri Ke-8

Taib melepaskan peserta ‘Green Ride’ sempena sambutan ulang tahun ke-8 Miri 

MIRI: Kira-kira 14,000 penduduk Miri berkumpul di Padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan berjalan di beberapa jalan utama di pusat bandar raya sempena sambutan Hari Bandar Raya Miri Kelapan, semalam.

Majlis sambutan yang bertemakan ‘Miri Bandar Raya Hijau’ itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan acara memotong kek di hadapan ribuan warga Miri yang memakai baju-T bewarna hijau.

Hadir sama isteri Taib Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Datuk Bandar MBM Lawrence Lai, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Residen Miri Antonio Kahti Galis, kaunselor dan ketua-ketua kaum.

Selesai acara memotong kek, Taib dan tetamu jemputan lain melancarkan Ekspo Hijau diikuti dengan ‘Green Ride’ iaitu acara mengayuh basikal dan ‘Green Walk,’ acara berjalan di bandar raya Miri.

Sementara itu, acara kali ini begitu meriah dengan kehadiran orang ramai tanpa mengira usia berjalan memakai baju-T ‘Miri Bandar Raya Hijau’ sambil membunyikan hon sebagai tanda sokongan untuk menjadikan Miri bandar raya hijau.

Miri diisytiharkan sebagai bandar raya pada 20 Mei namun sambutannya pada tahun ini diawalkan kerana tahun ini tarikh tersebut jatuh pada hari bekerja.


Redah Api Selamatkan Anak

Api merebak dengan pantas memusnahkan lapan buah rumah di Kampung Limpaong, Limbang

LIMBANG: Dengan tiga laungan ‘Allahuakbar!’, seorang ibu meredah api menjulang demi menyelamatkan anak bongsu dan seorang anak buahnya dalam kebakaran yang memusnahkan lapan buah rumah di Kampung Limpaong di sini, pagi semalam.

Kejadian mencemaskan pada jam 10.30 pagi itu menyebabkan 20 keluarga tinggal sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta benda yang musnah dalam sekelip mata akibat api marak dan merebak dengan pantas.

Mangsa Rosnani Dullah, 35, menceritakan detik cemas itu berkata, ketika kejadian semua ahli keluarganya berada di tingkat bawah rumah kayu dua tingkat itu, manakala anak bongsu lelakinya yang berusia setahun lebih dan anak buahnya, 10, berada di dalam sebuah bilik di tingkat atas.

“Kejadian begitu pantas, kami hanya menyedari kebakaran berlaku setelah diberitahu oleh abang saya yang sedang membeli mi segera apabila ternampak api marak dari bahagian dapur rumah ibu kami.

“Saya yang panik dan terkejut segera berlari untuk menyelamatkan anak lelaki dan anak buah saya yang sedang berkaraoke di dalam bilik walaupun api marak dengan pantas,” ujarnya.

Menurut Rosnani, sebelum kejadian mereka ada terdengar bunyi percikan elektrik dari bahagian dapur sebelum api marak dan merebak memusnahkan lapan buah rumah kayu di kampung tersebut.

“Kami tidak memasak ketika itu, namun ada tendengar bunyi percikan elektrik sebelum api marak dan meranapkan kediamanan kami,” katanya sambil menambah kebakaran itu menyebabkan kerugian lebih RM100,000.

Walaupun masih trauma, beliau bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa berlaku.

Ibu Rosnani, Zaleha Besar yang berusia lewat 70-an berkata, sebaik mengetahui kebakaran itu, beliau memasuki rumah untuk menyelamatkan cucunya, namun sempat dihalang oleh anaknya (Rosnani).

“Jika tidak dihalang oleh anak saya, saya tidak tahu apa yang akan berlaku kerana sudah panik memikirkan kedua-dua cucu yang masih berada di bilik rumah kami,” ujarnya yang mempunyai lapan anak dan 56 cucu.

Selain Rosnani, katanya, rumah tersebut turut didiami oleh dua buah keluarga lain.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Limbang Anuar Shazat Merdzuki berkata, anggotanya tiba di tempat kejadian tujuh minit selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.47 pagi semalam.

“Seramai 14 anggota bomba, 11 anggota RELA dan 25 anggota pasukan Bomba Sukarela Kampung Seberang Kedai yang datang menggunakan bot turut membantu operasi memadam kebakaran, selain bantuan penduduk kampung, orang ramai dan polis,” katanya.

Anuar menjelaskan, seramai 14 anggota diketuai oleh beliau sendiri turut bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dan tiga buah kenderaan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Api berjaya dikawal pada jam 11.45 pagi dan kita menghadapi kesukaran berikutan angin kuat dan keadaan rumah yang terlalu rapat,” katanya.

Turut menyertai operasi tersebut, Ketua Balai Bomba Limbang Awang Mohamad Farbu Abdul Hamid.

Anuar berkata, pihaknya menubuhkan pasukan penyiasat untuk menyiasat punca kejadian dan anggaran kerosakan dalam kebakaran itu.

“Kertas siasatan dijangka siap dalam tempoh 14 hari untuk mengetahui punca kebakaran dan nilai kerosakan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai yang bertungkus- lumus membantu pihaknya memadam kebakaran tersebut.

Turut berada di lokasi ialah Residen Bahagian Limbang Maria Hasman.

Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail juga berada di lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Limbang berkata, pihaknya akan menyediakan bantuan makanan, peralatan dapur, pakaian, bantuan harian serta bantuan baik pulih rumah kepada 20 keluarga terbabit.

Buat masa ini, kesemua mangsa ditempatkan sementara di asrama Dewan Suarah Limbang.


Cinta Ditolak, Lelaki Nigeria Mengamuk

Gambar Hiasan

KUCHING: Marah cinta ditolak, seorang lelaki warganegara Nigeria mengamuk sehingga mencederakan seorang wanita dan dua lelaki di sebuah universiti swasta di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku setelah cintanya ditolak oleh seorang wanita berbangsa Cina yang juga merupakan pensyarah di universiti tersebut sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan diri dalam insiden yang berlaku sekitar jam 6 petang.

Menurut sumber, suspek dikatakan telah berkali-kali cuba memikat wanita tersebut yang berusia 34 tahun, namun tidak berjaya.

Perkara tersebut telah menyebabkan suspek marah dan bertindak menikam wanita tersebut dengan kunci, namun dihalang oleh dua lelaki yang juga rakan kepada mangsa.

Bagaimanapun, dua lelaki tersebut turut dibelasah oleh suspek sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa anggota badan.

Wanita tersebut kemudian melarikan diri dari tempat kejadian, namun tetap dikejar olah suspek sehingga dihalang oleh seorang lagi lelaki yang juga pensyarah di universiti tersebut.

Suspek kemudian berjaya dipujuk dan diarahkan beredar dari tempat kejadian.

Risau akan terjadi perkara yang tidak diingini, mangsa segera melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) ekoran kecederaan yang dialaminya.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!













Sabtu, 18 Mei 2013

Mati Lemas

Anggota polis mengangkat mayat Ismail yang ditemui mati lemas

JEMPOL – Seorang peneroka dari Felda Lui Muda dekat sini menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila dihempap motosikal yang ditunggangnya sebelum tersembam dan lemas di dalam sebatang anak sungai dekat Felda Lui Barat dekat sini kelmarin.

Mayat Ismail Md. Sharif, 71, yang dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh lapan jam berikutan keadaan mayatnya yang masih elok ditemui pada pukul 5.15 petang oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari Bahau ke rumahnya di Felda Lui Muda.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias memberitahu, siasatan awal pihaknya percayai motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang mangsa telah terbabas sebelum terjunam ke dalam anak sungai tersebut.

“Kita percaya ketika kejadian hujan lebat yang mungkin menyebabkan anak sungai itu dipenuhi air dan mengakibatkan mangsa lemas.

“Ketika ditemui, mayat mangsa dihempap oleh motosikal tersebut dan kita percaya mangsa telah mati lapan jam sebelum ditemui,” katanya di sini semalam.

Kes diklasifikasikan sebagai mati lemas dan polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian. - KOSMO


Jolie Ditawar Berbogel Untuk Playboy


Angelina Jolie

LOS ANGELES - Satu sumber memberitahu, majalah Playboy akan membayar wang kepada aktres Angelina Jolie untuk berbogel, lapor portal hiburan HollywoodLife.com kelmarin.

Menurut sumber itu, majalah bogel itu sanggup membuat bayaran yang besar bagi memdapatkan gambar bogel Jolie selepas dia menjalani satu siri pembedahan untuk membuang dan membentuk semula payudaranya.

"Mereka (pihak pengurusan Playboy) akan memasukkan wang tersebut ke dalam bank untuk menjadikan tawaran itu menjadi realiti," katanya.

Pada awal minggu ini, Jolie mendedahkan dia telah menjalani pembedahan membuang dan membentuk semula payudaranya menerusi satu artikel di akhbar New York Times.

Menurut artikel tersebut, pada awal Februari hingga April lalu, tunang kepada aktor Brad Pitt itu menjalani pembedahan mastektomi pada kedua-dua payudaranya.

Dia melakukan pembedahan itu selepas mengetahui dirinya membawa gen yang boleh menyebabkannya menghidap kanser payudara dan ovari.

Jolie, 37, diberitahu peluangnya mendapat kedua-dua kanser tersebut masing-masing sebanyak 87 peratus dan 50 peratus.

Ibunya, Marcheline Bertrand meninggal dunia kerana menghidap kanser yang sama pada usia 56 tahun. - Agensi